Monday, March 17, 2008

Pasca Pilihanraya : Arus Baru Politik


Undi Rakyat sudah jelas, protes rakyat sudah jelas dan kemarahan rakyat sudahpun diterjemahkan dalam undi. Namun yang berlaku bukan sekadar protes tanpa haluan, tetapi yang mahu rakyat tunjukkan adalah haluan keluar bagi perosak bangsa dalam UMNO. Ramai lagi yang sayangkan UMNO. Rata-rata anak muda yang memahami sejarah akur pada jasa dan pengorbanan UMNO. Arus baru politik adalah arus KEPEMUDAAN POLITIK. Politik perlu dilayan dengan nafas muda. Biar yang tua berpencak, namun langkah muda yang kita mahu. Rata-rata yang layak mengundi mahu pemimpin yang agresif dalam tindakan politik yang menyentuh tentang jerit payah kehidupan rakyat. Hari ini kita dapat melihat seolah kocakan politik 8 Mac memberikan sedikit petanda bahawa rakyat mahu menguji memberikan kuasa kepada pihak pembangkang menjadi kerajaan di beberapa buah negeri dan menghukum pemimpin yang telah bertindak menjadi tuan kepada rakyat. Rakyat sudah mula melihat kredibiliti pemimpin. Kombinasi keunggulan parti dan calon adalah tiket yang paling hebat yang perlu dimiliki pemain politik. Unggulnya parti adalah ditentukan masa dan ketikanya bila semboyan pilihan raya dibunyikan.

Generasi baru mahu melihat kepimpinan yang naik adalah kepimpinan yang bersih dan lebih cekap untuk melihat permasalahan rakyat sebagai tangungjawab yang perlu diselesaikan. Janji-janji pembangunan semata-mata oleh UMNO dan BN tidak memadai. Rakyat sudah semakin mahu melihat tidak ada jurang yang amat besar antara pemimpin dan rakyat. Rakyat bukan hamba jalanan yang boleh disebat seperti keldai untuk mengikut sahaja acuan pemimpin. UMNO perlu berubah secara menyeluruh. UMNO perlu direformkan. Jangan takut dengan terminologi reform kerana reformlah yang paling sesuai bagi UMNO untuk terus relevan bagi 50 tahun akan datang. Jika UMNO tidak mengubah polisi, budaya dan semangat di dalam BN (Barisan Nasional) dan Umno tidak turut serta untuk berubah dengan radikal, BN dan Umno mungkin tidak akan memerintah lagi bagi 5 tahun akan datang. Mana-mana gerakan atau parti politik yang melakukan reform mengikut acuan politik arus baru, maka parti itu akan terus dominan, relevan dan terus tersemat bersama jiwa rakyat. PAS, DAP, PKR sudah mula melakukan reform. PAS sudah agak longgar bicara negara ISLAMnya walaupun kita tahu agenda itu masih kekal dalam minda mereka. PKR melakukan reform dengan Agenda Ekonomi Malaysia. Lantas DAP terus menyatakan pendirian terhadap kegagalan DEB. Namun yang pastinya apakah nasib Melayu? Bukan tidak mahu bicara soal bangsa lain. Hari ini Cina dan India bicara soal perkongsian kuasa, tetapi tentang soal perkongsian ekonomi di mana jawapan Cina dan India. Pendapatan Melayu paling rendah nisbahnya jika di banding dengan Cina dan India. Boleh sahaja berkongsi kuasa secara hikmah asalkan soal kongsi ekonomipun semua adil disaat orang Melayu sudah berada pada aras yang sama. Kita perlu menginsafi bahawa persamarataan tidak semestinya membawa kepada keadilan. Hari ini persoalan ketuanan Melayu juga mahu tidak mahu harus dibicara secara tertib oleh pemain politik. Ketuanan Melayu adalah persoalan yang masih melingkari asas budaya politik Malaysia. Sejarah perjalanan perkembangan bangsa di Malaysia juga perlu dicermati. Melayu, Cina dan India wajar akur dengan sejarah masing-masing. Jika semuanya faham sudah barang pasti tidak akan wujud situasi mencabar hak bangsa lain. DAP yang agresif tentang ketuanan Melayu perlu untuk kembali membina sistem kepimpinan muda mereka yang lebih bijak bicara soal ketuanan Melayu. Kegagalan untuk memahami dan mendepani isu ketuanan Melayu bakal mengundang musibah besar kegagalan politik DAP untuk masa akan datang. Perlembagaan sahaja sudah cukup untuk menerangkan di mana hak Islam dan orang Melayu serta kedudukan bangsa-bangsa yang lain. Jangan disebabkan terlalu ghairah mahu menunjukkan persamaan kita lebih membina jurang lebar antara kaum. Sekali lagi kita tekankan bahawa persamarataan tidak semestinya membawa keadilan. Satu untuk Melayu, satu untuk Cina dan satu untuk India tidak akan membawa keadilan disaat ada nisbah lain yang lebih adil untuk kepelbagaian kaum termasuk mengambil kira soal ketuanan Melayu.

8 Mac 2008 menyaksikan ramai calon-calon muda dari UMNO, MCA, MIC, PAS, PKR, DAP dan Gerakan yang menawarkan diri untuk bertanding. Generasi Muda meletakkan harapan dan kepercayaan terhadap kepimpinan muda ini. Akhirnya rakyat menunjukkan halaun kepada BN dan UMNO bahawa selain isu kenaikan harga minyak dan barangan keperluan, isu campur tangan keluarga atau menantu dalam pentadbiran mengundang ketidakpercayaan. Kalau campur tangan yang dibuat membawa pemimpin untuk ingat rakyat mungkin lain ceritanya. Tetapi campur tangan yang dibuat hanya membawa pemimpin lupa kepada rakyat. Kita mungkin boleh memuji Khairy atas kecekapannya untuk meniti puncak nikmat dalam UMNO sekelip mata. Tetapi Khairy juga perlu menerima bahawa rakyat juga boleh menolaknya sekelip mata. Ini bukan cerita kelompok minoriti, ini cerita penolakkan Pak Lah disebabkan angkara Khairy sudah menjadi buah mulut rakyat termasuk ahli UMNO sendiri. Kita rakyat Malaysia mahu pemimpin berwibawa. Dari kalangan anak muda mahupun yang sudah meningkat umurnya. Namun prestasi dan keupayaan untuk memimpin dengan hikmah adalah tanda aras yang wajar dipenuhi. Harus bagi mana-mana parti untuk menolak kepimpinan yang lemah. Tidak kira yang lemah itu Presiden, yang lemah itu pemimpin lama dan yang lemah itu pemimpin muda. Mana-mana pemimpin perlu ada asas perjuangannya kerana perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata. Mungkin benar kata Dato’ Onn, “Saya melihat dua gambaran orang Melayu dan salah satu gambarannya adalah gambaran gelap Melayu”. Mungkin ini sudah tiba ketikanya untuk gambaran gelap itu bermula. Mungkin hari ini UMNO yang menghadapinya, tetapi tidak mustahil untuk parti lain seperti PAS, DAP, MIC, MCA dan PKR menghadapinya sekiranya melakukan kesalahan yang sama. Persoalan angkuh untuk mendengar pandangan rakyat akan memakan diri. Rakyat adalah hakim negara semakin terealisasi. Jika ahli UMNO tidak mahu jadi penghukum terhadap pemimpin mereka yang lemah, harus bagi rakyat jadi hakim untuk ahli UMNO dengan menjadikan UMNO bakal tidak relevan bagi 5 tahun akan datang.

Asasnya ialah jangan kita menjadikan parti sebagai lubuk emas semata. Doktrin melihat parti sebagai lubuk emas dan bukannya lubuk perjuangan bakal memakan dan meratah masa depan parti. Ibarat pasir jerlus yang boleh membunuh, cara politik wang, kronisme, nepotisme dan rasuah akan meruntuhkan kepimpinan. Ibnu Khaldun sendiri menyebut runtuhnya tamadun apabila pemimpin dan rakyat mula mengejar kemewahan dunia. Yang patut diajar dan dididik oleh parti ialah keghairahan ahli untuk memperkayakan perjuangan. Bukan kaya dengan kemewahan semata. Apakah nilai parti yang wujud kalau parti yang ada seumpama UMNO sudah menjadi tempat untuk golongan bangsawan dan golongan kaya yang menjadi pemimpin. Ukuran pemimpin dengan berapa banyak kemewahan dan kekayaan yang mereka ada. Sebab itu ahli UMNO sendiri sudah mula hilang rasa kesungguhan untuk berjuang demi parti kerana mereka tahu bahawa tidak ada tempat menjadi kepimpinan UMNO dalam keadaan mereka orang kampung. UMNO bukan lagi parti orang kampung. UMNO hanya untuk golongan korporat yang akhirnya menjadi barah dalam nilai mulia perjuangan parti itu. PAS, PKR, DAP, MCA dan MIC juga bakal berdepan dengan situasi yang sama jika sudah ada sistem feudal purba dan sistem kasta yang diamalkan dalam parti. Prinsip serta nilai parti perlu menjadi kiblat perjuangan.

