Showing posts with label PANDANGAN. Show all posts
Showing posts with label PANDANGAN. Show all posts

Saturday, June 7, 2008

Arah Perjuangan Kita

Salam, terima kasih buat teman-teman yang bertanya tentang soal arah perjuangan saya sendiri. Suka saya jelaskan bahawa sebagai rakyat kita punyai semacam tanggungjawab dan kewajiban intelektual sekaligus moral keagamaan. Dalam perkara menentukan keputusan halatju perjuangan, kita sudah di ajar Islam bahawa ada prioritas yang perlu kita fahami. Kefahaman prioritas dalam agama akan lebih mendatangkan keyakinan buat kita menentukan keputusan. Setiap landasan atau platform hanya sekadar wadah perjuangan. Jalan mana yang mampu untuk kita letakkan Islam di atas maka jalan itu yang perlu kita telusuri. Perlu dijelaskan bahawa dasar perjuangan kita ialah Islam. Maka Islam itu perlu dijadikan landasan perjuangan dalam keadaan kita punyai kekuatan untuk memberi faham kepada yang lain.

Soal keterbukaan untuk memperlihatkan Islam itu moderate perlu diketengahkan. Islam itu mudah tetapi bukan kita mempermudah-mudahkan Islam. Islam itu sudah moderate dan bukan kita memoderatekan Islam. Asasnya Malaysia ini ialah Islam dan bangsa Melayunya. Namun kita menerima kemajmukan itu sebagai perbezaan dan kepelbagaian untuk diraikan. Mungkin dikesempatan yang lain boleh kita bicarakan tentang soal kuasa politik dan kuasa ekonomi di Malaysia.

Soal perjuangan menentang rasuah hanya sebahagian perjuangan yang kita yakin bahawa Islam dan agama-agama lain membicarakan korupsi ini sebagai suatu yang begitu busuk untuk kita libati. Namun walaupun ianya sebahagian, perlu ada rantaian yang mahu memperjuangankan supaya rantai untuk perjuangan yang lebih besar itu ada kesinambungannya. Sudah pasti perjuangan yang lebih besar itu ialah MEMBINA SUASANA YANG LEBIH SEJAHTERA. Islam mempunyai kapasitas ini dalam keadaan ianya perlu diberi faham kepada seluruh rakyat Malaysia. Ini tugasan mahasiswa Islam.

Gerakannya bukan tertumpu kepada pengkaderan tetapi ialah apakah fungsi pengkaderan tersebut. Banyaknya aktivis bukan bererti kita kuat. Intinya penting buat gerakan kita tidak fergile dan rapuh. Gerakan Mahasiswa Islam wajar menggerakkan gagasan FAHAM ISLAM sebagai inti perjuangan. Keterlibatan dalam politik termasuk politik kampus adalah bukan sekadar hanya untuk melatih daya kritis dan kritikal dalam pembentukan jiwa kepimpinannya, tetapi adalah penting buat Gerakan Mahasiswa Islam punyai daya juang yang hidup jiwanya dengan memahami apakah prioritas perjuangan mereka. Mahasiswa perlu menjadi a part and parcel of the hole society.

Jalan sudah direntas oleh perjuanga terdahulu, Rasulullah juga membawa agenda reform. Rasulullah diturunkan buat membawa islah dan perubahan dalam masyarakat. Jika jalan perjuangan sudah direntas, jangan kita tidur, lanjutkan perjuangan reformasi jika kita betul-betul berfikir tentang soal tanggungjawab moral keagamaan. Yang kita dukung ialah prinsip, maka penterjemahan dan pendekatan prinsip adalah berasaskan kefahaman prioritas yang perlu diperdalami.

Salam Hormat & Salam Perjuangan
Nazree Yunus
Jakarta 6.35AM

Tuesday, November 13, 2007

Memacu Pengayaan Minda Dan Perpaduan


Tarikh 5 hingga 9 November 2007 merupakan tarikh yang bersejarah bagi orang Melayu. Tarikh ini merupakan medan bagi hampir 2500 orang perwakilan daripada 190 bahagian dengan setiap bahagian akan diwakili oleh 13 orang perwakilan. Disinonimkan UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO. Namun jangan kita lupa, disinonimkan Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu dalam konteks hubungan pembinaan masyarakat di Malaysia. Namun perkiraan ini mungkin berbeza mengikut perspektif masing-masing.

Ketiga-tiga sayap UMNO telah bersidang kelmarin, Pergerakan Wanita UMNO dengan temanya Perhitungan menempuh 50 Tahun. Pergerakan Pemuda UMNO dengan temanya Pemuda Perjuangan dan Pergerakan Puteri UMNO dengan Temanya Menambah baik sistem sosial masyarakat.

Membicarakan isu-isu yang dilontarkan dalam Perhimpunan agung UMNO kali ini sudah pasti dengan mudah kita dapati bahawa isu pengayaan minda dan usaha ke arah memperkukuhkan perpaduan menjadi teras kepada ucapan, perbahasan dan perbualan para perwakilan dan pemerhati. Isu kemiskinan minda, jiwa dan miskin perjuangan merupakan antara perkara yang sudah disedari oleh para perwakilan untuk diselesaikan.

Namun apabila membicarakan soal pengayaan minda, jiwa dan pengorbanan, sudah pasti keupayaan generasi muda dibentuk bagi membolehkan mereka memenuhi citarasa nilai perjuangan agama, bangsa dan negara merupakan antara perkara yang perlu dititik beratkan. Ilmuwan Indonesia Soedjatmoko dalam bukunya Manusia Indonesia Menjelang Abad ke 21 ada menyebut bahawa “Kekuatan sesebuah negara di masa akan datang tidak bergantung kepada kekuatan ketenteraannya, tetapi akan bergantung kepada kekuatan ekonomi dan keunggulan diplomasinya. Sementara itu kekuatan ekonomi yang menjadi tunggak kekuatan negara itu tidak pula bergantung kepada sumber alamnya atau jumlah penduduknya tetapi akan lebih bergantung kepada kualiti manusianya – kekuatan intelek dan keunggulan wataknya”.

Oleh yang demikian, keupayaan generasi muda untuk bersuara dalam membina minda dan jiwa tidak harus dibunuh potensinya, sebaliknya mereka harus diberikan peluang dan tunjuk ajar sejak awal lagi. Kita cukup yakin dan percaya, selagi UMNO berfungsi menaungi orang Melayu dan rakyat Malaysia. Selagi UMNO berfungsi dan berperanan sebagai tunjang kerajaan. Maka UMNO akan tetap relevan. Di samping itu, faktor kekuatan UMNO untuk mengambil kira persoalan agama dan memastikan kesucian agama Islam dipelihara merupakan antara titik tolak yang akan menentukan survival UMNO.

Slogan UMNO sebelum merdeka ialah ‘Hidup Melayu’. Kemudian bertukar kepada ‘Merdeka’ dan kemudiannya kembali semula slogan UMNO kepada ‘Hidup Melayu’. Generasi muda melihat slogan ‘Hidup Melayu’ ini perlu ditukar kepada ‘Maju Melayu’ sebagai slogan UMNO yang baru. Apabila pemimpin UMNO membicarakan soal pengayaan minda dan minda ke arah perpaduan yang tulen, kita melihat persoalan ini adalah suatu persoalan ke arah untuk membawa kemajuan kepada orang Melayu dalam bentuk yang lebih holistik. Slogan ini juga mampu untuk memberikan satu cetusan semangat yang baru tanpa ada rasa prejudis daripada kaum yang lain. Kemajuan Melayu dalam aspek pengayaan minda, jiwa dan perjuangan merupakan suatu aspek yang perlu kepada sentuhan dinamik bagi menghasilkan penterjemahan yang holistik dalam kehidupan untuk membina tamadun bangsa yang unggul.

UMNO perlu berfikir tentang persoalan untuk membina satu barisan generasi baru Melayu yang mempunyai daya ketahanan dan mampu untuk bersaing dengan kaum yang lain dengan pecutan kemajuan yang optimum. UMNO juga perlu bersedia untuk melahirkan kepimpinan negara yang sedia diterima oleh masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Melahirkan Generasi Baru Melayu ialah melahirkan generasi yang telah mengalami tajdid pembaharuan komitmen, kefahaman dan penghayatan terhadap Islam. Untuk membina suasana tersebut, kita tidak pilihan selain daripada kembali kepada nilai-nilai Islam yang telah mengakar kukuh dalam budaya tradisi Melayu.

Justeru, antara persiapan asas yang perlu diberikan keutamaan umat Melayu secara khususnya dan pimpinan masyarakat Melayu secara umumnya dalam memikul amanah dan tanggungjawab yang suci ini ialah Pertama: Persiapan memperkukuhkan aqidah, pemikiran dan spiritual sebagai unsur utama kebangkitan perjuangan kita. Kedua : Persiapan memperkasakan penghayatan ilmu dan kepakaran mengikut kemampuan, kecenderungan dan tuntutan semasa. Ketiga : Persiapan mengislahkan sikap dan kesatuan ahli untuk membentuk Kesatuan pemikiran dan kesatuan tindakan. Keempat : Persiapan memperkasakan organisasi, strategi dan metodologi. Kita perlu menginsafi bahawa kestabilan politik, ekonomi yang dinamik dan masyarakat yang beretika adalah berlandaskan nilai-nilai Islam yang terbaik.

Persoalan pembentukan minda perpaduan juga adalah harus berasaskan Rukun Negara yang merupakan suatu prinsip bernegara di Malaysia yang diterima umum. Sudah pasti jika kelima-lima Rukun Negara berjaya dihayati oleh semua lapisan masyarakat yang berbilang agama dan bangsa. Permasalahan seperti isu berbangkit artikel 11, kuasa mahkamah Syariah dan hak harta pusaka tidak akan berbangkit antara muslim dan juga yang bukan muslim. Sebelum kita mengimpikan cita-cita meninggi di angkasa, ayuh kita terus menggali ilmu pengetahuan dan mengakarkan budaya bangsa kita yang tulen sebagai suatu persediaan untuk membentuk tamadun yang hebat. Ayuh kukuhkan perpaduan antara kita rakyat Malaysia. Maju Melayu! Maju Melayu! Maju Melayu!Maju Semua!

Monday, October 29, 2007

TABUNG HAJI PATUT SEDIAKAN DANA BIASISWA PENDIDIKAN ATAU PINJAMAN KEPADA GENERASI MUDA



Merujuk kepada akhbar Berita Harian bertarikh 18 Mei, terdapat cadangan daripada Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman supaya disediakan skim pinjaman khusus untuk mengerjakan haji dan umrah bagi menggalakkan generasi muda menunaikan ibadat berkenaan.

Sekilas pandang sudah pasti kita sebagai golongan muda bersetuju dengan cadangan ini.Namun apabila memikirkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi PTPTN Datuk Razali Ismail yang menyatakan bahawa setakat ini, sebanyak 30,484 senarai nama peminjam PTPTN telah dihantar kepada panel peguam yang akan memberikan surat peringatan kepada peminjam-peminjam ingkar tersebut. Mereka ini sudah pasti adalah di kalangan golongan muda.

Beliau berkata pada 1 Dis lepas, pihaknya telah mengemukakan sebanyak 7,800 senarai nama peminjam manakala pada 11 Dis lepas, 22,684 nama pula telah dikemukakan kepada panel peguam untuk diberikan peringatan tersebut. Angka ini cukup membimbangkan. Dana PTPTN begitu kritikal kerana hanya dapat mengutip RM 93 juta daripada RM 420 juta yang patut dibayar oleh para peminjam kepada PTPTN.

Tabung Haji perlu melihat ini sebagai ruang untuk menjadi antara institusi yang boleh membantu. Kita faham tabung haji ditubuhkan di bawah Akta 8, Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969 dengan tujuan untuk membolehkan orang-orang Islam menyimpan secara beransur-ansur bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan fardhu haji atau lain-lain perbelanjaan bermanfaat; Membolehkan orang-orang Islam melalui wang simpanan mereka mengambil bahagian yang lebih berkesan di bidang penanaman modal melalui cara yang halal di sisi Islam; dan Memberi perlindungan, pengawalan dan kebajikan kepada jemaah haji yang menunaikan fardhu haji dengan mengadakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan.

Namun apabila melihat kepada keuntungan Tabung Haji, institusi ini sebenarnya perlu memikirkan peranannya yang lebih besar termasuk membantu generasi muda dalam aspek pendidikan.Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2005, Tabung Haji merekodkan keuntungan selepas zakat RM576 juta iaitu yang tertinggi dalam sejarah penubuhannya, berbanding RM500 juta pada 2004. Merujuk kepada objektif kedua Tabung haji, iaitu untuk untuk memberi ruang kepada orang Islam untuk membuat simpanan melalui bidang penanaman modal secara halal, adakah penanaman modal secara halal ini sekiranya sudah untung ratusan juta ringgit tidak boleh digunakan untuk membangun dan membantu kedudukan kewangan pendidikan.

