Perkahwinan Pak Lah memang cukup sederhana. Majlis pernikahan hanya dihadiri oleh 40 orang ahli keluarga. Namun yang menjadi tanda tanya, mengapa pilihan Pak Lah adalah wanita yang tidak bertudung? Ataupun Jeane Abdullah mahu bertudung selepas berkahwin dengan Pak Lah?Kita selaku mahasiswa mengerti keperluan seorang pemimpin untuk mempunyai teman. Apatah lagi seorang isteri yang akan menjadi pendamping suami. Namun Pak Lah sewajarnya ingat bahawa beliau adalah cucu kepada seorang ulama’. Bapa Islam Hadhari. Adakah Islam Hadhari mengajar kita untuk terlalu liberal? Sebagai rakyat biasa mungkin tidak menjadi suatu yang menjengkelkan sekiranya isteri tidak bertudung walaupun Islam secara jelas telah menyatakan bahawa aurat wanita antaranya rambut itu sendiri perlu ditutup.Namun, sebagai seorang pemimpin nombor satu dalam Malaysia yang beragama Islam, sewajarnya pengganti Allahyarham Datin Seri Endon dipilih daripada individu yang lebih baik daripada penampilan personaliti Datin Seri Endon dalam erti kata mempunyai upaya untuk menunjukkan contoh selaku isteri kepada seorang tokoh yang membawa gagasan Islam Hadhari.Sebagai contoh, lihat sahaja Duli Yang Teramat Mulia Sultan Mizan, isteri baginda menutup aurat dengan memakai tudung. Tudung tidak menghalang isteri baginda untuk menaiki takhta sebagai isteri kepada Yang Dipertuan Agong. Adakah Pak Lah tidak memikirkan perkara ini secara strategik. Kita akui jodoh pertemuan ditangan tuhan, tetapi yang berusaha untuk merealisasikan perkara tersebut adalah manusia. Seperti perkara dosa dan pahala. Manusia ada pilihan untuk memilihnya. Namun akal yang diberikan oleh Tuhan adalah untuk manusia berfikir. Kita berfikir berlandaskan wahyu daripada Allah melalui Al-Quran dan Al-Sunnah.Pak Lah perlu menginsafi bahawa beliau memegang kontrak selaku khalifah. Sebagai Perdana Menteri tanggungjawab itu sangat besar. Perkahwinan juga sepatutnya menjadi tanggungjawab Pak Lah untuk memilih yang terbaik. Bukan sekadar budi pekerti bahkan penampilan personaliti yang lebih Islamik perlu menjadi keutamaan. Bukan kita selaku mahasiswa mahu menilai seseorang berdasarkan penampilan luaran, tetapi selaku pemimpin tertinggi kayu ukur itu berbeza dengan rakyat biasa. Adakah sama kedudukan pandangan masyarakat terhadap seorang isteri rakyat biasa yang tidak bertudung dengan isteri seorang Perdana Menteri yang tidak bertudung yang juga merupakan Bapa Islam Hadhari?Pak Lah masih ada pilihan lagi, beliau boleh mewajibkan isterinya bertudung. Kita selaku mahasiswa menyeru dan menyokong Pak Lah sekiranya boleh membenarkan isterinya bertudung. Selalunya untuk isteri melakukan sesuatu adalah berdasarkan keizinan suami. Adalah molek kiranya isteri seorang Perdana Menteri Melayu Islam memakai tudung. Percayalah bahawa ekonomi dan politik Pak Lah tidak akan hilang hanya disebabkan isteri beliau memakai tudung. Kalau Perdana Menteri punyai kuasa untuk memerintah, apatah lagi untuk memerintahkan isteri supaya menutup aurat yang jelas dituntut oleh Islam.Perkara ini akan selaras dengan agenda Islam untuk semua yang cuba digagaskan oleh Pak Lah. Kontrak selaku orang Islam terutama pemimpin Melayu Islam adalah untuk membawa makruf dan menentang mungkar. Adakah kita tidak rasa bersalah apabila kemungkaran itu dekat dengan keluarga kita dan tidak ada usaha untuk menghilangkan dan menghalang kemungkaran itu daripada terus berlaku? Adalah lebih malang seorang yang lahir dalam persekitaran Islam yang baik seumpama Pak Lah masih lagi ragu-ragu untuk menonjolkan keIslamannya secara kolektif bersama isteri dan anaknya Nori. Perjuangan seorang suami jangan terhalang oleh sikap yang tidak selari yang ditonjolkan oleh ahli keluarga. Mahasiswa cukup yakin, personaliti, kredibiliti dan kesungguhan Pak Lah untuk membawa pendekatan Islam yang lebih menyeluruh akan lebih dihormati kawan dan lawan apabila penampilan fizikal dan personaliti ahli keluarga beliau menunjukkan laras yang sama dengan laungan agenda Islam yang dibawa Pak Lah.Kontrak Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan khalifah jangan dilanggari dengan kegagalan memastikan suasana yang lebih Islamik dalam keluarga dan negaranya. Nabi Adam A.S juga pernah mendapat kontrak daripada Allah S.W.T., tetapi apabila baginda melanggar perintah dan kontrak Allah, maka beliau dibuang daripada syurga. Justeru, Pak Lah harus memikirkan tentang tanggungjawab atas kontrak selaku Pemimpin Melayu Islam dan negara supaya tidak berlakunya perlanggaran kontrak atas usia perjalanan pemerintahannya. Adakah nanti apabila sudah tiada kuasa baru Pak Lah mahu melakukan sesuatu yang lebih Islamik terhadap keluarga dan negaranya?Pak lah perlu menjadi contoh dalam membawa personaliti pemimpin Melayu Islam yang sebenar. Jangan terbawa-bawa dengan gaya lama yang hanya sekadar bercakap Islam dibibir tetapi pelaksanaan terhadap polisi, usaha untuk memartabatkan undang-undang Islam terbiar.Undi bukan Melayu tidak akan hilang dengan hanya Pak Lah mewajibkan isterinya untuk bertudung. Jangan takut kehilangan undi jika pemimpin Melayu Islam mahu membawa perubahan kebaikan untuk Melayu dan Islam bagi keluarga dan negaranya. Berani kerana benar. Pak Lah bukan Tim. Perdana Menteri yang terdesak untuk mengiakan dan bersetuju dengan apa yang salah demi kepentingan untuk menjadi bakal Perdana Menteri, tetapi Pak lah adalah Perdana Menteri yang punyai upaya dan kuasa untuk memimpin. Namun mahasiswa mengingatkan supaya kuasa dan upaya yang ada itu digunakan berlandaskan syariat dan jangan sesekali lupa untuk menegakkan makruf dan menghalang mungkar. Berlumba-lumbalah melakukan kebaikan wahai pemimpin!Fikir-fikirkanlah, tindakan dan perjuangan melakukan kebaikan dan menentang kemungkaran adalah pelaksanaan kepada kata-kata. Walau sekecil-kecil kemungkaran perlu dihalang daripada berlaku. Contohi Yang Dipertuan Agong kita sekarang, isteri baginda bertudung. Jangan terpedaya dengan kata-kata orang lain yang merupakan bisikan syaitan apabila menyatakan orang bertudung tidak semestinya baik. Pemimpin Melayu Islam perlu menonjolkan keduanya, sihat jiwanya dan baik akhlaknya. Akhlak itu adalah cerminan jiwanya. Akhlak itu adalah perlakuan dan personalitinya.
Monday, October 29, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment