Showing posts with label KOMENTAR SIASAH. Show all posts
Showing posts with label KOMENTAR SIASAH. Show all posts

Saturday, June 7, 2008

Mereform Reformasi :Siri 1






Reformasi tahun 1998/1999 yang berlaku tidak sehingga berjaya untuk menjatuhkan Kerajaan secara jalanan pada ketika itu di bawah pimpinan Dr. Mahathir. Cuma kesannya mampu untuk kita cermati dalam kondisi yang begitu. Suasana ini cukup berbeza dengan apa yang berlaku di Indonesia. Gerakan Mahasiswa mampu untuk berdemontrasi yang akhirnya menumbangkan regim Suharto.

Sudah hampir 10 tahun reform di Indonesia berlaku dan gerakan reformasi di Malaysia dimulakan. Namun dari aspek ekonominya, Indonesia masih ketinggalan daripada Malaysia. Apakah ini bermakna reformasi itu gagal? Apakah reformasi itu sudah salah arah?

Hasil survei sama ada reformasi menjadikan Indonesia ke arah yang lebih baik menunjukkan 68% mahasiswa menjawab tidak. Hasil ini menunjukkan sebahagian besar responden benar-benar melihat dan merasakan bahawa semenjak gerakan reformasi pada tahun 1998, belum ada pembaikan yang bererti untuk menjadikan Indonesia yang lebih baik kehidupannya. Sementara 24% responden menganggap bahawa Indonesia sudah berjalan ke arah yang lebih baik dan 8% responden yang menjawab tidak tahu.

Di Malaysia bagaimana keadaan kesan pergerakkan reformasinya?Apakah respon responden atau mahasiswa Malaysia? Dimanakah mereka? Dimanakah perjuangan mereka? Tentang isu kenaikan harga minyak, dimana mahasiswa? Apakah demontrasi yang mahu mereka anjurkan bagi isu kenaikan harga minyak ataupun demontrasi bagi menyatakan Pak Lah perlu turun daripada takhtanya? Mahasiswa perlu menyatakan pendirian.

Di Indonesia, banyaknya mahasiswa beropini bahawa kondisi Indonesia tidak berjalan ke arah yang lebih baik kerana sistem kerja pemerintah yang tidak memuaskan. Ini tercermin dari 48% mahasiswa yang berpendapat bahawa agenda pembanterasan korupsi pada pemerintah hanya terlaksana sebanyak 43%, bakinya 9% mahasiswa menyatakan tidak tahu. Asumsi yang menunjukkan angka 43% dan 48% begitu dekat bagi menunjukkan agenda pembanterasan korupsi sama ada berjaya ataupun gagal.

Anak muda dan mahasiswa Malaysia perlu menyatakan fakta kajian mereka. Jika mereka gagal untuk menyatakan ini, maka boleh untuk kita menjerumuskan bahawa GERAKAN REFORMASI SUDAH KANDAS kerana kita perlu diberi faham bahawa reformasi itu hanya pintu dan bukan matlamat. Reformasi sekadar membuka pintu kebebasan, pintu keadilan dan pintu perpaduan yang lebih bermakna. Gagalnya rakyat untuk bersedia menghadapi perubahan dalam agenda reformasi sudah pasti akan membawa kembali fitnah kepada reformasi itu sendiri. Jika rakyat tidak berubah setelah gerakan reformasi dilakukan maka yang disalahnya ialah reformasi. Dalam menggagaskan agenda reformasi, persediaan perlu dilakukan. Jiwa rakyat perlu dibangunkan, minda rakyat perlu di isi dan diterjemahkan.


Yang perlu kita jawab pada hari ini, apakah reformasi itu kandas kerana penggerak dan pengikutnya tidak bersedia? Apakah penggerakanya sudah salah arah? atau pengikutnya sudah kehabisan modal buat perjungan? Dimana mereka???

Salam Hormat & Salam Perjuangan
Nazree Yunus
Jakarta 6.11AM

Wednesday, May 28, 2008

Ezam menyertai UMNO

Salam hormat

Buat Saudara Ezam, selamat meneruskan perjuangan. Semoga agenda melawan rasuah akan terus dilaksanakan dalam UMNO. Tahniah atas kemasukan dan penerimaan saudara ke dalam UMNO.

Iltizam perlu diperkukuhkan supaya prinsip terpelihara. Perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata. Harapan kita adalah untuk melihat perjuangan membentuk sebuah good governant mampu untuk diterjemahkan.

Wassalam dan Salam Perjuangan

Monday, May 26, 2008

Tun Mahathir : Menghapus Dosa atau Menutup Dosa? -Siri 1-


Kita percaya bahawa keputusan Tun Mahathir untuk keluar daripada UMNO pasti ada sebabnya. Apakah harus untuk kita menerima keadaan ini sebagai situasi Tun buat menghapuskan dosa 22 tahun sebagai PM atau menutup dosa beliau?


Generasi Baru Malaysia sudah berada dalam zaman Tun menjadi PM Malaysia, kita juga tahu bentuk-bentuk sejarah yang telah dilakukan oleh Tun. Yang baik kita ketahui dan buruk kita juga arif mengenainya? Pintasan minda buat ramai blogger, media dan rakyat tentang telahan sebenar keputusan Tun adalah antara isu yang menjadi rating utama topik perbincangan.


Namun kita sedar, isu ini tidak akan berpanjangan. Mungkin lebih berat dosa Tun yang mahu kita pikul jika kita mahu menyokong usaha Tun yang seolah cuba untuk melakukan sesuatu yang aneh dalam keputusan politiknya dengan niat agar bacaan ramai yang cuba dilakukan Tun ialah buat menghapus dosa sedangkan kita perlu diingatkan bahawa usaha Tun sebenarnya lebih kepada usaha beliau untuk menutup dosa selama 22 tahun.


Tuesday, April 29, 2008

Rasuah & Salah Guna Kuasa : Apakah harapan dari Pakatan Rakyat?

Rasuah & salah guna kuasa – Ini terma ciptaan dan kita percaya sudah pun menjadi buah mulut pimpinan Pakatan Rakyat. Sebelum tercipta Pakatan Rakyat lagipun isu rasuah dan salah guna kuasa menjadi peluru untuk menembak bertubi-tubi kerajaan BN.

Hari ini percaya atau tidak lima negeri sudah dalam pentadbiran Pakatan Rakyat hampir 2 bulan. Banyak yang sudah kita dengar. Dalam menilai secara konstruktif kita yakin dan percaya bahawa ada positif dan ada yang kedengaran negatif tentang pentadbiran di negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyat.

Jika sebelum ini kita dengar tentang hentaman hebat soal perilaku rakus Bekas MB Selangor tentang isu setinggan, rasuah dan salah guna kuasa. Hingga hari ini manakah fail dan dokumen jika benar terdapat rasuah dan salah guna kuasa yang dibuat. Di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor pasti dapat mengeluarkan dokumen bukti perlakuan rasuah dan salah guna kuasa tersebut. Ataupun sebenarnya hampir tidak ada salah laku rasuah yang dilakukan. Lazim untuk kita melihat pendedahan adalah akibat terlalu banyak penyelewengan yang dilakukan, namun jika terlalu pasif gerakan pendedahan yang dilakukan maka seolah-olah harapan buat melihat pesalah rasuah dan salah guna kuasa di hukum adalah semakin malap?

Mungkin terlalu licik pimpinan yang lalu hingga tulang rasuah pun tidak dapat untuk dihidu dan dijumpai. Kita generasi baru ingin melihat keberkesanan idealisme di terjemah menjadi kata dan laksana kerana kita yakin bahawa perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata. Jika Anwar Ibrahim dengan laungan Lawan Tetap Lawan, sudah pasti dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa juga tetap komited dengan inti pati makna laungan tersebut.

Jika dahulu kesukaran mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan jitu menjadi halangan, ternyata hari ini dengan ruang sebagai parti yang memerintah keempat negeri baru di tawan ini memudahkan akses untuk meneliti dan membongkar rahsia rasuah pemimpin terdahulu. Adalah mengaibkan jika yang selalu bercakap soal kebenaran dan kini punyai ruang untuk membedah dan merawat penyakit rasuah dan salah guna kuasa dengan kuasa yang ada di tangan dilengah-lengahkan.

Ataupun isu rasuah dan salah guna kuasa secara berleluasa oleh kerajaan terdahulu hanya momokan fitnah pembangkang sebelum ini. Ini bukan tuduhan, tetapi sekadar perkongsian untuk beringat tatkala kuasa dalam genggaman buat merubah apa yang sebelum ini kita klasifikasikan sebagai yang mungkar. Apakah bentuk makruf yang mahu di buat Pakatan Rakyat jika bukan dengan kita membawa yang makruf secara agresif dan secara optimum pelaksanaannya.

Jangan hanya tinggal harapan sahaja buat rakyat untuk melihat para penguasa yang rakus memakan rasuah terus bebas buat seolah-olah diri mereka dimaafkan. Peranan dan tanggungjawab ini perlu lebih dipukul oleh sang penguasa yang telah pun meletakkan diri mereka sebagai pejuang rakyat. Apakah makna pejuang rakyat jika akhirnya apabila berada pada tampuk sang penguasa masih lagi ragu-ragu lagi atau masih kabur untuk menerobos rahsia mungkar pemimpin sebelum ini. Jika ia benar maka selidikilah dan menentukan bentuk pengajarannya. Jika tidak benar, adakah permohonan maaf itu perlu?

Apakah setelah berdaulat maka lain yang dikata maka lain yang di kota? Soal amanah dan kepimpinan adalah urusan besar yang gunungpun tidak tertanggung bebanan ini. Jangan hingga politik haiwan yang menentukan arah penujuan kita. Penyelesaian isu rasuah perlu lebih lantang untuk disuarakan apatah lagi dalam keadaan kerajaan pusat sudah beria menubuhkan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia. Jika tidak, harapan hanya tinggal harapan.

Friday, April 25, 2008

PAS VS DAP : Apa jawapan soal Negara Islam?

Bangsa Melayu dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu telah lama mengisytiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Tanggal keramat itu menandakan telah wujud kembali satu bangsa iaitu bangsa Melayu yang telah dijajah hampir empat setengah abad.

Sejak itu isu negara Islam melingkari perjalanan sejarah Malaysia. Kenyataan Tunku yang pernah mengatakan bahawa Malaysia bukan negara Islam, kemudiannya Tun Mahathir yang pula terhegeh-hegeh mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam. Dan kini Najib pula bercakap soal negara Islam sebelum pilihan raya tempoh hari namun di sanggah pemimpin MCA.

Kini bicara soal negara Islam yang kita percaya menjadi agenda PAS perlu dijelaskan dengan terang lagi bersuluh. Apakah reaksi PAS apabila saranan Karpal Singh supaya PAS menggugurkan agenda negara Islamnya? Apakah hujahan PAS terhadap isu ini? Apakah perlu untuk PAS pula menyatakan DAP perlu menggugurkan agenda Malaysian Malaysia nya?

Perkara ini perlu diperhalusi dalam keadaan keagresifan DAP untuk cuba meremukkan agenda Negara Islam PAS maka tindakan yang berhikmah perlu segera di ambil oleh pimpinan PAS. Ataupun PAS secara sedar telah merasakan bahawa agenda negara berkebajikan yang telah digagaskan oleh PAS dalam manifesto pilihan raya ke-12 merupakan klon kepada pencirian negara Islam yang menjadi agenda parti itu. Mungkin sebab ini PAS tidak terlalu melatah apabila di asak oleh DAP terutamanya Karpal Singh tentang rapuhnya untuk membawa agenda Negara Islam dalam Pakatan Rakyat.

Dalam keadaan Pakatan Rakyat mahu mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap mereka, maka formula terbaik adalah dengan mempotretkan wajah keserasian dalam pakatan tersebut. Namun yang kita lihat hari ini adalah tindakan DAP yang acap kali meracau tentang Negara Islam yang seolah-olah menjadi ketakutan bagi mereka.

Kita pasti racauan DAP ini sebenarnya tidak begitu manis buat Pakatan Rakyat dan hari ini dengan pandangan untuk mempamerkan ketakutan tidak berasas tentang negara Islam hanya akan membuatkan DAP dilihat sebagai begitu paranoid dalam isu ini.

Dipihak PAS pula, suasana suam-suam kuku dalam memberikan penjelasan adalah amat memilukan kita dalam mahu melihat Islam itu yang teratas dan tidak ada yang lebih darinya. Bukan bermakna Islam di atas untuk menindas bahkan ahli politik baik yang Islam ataupun tidak boleh mencermati apa yang telah pun dipatrikan dalam sejarah tentang perjalanan kesyumulan Islam itu sendiri baik dalam pemerintahan, undang-undang, ekonomi, sosial dan politiknya.

Apakah sudah ada kewajaran untuk PAS lebih bertegas dalam isu negara Islam ini? Ataupun PAS melihat ini permainan politik untuk terus suam-suam kuku dalam isu negara Islam? Ataupun umat Islam yang berbangsa Melayu hari ini sudah terlalu lemah hinggakan untuk bicara soal negara Islam dalam negara sendiripun kita seolah-olah terpaksa untuk menekan ‘brek’ sekerap mungkin. Jika ini benar, mengapa terjadi? Mungkinkah disebabkan populasi ataupun komposisi kaum di Malaysia sudah semakin rapat jurangnya hingga tidak banyak beza antara banyaknya Melayu Islam dengan yang non-Muslim. Ataupun kita sudah tidak percaya bahawa hanya agama sahajalah yang boleh membawa manusia ke arah keharmonian yang lebih baik termasuk membentuk rakyat yang hidup secara aman dalam keadaan berbilang kaum.

PAS harus menyatakan ketegasan dalam hal ini. Ketegasan adalah perlu dengan penjelasan. Penjelasan ini perlu kepada ilmu dan kefahaman memahami suasana kondisi politik mutakhir ini. Sama ada PAS akan lebih lantang dalam memperjelas isu Negara Islam gagasan mereka atau akan terus menyepi sama-sama kita nantikan. Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.

Nazree Yunus
Pengerusi Jaringan Pemikir Anak Muda
Institut Kajian Asas Kemasyarakatan (INSKA)

Tuesday, April 22, 2008

PAS Alternatif Parti Melayu : Merubah atau berubah?

SUDAH hampir sebulan berlalu Pilihan Raya ke-12. Sehingga ke hari ini PAS masih lagi gagal dalam meletakkan kewibawaan parti itu pada tahap yang sepatutnya. PAS perlu berada pada suatu tahap prestijnya yang tersendiri.

Ramai anak-anak muda yang mempunyai jiwa yang lebih Islamik agak kecewa dengan prestasi PAS yang sepatutnya lebih dominan dalam politik terkini berbanding PKR. Dalam keadaan pergolakan UMNO yang kian berkocak, agenda permuafakatan Melayu perlu diteliti dengan sehalusnya.

Kita tidak mahu atas nama agenda Melayu ada pihak sama ada UMNO, PAS atau PKR mengambil kesempatan untuk mengkosmetikkan permuafakatan ini.Kita perlu jelas dalam mewujudkan permuafakatan ini ,perlu ada agenda yang membina dan menguntungkan agama Islam, orang Melayu dalam bentuk ketuanannya dan keseluruhan rakyat Malaysia.

Kesepakatan para pemimpin pelbagai kaum dan agama dalam memelihara dan memberikan penghormatan terhadap Islam dan orang Melayu akan memastikan inilah formula yang pastinya akan memberikan pulangan keuntungan kestabilan terhadap negara kita. Keadilan bukan dalam bentuk persamarataan dan ini antara perkara yang perlu dicermati. Adil dalam Islam ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Baik yang Melayu, Cina dan India harus memahami keadaan ini. Kefahaman terhadap konsep keadilan yang sebenar akan membawa kepada sikap masyarakat yang memikirkan soal menunaikan hak dan bukannya menuntut hak apatah lagi untuk menuntut hak dan keistimewaan orang lain.

Hari ini PAS wajar menentukan definisi keadilan dan pandangan serta pendekatan politik PAS berkaitan isu agama Islam, DEB, keistimewaan orang Melayu, soal pendidikan dan kek ekonomi Malaysia. PAS sudah semakin berusia dan adalah menjadi kemestian kematangan PAS itu ditonjolkan dalam bentuk ‘blue print’ yang jelas tentang corak pentadbirannya.

Kita juga mahu melihat PAS menjadi alternatif terhadap UMNO. Kita mahukan ini adalah atas dasar supaya UMNO itu sendiri tidak terlalu alpa dan selesa dengan kedudukan politiknya kerana mereka akan merasakan PAS telah pun menjadi saingan alternatif parti Melayu buat orang Melayu. Pada ketika ini yang untungnya rakyat.

Dalam apa jua keadaan, keuntungan rakyat yang akan kita kehadapankan. Kekuatan politik berlebihan akan membawa kepada keangkuhan politik yang merosakkan. Sebab itu jika PKR juga dalam keadaan kekuatan politik yang berlebihan, maka unsur-unsur keangkuhan politik akan menonjol. Yang ruginya ialah rakyat apabila keangkuhan politik mula merajai jiwa pemimpin.

Hakikat jika PAS mahu menjadi parti Melayu alternatif terhadap UMNO ada relevannya. Gerak kerja perlu dibuat dalam mendekati anak-anak muda terutamanya aktivis mahasiswa di kampus yang semakin terdedah dengan gaya politik masa depan. PAS perlu mendepani Pakatan Rakyat. PAS perlu tegas dalam menyatakan pendirian politiknya. Ketegasan dalam menjelaskan apa yang menjadi halatuju perjuangan politik Islam PAS perlu diterangkan dengan suluhan yang jelas.

Apakah soal kepentingan politik semata-mata menyebabkan banyak bisu berbanding bicara PAS dalam menentukan lebih banyak corak politik Pakatan Rakyat? Ataupun PAS sendiri sudah semakin tidak relevan dalam landskap politik Malaysia seumpama UMNO alami dan rasai dalam PRU-12 tempoh hari.

Mungkin cara politik PKR yang lebih menyentuh jiwa rakyat buat masa kini ataupun situasi ini hanya sementara dan untuk 5 tahun akan datang cara politik PKR ini tidak akan lagi memenangi hati nurani rakyat.

PAS harus sedar, jika mahu dibandingkan dengan PKR atau DAP, PAS adalah satu-satunya parti yang punyai sistem pengkaderan yang mantap dan agak jelas pembinaan karakter kepimpinan muda masa depannya. Namun jika dilihat dalam keputusan PRU-12 kali ini, ada sesuatu yang menggusarkan tentang prestasi PAS walaupun berjaya menambah kerusi namun tewas kepada parti yang setahun jagung seumpama PKR.

Apakah perlu untuk PAS mengubah cara politiknya supaya lebih mirip method politik PKR? Apakah dengan ini PAS mampu untuk merubah kedudukan politiknya?Apa pula nasib PKR yang tidak mempunyai sistem pengkaderan yang strategik?

Orang Melayu hanya tinggal berharap kepada PAS jika UMNO sudah punah dan tidak mampu untuk dipulihkan. Sememangnya ada silap UMNO yang besar kerana tidak menjaga soal survival orang Melayu selama 50 tahun pemerintahannya. Hukuman rakyat sudah diterjemah dalam undi dengan menolak kuasa 2/3 BN di Parlimen.

Namun apakah ini penghukuman atau pengkhianat ataupun kesilapan? Apakah hukuman terhadap kesalahan UMNO dalam membela Melayu tetapi akhirnya yang menerima akibatnya daripada penghukuman tersebut adalah rakyat? Ataupun sebenarnya orang Melayu tidak kehilangan apa kerana yang hilangnya 2/3 kerusi BN adalah daripada hilangnya kerusi MIC, MCA, Gerakan & PPP. Perkara ini perlu kita bentangkan.

PAS harus bangkit dalam mengisi vakum kekecewaan pengharapan orang Melayu terhadap UMNO dengan memperlihatkan keupayaan PAS sebagai parti Melayu alternatif terhadap UMNO. Corak ini tidak nampak ditonjolkan oleh PAS. PAS perlu lebih bijak dalam meletakkan kembali posisinya sebagai parti yang sewajibnya dilihat lebih kukuh dan diterima masyarakat. Soal hari ini PKR mendapat sokongan yang lebih banyak daripada rakyat adalah soal kedua.

Persoalan utamanya ialah PAS perlu berada pada tahap itu dengan melihat komposisi kepimpinan PAS yang kebanyakan Melayu dan lebih mulianya lagi ada kecenderungan untuk membela dan prihatin terhadap agama Islam. Ataupun UMNO akan melakukan ‘comeback’ dalam dengan melakukan reformasi menyeluruh parti itu.

Reformasi dalam UMNO mungkin berlaku melalui permuafakatan dengan PAS. Siapa akan mengikut? Mungkinkah PAS akan memasuki UMNO ataupun hasil muafakat akan membawa UMNO untuk memasuki PAS. Ini juga perkembangan politik yang menarik untuk kita nantikan.
Apa pun yang terbaik ialah bermuafakat atas dasar iman dan taqwa. PAS dan UMNO bermuafakat demi kepentingan Islam dan Melayu. Wajarnya ialah perlu ada kepimpinan dalam kedua-dua parti yang ikhlas. Jika sekadar gimik politik dan sekadar usaha untuk memanipulasi orang lain, baik PAS dan UMNO lupakan sahaja hasrat muafakat ini.

Setelah sekian lama PAS menyepi dari bercerita tentang soal Melayu, Kenyataan Tuan Guru Hj. Hadi Awang tentang Melayu adalah amat penting disambut oleh kepimpinan PAS yang lain. Jika PAS tidak merubah dan menentukan politik Malaysia, tidak menjadi suatu yang mustahil PAS yang akan berubah dan bakal mengikut sahaja apa arus politik yang berlaku dalam negara.

Kita tidak mahu PAS terlalu lemah dalam Pakatan Rakyat dan juga kita tidak mahu UMNO lemah dan tidak prihatin tentang survival Melayu Islam di Malaysia. Kedudukan Islam, Melayu dan rakyat Malaysia perlu menjadi keutamaan jika PAS, UMNO atau PKR mahu mencipta satu bentuk suasana yang lebih kondusif terhadap situasi politik tanah air. Situasi keadaan politik hari ini sebenarnya masih banyak kegoyahannya.

Situasi mungkin merubah pandangan alam politik kita jika majoriti Cina dan India adalah mereka yang berakidah dengan akidah Islam. Apa pun kebebasan beragama masih kita hormati dalam keadaan realiti Malaysia hari ini. Survival Islam dan Melayu ada di tangan PAS jika UMNO sudah semakin dilupakan rakyat terutamanya orang Melayu. Dan orang Melayu akan bersama UMNO kembali jika PAS tidak menunjukkan ciri alternatif yang lebih baik dan PKR pula terlalu banyak bercakap soal kesamarataan berbanding keadilan.

Nazree Yunus

Pengerusi Jaringan Pemikir Anak Muda

Institut Kajian Asas Kemasyarakatan (INSKA)

Monday, March 31, 2008

Kedah : Mampukah jadi Serambi Mekah 2?

Hari ini majoriti kepimpinan atau ADUN Kedah adalah wakil rakyat PAS yang kuat pegangan agamanya. Jika kita mahu membicarakan soal mengambil contoh Kerajaan Kelantan maka apakah usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Kedah? Kerajaan Kedah perlu meniliti perkara ini dengan serius jika mahu menampakkan kekuatan serta melakukan suatu bentuk pendekatan yang menjaga rakyat daripada aspek pengawalan sikap, akhlak dan moraliti. Tidak ada salahnya Kerajaan Kedah bercita-cita mahu melaksanakan agenda ini. Agenda yang lebih rapat dengan pelaksanaan hukum-hukum Islam adalah perlu diberikan keutamaan terhadap corak kepimpinan Kerajaan Kedah.

Persoalan yang mahu kita bicarakan adalah apakah mampu Kerajaan Kedah menjadi Serambi Mekah yang kedua selepas Kelantan? Dendangan ini amat perlu untuk direalisasikan. Sewajarnya perkara ini menjadi agenda Kerajaan Kedah yang majoritinya rakyatnya adalah beragama Islam. Isu penutupan pub, kelab-kelab malam dan apa jua bentuk hiburan serta lorong-lorong yang boleh meruntuhkan akhlak dan moral rakyat terutamanya yang Melayu Islam adalah wajar untuk ditutup dalam keadaan kekuasaan kepimpinan yang beragama duduk di atas.

Kerajaan Kedah mungkin boleh memikirkan adakah perlu untuk mereka meniru gaya dan pendekatan Kerajaan Pulau-Pinang, Kerajaan Perak atau Kerajaan Selangor? Pimpinan Kerajaan Kedah perlu membahaskan perkara ini. Kita bukan mahu menentukan acuan pentadbiran Kerajaan Kedah secara mutlak tetapi sekadar lontaran perkongsian yang kita rasakan perlu untuk dilihat, di bicara dan diteliti oleh pimpinan Kedah. Kita yakin dan percaya atas dasar mahu melihat suatu bentuk pelaksanaan pemerintahan Kerajaan Kedah yang baik, tidak dapat tidak para pemimpin Kerajaan Kedah perlu lebih cakna tentang persoalan Islam. Lebih-lebih lagi dalam keadaan Kerajaan Kedah diterajui oleh kepimpinan PAS.

Soalnya pada saat ini ialah keberanian Kerajaan Kedah untuk menjadikan pendekatan Islam, menggubal undang-undang Islam yang dalam ruang lingkup kerajaan negeri, soal kawalan hiburan melampau dalam lokaliti wilayah Kedah yang rata-ratanya penduduk Melayu beragama Islam. Kita harus faham, dalam ketika mahu juga melaksanakan agenda pembangunan, Kerajaan Kedah perlu mempunyai agenda fokus mereka yang tersendiri. Agenda utama ini yang akan menampakkan kekonsistenan Kerajaan Kedah terhadap Agenda Islam.

Kita bicara atas kapasiti keseluruhan pimpinan Kedah adalah Islam, majoriti rakyat juga adalah Islam. Sudah pasti keuntungan saham akhirat perlu disediakan oleh pimpinan dengan memberi ruang mewujudkan suatu bentuk suasana yang lebih Islamik terhadap rakyat di Kedah. Kita menantikan apakah komitmen bercorak Islamik oleh Kerajaan Kedah dan dalam masa yang sama juga soal kebajikan rakyat terpelihara. Kita juga menantikan apakah pengumuman corak pentadbiran Islamik yang serius oleh Kerajaan Kedah akan mengundang kekalutan rakyat yang bukan Islam di Kedah? Ataupun Kerajaan Kedah ada pendekatan fokus kepimpinan mereka yang tersendiri. Yang pasti corak itu tidak akan sama dengan apa yang telah berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia. Kita nantikan komitmen Kerajaan Kedah untuk merealisasikan Kedah: Serambi Mekah ke-2.

Mohd Nazree Mohd Yunus
Pengerusi Jaringan Pemikir Anak Muda
Institut Kajian Asas Kemasyarakatan

Tuesday, March 25, 2008

Pemuda UMNO: Mengembalikan Keyakinan dalam Fenomena Baru & Generasi Baru


Melihat kepada suasana politik yang ada, kita dapat jangkakan memang akan ada arus perubahan rakyat dalam pola dan ‘trend’ pengundian dalam Pilihanraya yang ke-12 tempoh hari. Cuma yang perlu kita tegaskan bahawa pola pengundian yang begini akan kekal bagi 5 tahun akan datang dan tahun-tahun berikut yang berlaku pilihan raya jika UMNO yang ada pada hari ini kekal dengan sifat dan kedudukan lemahnya dalam memahami dan mendepani cabaran. UMNO perlu lebih berani mengetengahkan cadangan penyelesaikan yang mampu menguntungkan agama, bangsa dan negara. Jika memantapkan parti dengan mengekalkan kepimpinan sedia ada adalah yang terbaik buat rakyat, maka dialu-alukan pengekalan tersebut. Namun jika yang lebih pasti untuk membaiki UMNO dengan melakukan penolakan drastik terhadap kepimpinan tertentu,maka ini juga tindakan yang perlu tidak dapat tidak dilaksanakan oleh UMNO. UMNO pada hari ini lebih perlu melihat kepada suara rakyat yang mahukan perubahan ‘total’ dalam UMNO itu sendiri.

Kejelasan serta pengamatan daya politik yang lebih menyeluruh dan matang perlu dibina dan disegarkan semula dalam kepimpinan UMNO. Sudah pasti patform kepemudaan UMNO perlu kepada ‘re-enginering’ dengan memasukkan suntikan peranan ‘check & balance’ pemuda UMNO yang lebih berkesan. Hari ini Pemuda UMNO tidak ubah umpama pasukan sorak atau ‘pom-pom boy’ yang dilihat tidak mampu untuk mencetuskan minat dikalangan anak muda generasi muda untuk terlibat di dalam Pergerakan Pemuda UMNO. Pergerakan Pemuda UMNO tidak lagi dapat bergeraka atas kapasiti lantang dan matang dalam memulihkan keyakinan dan sedikit sebanyak menentukan halatuju yang lebih dinamik buat UMNO.

Dinamika masyarakat Melayu yang pada hari ini sudah mula lebih banyak terdedah kepada pengamalan Islam secara hikmah sudah melihat kehilangan tokoh dalam UMNO yang mampu memberikan sedikit keyakinan atas asas yang mampu untuk menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara. Hari ini UMNO atau mana-mana parti yang bercita-cita mahu memimpin dalam kapasiti yang mampu untuk meraih sokongan rakyat adalah perlu dengan seberapa segera untuk membina barisan kepimpinan pelapis yang punyai jiwa dan halatuju perjuangan. Golongan anak muda intelek dari universiti adalah antara barisan generasi baru yang bakal untuk mengisi ruang kemasyarakatan yang ada dan mereka ini telah pun menterjemahkan undi mereka dalam PRU-12. Analisis corak pola pengundian mereka akan kita ketahui pada bulan September ini dan apakah mereka ini punca kegagalan BN untuk memerintah dengan majoriti 2/3 dan hilang 4 negeri baru. Sama-sama kita nantikan apakah yang akan berlaku di seluruh kampus tanah air setelah berlangsungnya pilihan raya kampus pada September nanti. Kita sudah dapat membaca ‘trend’ pengundian mahasiswa di kampus di saat-saat sebelum berlangsungnya pilihan raya umum adalah suatu bentuk ‘trend’ yang ada signifikannya.

Kuasa kepimpinan mahasiswa yang sudah bergelumang dengan politik kampus akan mempengaruhi anak-anak buah mereka bagi menjuruskan pemilihan kepimpinan kepada wadah politik yang mereka mampu untuk berikan keyakinan. Antara agenda penting mana-mana kepimpinan terutamanya sayap-sayap kepemudaan parti ialah perlu ada suatu bentuk inisiatif yang strategik dalam memperkasakan sayap kepemudaan masing-masing. Parti dan kepimpinan politik akan mampu untuk diperkasakan bagi mendepani cabaran dan seterusnya mengembalikan keyakinan apabila ruang dalam kepimpinan parti di buka dengan cara yang ikhlas dalam mendidik generasi baru.

Kita perlu sedar bahawa generasi pemuda yang berumur 15-20 tahun ketika laungan merdeka oleh Tunku Abdul Rahman adalah mereka yang telah berusia 65-70 tahun pada saat ini. Kebanyakkan mereka sudah tidak mempunyai upaya untuk mengundi mungkin barangkali sudah meninggal dunia ataupun tidak keluar mengundi. Pengundi agresif yang keluar mengundi adalah di kalangan mereka yang berusia 20an ke atas dan kebanyakkan mereka ini adalah yang lahir selepas daripada 1970. Golongan ini tidak merasa sentimen yang begitu kuat terhadap UMNO dalam isu perjuangan kemerdekaan, tetapi yang dilihat oleh golongan generasi baru ini ialah Krisis UMNO pada tahun 1987 sehingga membawa kepada pengharamannya dan juga Reformasi 1998 yang juga bermula dengan krisis kepimpinan dalaman UMNO antara Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim. Laungan slogan kerajan bersih, kerajaan beramanah, kerajaan adil dan kerajaan yang memberikan kebebasan bersuara dan berhimpun adalah antara slogan-slogan yang cucuk dengan jiwa generasi baru.

Keperluan kepimpinan yang memerintah adalah perlu dengan sedaya upaya untuk menunjukkan kebersihan kepimpinan, amanah, adil dan memberikan kebebasan yang tepat pada definisi masyarakat generasi baru yang ada. UMNO atau BN perlu mengembalikan keyakinan rakyat jika punyai cita-cata mahu mengembalikan sokongan rakyat terhadap mereka. Keyakinan rakyat generasi baru akan hadir dalam erti kata keperluan kemasyarakatan yang telah berubah pada hari ini dipenuhi. Kepentingan kualiti kepimpinan sudah mula diukur bukan pada tahap material dan kekuatan untuk melakukan pembangunan fizikal semata-mata.

Dalam komitmen mahu melakukan perubahan, UMNO perlu untuk membawa suara Pergerakan Pemuda mereka kembali bertaring seperti zaman tokoh-tokoh pemuda UMNO yang telah membawa perubahan yang meyakinkan rakyat terhadap halatuju perjuangan mereka. Adakah hari ini UMNO tidak cemburu kepada parti-parti lain yang sentiasa masih subur dan sedang giat untuk terus memperkasakan sayap pemuda sebagai antara platform yang boleh menunjukkan arah masa depan kepimpinan parti.

UMNO wajar merenung sejarahnya, UMNO telah mengembangkan pengaruhnya ke setiap pelosok kampung, mukim, daerah dan negeri dengan cara menubuhkan cawangan-cawangan baru. Setiap orang Melayu di harap menjadi anggota UMNO dan tenaga yang amat perlu diberi perhatian ialah golongan remaja dan anak-anak muda Melayu.

Merenung kata-kata Dato’ Onn Jaafar,” Tujuan utama penubuhan Pemuda ialah untuk menyediakan golongan muda hari ini dan masa akan datang dengan peluang-peluang yang terbuka luas bagi membolehkan mereka melengkapkan diri untuk memainkan peranan yang aktif dan sentiasa mengambil tahu terhadap hal ehwal yang berlaku di dalam negara dan juga luar negara”.

Atas kesedaran dan penuh keinsafan ini, Pemuda UMNO perlu bergerak melepasi sempadan sekadar hanya menjadi pasukan sorak dalam institusi parti itu. Pemuda UMNO perlu bangkit dengan jiwa dan semangat perjuangan yang tulen demi agama, bangsa dan negara. Rujukan zaman kepemudaan Tun Sardon Zubir, En. Senu Abdul Rahman, Dato’ Harun Idris, Haji Suhaimi dan Anwar Ibrahim adalah antara jangaka masa gemilang yang mampu untuk menarik minat golongan muda.

Dalam kesedaran ini, kita melihat bahawa gerakan ‘Revolusi Mental’ yang bertujuan untuk “memberi kesedaran kepada pemuda-pemuda khasnya dan anggota-anggota UMNO amnya akan peri mustahaknya perubahan fikiran yang cepat sesuai dengan perubahan-perubahan pembangunan yang telah sedia dilalukan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Kita perlu akur bahawa keperluan masyarakat sudah berubah. Adalah harus terus menerus dan dengan cekap bagi UMNO untuk memastikan parti itu tetap segera untuk beradaptasi dengan perubahan-perubahan yang berlaku yang juga dalam lingkungan percaturan kepimpinan mereka. Jika hari ini ada parti lain yang lebih cepat untuk menyerap dalam perubahan, maka tidak menjadi salahnya jika parti itu yang diberikan mandat oleh rakyat dalam pilihan raya tempoh hari.

Jika menelusuri sejarah, pemilihan Dato’ Abdul Razak sebagai Ketua Perikatan Pemuda pada Ogos 1955 adalah kerana pertimbangan dua faktor. Faktor yang pertama ialah sikap feudal yang sedia ada pada orang Melayu pada ketika itu. Dato’ Abdul Razak adalah seorang aristokrat Melayu pada ketika itu dan mempunyai ciri-ciri kebangsawanan yang menepati ciatarasa feudal masyarakat Melayu. Faktor kedua ialah beliau merupakan seorang birokrat Melayu yang sudah pun mencapai kedudukan tinggi dalam pentadbiran. Namun kita menginsafi bahawa kedua-dua faktor ini bukanlah suatu faktor yang terus menerus akan relevan dalam struktur kepimpinan UMNO. Kegagalan pemecahan sistem kepimpinan feudal dengan hanya menjadikan UMNO parti kerabat eksklusif akan menyebabkan UMNO tidak lagi menjadi parti rakyat yang bertakhta dalam landskap politik tanah air.

Untuk itu, perubahan untuk mengembalikan keyakinan adalah amat wajar untuk dimulakan dalam sayap pemuda. Pemuda perlu diberi nafas baru, pemuda perlu diberi keyakinan baru dan pemuda perlu mencorak fenomena baru dengan membawa generasi baru. Buat parti lain yang mampu untuk menterjemahkan perkara ini, untungnya akan hadir dalam kantung politik masing-masing.

Pemuda perlu bertindak seumpama ‘kumpulan halia’ (ginger group) bagi membawa memberi imej bahawa Pemuda UMNO akan terus menjadi golongan pendesak tetapi teguran-teguran akan dikemukakan secara halus dan dapat diterima oleh pucuk pimpinan. Pemuda UMNO perlu menjelmakan imej antara konservervatif dan radikal. Kebijakan untuk berwasatiah dalam perjuangan serta pendekatan politik yang menguntungkan agama, bangsa dan negara akan membawa parti itu ke arah suatu kuasa kepimpinan yang mampu mencorakkan tamadun yang bermakna buat rakyat. Pemuda UMNO perlu memikirkan persoalan ‘Revolusi Minda’ dalam mengembalikan keyakinan generasi baru dalam fenomena baru politik tanah air.

Mohd Nazree Mohd Yunus
Pengerusi Jaringan Pemikir Anak Muda
Institut Kajian Asas Kemasyarakatan

Monday, March 17, 2008

Pasca Pilihanraya : Arus Baru Politik


Undi Rakyat sudah jelas, protes rakyat sudah jelas dan kemarahan rakyat sudahpun diterjemahkan dalam undi. Namun yang berlaku bukan sekadar protes tanpa haluan, tetapi yang mahu rakyat tunjukkan adalah haluan keluar bagi perosak bangsa dalam UMNO. Ramai lagi yang sayangkan UMNO. Rata-rata anak muda yang memahami sejarah akur pada jasa dan pengorbanan UMNO. Arus baru politik adalah arus KEPEMUDAAN POLITIK. Politik perlu dilayan dengan nafas muda. Biar yang tua berpencak, namun langkah muda yang kita mahu. Rata-rata yang layak mengundi mahu pemimpin yang agresif dalam tindakan politik yang menyentuh tentang jerit payah kehidupan rakyat. Hari ini kita dapat melihat seolah kocakan politik 8 Mac memberikan sedikit petanda bahawa rakyat mahu menguji memberikan kuasa kepada pihak pembangkang menjadi kerajaan di beberapa buah negeri dan menghukum pemimpin yang telah bertindak menjadi tuan kepada rakyat. Rakyat sudah mula melihat kredibiliti pemimpin. Kombinasi keunggulan parti dan calon adalah tiket yang paling hebat yang perlu dimiliki pemain politik. Unggulnya parti adalah ditentukan masa dan ketikanya bila semboyan pilihan raya dibunyikan.

Generasi baru mahu melihat kepimpinan yang naik adalah kepimpinan yang bersih dan lebih cekap untuk melihat permasalahan rakyat sebagai tangungjawab yang perlu diselesaikan. Janji-janji pembangunan semata-mata oleh UMNO dan BN tidak memadai. Rakyat sudah semakin mahu melihat tidak ada jurang yang amat besar antara pemimpin dan rakyat. Rakyat bukan hamba jalanan yang boleh disebat seperti keldai untuk mengikut sahaja acuan pemimpin. UMNO perlu berubah secara menyeluruh. UMNO perlu direformkan. Jangan takut dengan terminologi reform kerana reformlah yang paling sesuai bagi UMNO untuk terus relevan bagi 50 tahun akan datang. Jika UMNO tidak mengubah polisi, budaya dan semangat di dalam BN (Barisan Nasional) dan Umno tidak turut serta untuk berubah dengan radikal, BN dan Umno mungkin tidak akan memerintah lagi bagi 5 tahun akan datang. Mana-mana gerakan atau parti politik yang melakukan reform mengikut acuan politik arus baru, maka parti itu akan terus dominan, relevan dan terus tersemat bersama jiwa rakyat. PAS, DAP, PKR sudah mula melakukan reform. PAS sudah agak longgar bicara negara ISLAMnya walaupun kita tahu agenda itu masih kekal dalam minda mereka. PKR melakukan reform dengan Agenda Ekonomi Malaysia. Lantas DAP terus menyatakan pendirian terhadap kegagalan DEB. Namun yang pastinya apakah nasib Melayu? Bukan tidak mahu bicara soal bangsa lain. Hari ini Cina dan India bicara soal perkongsian kuasa, tetapi tentang soal perkongsian ekonomi di mana jawapan Cina dan India. Pendapatan Melayu paling rendah nisbahnya jika di banding dengan Cina dan India. Boleh sahaja berkongsi kuasa secara hikmah asalkan soal kongsi ekonomipun semua adil disaat orang Melayu sudah berada pada aras yang sama. Kita perlu menginsafi bahawa persamarataan tidak semestinya membawa kepada keadilan. Hari ini persoalan ketuanan Melayu juga mahu tidak mahu harus dibicara secara tertib oleh pemain politik. Ketuanan Melayu adalah persoalan yang masih melingkari asas budaya politik Malaysia. Sejarah perjalanan perkembangan bangsa di Malaysia juga perlu dicermati. Melayu, Cina dan India wajar akur dengan sejarah masing-masing. Jika semuanya faham sudah barang pasti tidak akan wujud situasi mencabar hak bangsa lain. DAP yang agresif tentang ketuanan Melayu perlu untuk kembali membina sistem kepimpinan muda mereka yang lebih bijak bicara soal ketuanan Melayu. Kegagalan untuk memahami dan mendepani isu ketuanan Melayu bakal mengundang musibah besar kegagalan politik DAP untuk masa akan datang. Perlembagaan sahaja sudah cukup untuk menerangkan di mana hak Islam dan orang Melayu serta kedudukan bangsa-bangsa yang lain. Jangan disebabkan terlalu ghairah mahu menunjukkan persamaan kita lebih membina jurang lebar antara kaum. Sekali lagi kita tekankan bahawa persamarataan tidak semestinya membawa keadilan. Satu untuk Melayu, satu untuk Cina dan satu untuk India tidak akan membawa keadilan disaat ada nisbah lain yang lebih adil untuk kepelbagaian kaum termasuk mengambil kira soal ketuanan Melayu.

8 Mac 2008 menyaksikan ramai calon-calon muda dari UMNO, MCA, MIC, PAS, PKR, DAP dan Gerakan yang menawarkan diri untuk bertanding. Generasi Muda meletakkan harapan dan kepercayaan terhadap kepimpinan muda ini. Akhirnya rakyat menunjukkan halaun kepada BN dan UMNO bahawa selain isu kenaikan harga minyak dan barangan keperluan, isu campur tangan keluarga atau menantu dalam pentadbiran mengundang ketidakpercayaan. Kalau campur tangan yang dibuat membawa pemimpin untuk ingat rakyat mungkin lain ceritanya. Tetapi campur tangan yang dibuat hanya membawa pemimpin lupa kepada rakyat. Kita mungkin boleh memuji Khairy atas kecekapannya untuk meniti puncak nikmat dalam UMNO sekelip mata. Tetapi Khairy juga perlu menerima bahawa rakyat juga boleh menolaknya sekelip mata. Ini bukan cerita kelompok minoriti, ini cerita penolakkan Pak Lah disebabkan angkara Khairy sudah menjadi buah mulut rakyat termasuk ahli UMNO sendiri. Kita rakyat Malaysia mahu pemimpin berwibawa. Dari kalangan anak muda mahupun yang sudah meningkat umurnya. Namun prestasi dan keupayaan untuk memimpin dengan hikmah adalah tanda aras yang wajar dipenuhi. Harus bagi mana-mana parti untuk menolak kepimpinan yang lemah. Tidak kira yang lemah itu Presiden, yang lemah itu pemimpin lama dan yang lemah itu pemimpin muda. Mana-mana pemimpin perlu ada asas perjuangannya kerana perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata. Mungkin benar kata Dato’ Onn, “Saya melihat dua gambaran orang Melayu dan salah satu gambarannya adalah gambaran gelap Melayu”. Mungkin ini sudah tiba ketikanya untuk gambaran gelap itu bermula. Mungkin hari ini UMNO yang menghadapinya, tetapi tidak mustahil untuk parti lain seperti PAS, DAP, MIC, MCA dan PKR menghadapinya sekiranya melakukan kesalahan yang sama. Persoalan angkuh untuk mendengar pandangan rakyat akan memakan diri. Rakyat adalah hakim negara semakin terealisasi. Jika ahli UMNO tidak mahu jadi penghukum terhadap pemimpin mereka yang lemah, harus bagi rakyat jadi hakim untuk ahli UMNO dengan menjadikan UMNO bakal tidak relevan bagi 5 tahun akan datang.

Asasnya ialah jangan kita menjadikan parti sebagai lubuk emas semata. Doktrin melihat parti sebagai lubuk emas dan bukannya lubuk perjuangan bakal memakan dan meratah masa depan parti. Ibarat pasir jerlus yang boleh membunuh, cara politik wang, kronisme, nepotisme dan rasuah akan meruntuhkan kepimpinan. Ibnu Khaldun sendiri menyebut runtuhnya tamadun apabila pemimpin dan rakyat mula mengejar kemewahan dunia. Yang patut diajar dan dididik oleh parti ialah keghairahan ahli untuk memperkayakan perjuangan. Bukan kaya dengan kemewahan semata. Apakah nilai parti yang wujud kalau parti yang ada seumpama UMNO sudah menjadi tempat untuk golongan bangsawan dan golongan kaya yang menjadi pemimpin. Ukuran pemimpin dengan berapa banyak kemewahan dan kekayaan yang mereka ada. Sebab itu ahli UMNO sendiri sudah mula hilang rasa kesungguhan untuk berjuang demi parti kerana mereka tahu bahawa tidak ada tempat menjadi kepimpinan UMNO dalam keadaan mereka orang kampung. UMNO bukan lagi parti orang kampung. UMNO hanya untuk golongan korporat yang akhirnya menjadi barah dalam nilai mulia perjuangan parti itu. PAS, PKR, DAP, MCA dan MIC juga bakal berdepan dengan situasi yang sama jika sudah ada sistem feudal purba dan sistem kasta yang diamalkan dalam parti. Prinsip serta nilai parti perlu menjadi kiblat perjuangan.

Masalah anak muda yang namanya Khairy ini perlu kepada pembuktian asas perjuangannya. Mungkin kegagalan membuktikan secara kukuh asas perjuangan dan ke mana halatuju perjuangan sebagai pemimpin muda dalam UMNO menyebabkan beliau ditolak. Jika hari ini Khairy mampu buktikan ketulenan kepimpinan, maka ahli UMNO perlu memberi ruang, jika gagal Khairy buktikannya, penolakan menjadi jawapan penamat kepada Khairy. Jika hari ini ada pemimpin dalam mana-mana parti yang telah menunjukkan tidak ada upaya untuk memimpin,maka ahli partilah yang lebih layak untuk menentukan siapa Presiden atau pimpinan parti. Jika hari ini PAS tewas disebabkan kelemahan Presiden, maka Presiden adalah lebih wajar untuk memberikan ruang kepada orang lain dalam keadaan memahami kelemahan itu berpunca dari karektor individunya serta suku sakatnya. Begitu juga jika berlaku kepada UMNO. Tun Dr. Mahathir juga turun dari takhta UMNO nya apabila petanda dari ahli jelas menyatakan masa yang paling sesuai untuk Tun turun adalah sebelum pilihan raya 2004. Mungkin kali ini giliran Pak Lah untuk turun sebelum pilihan raya 2012/13 bagi mengelakkan suasana menjadi lebih parah.

Tengku Razaleigh sudah pun mengutus surat untuk diadakan mesyuarat khas UMNO. Apakah hari ini ahli UMNO tidak boleh berfikir untuk melihat mesyuarat khas ini sebagai suatu yang penting. Jika pemimpin lama UMNO ini sudah merasai ‘signal’ rakyat terhadap kepimpinan Pak Lah, terlebih lagi ahli UMNO perlu untuk turut bersama bermesyuarah bagi menentukan arah perjuangan UMNO.

Ahli UMNO seharusnya lebih bijak untuk menentukan pemimpin mereka. Ahli UMNO patut lebih bijak membawa gelombang rakyat dan ahli UMNO patut lebih bijak dalam menentukan arah penujuan bangsa kita. Ahli UMNO perlu menilai semula kedudukan Pak Lah, Ahli UMNO perlu melihat kedudukan Naib Ketua Pemudanya dan ahli UMNO patut menilai kedudukan kepimpinan mereka. Kalau mereka ini benar maka bela dan beri sokongan kepada mereka dan jikalau mereka ini salah dan merosakkan UMNO, maka berilah serta buatkan keputusan untuk mereka sama ada undur atau sebaliknya. Hari ini kita bicara soal kepimpinan UMNO kerana kita melihat ada suatu corak merbahaya dalam politik dalaman UMNO selaku parti yang menjadi tunjang orang Melayu. Dan jika hari ini masalah ini melanda PAS juga, maka akan kita bicarakan soal kepimpinan PAS. Ini semuanya bergantung pada kematangan dan kebijakan ahli UMNO membaca gelombang arah penujuan rakyat yang cuba dizahirkan melalui undi dalam pilihan raya ke-12 yang lalu. Arus politik baru lebih memihak untuk mewujudkan kepimpinan yang lebih ada daya kepimpinan amanahnya dan dalam masa yang sama keberanian undi protes ahli mahupun rakyat terhadap parti yang sudah memiliki 50 tahun rekod pemerintahan. Dan kita percaya tidak semuanya undi diberikan kepada BA atau Barisan Rakyat dengan keyakinan terhadap kepimpinan BA. Tetapi perlu diambil peluang kemenangan ini dengan adanya usaha-usaha untuk membuktikan keupayaan memimpin daripada kalangan mereka. Arus politik pilihan raya 2012/20013 adalah penghakiman rakyat terhadap kredibiliti kerajaan BA dan sejauh mana BN kembali mendapatkan keyakinan rakyat melalui pemulihan kepimpinan UMNO yang menjadi teras kepada BN. Perkara yang berlaku ke atas UMNO dan BN pada hari ini akan berlaku kepada BA atau BR apabila pemimpin mula bertindak menjadi tuan kepada rakyat dan rakyat semakin dilupakan.

Nazree Yunus

Wednesday, February 6, 2008

Perjanjian Sulit Pak Lah & Tun M?

Kita meneliti rencam politik nasional. Nampaknya Mahathir sudah membongkar rahsia bilik tidur politiknya kepada umum. Kita melihat trend Mahathir berkaitan gentlemen's agreement. Trend Mahathir yang begitu berani berkata benar untuk kali ini ternyata mengundang bagi membuka pekung di dada.

Pendekatan Mahathir adalah semata-mata bakal menzahirkan sistem feudal yang cuba untuk diwariskan kepada Pak lah. Kita perlu faham, UMNO merupakan institusi buat rakyat yang mahukan institusi tersebut terus relevan sebagai wadah politik bangsa. UMNO bukan hak individu. Sikap angkuh Mahathir untuk menyatakan Pak Lah perlu patuh kepada perjanjian lisan tersebut hanya sekadar membuktikan Mahathir ketika zamannya sedaya upaya untuk menentukan perjuangan UMNO berasaskan sistem feudal.

Sistem feudal yang cuba diwariskan dan diingatkan oleh Mahathir kepada Pak Lah adalah semata-mata menunjukkan bahawa UMNO yang cuba dibentuk Mahathir bukan lahir dari jiwa yang merdeka. UMNO yang cuba dibentuk oleh Mahathir bukan lahir dari suara rakyat dan UMNO yang cuba dibentuk bukan mengambil kira soal prinsip institusi.

Cerminan Mahathir sekadar menunjukkan bahawa UMNO baru yang cuba dibawanya adalah UMNO yang milik individu. Kuasa hanya perlu berada di kalangan elit-elit tertentu.

UMNO pasca Mahathir perlu bangkit sekali lagi dengan idealisme baru. UMNO perlu dibentuk menjadi wadah utama orang Melayu yang membicarakan soal rakyat dalam keadaan kita memelihara kepentingan agama, bangsa dan negara.

Jika budaya UMNO ala Mahathir ini disambut Pak Lah, ini yang tidak kita mahu. UMNO ala Mahathir perlu dibuang, UMNO dengan sistem feudalnya perlu disingkirkan. Pemimpin perlu diangkat dalam menyelesaikan kemelut ummat, lantas diangkat oleh rakan seangkatan lalu mendapat ruang bagi memimpin rakyat. Pemimpin bukan diangkat dengan perjanjian lisan, pemimpin bukan diangkat dengan warisan feudal tapi pemimpin diangkat dengan jiwa yang merdeka. Merdeka dari ketakutan untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan.

Dalam UMNO perlu dibina asas demokrasi, dalam UMNO perlu dikekalkan perjalanan demokrasi yang tulen, dalam UMNO perlu ada pemimpin yang menjunjung tradisi demokrasi secara jujur dan dalam UMNO sendiri perlunya demokrasi itu tertegak dengan adil. Mana mungkin untuk kita membicarakan soal demokrasi nasional sedangkan pemilihan Perdana Menteri secara feudal dan pemilihan Presiden UMNO juga secara feudal. UMNO tidak perlu menunduk kepada sistem feudal jajaan murahan yang sudah tidak membawa erti. Pemimpin yang baru perlu dengan idealisme baru. Idealisme untuk melakukan dan memastikan perubahan total berlaku dalam UMNO perlu digerakkan segera. Sikap Mahathir dalam membangkitkan persoalan perjanjian lisan ibarat meludah ke langit terkena muka sendiri. Feudal ala Mahathir sudah tidak relevan. Kejam dan zalim cara Mahathir sudah tidak relevan. Kita bukan haiwan politik. Ahli dalam UMNO punyai hak dan kekuatan untuk menentukan pilihan. Hari ini terbongkar cara busuk Mahathir menentukan kepimpinan kesukaannya. Ahli UMNO sepatutnya kesal dengan cara Mahathir yang sebegitu. Ahli UMNO pelu menidakkan cara ini daripada berterusan. Ahli UMNO perlu merenung sejenak. Ahli UMNO perlu berfikir untuk kita tidak lagi mempunyai pemimpin berjiwa feudal seperti Mahathir. Siapa Mahathir untuk sekali lagi menentukan Perdana Menteri ke-enam Malaysia?

Orang Melayu mungkin mudah lupa bak kata Mahathir, tapi dendam dan nafsu politik tidak pernah lupa. Nafsu politik Mahathir tidak pernah lupa. Nafsunya tidak pernah lupa untuk terus cuba bagi mengekalkan sistem feudal dalam UMNO. Budaya kepimpinan feudal ala Mahathir perlu ditolak. Budaya ini perlu untuk tidak disambut. Budaya ini perlu dilupakan dan budaya ini perlu dikuburkan sendiri oleh ahli UMNO.

Isu Mahathir mengungkit janji lisannya terhadap Pak Lah sekadar hanya memburukkan imej parti. Ini bukan isu Mahathir VS Pak Lah, tetapi ini isu Mahathir mencalarkan imej UMNO dan parti. Bukan selamanya bekas Presiden itu cerdik, kalau tuhan membodohkannya untuk barang sesaat, sudah pasti inilah tembelang Mahathir yang perlu dikutuk dan ditolak. Sudah di dalam 23 tahun merosakkan institusi dengan menanam benih feudalisme yang kuat, hari ini dari luar juga mahu sekali lagi mencalarkan parti.

Kalau terus begini sistem feudal yang cuba dicatur, maka adakah masa dan ruang untuk UMNO melihat parti ini terus membawa erti dan relevan kepada anak muda. Bawalah perubahan total dalam UMNO untuk memastikannya menjadi wadah utama yang senada dengan generasi muda yang baru, dengan idealisme perjuangan yang disegarkan bukan di kaku dan dibekukan. Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.

Maka kata-kata yang benar sahaja yang perlu direalisasikan. UMNO perlu menolak cara feudal ini. UMNO perlu lahir dari suara rakyat, UMNO perlu lahir dari jiwa yang merdeka dan UMNO tidak boleh lahir dari sistem feudal saranan Mahathir! Sistem feudal tidak akan membina UMNO. Biarkan kepimpinan hari ini menilai dengan hikmah untuk menentukan pemimpin dan halatuju kepimpinan.

Kita generasi baru mahu pemimpin berjiwa rakyat dengan idealisme yang baru. Sistem feudal yang terbentuk sekadar hanya membenteng akal untuk berfikir, mengekang fizikal untuk terus bergerak dan mencengkam jiwa untuk terus takut menyatakan suara! Suara perlu disatukan, disatukan bukan dengan mengikut telunjuk seorang tetapi disatukan dengan akal dan budi! Akal dan budi inilah yang bakal memakmurkan institusi UMNO dan rakyat!

Antara MORAL & KRITERIA PEMIMPIN


Kita dikejutkan dengan pengakuan Dr. Chua Soi Lek bahawa beliau adalah lelaki dalam video lucah terbabit. Namun yang lebih menjelekkan kita sebagai anak muda ialah tindakan yang tidak punyai asas oleh MCA Johor untuk mengambil Dr. Chua Soi Lek sebagai penasihat parti MCA Johor.

Kenyataan Khir Toyo (dalam akhbar NST Selasa 15 Jan 08) tentang perilaku moral yang rendah bukan kayu ukur yang jitu dalam menentukan sama ada seseorang itu calon pilihan raya atau tidak adalah satu kenyataan yang amat tidak wajar dan begitu memalukan dikeluarkan oleh seorang ketua negeri. Adakah wajar hanya yang punyai wang dan kuasa sahaja yang patut menjadi calon? Adakah sudah hilang akal pemimpin ini untuk terus mengesampingkan soal moral sebagai persoalan utama dalam pencarian pemimpin? Adakah kemenangan individu lebih penting tanpa memikirkan soal maruah parti? Mahu menang lebih penting atau kemenangan bererti yang dicari? Memenangkan calon tidak bermoral adalah kemenangan yang tidak bermaruah. Mahukah UMNO menjadi parti yang tidak bermaruah? Kita mahu UMNO lebih relevan dengan kehendak nurani rakyat yang masih mahukan kebersihan keseluruhan dalam mengertikan soal kepimpinan. Anak muda mahukan UMNO terus membangunkan negara dan rakyat dalam keadaan kepimpinan yang bersih moralnya. Bersih moral ini yang akan melebihkan pemimpin banyak berfikir tentang rakyat berbanding kantung sendiri. Akan lebih terbangun rakyat di atas keberkatan kebersihan pemimpinnya.

Sekiranya kondisi seumpama ini terus menerus dibenarkan berlaku dalam suasana keterbukaan Malaysia. Jangan nanti kita tidak terkejut dengan corak perlakuan yang lebih keji dari itu bakal dilantik menjadi penasihat bahkan menjadi Presiden parti. Jika dibiarkan maka sudah tidak menjadi peduli rakyat Malaysia dengan kerendahan moral yang berlaku. Jika dibiarkan maka seolah-olah masyarakat Malaysia sedang bergerak mula untuk menerima kekosongan moral dan kerendahan akhlak sebagai pemimpin mereka. Makin dibiar, makin ini bakal dan akan menjadi norma kriteria pemilihan pemimpin.

Selaku generasi anak muda yang mahu melihat Malaysia lebih mampu memacu ke hadapan, kita seakan dan sudah pasti mahu kesedaran ini dihitungkan atas landasan bahawa yang tidak bermoral wajar diketepikan. Yang tidak bermoral harus dihukum. Yang tidak bermoral wajar diperbetul. Bukannya kita mahu yang tidak bermoral terus di atas, yang tidak bermoral lantas dicapai menjadi penasihat. Apakah masyarakat seakan mahu dibuta dan ditulikan anggota mereka? Apakah hinanya masyarakat Malaysia untuk menerima penasihat seumpama ini walaupun untuk komuniti cina. Di mana suara kritis anak muda cina dalam mempersoalan keadaan ini.

Kita sedar anak muda cina lebih terkehadapan berbanding Melayu dalam unjuran kesedaran berpolitik. Apakah soal lantikan penasihat parti ini bukan politik? Sudah seharusnya mereka bangkit untuk menafikan ruang tersebut buat Chua Soi Lek. Ataupun anak muda cina juga agak seronok dengan hayutan gejala sosial ini hinggakan mereka tidak perasan kelongpangan besar dalam isu lantikan Chua Soi Lek sebagai penasihat MCA Johor.

Isu moral UMNO & PAS juga tidak terkecuali. Sama ada yang terpangpang di dada-dada akhbar ataupun di laman web hatta blog itu fitnah ataupun tidak, masyarakat dan yang peka lebih layak untuk menentukannya. Namun apa pun keadaannya, sudah menjadi pilihan kita untuk terus mengatakan tidak kepada kerendahan moral pimpinan. Apatah lagi kepimpinan merupakan amanah yang wajar dipelihara dengan rasa tanggungjawab.

Pemimpin perlu diangkat berasaskan kriteria yang tertentu. Kod etika kepimpinan yang dirangka sesetengah parti adalah wajar untuk dipastikan keberkesanannya. Ahli parti dan rakyat sebenarnya perlu lebih berhati-hati dalam persoalan ini. Mungkin ada kecenderungan untuk meremehkan perkara ini disebabkan yang melakukan keruntuhan moral itu adalah kawan sendiri. Pokoknya, ini bukan persoalan utama sama ada kawan atau lawan. Yang perlu kita berikan perhatian ialah perbersihan menyeluruh parti ataupun platform kepimpinan daripada skandal moral. Kita melihat perkembangan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhamad Muhamad Taib, skandal mendedahkan keburukannya tetapi masih diterima dalam UMNO. Ini semua perlu berubah, jika tidak kedudukan individu seumpama ini dalam UMNO bakal mengundang liabiliti yang parah untuk menjadi henjutan pembangkang walau tidak dinafikan dipihak pembangkang juga ada skandal moral mereka yang tersendiri. UMNO perlu mengelakkan perkara ini daripada berlaku. UMNO punyai upaya untuk mengatasinya. Mengapa begitu sukar untuk membersih?adakah kawan kriterianya?Adakah kawan yang perlu dipertahan walaupun kecundang dimedan dosa? Ataupun prinsip perjuangan UMNO yang lebih murni perlu dipertahankan?

Kesayangan kepada kepimpinan hatta UMNO sekalipun perlu diwajarkan dengan tindakan untuk menidakkan kedudukan dan keberadaan individu seumpama itu dalam UMNO. Mohd Said Yusof (Ahli Parlimen Jasin), isu bocor yang jelas memualkan. Adakah tidak ada akal untuk seorang Ahli Parlimen mengekang mulutnya dari berbicara remeh dan tabu seumpama itu. Situasi serta kewujudan pimpinan yang begitu rupa hanya mengundang jelek dan pandangan serong rakyat kepada kerajaan. Kita percaya untuk mendapat yang sempurna itu tidak mungkin kecuali kesempurnaan Allah dan kitabnya, namun adakah sehingga melupakan kita untuk terus berusaha memilih kepimpinan yang terbaik kerana mereka inilah yang bakal melaksanakan kesempurnaan undang-undang Tuhan dengan mengatur dunia ini sebaiknya.

Kita mahu melihat perubahan, namun perubahan yang kita mahukan ialah yang lebih menjamin perubahan rakyat ke arah yang lebih baik segalanya. Perubahan rakyat akan berlaku dengan perubahan UMNO itu sendiri. Perubahan UMNO akan berlaku apabila kepimpinan UMNO punyai semangat untuk pertahankan rakyat. Pimpinan UMNO mempunyai ruang yang lebih baik untuk merealisasikannya setelah mendapat mandat rakyat lebih 50 tahun. Sama ada 50 tahun akan datang menguntung atau tidak buat UMNO, maka kedaulatan kepimpinan melalui moralnya harus diambil kira. Kemudian maka wajarlah untuk yang diberi amanah dapat membina jambatan kejayaan dengan optimistik daripada masyarakat.

Monday, October 29, 2007

Cerminan AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan Turki) di Malaysia : Antara UMNO atau PAS yang boleh merealisasikannya?














Kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) Turki dalam Pilihan raya Parlimen 22 Julai lalu membuktikan bahawa ideologi sekular semakin pupus di negara itu. Keputusan awal kelmarin menyaksikan Parti AKP menang 47% undi iaitu 12% peningkatan undi berbanding pilihan raya tahun 2002. Sudah pasti di Malaysia juga aliran sekular sudah semakin malap. Orang Melayu Islam sudah kembali rasional mempertahankan Islam. Kalau tidak masakan Khairy Jamaludin sanggup untuk berdebat untuk membicarakan tentang Malaysia sebuah negara Islam ataupun tidak. Bagi kita alhamdullah, setidak-tidaknya anak muda UMNO ini telah mula berani memperakui bahawa Islam adalah yang tertinggi. Teruskan dengan keikhlasan. Namun sedikit kecewa untuk saya nyatakan di sini ialah tentang di mana suara anak muda PAS tentang isu negara Islam?ataupun suaranya sudah ada dan sudah pun terlebih awal dari anak muda UMNO tetapi mungkin media begitu licik menyembunyikannya. Jawapannya ada pada anak muda PAS dan juga media.

Beralih kepada melihat kemenangan Parti AKP dalam pilihan raya tahun ini membuktikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan dan karisma Erdagon (Perdana Menteri Turki) di samping kepercayaan rakyat terhadap perancangan dan pemulihan ekonomi Turki. Parti Perintah di Jepun pun sudah kalah dalam keputusan pilihan raya yang terkini namun Shinzo Abe tetap mahu mengekalkan Keperdana Menterian beliau, namun situasi ini mungkin tidak akan berlaku di Malaysia lagi jika kepimpinan sentiasa mengamalkan 4M yang baru sahaja disebut oleh TPM, Dato’ Seri Najib secara jujur, telus dan ikhlas.

Apa signifikannya membicarakan soal Parti AKP dengan UMNO dan PAS? Kita melihat bahawa inilah antara cerminan yang tidak lama lagi akan terpantul di Malaysia. Turki adalah bekas wilayah khilafah Islam yang hebat. Malaysia tidak kurang hebatnya dengan sejarah Islam yang besar. Walaupun dijajah pada 1511 oleh Portugis namun Kehebatan Kerajaan Melaka yang Sultan nya beragama Islam adalah sejarah yang tidak boleh dipadam. Perkembangan Islam begitu menarik dalam lipatan sejarah Malaysia. Yang boleh dipadam hanya ‘sejarah yang bakal dicipta’. Namun yang pasti akan berlaku ialah pilihan raya umum yang ke-12. Kita menilik bahawa pilihan raya akan dilakukan setidak-tidaknya selepas Hari Raya Aidilfitri dan sebelum Hari Raya Aidiladha. Sudah pasti nujuman ini sangat bermakna buat parti-parti politik. Namun tilikan Ku Li pula adalah pada bulan kedua tahun hadapan. Kita tunggu, mana yang betul tilikannya.

Sekurang-kurangnya bapak-bapak menteri boleh lagi berhari raya sebagai Pak Menteri untuk Hari Raya Puasa kerana mungkin untuk Sambutan Hari Raya Korban pasti ada yang terkorban untuk tidak menjadi menteri lagi.

Apakah maknanya membicarakan soal kemerdekaan yang ke-50 tanpa membicarakan soal ‘sejarah yang mahu dicipta’. Sudah pasti sejarah yang mahu dicipta adalah sejarah yang boleh membangunkan agama, bangsa dan negara.


Sudah pasti ‘sejarah yang mahu dicipta’ ada kaitannya dengan soal pilihan raya. Ini kerana pilihan raya menjadi medan untuk memberikan ruang kepada yang pemimpin dipilih untuk membicarakan yang benar dan menolak yang salah di Parlimen. Kesemua kebenaran yang mahu dibawa adalah demi kemaslahatan rakyat. Begitu juga kesalahan yang ditentang di Parlimen adalah juga untuk keadilan sosial ditegakkan ke atas rakyat. Semuanya dilakukan demi untuk melihat pembangunan Tamadun Bangsa yang unggul


Sejarah selalunya ada kaitan dengan pemimpin, mungkin bagi kita sejarah Malaysia mungkin mirip Turki andai kata Anwar Ibrahim selepas keluar penjara bertindak memilih PAS sebagai wadah dan seterusnya menjadi Presiden PAS. Sudah pasti pada hari ini pengaruh PAS di kalangan non-muslim akan lebih kuat. Senario juga bakal berubah. Gelojak keyakinan masyarakat terhadap kepimpinan Islamik juga akan bertambah baik.

Islam Hadhari mungkin diterima PAS andai kata Pak Lah berada di atas platform PAS dan sudah pasti memprofesionalkan PAS akan lebih mudah andai kata pemimpin profesional itu di dalam UMNO. Namun usaha atas nama Islam ini sebenarnya memberikan kesan yang ada positifnya. Barangkali Islam Hadhari ini juga hasil usaha PAS yang acap kali membicarakan tentang Islam di Parlimen dan ceramah-ceramah parti tersebut. Bagi kita ada saham kebaikan untuk UMNO dan PAS di sisi Allah. Walau bagaimanapun ada juga saham-saham keburukan UMNO dan PAS jika tidak laksanakan amanah kepimpinan untuk rakyat dengan sebaiknya.

Islam Hadhari mungkin diterima PAS andai kata Pak Lah berada di atas platform PAS dan sudah pasti memprofesionalkan PAS akan lebih mudah andai kata pemimpin profesional itu di dalam UMNO. Namun usaha atas nama Islam ini sebenarnya memberikan kesan yang ada positifnya. Barangkali Islam Hadhari ini juga hasil usaha PAS yang acap kali membicarakan tentang Islam di Parlimen dan ceramah-ceramah parti tersebut. Bagi kita ada saham kebaikan untuk UMNO dan PAS di sisi Allah. Walau bagaimanapun ada juga saham-saham keburukan UMNO dan PAS jika tidak laksanakan amanah kepimpinan untuk rakyat dengan sebaiknya.

Kita perlukan pemimpin Melayu Islam yang dinamik. Dinamik dalam erti kata mungkin seumpama Parti AKP di Turki. Sama ada UMNO adalah cerminan AKP atau PAS adalah cerminan AKP yang sedang menunggu untuk menang. Namun mengekalkan kemenangan ditangan siapa pada UMNO dan mendapatkan kemenangan ditangan siapa bagi PAS adalah suatu yang kita tidak boleh jangkakan.

Sejak mutakhir ini, kita juga dapat melihat bahawa semacam ada suatu kecelaruan fenomena. Yakni UMNO begitu beria membawa Islam dan PAS pula begitu sibuk untuk memprofesionalkan PAS seumpama UMNO dengan tokoh-tokoh korporat dan profesionalnya. Cuma yang dapat membezakan antara kedua-dua parti ini adalah siapakah yang lebih ikhlas membawa perjuangan. Dato’ Seri Najib sebagai Tim. Perdana Menteri begitu yakin menyatakan bahawa Malaysia negara Islam. Seolah-olah hari ini UMNO sudah menjadi suara PAS secara simboliknya dan PAS sudah mula membina kredibiliti seumpama UMNO.

Keikhlasan membawa perjuangan amat bergantung pada siapakah yang berada di sebalik tabir, Parti AKP Turki sudah diketahui sememangnya parti yang berlatarbelakangkan gerakan Islam yang pernah dianggap radikal. Parti AKP berjaya membuktikan bahawa gerakan radikal boleh berubah sebagai kuasa demokratik. Apa tidaknya, AKP berjaya menguasai 339 daripada 550 kerusi Parlimen Turki, mandat yang cukup untuk menubuhkan kerajaan sendiri.

Recep Tayyip Erdogan merupakan pemimpin AKP yang mempunyai kefahaman Islam yang menjadi Perdana Menteri Turki adalah dari Parti AKP sendiri. Namun di Malaysia, adakah Pak Lah sebenarnya berjiwa UMNO?Adalah sah berdasarkan pilihan raya Pak Lah menjadi Perdana Menteri atas tiket UMNO dan BN. Tetapi beliau sebelum ini adalah daripada kem aliran semangat 46 (S46). Islam Hadhari yang dibawa pula mirip-mirip agenda Islam yang dibawa oleh PAS. Bagi kita alhamdulillah sekali lagi sekiranya ada pakatan di antara UMNO dan PAS untuk membawa Islam secara bersama. Apa yang menguntungkan Melayu Islam kita sebagai anak muda berikan sokongan.


Hari ini kita dihangatkan dengan isu semasa yang kadangkala mengundang resah rakyat jelata. Hari ini isu negara Islam dibangkitkan kembali. Dato’ Seri Najib pun turut serta dalam perkara ini. Kalau tidak masakan beliau secara ‘gentleman’ mengeluarkan kenyataan yang akhirnya dinafikan oleh MCA. Timbalan Perdana Menteri mengatakan ‘yes’ kepada negara Islam. Dalam masa yang sama Perdana Menteri membawa agenda ‘Islam Hadhari’. Ternyata nampak kedua-dua pemimpin tertinggi negara ini bersetuju dengan agenda Islam.

Namun kita sebagai anak muda mahu kepimpinan yang dinamik secara tulen. Kita bukan mahukan dinamik dalam mengelirukan rakyat tetapi yang kita mahu adalah pemimpin yang punyai asas yang kukuh untuk melakukan sesuatu keputusan dan tindakan.

Kepimpinan yang bakal diterima rakyat ialah kepimpinan atau pemimpin yang mampu untuk didengar pandangannya dan dihormati prinsipnya oleh kawan dan lawan. Bagaimana situasi ini dapat diwujudkan?Jawapannya ialah apabila kita memperakui bahawa dalam masyarakat kita pada hari ini ada dua kelompok yang agak fundemental dalam corak sosial mereka. Satu kelompok adalah yang terlalu cenderung untuk bersosial secara ekstrem dan satu kelompok begitu cenderung untuk menghayati agama secara ekstrem. Sudah pasti kepimpinan yang berupaya memenangi hati dua kelompok ini akan dapat membawa negara dengan corak yang lebih meyakinkan majoriti rakyat. Contoh sudah terbukti dengan kemenangan Parti AKP di Turki.

Sebab itu kita melihat hari ini UMNO mengakui Malaysia adalah negara Islam. Namun kita juga menaruh harapan supaya slogan itu diteruskan dengan pengisian yang lebih konstruktif untuk pembangunan agama, bangsa dan negara yang lebih Islamik. Mungkin Pak Lah sudah memikirkan persoalan untuk membentuk imej seumpama Tayyip Erdagon dan UMNO seumpama Parti AKP. Ataupun PAS sebenarnya yang lebih mudah untuk menjadi cerminan AKP di Malaysia. Sama-sama kita nantikan 5 ke 10 tahun mendatang akan perkara ini. Mengapa kita katakan sedemikian?Kerana anak-anak muda bakal mengantikan tempat kepimpinan. Parti mana yang punyai barisan kepimpinan Pemuda yang ‘fit’, maka parti itu yang lebih layak untuk mencipta ‘sejarah masa depan yang baru’ untuk Malaysia.

Kondisi masyarakat akan berubah, masyarakat akan lebih berkemahuan untuk memilih kepimpinan yang holistik dan dinamik. Maka jawapan yang perlu disediakan oleh para pemimpin ialah membina jati diri dan persiapan yang lebih dapat memenangi hati nurani bangsa. Sebab itu kita tegaskan bahawa pendekatan memenangi hati masyarakat Melayu perlu diambil kira. Dalam masa yang sama bangsa lain turut juga berkemahuan untuk mempunyai keyakinan terhadap pemimpin yang boleh menjaga survival bangsa mereka.

Kepada yang mahu menjadi pemimpin yang lebih diterima oleh ‘kepelbagaian’, maka ini ramuannya: Kepimpinan yang perlu disiapkan adalah kepimpinan ‘keyakinan, kredibiliti dan dinamik’. Yakin dari aspek keseluruhan masyarakat melihatnya untuk memulihkan masyarakat yang pincang sosialnya serta dalam masa yang sama memimpin masyarakat terpelajar agama dan pendidikannya. Kredibiliti dari aspek ilmu dan moralitinya dan dinamik dari aspek karismanya untuk memimpin kepelbagai agama, bangsa dan budaya.

Ketuanan Polotik Melayu : Antara UMNO Atau PAS Yang Menjadi Teraju





Ambang sambutan kemerdekaan yang ke-50 sudah semakin hampir. Semakin detik kemerdekaan melanjutkan usia, semakin resah kita sebagai anak muda melihat dan mengamati suasana. Semakin tua usia kemerdekaan maka semakin tua juga usia pergerakan pola politik negara.

Berdasarkan senarai 10 rakyat Malaysia yang terkaya. Orang Melayu hanya pada kedudukan yang ke-9 iaitu Syed Mokhtar Al-Bukhary (MMC) dengan kekayaan 1bilion. Robert Kuok (Kuok Group, 5.6b), Ananda Krishnan (Astro, 4.6b), Teh Hong Piow (Public Bank, 2.1b), Lee Shin Cheng (IOI, 2.05b), Quek Leng Chan (Hong Leong, 2b), Lim Goh Tong (Genting, 1.5b), Yeoh Tiong Lay (YTL, 1.1b), Tiong Hiew King (Rimbunan Hijau, 1.05b) dan Lim Kok Thay (Chairman, Genting Group, 440m)

Apa yang signifikan antara senarai 10 orang terkaya Malaysia dengan persoalan ketuanan Melayu. Orang Melayu masih di belakang. Namun tuntutan kaum yang lain masih lagi bernafsu besar. Isu Lina Joy, artikel 11, Penghantaran memorandum oleh 11 Menteri non-muslim terhadap Pak Lah tentang isu artikel 11. Perebutan anak dan pengurusan jenazah antara muslim dan non-muslim. Jelas perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam ambang sambutan kemerdekaan yang ke-50.

Rakyat perlu faham tentang Islam dan menghormatinya. Mungkin juga ini berlaku kerana pemimpin sendiri sudah tidak mengendahkan Islam dan pihak yang memperjuangkan Islam seperti PAS sudah ketandusan idea untuk menyebarkan dakwah Islam. Ini semua tanggungjawab kita bersama di samping bebanan yang lebih besar untuk bertanggungjawab itu sepatutnya dipikul oleh pemerintah.

50 tahun liku-liku perjuangan kemerdekaan turut melibatkan jatuh bangun pemimpin. Namun pada ketika Malaysia menarik nafas mendetikkan nadi, golongan anak muda, mahasiswa dan belia juga tidak terkecuali daripada mencorakkan dan mematerikan diri dalam lipatan sejarah negara.Perkembangan politik di Malaysia semenjak kemerdekaan hingga hari ini masih didominasi oleh politik perkauman.

Hal ini demikian kerana berbagai-bagai-bagai kelompok etnik sentiasa mengemukakan tuntutan yang bertentangan dan sukar dipenuhi. Analoginya mudah, jika tetamu datang ke rumah, tuan rumah boleh membuat kopi untuk tetamu sebagai menghormati tetamu tetapi apabila tetamu mengarahkan tuan rumah untuk membuat kopi, adakah situasi ini boleh diterima. Orang Melayu sudah memberi sebagai penghormatan kepada bangsa lain. Namun apabila diminta dengan rakus sehingga hak orang Melayu pun terancam sudah pasti permintaan tidak akan ditunaikan.Bak kata Tunku“....orang Melayu sedia memberi hak-hak yang munasabah dan patut kepada orang bukan Melayu. Orang Melayu telah memberikan pengorbanan yang banyak daripada hak-hak sebagai bumiputera Tanah Melayu kepada bangsa yang bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri yang telah berbudi sebegitu banyak seperti yang telah diperbuat oleh orang Melayu.

Sungguhpun ada jaminan hak-hak istimewa Melayu dalam perjanjian Persekutuan tetapi tidak sekali-kali mencegah atau menyekat bangsa-bangsa yang bukan Melayu daripada mencapai kesenangan dan kekayaan dan lagi sehingga sekarang hak-hak istimewa itu masih belum lagi menghasilkan keadaan yang setaraf di antara orang Melayu dengan yang bukan Melayu...”

Mahasiswa dan golongan anak muda melihat perbalahan antara agama dan kaum ini sebagai suatu perkembangan sebagai yang tidak sihat dan tidak mempunyai makna. Apa makna 50 tahun merdeka kalau yang di atas terus tidak mengendahkan apa yang berlaku di bawah. Prejudis antara agama dan kaum semakin meruncing. Kita anak muda mahu situasi ini diperbetulkan.Hari ini kita mahu memperingatkan anak muda supaya bangkit untuk melihat isu-isu semasa yang berlaku dalam negara secara makro dan mikro.

Golongan cerdik pandai mahasiswa harus bangkit untuk kembali menjadikan suara mahasiswa adalah suara rakyat. Mahasiswa adalah jurucakap masyarakat bukan jurucakap bagi UMNO, PAS, KEADILAN, DAP, MCA, MIC, GERAKAN ataupun PPP. Hari ini mahasiswa dan golongan belia mahu golongan elit politik sama ada kerajaan ataupun pembangkang terutamanya UMNO dan PAS untuk melihat dan menangani secara serius masalah agama dan bangsa kita. Tidak ada ertinya membincangkan tentang politik ketuanan Melayu jika agama dan bangsa tergadai.

Dalam aspek yang lain, gerakan mahasiswa perlu mempunyai prinsip untuk bergerak secara bebas. Disebabkan ketidakbebasan menyebabkan kita tidak lagi bertindak sebagai loceng amaran buat pemimpin. Untuk membentuk kesedaran dan menghidupkan jiwa anak muda, pembudayaan ilmu perlu dipasakkan di dalam jiwa mahasiswa dan belia. Budaya jurnalisme wajib dibugarkan semula. Teks-teks usrah harus dikembangkan menjadi teks yang masyarakat umum boleh mendapat manfaat daripadanya. Teks usrah yang membincangkan tentang akidah, ibadah dan muamalat wajib sampai seberapa segera yang mungkin buat masyarakat kita yang kian nazak menanti maut dalam jeritan ketuanan Melayu masih nyaring dilaungkan. Tanggungjawab ini ada pada mahasiswa.

Sebarkan ilmu yang benar walau sedikit seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah.Kegagalan teks-teks usrah yang sepatutnya menjadi rujukan masyarakat mengakibatkan kemungkaran yang lebih besar telah berlaku. Lihat kemungkaran Lina Joy dalam mencabar Islam. Bagi kita sebagai anak muda Islam, Lina Joy bukan mempertahankan haknya tetapi mencabar hak orang Islam untuk mempertahankan agama. Perbincangan isu Lina Joy atas landasan kebebasan agama dan hak asasi manusia adalah suatu yang tidak relevan.

Mana mungkin Islam sebagai agama yang berlainan dengan agama yang lain harus mempunyai kayu ukur undang-undang yang sama dengan agama lain. Perkara ini antara kandungan terpenting yang perlu diberi faham kepada pencinta agama lain. Kita bukan menghalang untuk penganut agama lain mengamalkan agama mereka tetapi apabila mereka sudah mula mempersoalkan amalan dan undang-undang Islam kita, maka penerangan perlu diberi dan pencarian kefahaman adalah tanggungjawab mereka untuk memahami Islam dalam kaca mata konteks undang-undang Islam bukannya hanya dari kaca mata undang-undang atau hak asasi manusia semata-mata.

Hak asasi manusia tidak akan bernilai apabila nilai hak asasi itu bertentangan dengan nilai dan undang-undang Islam. Bezanya Islam ialah kita mempunyai undang-undang kita yang berpandukan Al-Quran dan Al-Sunah. Ayuh fahamilah Islam dengan “actualknowledge” bukan hanya secara surface. Islam tidak memusuhi sesiapa.Agenda untuk membentuk satu peradaban bangsa dan negara yang benar-benar utuh dan jitu bukanlah suatu yang mustahil untuk dicapai. Yang penting, hubungan interaktif dan dinamik perlu dimiliki oleh setiap barisan kepimpinan dan cendekiawan negara.

Tahap pemikiran yang cemerlang dengan idea yang bernas dan merentas bidang pengetahuan lain mampu untuk memacu dan membentuk peradaban manusia yang seiring dengan kemajuan intelektual. Golongan intelek perlu diizinkan untuk membentuk persekitaran negara. Namun AUKU ternyata membunuh potensi mahasiswa dan belia yang cerdik pandai yang berada di Universiti.Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 Perkara 20(1) Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia Perkara 10 Kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan jelas menunjukkan bahawa setiap individu (rakyat) mempunyai kebebasan untuk berpersatuan termasuk mahasiswa.

Di bawah AUKU seksyen 15, hak mahasiswa untuk berhimpun secara aman, hak berpersatuan dan hak bersuara langsung dinafikan.Akibat golongan cerdik pandai tidak beroleh upaya untuk membentuk persekitaran, kita melihat antara kelompok yang boleh memelihara dan membentuk suasana adalah kelompok politik.Landskap politik Malaysia jelas menunjukkan hanya ada dua parti politik yang berteraskan keahlian Melayu secara “genuine” adalah antara UMNO dan PAS. KEADILAN tidak boleh dimasukkan dalam kelompok ini kerana parti itu merupakan sebuah parti yang multiracial.
Justeru kepentingan Melayu tidak dapat dibawa melalui parti tersebut.

Membincangkan tentang polimik siapakah yang lebih layak untuk melabelkan diri sebagai pejuang Melayu dan siapakah yang akan menjadi jaguh pejuang Islam akan kita bahaskan. UMNO dan PAS perlu memperakui bahawa perjuangan berasaskan kalimah tauhid adalah perjuangan yang kekal. Percayalah bahawa perjuangan tanpa mengambil kira kalimah tauhid tidak akan kekal.Namun, dalam arena politik Malaysia kita juga perlu memperakui bahawa perjuangan memartabatkan bangsa tanpa menindas bangsa lain juga adalah perjuangan yang tidak boleh dikesampingkan.

Ini bukan bermakna kita mahu berjuang semata-mata kerana bangsa. Islam tidak menuntut untuk kita berjuang hanya semata-mata kerana bangsa tetapi mempertahankan bangsa demi survival agama adalah yang wajib kita cermati dalam konteks politik Malaysia.Kepimpinan yang berjaya untuk menambat hati rakyat ialah kepimpinan yang menegakkan agama serta mempertahankan bangsa dengan membantu bangsa lain juga.

Keadilan sosial perlu diwujudkan melalui keselesaan sosial. Hari ini UMNO yang menjerit mempertahankan Melayu sudah lagi tidak cakna dengan masalah orang Melayu dan PAS yang menjerit tentang negara Islam sudah hilang taringnya untuk melaung dan bertindak menyelamatkan Islam walaupun diakui usaha kedua-dua parti ada. Usaha itu perlu lebih dinamik dan holistik. Anak muda akan bersama dengan kepimpinan yang dinamik dan holistik dalam membawa agenda Islam dan Melayu.Kedua-dua situasi ini berlaku kerana ada saling perkaitan antara UMNO dan PAS.

Perjuangan UMNO untuk bangsa tidak boleh dilihat secara rasialis dan perjuangan PAS untuk Islam tidak boleh ditolak sama sekali dan mengatakan mereka ekstremis agama, tetapi yang menjadi ketidaksefahaman antara penggerak kedua-dua parti ialah UMNO takut kehilangan kuasa jika mengiakan apa jua berkaitan Islam disebabkan kerana kemungkinan ramai pemimpin UMNO tidak berlatarbelakangkan pengajian Islam kecuali Pak Lah. PAS pula terlalu takut untuk membicarakan tentang kepentingan Melayu kerana takut dicop sebagai meniru langkah perjuangan UMNO yang berteraskan bangsa. Adakah memperjuangkan bangsa di samping agenda teras Islam bertentangan dengan agama?

Sebenarnya situasi seperti ini hanya akan merugikan Islam dan bangsa Melayu. Akhirnya UMNO akan tersepit dan PAS juga tidak akan ke mana. UMNO perlu juga menjerit untuk Islam di dalam Parlimen dan PAS juga perlu menjerit tentang Melayu di dalam Parlimen. Kita faham dengan perjuangan Islam adalah merangkumi semua, tetapi cara PAS mempersembahkan pendekatan itu yang perlu lebih holistik dengan mengambil kira demografi Malaysia.Kajian & observasi yang dilakukan jelas menunjukkan 75.7% reponden mahasiswa dan belia Melayu mengatakan bahawa apabila membicarakan tentang agama/Islam adalah berat. Puncanya bukan Islam itu yang salah tetapi pendekatan kita yang kurang sesuai.

Sebab itu PAS selaku parti yang memperjuangkan Islam harus melihat pendekatan Melayu dalam masa yang sama berpegang kepada teras Al-Quran dan Al-Sunah sebagai rujukan utama. UMNO juga perlu begitu, perjuangan bangsa Melayu tanpa mempertahankan agama mereka adalah satu perjuangan yang sia-sia.Jika 50 dahulu tidak ada yang berani mencabar Islam dengan undang-undang disebabkan mereka faham tentang Islam walaupun tidak menerimanya. Namun pada hari ini, ada yang sudah berani mengatakan tidak pada Islam secara terangan.

Di manakah maruah kepimpinan UMNO selaku parti yang memerintah secara bersama dalam BN? Di mana pula peranan PAS. Hilang Islam maka hilanglah Melayu kerana Melayu itu ditafsirkan di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan berbudaya Melayu. Ketuanan Melayu akan hilang apabila generasi muda sudah jauh daripada agama.Fikirkanlah wahai pemimpin. Kita tidak punyai banyak masa.

Di saat generasi muda bangsa lain sudah berfikir secara matang tetapi anak muda Melayu dilalaikan dengan hiburan. Bukan kita melarang langsung hiburan kerana agama juga membenarkannya, tetapi apakah makna hiburan kalau perkara tersebut memusnahkan jati diri, adab sopan dan maruah agama dan bangsa.

UMNO akan boleh bertahan lama jika mempertahankan Islam secara “genuine” dan PAS juga akan bertambah kekuatan “mainstream”nya apabila membawa imej Melayu.Sebenarnya eksperimen ini telah berjaya kita lakukan dalam formula politik kampus. PMIUM telah membawa secara vokal Islam tetapi imej kepimpinan Melayu yang dibawa menyebabkan kepimpinan PMIUM sesi 05/06 telah diterima oleh masyarakat kampus. Pihak pentadbiran begitu “inteam” dengan kita. Kita tidak pernah menggadaikan prinsip kita untuk membawa makruf dan menentang mungkar di kampus. Jika PAS sudah meniru strategi boikot PMIUM, sekali lagi strategi membawa imej Melayu perlu diketengahkan.Sudah tiba waktu PAS untuk memulakan kemenangan di bandar – bandar metapolitan.

Jika UMNO mahu mengekalkan kuasa, bawalah secara jujur agama kita. Ketuanan Melayu bukan tiket untuk kita menidakkan peranan agama dalam perjuangan. Jika tidak mahasiswa dan generasi muda akan menolak parti yang tidak membawa agenda Islam dan Melayu. Kita yakin bahawa formula membawa agenda Islam dan Melayu secara tulen akan membantu membina negara Malaysia yang lebih harmoni dalam erti kata yang sebenar.Keselesaan sosial yang sebenar adalah apabila kita dilayan dengan mengikut hubungan perasaan saling hormat-menghormati sesama manusia. Kepada generasi muda dan mahasiswa, ayuh kita kayakan minda. Kemiskinan minda menjadikan masyarakat kurang kesedaran sosial dan tidak peka dengan keadaan sosial semasa. Keadaan ini menjurus kepada kepincangan sosial.

Kata-kata Prof. Dr. Hamka: Orang yang bersahabat dengan “orang di atas” janganlah takut menyatakan cacat dan kekurangan yang harus diperbaiki. Kerana tiga orang yang beroleh celaka di atas dunia dan diancam oleh bahaya besar iaitu sahabat raja yang tidak mahu menerangkan kepada raja, apa cacat kerajaan. Orang sakit yang tidak mahu menerangkan kepada doktor apa macam penyakitnya. Dan seorang teman yang tidak mahu menyatakan rasa hatinya kepada sahabatnya. Ketiga-tiga orang itulah ialah orang yang khianat kepada dirinya sendiri.Kita sebagai generasi muda jangan sesekali meletakkan diri kita sebagai orang yang khianat pada diri sendiri.

Jika UMNO atau PAS tidak ada upaya untuk melakukan perubahan untuk agama dan bangsa, jangan terkejut jika mahasiswa bangkit menentukan perjuangan ini. Kita pastikan kekaburan yang ada disinari kebenaran dan perjuangan atas landasan politik sempit dilebarkan agar yang berjaya adalah Melayu itu sendiri dan Islam sebagai pegangan abadi.

Salam Perjuangan anak muda.


Mantan Presiden PMIUM 05/06

Mantan Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya 05/06

PAK LAH LANGGAR KONTRAK




Perkahwinan Pak Lah memang cukup sederhana. Majlis pernikahan hanya dihadiri oleh 40 orang ahli keluarga. Namun yang menjadi tanda tanya, mengapa pilihan Pak Lah adalah wanita yang tidak bertudung? Ataupun Jeane Abdullah mahu bertudung selepas berkahwin dengan Pak Lah?Kita selaku mahasiswa mengerti keperluan seorang pemimpin untuk mempunyai teman. Apatah lagi seorang isteri yang akan menjadi pendamping suami. Namun Pak Lah sewajarnya ingat bahawa beliau adalah cucu kepada seorang ulama’. Bapa Islam Hadhari. Adakah Islam Hadhari mengajar kita untuk terlalu liberal? Sebagai rakyat biasa mungkin tidak menjadi suatu yang menjengkelkan sekiranya isteri tidak bertudung walaupun Islam secara jelas telah menyatakan bahawa aurat wanita antaranya rambut itu sendiri perlu ditutup.Namun, sebagai seorang pemimpin nombor satu dalam Malaysia yang beragama Islam, sewajarnya pengganti Allahyarham Datin Seri Endon dipilih daripada individu yang lebih baik daripada penampilan personaliti Datin Seri Endon dalam erti kata mempunyai upaya untuk menunjukkan contoh selaku isteri kepada seorang tokoh yang membawa gagasan Islam Hadhari.Sebagai contoh, lihat sahaja Duli Yang Teramat Mulia Sultan Mizan, isteri baginda menutup aurat dengan memakai tudung. Tudung tidak menghalang isteri baginda untuk menaiki takhta sebagai isteri kepada Yang Dipertuan Agong. Adakah Pak Lah tidak memikirkan perkara ini secara strategik. Kita akui jodoh pertemuan ditangan tuhan, tetapi yang berusaha untuk merealisasikan perkara tersebut adalah manusia. Seperti perkara dosa dan pahala. Manusia ada pilihan untuk memilihnya. Namun akal yang diberikan oleh Tuhan adalah untuk manusia berfikir. Kita berfikir berlandaskan wahyu daripada Allah melalui Al-Quran dan Al-Sunnah.Pak Lah perlu menginsafi bahawa beliau memegang kontrak selaku khalifah. Sebagai Perdana Menteri tanggungjawab itu sangat besar. Perkahwinan juga sepatutnya menjadi tanggungjawab Pak Lah untuk memilih yang terbaik. Bukan sekadar budi pekerti bahkan penampilan personaliti yang lebih Islamik perlu menjadi keutamaan. Bukan kita selaku mahasiswa mahu menilai seseorang berdasarkan penampilan luaran, tetapi selaku pemimpin tertinggi kayu ukur itu berbeza dengan rakyat biasa. Adakah sama kedudukan pandangan masyarakat terhadap seorang isteri rakyat biasa yang tidak bertudung dengan isteri seorang Perdana Menteri yang tidak bertudung yang juga merupakan Bapa Islam Hadhari?Pak Lah masih ada pilihan lagi, beliau boleh mewajibkan isterinya bertudung. Kita selaku mahasiswa menyeru dan menyokong Pak Lah sekiranya boleh membenarkan isterinya bertudung. Selalunya untuk isteri melakukan sesuatu adalah berdasarkan keizinan suami. Adalah molek kiranya isteri seorang Perdana Menteri Melayu Islam memakai tudung. Percayalah bahawa ekonomi dan politik Pak Lah tidak akan hilang hanya disebabkan isteri beliau memakai tudung. Kalau Perdana Menteri punyai kuasa untuk memerintah, apatah lagi untuk memerintahkan isteri supaya menutup aurat yang jelas dituntut oleh Islam.Perkara ini akan selaras dengan agenda Islam untuk semua yang cuba digagaskan oleh Pak Lah. Kontrak selaku orang Islam terutama pemimpin Melayu Islam adalah untuk membawa makruf dan menentang mungkar. Adakah kita tidak rasa bersalah apabila kemungkaran itu dekat dengan keluarga kita dan tidak ada usaha untuk menghilangkan dan menghalang kemungkaran itu daripada terus berlaku? Adalah lebih malang seorang yang lahir dalam persekitaran Islam yang baik seumpama Pak Lah masih lagi ragu-ragu untuk menonjolkan keIslamannya secara kolektif bersama isteri dan anaknya Nori. Perjuangan seorang suami jangan terhalang oleh sikap yang tidak selari yang ditonjolkan oleh ahli keluarga. Mahasiswa cukup yakin, personaliti, kredibiliti dan kesungguhan Pak Lah untuk membawa pendekatan Islam yang lebih menyeluruh akan lebih dihormati kawan dan lawan apabila penampilan fizikal dan personaliti ahli keluarga beliau menunjukkan laras yang sama dengan laungan agenda Islam yang dibawa Pak Lah.Kontrak Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan khalifah jangan dilanggari dengan kegagalan memastikan suasana yang lebih Islamik dalam keluarga dan negaranya. Nabi Adam A.S juga pernah mendapat kontrak daripada Allah S.W.T., tetapi apabila baginda melanggar perintah dan kontrak Allah, maka beliau dibuang daripada syurga. Justeru, Pak Lah harus memikirkan tentang tanggungjawab atas kontrak selaku Pemimpin Melayu Islam dan negara supaya tidak berlakunya perlanggaran kontrak atas usia perjalanan pemerintahannya. Adakah nanti apabila sudah tiada kuasa baru Pak Lah mahu melakukan sesuatu yang lebih Islamik terhadap keluarga dan negaranya?Pak lah perlu menjadi contoh dalam membawa personaliti pemimpin Melayu Islam yang sebenar. Jangan terbawa-bawa dengan gaya lama yang hanya sekadar bercakap Islam dibibir tetapi pelaksanaan terhadap polisi, usaha untuk memartabatkan undang-undang Islam terbiar.Undi bukan Melayu tidak akan hilang dengan hanya Pak Lah mewajibkan isterinya untuk bertudung. Jangan takut kehilangan undi jika pemimpin Melayu Islam mahu membawa perubahan kebaikan untuk Melayu dan Islam bagi keluarga dan negaranya. Berani kerana benar. Pak Lah bukan Tim. Perdana Menteri yang terdesak untuk mengiakan dan bersetuju dengan apa yang salah demi kepentingan untuk menjadi bakal Perdana Menteri, tetapi Pak lah adalah Perdana Menteri yang punyai upaya dan kuasa untuk memimpin. Namun mahasiswa mengingatkan supaya kuasa dan upaya yang ada itu digunakan berlandaskan syariat dan jangan sesekali lupa untuk menegakkan makruf dan menghalang mungkar. Berlumba-lumbalah melakukan kebaikan wahai pemimpin!Fikir-fikirkanlah, tindakan dan perjuangan melakukan kebaikan dan menentang kemungkaran adalah pelaksanaan kepada kata-kata. Walau sekecil-kecil kemungkaran perlu dihalang daripada berlaku. Contohi Yang Dipertuan Agong kita sekarang, isteri baginda bertudung. Jangan terpedaya dengan kata-kata orang lain yang merupakan bisikan syaitan apabila menyatakan orang bertudung tidak semestinya baik. Pemimpin Melayu Islam perlu menonjolkan keduanya, sihat jiwanya dan baik akhlaknya. Akhlak itu adalah cerminan jiwanya. Akhlak itu adalah perlakuan dan personalitinya.