Di samping membantu orang Islam untuk menunaikan haji dan umrah, bantulah juga generasi muda demi melahirkan umat Islam yang berpendidikan dan tidak menjadi masyarakat yang dikelilingi hutang. Bayangkan, baru sahaja bergraduasi, sudah berhutang puluhan ribu ringgit.Keuntungan itu diraih hasil pendapatan kasar berjumlah RM1 bilion, yang juga angka tertinggi pernah direkodkan sejak penubuhannya yang mencerminkan peningkatan 21 peratus atau RM177 juta daripada tahun sebelumnyaBayangkan, kita boleh pergi menunaikan haji dan umrah, namun tidak ada upaya untuk melangsaikan hutang pendidikan yang ada.

Justeru, skim biasiswa khusus untuk menuntut ilmu perlu menjadi prioriti utama tabung haji sekiranya mahu dibuat juga skim khusus pinjaman haji dan umrah.Perkara yang berlaku ini jelas menunjukkan golongan pelajar yang meminjam ini begitu kekurangan sumber kewangan untuk membayar balik pinjaman PTPTN. Kita faham bahawa hutang itu wajib dibayar, namun dengan bayaran pinjaman sehingga mencecah puluhan ribu ringgit menjadi beban kepada pelajar untuk membayar semula.

Perkara ini tidak akan terjadi seteruk ini sekiranya pihak yang berwajib atau mana-mana pihak menawarkan biasiswa atau paling tidak pun bayaran pembiayaan separuh atau ¾ daripada jumlah bayaran pengajian pelajar. Menuntut ilmu itu wajib, tetapi mengapa pelajar diajar untuk berhutang yang akhirnya menyebabkan mereka terpaksa membayar hutang yang juga menjadi kewajipan untuk dilangsaikan. Pihak-pihak yang mempunyai pegangan aset dan kuasa pegangan ekonomi negara perlu berfikir secara serius perkara ini. Kita hargai usaha serius untuk memastikan peminjam membayar semula pinjaman.

Namun apa yang lebih utama ialah usaha untuk memberi dan membina suatu suasana pendidikan yang boleh membina minda .Tidak salah untuk mencadangkan supaya ada skim khusus untuk menunaikan haji dan umrah untuk generasi muda, tetapi yang lebih utama memahami masalah yang dihadapi oleh generasi muda pada hari ini dalam lapangan pendidikan. Kita sebagai generasi muda tidak mahu ada di kalangan generasi muda yang begitu terbeban dengan kekangan kewangan.

Sebab itu melihat bahawa tabung haji punyai upaya untuk memberikan tawaran skim biasiswa kepada pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran. Tabung haji perlu menjadi perintis untuk memastikan pendidikan dalam negara kita mampu untuk menawarkan pendidikan secara percuma.

Kalau Tabung Haji tidak berminat, kita sarankan kepada institusi yang lain supaya memikirkan perkara ini dengan harapan untuk melihat masa depan yang lebih baik. Kita akui perlu untuk menyediakan akses kemudahan untuk menunaikan umrah, namun keuntungan yang ada juga perlu difikirkan untuk dibelanjakan secara holistik. Apakah ertinya kita boleh buat skim pinjaman tersebut tetapi untuk bidang pendidikan, para pelajar terkontang-kanting.PTPTN telah membelanjakan hampir RM15 bilion untuk memberikan pinjaman kepada lebih kurang 800,000 pelajar untuk membiayai pengajian mereka di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Jumlah ini tentunya banyak berbanding pulangan bayaran balik peminjam. Apabila pandangan ini diberikan sudah pasti akan ada yang menyatakan bahawa sudah banyak institusi yang memberikan bantuan dalam pendidikan, namun persoalannya, kalau sudah terlalu banyak bak cendawan tumbuh, mengapa masih timbul isu puluhan ribu peminjam tidak membayar. Sudah tentu mereka ini adalah termasuk dalam golongan generasi muda. Kalau ini masalahnya, kepelbagaian kaedah bantuan perlu diteruskan.

Setiap institusi dan syarikat korporat dalam negara termasuk institusi berkanun kerajaan perlu bertindak secara dinamik.Buatlah apa sahaja skim untuk kemudahan menunaikan haji dan umrah, namun jangan sesekali membiarkan mereka yang menunaikan haji dan umrah dalam keadaan berhutang tanpa ada satu kaedah yang efektif yang menanganinya.

Sekiranya Tabung haji punya upaya untuk menyediakan skim pinjaman untuk generasi muda menunaikan haji dan umrah mengapa tidak untuk tabung haji juga punyai upaya untuk menyediakan skim biasiswa untuk pendidikan.

Menuntut ilmu itu wajib, fikir-fikirkanlah.