Monday, November 16, 2009

LAPOR SEGERA SPRM DAKWAAN RASUAH S/U POLITIK PM: GERAK

KENYATAAN MEDIA GERAK MALAYSIA
13 NOVEMBER 2009

Gerakan Rakyat Integriti & Anti Korupsi (GERAK Malaysia) menggesa agar YB Wee Choo Keong, Ahli Parlimen Wangsa Maju untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang dakwaan rasuah yang melibatkan Setiausaha Politik Perdana Menteri sepertimana yang dinyatakan oleh beliau di dalam Parlimen dan disebarkan melalui blog peribadi beliau. Gerak Malaysia melihat dakwaan ini suatu bentuk dakwaan yang serius yang perlu diambil perhatian oleh SPRM apatah lagi melibatkan kedudukan Dato’ Shafie Abdullah sebagai setiausaha Politik Perdana Menteri.

Dakwaan-dakwaan seumpama ini boleh merosakkan imej Dato’ Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri yang sering kali menguar-uarkan tentang persoalan integriti. Dalam masa yang sama juga Gerak berpandangan dakwaan oleh YB Wee Choo Keong juga perlu dibuktikan bagi mengelakkan tuduhan tidak berasaskan dilakukan oleh mana-mana pihak.

Gerak berharap agar pihak SPRM dapat mengambil tindakan segera untuk menyiasat dakwaan yang melibatkan salah guna kuasa oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri ini. Kita tidak mahu imej kepimpinan negara tercemar akibat sikap beberapa pimpinan yang mungkin telah memanipulasikan jawatan, kedudukan dan kuasa untuk kepentingan peribadi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu melakukan siasatan dengan adil dan saksama. Isu penderaan saksi dan teknik siasatan ganas SPRM yang telah pun didedahkan oleh saksi-saksi kes rasuah baik daripada parti politik Pakatan Rakyat mahupun UMNO-Barisan Nasional telah menunjukkan bahawa sudah tiba masanya Jawatankuasa Penilai Operasi SPRM menilai dan memberikan garis panduan yang lebih profesional dalam kod etika penyiasatan SPRM.

Sekali Gerak menegaskan agar Ahli Parlimen Wangsa Maju tampil dengan segera untuk melaporkan kepada SPRM untuk membuktikan kebenaran dakwaan beliau dan Gerak Malaysia menyokong penuh usaha tersebut jika dilakukan dengan fakta-fakta dan bahan bukti yang kukuh. Kita tidak mahu isu ini hanya dibangkitkan di Parlimen tetapi tidak ada tindakan susulan yang konkrit. Kita sama sekali tidak akan berkompromi dengan jenayah rasuah. Agenda Gerak Malaysia adalah untuk membudayakan integriti bagi membentuk Malaysia ke arah pentadbiran ‘Good Governance’ dan bebas rasuah.

MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi Gerak Malaysia
pautan 1:
pautan 2: