Showing posts with label KEMAHASISWAAN. Show all posts
Showing posts with label KEMAHASISWAAN. Show all posts

Wednesday, February 6, 2008

Antara MEMANUSIAKAN Rakyat & Mahasiswa


Memanusiakan rakyat seharusnya diambil cakna oleh mereka yang masih boleh mendengar, yang terang matanya dan bersih hatinya. Dalam menentukan arah penujuan bangsa, keputusan penubuhan parti mahasiswa yang diambil oleh lapisan komuniti mahasiswa wajar dipandang dan di bincang serius. Di bincang serius bukan untuk membunuh watak , di bincang serius bukan untuk diancam dan di bincang serius bukan untuk di peleceh watak mahasiswa yang penuh idealisme, tetapi di bincang serius bagi memberikan ruang yang lebih adil dan bermakna buat memanusiakan manusia. Kerana kita percaya dan yakin inilah generasi yang bakal berdiri pada ketika terbit fajar 2020.

Kita melihat, rakyat juga melihat kewajaran hasrat mahasiswa untuk menubuhkan Parti Mahasiswa Nasional (PMN). Kata-kata ancaman untuk menggunakan AUKU adalah kata-kata orang yang angkuh dan sombong. Selagi ada pihak yang memandang sebelah mata terhadap mahasiswa, selagi itu mereka buta. Buta mata mereka, pekak telinga mereka dan cacat anggota mereka. Adakah mereka tidak reti untuk mendengar? Adakah mereka tidak reti untuk melihat? Dan adakah mereka tidak reti –reti untuk berfikir?

Jangan dipandang mahasiswa sebelah mata. Di tangan mahasiswa akan ditentukan wawasan 2020 itu. Di tangan mahasiswa akan ditentukan arah tuju bangsa kita. Jika tidak masakan yang di atas begitu sibuk memantau. Merekalah generasi yang akan membina wawasan itu. Maka jangan runtuhkan mereka dengan pendekatan yang tidak membina dan busuk. Jangan runtuhkan mereka dengan menyempitkan ruang. Jangan sempitkan mereka dengan ugutan dan ancaman. Kelak nanti rosak bangsa kita! Biarkan mereka belajar, biarkan mereka rasai sendiri awalan politik itu dalam kelompok mereka. Apa salahnya untuk mereka menerjah kepada politik luar setalah sekian lama bergelumang dengan politik kampus. AUKU yang ada ibarat gari dalam rumah sendiri. Jangan gari mahasiswa kita, bebaskan mereka, nanti mereka tahu menang kalahnya dalam pilihan raya. Di saat yang di atas sekarang memandang sebelah mata, mereka sebenarnya lupa, pada terbit fajar 2020 kelak, yang ada di atas ini akan merangkak di sana penuh dengan tidak berdaya, tetapi mahasiswa akan bisa berlari pada waktu fajar itu mencerah untuk pagi 2020. Yang tutup sebelah mata maka mereka buta dan akan terhegeh-hegeh pada fajar itu menyingsing tatkala mahasiswa berupaya untuk mendepani dan melihat zaman itu. Mahasiswa perlu didamping, ajak mereka berdamping bukan untuk membodek, tapi ajak mereka berdamping dengan berikan mereka ruang buat memanusiakan diri.

Bukankah PMN itu merupakan didikan awal! Adakah perlu dibunuh platform didikan awal dengan AUKU seperti kuku kejam itu? Adakah tidak perlu tadika untuk politik? Kalau dalam politik tidak boleh kepada tadika, tutup sahaja tadika, kemas, pasti dan taksi yang ada! Apakah takut dengan tadika?apakah takut dengan yang mahu masuk tadika? Apakah level orang yang takut ini? Adakah mereka tidak pernah pergi tadika? Apakah seksyen 15 tidak punyai kontradiksinya dengan Perlembagaan? Di tambah pula para doktorat di kampus yang tidak tahu untuk mengkhabarkan kepada bapak menteri apakah keperluan sebenar mahasiswa! Kenapa takut dengan gagasan idea penubuhan Parti Mahasiswa Nasional (PMN)? Yang takut hanya yang buat dosa. Dosa ada pada bahu mereka, dosa ada pada belakang mereka dan dosa ada di kiri kanan mereka!. Kalau banyak dosa di kiri kanan kelibat sendiripun kita gerun.Apatah lagi kelibat orang lain. Kalu tidak ada dosa dan salah, berikan ruang pada mahasiswa untuk berpolitik dipencak perdana. Jangan sesekali kita kritik kerana kita takut. Tapi kita kritiklah kerana benar. Katakan Tidak pada untuk menghalang platform pendidikan awal politik terhadap mahasiswa ini. PMN adalah platformnya.

Berikan mereka ruang. Jangan miskinkan mahasiswa dengan ruang! Adakah sudah miskin dan tidak punyai apa-apa untuk yang di atas sehingga tidak sanggup untuk memberi kepada mahasiswa ruang! Mereka bukan minta wang tetapi yang diminta ialah ruang?Adakah sudah tidak cukup luas bilik di Putrajaya untuk mentamakkan seseorang bagi tidak memberikan ruang kepada mahasiswa untuk menubuhkan parti?

Jika benar PMN mengancam keselamatan negara, tangkap sahaja mereka!jangan sekadar buang universiti, masukkan mereka ke dalam ISA, sumbat mereka ke dalam! Tapi jikalau sekadar hanya tidak mahu status qou tercalar, bukalah ruang buat mahasiswa berbicara dalam platform yang lebih baik. Biarkanlah mahasiswa menubuhkan parti, biarkanlah mahasiswa bertanding dalam pilihan raya, biarlah jikalau mereka menang ada wakil mereka dalam Parlimen, tidak ada salahnya, jika mereka tidak reti-reti buat kerja, maka tahulah rakyat mahu kerjakan mereka! Maka tahulah rakyat mahu mengajar mereka maka barulah terbukti benar hujah bapak menteri yang ada sekarang.

Ini bukan gimik politik, buat teman mahasiswa, jika mahu tubuh parti pastikan agenda rakyat jadi agenda parti, jika mahu bertanding, maka jadilah calon yang dalam mimpi dan nyata memikirkan tentang soal rakyat!

Bijak bukan untuk menunjuk, berani bukan untuk bergaduh, jalannya biarkan mahasiswa menubuhkan parti dan bertanding. Buat apa mahu takut? Mahasiswa yang ada ini bakal berada pada garisan wawasan 2020 dan selepasnya. Kalau mereka terus dimiskinkan ruang, maka apa lagi yang mahu kita harapkan daripada generasi pada garisan itu. Kaya ruang mereka, kayakan minda dan jiwa mereka. Pada ketika mereka ini kaya, mereka yang lain juga akan lebih kaya dan masyarakat kita akan lebih ada penujuannya dan aturannya. Lepasan garisan 50 tahun kemerdekaan akan diisi oleh golongan mahasiswa dan anak muda yang boleh berdiri penuh iltizam dan hasrat untuk melihat bangsanya maju, makmur dan ada arahnya. Penubuhan parti mahasiswa jika dapat direalisasi akan menjadi kayu ukur iltizam dan semangat mereka untuk membentuk masyarakat. Jangan sekat ruang untuk kita sendiri mengukur iltizam mereka! Salam Perjuangan. Pemberian ruang inilah yang akan lebih memanusiakan rakyat. Ruang buat akal, jiwa, pemikiran dan akhlak mereka.

Mohd Nazree Mohd Yunus

Monday, October 29, 2007

PERANAN MAHASISWA ISLAM PERLU DIPERKASAKAN


Mahasiswa merupakan pewaris kepimpinan negara dan masyarakat. Sejarah membuktikan keperkasaan, keaktifan dan sifat progresif gerakan mahasiswa telah membuahkan hasil yang cukup lumayan bagi sesebuah negara pada masa depan.Mahasiswa dilihat pendokong utama ke arah reformasi masyarakat melalui revolusi dan secara evolusi melalui penyertaan dalam pentadbiran negara. Sebagai anak muda yang mempunyai sifat kreatif, jiwa memberontak dan bersifat tergesa-gesa akan membentuk keperibadian mahasiswa yang menongkah arus dan mempunyai keinginan yang tinggi untuk mengubah sistem yang bobrak dan korup.Mahasiswa pengubah sistem. Itulah mitos mahasiswa dalam perjuangan mereka dan khayalan ini akan disedarkan selepas mereka keluar dari alam kampus.Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) bukanlah wadah pinggiran dalam perjuangan sosial, politik dan dakwah seantero dunia. Di Afghanistan, mahasiswa Islam telah menewaskan golongan Sosialis dalam pilihanraya kampus dan mempelopori penubuhan pasukan pejuang Mujahidin melawan Rusia. Ketua Ikhwanul Muslimin Afghanistan, Ahmad Niazi dan mahasiswa Islam Universiti Kabul mula mengerakkan kelompok pelajar Islam yang dikenali Juanan Muslim (kemudian dikenali Jamiyyah al Islamiyyah) pada tahun 1969.Pada tahun 1972, kelompok pelajar Islam berjaya menguasai kerusi di Dewan Mahasiswa Universiti Kabul dan ia telah menakutkan pendokong Komunis dan Sosialis di Afghanistan. Pada tahun 1975, Mohamad Daud mempenjarakan Ahmad Niazi dan tindakan kejam rejim ini menyebabkan ramai pemimpin pelajar termasuk Rabbani dan dan Sayyaf melarikan diri ke Pakistan. Di Mesir pula, mahasiswa Ikhwanul Muslimin telah berjaya mengalahkan golongan nasionalis di Universiti Fuad I.Di Malaysia, kebangkitan mahasiswa Islamis berputik pada awal tahun 1970an tetapi mula mengancam survival politik golongan nasionalis pada awal 1980an. Bermula awal tahun 1990an, GMI mula mendominasi politik kampus di hampir setiap universiti di Malaysia. Walaupun disekat dengan pelbagai formula, GMI di Malaysia terus meredah ranjau perjuangan semampu yang terdaya.Di sini, penulis menukilkan sejarah awal perjuangan mahasiswa Islamis di kampus untuk memasyarakatkan masyarakat kampus dengan suluhan Islam. Penulis juga memaparkan pengolakkan antara proksi GMI dan kebangkitan dinasti kepimpinan ulama dalam politik kampus.Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) diwujudkan pada pertengahan tahun 1950an hasil inisiatif Syed Muhamad Naquib al Attas, seorang pelajar Islam di Universiti Malaya, Singapura. Walau bagaimanapun, peranan PMIUM mula menonjol dan rancak apabila Universti Malaya berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur. Pada tahun 1960, PMIUM di bawah pimpinan Hussein Ahmad berjaya mendapat tanah untuk Masjid Ar-Rahman yang telah dibina pada tahun 1963.Pada tahun 1962, PMIUM bergabung di bawah PKPIM dengan menubuhkan Badan al Rahmaniah atau Badan Dakwah dan Kebajikan Islam SeMalaysia. Sebelum terlaksananya AUKU, PMIUM adalah badan pelajar berautonomi dan tidak bernaung dibawah PMUM. Justeru, ia bergerak bebas tanpa terikat dengan dasar PMUM yang dikuasai oleh mahasiswa sosialis.Pada tahun 1964, Syed Naquib pulang ke Tanah Air dan menjadi pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu. Kepulangan Syed Naquib merancakkan lagi kegiatan PMIUM apabila beliau cuba menyerap idea ‘faham Islam’ ke dalam pemikiran pelajar. Beliau telah berjaya menangkis hujah yang dikemukakan oleh golongan Sosialis dan Nasionalis dalam beberapa perdebatan ilmiah.Syed Naquib semasa menjadi pensyarah di UM dilihat sebagai mentor kepada pelajar Islamis dimana setelah kuliah ramai pelajar Islamis berkumpul di pejabat atau rumah beliau. Beliau juga merupakan antara tokoh utama mempengaruhi ABIM-PKPIM dan tokoh lagenda gerakan mahasiswa-belia, Anwar Ibrahim. PMIUM cuba melahirkan mahasiswa yang memahami al Quran dan Sunnah yang melaksanakan prinsip Islam dan menyatukan persaudaraan Islam. Pejuangan PMIUM tersebar melalui makalah seperti Suara PMIUM dan Jurnal Sejahtera.PMIUM adalah pertubuhan pelajar pertama beraliran Islamis di negara ini yang ditubuhkan dengan kaedah yang teratur dan diakui mewakili masyarakat pelajar Islam di kampus terulung negara, Universiti Malaya. Pada 27 Jun 1961, ditubuhkan pula Persekutuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu dan ditukar kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam (PKPIM) pada tahun 1963.Sebelum terjelmanya AUKU, PKPIM memayungi persatuan-persatuan pelajar Islam di setiap institusi pendidikan tetapi peranan ini mula terhakis selepas AUKU 1975 mewajibkan persatuan berbentuk gabungan nasional dan dianggotai persatuan mahasiswa universiti tempatan perlu dibubarkan. Semua persatuan mahasiswa perlu berada dibawah kawalan universiti yang dikenali sebagai Hal Ehwal Pelajar [HEP].PKPIM bernasib baik diberi peluang untuk bernafas berbanding rakan-rakan gabungan peringkat nasional seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia [PKPM, ditubuh pada 15 Mac 1958] dan Persatuan Pelajar Asia (ASA) yang telah dimansuh. Aspirasi PKPIM dilanjutkan ke luar kampus dengan penubuhan ABIM pada Muktamar PKPIM ke 10 pada tahun 1971.Peningkatan kesedaran Islam pada awal tahun 1970an telah meletakkan PMIUM sebagai wadah penting dalam perjuangan Islam di kampus. Walau bagaimanapun, PMIUM bukanlah satu kuasa politik yang mendominasi politik kampus sebagaimana Kelab Sosialis semasa zaman keagungan gerakan mahasiswa pada awal dan pertengahan tahun 1970an. PMIUM pada ketika itu bersifat Nasionalis-Islamis yang berjuang untuk kepentingan Islam dan bangsa Melayu termasuk isu bahasa dan kemiskinan.Siddiq Fadil Presiden PMIUM sesi 1972/73 telah berjaya mengikis semangat nasionalisme sempit dan mengarahkan semangat tersebut mengikut perspektif Islam. Kewujudan golongan Nasionalis-Islamis ini mestilah dibuktikan dengan komitmen yang tegas termasuk pelaksanaan Islam sepenuhnya serta mengamalkan amal Islami secara bersungguh-sungguh.Oleh sebab itu, PMIUM cuba menghalang upacara kemaksiatan di Universiti Malaya seperti majlis ball night dan unsur judi dalam pestaria. Galangan bersifat anti-maksiat ini mengakibatkan PMIUM ditohmah dengan pelbagai gelaran termasuk fanatik, antisosial, perkauman, jumud dan taklid buta.Perjuangan Islam PMIUM tidak serasi dengan aktiviti PMUM yang bercorak kebudayaan dan kemaksiatan sehingga berlaku ‘perang dingin’ antara PMIUM dengan PMUM.. Oleh sebab itu, PMIUM disingkir daripada AJK Orientasi sesi 1975/76 dan hanya diterima semula pada sesi 1977/78 tetapi pada sesi 1978/79 sekali lagi PMIUM disingkirkan. Keadaan ini mendorong PMIUM mengubah corak perjuangan dengan memasuki politik kampus agar mereka lebih progresif untuk mengambil alih tampuk pimpinan PMUM.Cubaan pertama PMIUM untuk memenuhi cita-cita siasah dengan meletakkan calon mereka dalam pilihan raya kampus. Pada tahun 1977, PMIUM meletakkan calon mereka iaitu Sidek Baba [pensyarah UIA, orang kuat ABIM], Syed Muhamad Dawilah al Idrus [pensyarah USM], Nasaruddin Abdul Jalil dan Naharuddin Abdullah. Namun, hanya Sidek Baba dan Naharuddin Abdullah yang berjaya memenangi kerusi MPP.Konklusinya, jelaslah bahawa wadah gerakan mahasiswa Islam yang mampu mengepalai pembinaan generasi kepimpinan mahasiswa dan pemimpin masa depan negara yang berpotensi. Karismatik pemimpin mahasiswa Islam wajar digilap dan diberi ruang oleh kerajaan untuk terlibat sama dalam arus perdana perbincangan wawasan pembangunan negara. Pak lah sepatutnya menggunakan kesempatan ini untuk merealisasikan gagasan Islam Hadhari beliau. Peranan mahasiswa Islam perlu meliputi aspek berkaitan soal pendidikan, ekonomi dan sosial masyarakat negara. Mahasiswa Islam wajib tangani permasalah yang berlaku dalam ketiga-tiga aspek itu tadi.

MOHD NAZREE BIN MOHD YUNUS
Matan Yang Dipertua
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya 2005/06