Masalah anak muda yang namanya Khairy ini perlu kepada pembuktian asas perjuangannya. Mungkin kegagalan membuktikan secara kukuh asas perjuangan dan ke mana halatuju perjuangan sebagai pemimpin muda dalam UMNO menyebabkan beliau ditolak. Jika hari ini Khairy mampu buktikan ketulenan kepimpinan, maka ahli UMNO perlu memberi ruang, jika gagal Khairy buktikannya, penolakan menjadi jawapan penamat kepada Khairy. Jika hari ini ada pemimpin dalam mana-mana parti yang telah menunjukkan tidak ada upaya untuk memimpin,maka ahli partilah yang lebih layak untuk menentukan siapa Presiden atau pimpinan parti. Jika hari ini PAS tewas disebabkan kelemahan Presiden, maka Presiden adalah lebih wajar untuk memberikan ruang kepada orang lain dalam keadaan memahami kelemahan itu berpunca dari karektor individunya serta suku sakatnya. Begitu juga jika berlaku kepada UMNO. Tun Dr. Mahathir juga turun dari takhta UMNO nya apabila petanda dari ahli jelas menyatakan masa yang paling sesuai untuk Tun turun adalah sebelum pilihan raya 2004. Mungkin kali ini giliran Pak Lah untuk turun sebelum pilihan raya 2012/13 bagi mengelakkan suasana menjadi lebih parah.

Tengku Razaleigh sudah pun mengutus surat untuk diadakan mesyuarat khas UMNO. Apakah hari ini ahli UMNO tidak boleh berfikir untuk melihat mesyuarat khas ini sebagai suatu yang penting. Jika pemimpin lama UMNO ini sudah merasai ‘signal’ rakyat terhadap kepimpinan Pak Lah, terlebih lagi ahli UMNO perlu untuk turut bersama bermesyuarah bagi menentukan arah perjuangan UMNO.

Ahli UMNO seharusnya lebih bijak untuk menentukan pemimpin mereka. Ahli UMNO patut lebih bijak membawa gelombang rakyat dan ahli UMNO patut lebih bijak dalam menentukan arah penujuan bangsa kita. Ahli UMNO perlu menilai semula kedudukan Pak Lah, Ahli UMNO perlu melihat kedudukan Naib Ketua Pemudanya dan ahli UMNO patut menilai kedudukan kepimpinan mereka. Kalau mereka ini benar maka bela dan beri sokongan kepada mereka dan jikalau mereka ini salah dan merosakkan UMNO, maka berilah serta buatkan keputusan untuk mereka sama ada undur atau sebaliknya. Hari ini kita bicara soal kepimpinan UMNO kerana kita melihat ada suatu corak merbahaya dalam politik dalaman UMNO selaku parti yang menjadi tunjang orang Melayu. Dan jika hari ini masalah ini melanda PAS juga, maka akan kita bicarakan soal kepimpinan PAS. Ini semuanya bergantung pada kematangan dan kebijakan ahli UMNO membaca gelombang arah penujuan rakyat yang cuba dizahirkan melalui undi dalam pilihan raya ke-12 yang lalu. Arus politik baru lebih memihak untuk mewujudkan kepimpinan yang lebih ada daya kepimpinan amanahnya dan dalam masa yang sama keberanian undi protes ahli mahupun rakyat terhadap parti yang sudah memiliki 50 tahun rekod pemerintahan. Dan kita percaya tidak semuanya undi diberikan kepada BA atau Barisan Rakyat dengan keyakinan terhadap kepimpinan BA. Tetapi perlu diambil peluang kemenangan ini dengan adanya usaha-usaha untuk membuktikan keupayaan memimpin daripada kalangan mereka. Arus politik pilihan raya 2012/20013 adalah penghakiman rakyat terhadap kredibiliti kerajaan BA dan sejauh mana BN kembali mendapatkan keyakinan rakyat melalui pemulihan kepimpinan UMNO yang menjadi teras kepada BN. Perkara yang berlaku ke atas UMNO dan BN pada hari ini akan berlaku kepada BA atau BR apabila pemimpin mula bertindak menjadi tuan kepada rakyat dan rakyat semakin dilupakan.

Nazree Yunus

2 comments:

Che' Ab said...

salam nazree
aku dah kat malaysia
don't know how to contact u
this is my new number
012-2462964
this is my blog
lama dah x menulis sebab xde internet
www.someideas.wordpress.com

Mohd Nazree Mohd Yunus said...

Wassalam,

Alhamdulillah sihat.

Bila berkelapangan boleh kita berjumpe.

No. contact 012-2103891