Wednesday, February 6, 2008

Antara MORAL & KRITERIA PEMIMPIN


Kita dikejutkan dengan pengakuan Dr. Chua Soi Lek bahawa beliau adalah lelaki dalam video lucah terbabit. Namun yang lebih menjelekkan kita sebagai anak muda ialah tindakan yang tidak punyai asas oleh MCA Johor untuk mengambil Dr. Chua Soi Lek sebagai penasihat parti MCA Johor.

Kenyataan Khir Toyo (dalam akhbar NST Selasa 15 Jan 08) tentang perilaku moral yang rendah bukan kayu ukur yang jitu dalam menentukan sama ada seseorang itu calon pilihan raya atau tidak adalah satu kenyataan yang amat tidak wajar dan begitu memalukan dikeluarkan oleh seorang ketua negeri. Adakah wajar hanya yang punyai wang dan kuasa sahaja yang patut menjadi calon? Adakah sudah hilang akal pemimpin ini untuk terus mengesampingkan soal moral sebagai persoalan utama dalam pencarian pemimpin? Adakah kemenangan individu lebih penting tanpa memikirkan soal maruah parti? Mahu menang lebih penting atau kemenangan bererti yang dicari? Memenangkan calon tidak bermoral adalah kemenangan yang tidak bermaruah. Mahukah UMNO menjadi parti yang tidak bermaruah? Kita mahu UMNO lebih relevan dengan kehendak nurani rakyat yang masih mahukan kebersihan keseluruhan dalam mengertikan soal kepimpinan. Anak muda mahukan UMNO terus membangunkan negara dan rakyat dalam keadaan kepimpinan yang bersih moralnya. Bersih moral ini yang akan melebihkan pemimpin banyak berfikir tentang rakyat berbanding kantung sendiri. Akan lebih terbangun rakyat di atas keberkatan kebersihan pemimpinnya.

Sekiranya kondisi seumpama ini terus menerus dibenarkan berlaku dalam suasana keterbukaan Malaysia. Jangan nanti kita tidak terkejut dengan corak perlakuan yang lebih keji dari itu bakal dilantik menjadi penasihat bahkan menjadi Presiden parti. Jika dibiarkan maka sudah tidak menjadi peduli rakyat Malaysia dengan kerendahan moral yang berlaku. Jika dibiarkan maka seolah-olah masyarakat Malaysia sedang bergerak mula untuk menerima kekosongan moral dan kerendahan akhlak sebagai pemimpin mereka. Makin dibiar, makin ini bakal dan akan menjadi norma kriteria pemilihan pemimpin.

Selaku generasi anak muda yang mahu melihat Malaysia lebih mampu memacu ke hadapan, kita seakan dan sudah pasti mahu kesedaran ini dihitungkan atas landasan bahawa yang tidak bermoral wajar diketepikan. Yang tidak bermoral harus dihukum. Yang tidak bermoral wajar diperbetul. Bukannya kita mahu yang tidak bermoral terus di atas, yang tidak bermoral lantas dicapai menjadi penasihat. Apakah masyarakat seakan mahu dibuta dan ditulikan anggota mereka? Apakah hinanya masyarakat Malaysia untuk menerima penasihat seumpama ini walaupun untuk komuniti cina. Di mana suara kritis anak muda cina dalam mempersoalan keadaan ini.

Kita sedar anak muda cina lebih terkehadapan berbanding Melayu dalam unjuran kesedaran berpolitik. Apakah soal lantikan penasihat parti ini bukan politik? Sudah seharusnya mereka bangkit untuk menafikan ruang tersebut buat Chua Soi Lek. Ataupun anak muda cina juga agak seronok dengan hayutan gejala sosial ini hinggakan mereka tidak perasan kelongpangan besar dalam isu lantikan Chua Soi Lek sebagai penasihat MCA Johor.

Isu moral UMNO & PAS juga tidak terkecuali. Sama ada yang terpangpang di dada-dada akhbar ataupun di laman web hatta blog itu fitnah ataupun tidak, masyarakat dan yang peka lebih layak untuk menentukannya. Namun apa pun keadaannya, sudah menjadi pilihan kita untuk terus mengatakan tidak kepada kerendahan moral pimpinan. Apatah lagi kepimpinan merupakan amanah yang wajar dipelihara dengan rasa tanggungjawab.

Pemimpin perlu diangkat berasaskan kriteria yang tertentu. Kod etika kepimpinan yang dirangka sesetengah parti adalah wajar untuk dipastikan keberkesanannya. Ahli parti dan rakyat sebenarnya perlu lebih berhati-hati dalam persoalan ini. Mungkin ada kecenderungan untuk meremehkan perkara ini disebabkan yang melakukan keruntuhan moral itu adalah kawan sendiri. Pokoknya, ini bukan persoalan utama sama ada kawan atau lawan. Yang perlu kita berikan perhatian ialah perbersihan menyeluruh parti ataupun platform kepimpinan daripada skandal moral. Kita melihat perkembangan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhamad Muhamad Taib, skandal mendedahkan keburukannya tetapi masih diterima dalam UMNO. Ini semua perlu berubah, jika tidak kedudukan individu seumpama ini dalam UMNO bakal mengundang liabiliti yang parah untuk menjadi henjutan pembangkang walau tidak dinafikan dipihak pembangkang juga ada skandal moral mereka yang tersendiri. UMNO perlu mengelakkan perkara ini daripada berlaku. UMNO punyai upaya untuk mengatasinya. Mengapa begitu sukar untuk membersih?adakah kawan kriterianya?Adakah kawan yang perlu dipertahan walaupun kecundang dimedan dosa? Ataupun prinsip perjuangan UMNO yang lebih murni perlu dipertahankan?

Kesayangan kepada kepimpinan hatta UMNO sekalipun perlu diwajarkan dengan tindakan untuk menidakkan kedudukan dan keberadaan individu seumpama itu dalam UMNO. Mohd Said Yusof (Ahli Parlimen Jasin), isu bocor yang jelas memualkan. Adakah tidak ada akal untuk seorang Ahli Parlimen mengekang mulutnya dari berbicara remeh dan tabu seumpama itu. Situasi serta kewujudan pimpinan yang begitu rupa hanya mengundang jelek dan pandangan serong rakyat kepada kerajaan. Kita percaya untuk mendapat yang sempurna itu tidak mungkin kecuali kesempurnaan Allah dan kitabnya, namun adakah sehingga melupakan kita untuk terus berusaha memilih kepimpinan yang terbaik kerana mereka inilah yang bakal melaksanakan kesempurnaan undang-undang Tuhan dengan mengatur dunia ini sebaiknya.

Kita mahu melihat perubahan, namun perubahan yang kita mahukan ialah yang lebih menjamin perubahan rakyat ke arah yang lebih baik segalanya. Perubahan rakyat akan berlaku dengan perubahan UMNO itu sendiri. Perubahan UMNO akan berlaku apabila kepimpinan UMNO punyai semangat untuk pertahankan rakyat. Pimpinan UMNO mempunyai ruang yang lebih baik untuk merealisasikannya setelah mendapat mandat rakyat lebih 50 tahun. Sama ada 50 tahun akan datang menguntung atau tidak buat UMNO, maka kedaulatan kepimpinan melalui moralnya harus diambil kira. Kemudian maka wajarlah untuk yang diberi amanah dapat membina jambatan kejayaan dengan optimistik daripada masyarakat.

No comments: