Tuesday, April 29, 2008

Rasuah & Salah Guna Kuasa : Apakah harapan dari Pakatan Rakyat?

Rasuah & salah guna kuasa – Ini terma ciptaan dan kita percaya sudah pun menjadi buah mulut pimpinan Pakatan Rakyat. Sebelum tercipta Pakatan Rakyat lagipun isu rasuah dan salah guna kuasa menjadi peluru untuk menembak bertubi-tubi kerajaan BN.

Hari ini percaya atau tidak lima negeri sudah dalam pentadbiran Pakatan Rakyat hampir 2 bulan. Banyak yang sudah kita dengar. Dalam menilai secara konstruktif kita yakin dan percaya bahawa ada positif dan ada yang kedengaran negatif tentang pentadbiran di negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyat.

Jika sebelum ini kita dengar tentang hentaman hebat soal perilaku rakus Bekas MB Selangor tentang isu setinggan, rasuah dan salah guna kuasa. Hingga hari ini manakah fail dan dokumen jika benar terdapat rasuah dan salah guna kuasa yang dibuat. Di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor pasti dapat mengeluarkan dokumen bukti perlakuan rasuah dan salah guna kuasa tersebut. Ataupun sebenarnya hampir tidak ada salah laku rasuah yang dilakukan. Lazim untuk kita melihat pendedahan adalah akibat terlalu banyak penyelewengan yang dilakukan, namun jika terlalu pasif gerakan pendedahan yang dilakukan maka seolah-olah harapan buat melihat pesalah rasuah dan salah guna kuasa di hukum adalah semakin malap?

Mungkin terlalu licik pimpinan yang lalu hingga tulang rasuah pun tidak dapat untuk dihidu dan dijumpai. Kita generasi baru ingin melihat keberkesanan idealisme di terjemah menjadi kata dan laksana kerana kita yakin bahawa perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata. Jika Anwar Ibrahim dengan laungan Lawan Tetap Lawan, sudah pasti dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa juga tetap komited dengan inti pati makna laungan tersebut.

Jika dahulu kesukaran mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan jitu menjadi halangan, ternyata hari ini dengan ruang sebagai parti yang memerintah keempat negeri baru di tawan ini memudahkan akses untuk meneliti dan membongkar rahsia rasuah pemimpin terdahulu. Adalah mengaibkan jika yang selalu bercakap soal kebenaran dan kini punyai ruang untuk membedah dan merawat penyakit rasuah dan salah guna kuasa dengan kuasa yang ada di tangan dilengah-lengahkan.

Ataupun isu rasuah dan salah guna kuasa secara berleluasa oleh kerajaan terdahulu hanya momokan fitnah pembangkang sebelum ini. Ini bukan tuduhan, tetapi sekadar perkongsian untuk beringat tatkala kuasa dalam genggaman buat merubah apa yang sebelum ini kita klasifikasikan sebagai yang mungkar. Apakah bentuk makruf yang mahu di buat Pakatan Rakyat jika bukan dengan kita membawa yang makruf secara agresif dan secara optimum pelaksanaannya.

Jangan hanya tinggal harapan sahaja buat rakyat untuk melihat para penguasa yang rakus memakan rasuah terus bebas buat seolah-olah diri mereka dimaafkan. Peranan dan tanggungjawab ini perlu lebih dipukul oleh sang penguasa yang telah pun meletakkan diri mereka sebagai pejuang rakyat. Apakah makna pejuang rakyat jika akhirnya apabila berada pada tampuk sang penguasa masih lagi ragu-ragu lagi atau masih kabur untuk menerobos rahsia mungkar pemimpin sebelum ini. Jika ia benar maka selidikilah dan menentukan bentuk pengajarannya. Jika tidak benar, adakah permohonan maaf itu perlu?

Apakah setelah berdaulat maka lain yang dikata maka lain yang di kota? Soal amanah dan kepimpinan adalah urusan besar yang gunungpun tidak tertanggung bebanan ini. Jangan hingga politik haiwan yang menentukan arah penujuan kita. Penyelesaian isu rasuah perlu lebih lantang untuk disuarakan apatah lagi dalam keadaan kerajaan pusat sudah beria menubuhkan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia. Jika tidak, harapan hanya tinggal harapan.

Friday, April 25, 2008

PAS VS DAP : Apa jawapan soal Negara Islam?

Bangsa Melayu dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu telah lama mengisytiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Tanggal keramat itu menandakan telah wujud kembali satu bangsa iaitu bangsa Melayu yang telah dijajah hampir empat setengah abad.

Sejak itu isu negara Islam melingkari perjalanan sejarah Malaysia. Kenyataan Tunku yang pernah mengatakan bahawa Malaysia bukan negara Islam, kemudiannya Tun Mahathir yang pula terhegeh-hegeh mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam. Dan kini Najib pula bercakap soal negara Islam sebelum pilihan raya tempoh hari namun di sanggah pemimpin MCA.

Kini bicara soal negara Islam yang kita percaya menjadi agenda PAS perlu dijelaskan dengan terang lagi bersuluh. Apakah reaksi PAS apabila saranan Karpal Singh supaya PAS menggugurkan agenda negara Islamnya? Apakah hujahan PAS terhadap isu ini? Apakah perlu untuk PAS pula menyatakan DAP perlu menggugurkan agenda Malaysian Malaysia nya?

Perkara ini perlu diperhalusi dalam keadaan keagresifan DAP untuk cuba meremukkan agenda Negara Islam PAS maka tindakan yang berhikmah perlu segera di ambil oleh pimpinan PAS. Ataupun PAS secara sedar telah merasakan bahawa agenda negara berkebajikan yang telah digagaskan oleh PAS dalam manifesto pilihan raya ke-12 merupakan klon kepada pencirian negara Islam yang menjadi agenda parti itu. Mungkin sebab ini PAS tidak terlalu melatah apabila di asak oleh DAP terutamanya Karpal Singh tentang rapuhnya untuk membawa agenda Negara Islam dalam Pakatan Rakyat.

Dalam keadaan Pakatan Rakyat mahu mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap mereka, maka formula terbaik adalah dengan mempotretkan wajah keserasian dalam pakatan tersebut. Namun yang kita lihat hari ini adalah tindakan DAP yang acap kali meracau tentang Negara Islam yang seolah-olah menjadi ketakutan bagi mereka.

Kita pasti racauan DAP ini sebenarnya tidak begitu manis buat Pakatan Rakyat dan hari ini dengan pandangan untuk mempamerkan ketakutan tidak berasas tentang negara Islam hanya akan membuatkan DAP dilihat sebagai begitu paranoid dalam isu ini.

Dipihak PAS pula, suasana suam-suam kuku dalam memberikan penjelasan adalah amat memilukan kita dalam mahu melihat Islam itu yang teratas dan tidak ada yang lebih darinya. Bukan bermakna Islam di atas untuk menindas bahkan ahli politik baik yang Islam ataupun tidak boleh mencermati apa yang telah pun dipatrikan dalam sejarah tentang perjalanan kesyumulan Islam itu sendiri baik dalam pemerintahan, undang-undang, ekonomi, sosial dan politiknya.

Apakah sudah ada kewajaran untuk PAS lebih bertegas dalam isu negara Islam ini? Ataupun PAS melihat ini permainan politik untuk terus suam-suam kuku dalam isu negara Islam? Ataupun umat Islam yang berbangsa Melayu hari ini sudah terlalu lemah hinggakan untuk bicara soal negara Islam dalam negara sendiripun kita seolah-olah terpaksa untuk menekan ‘brek’ sekerap mungkin. Jika ini benar, mengapa terjadi? Mungkinkah disebabkan populasi ataupun komposisi kaum di Malaysia sudah semakin rapat jurangnya hingga tidak banyak beza antara banyaknya Melayu Islam dengan yang non-Muslim. Ataupun kita sudah tidak percaya bahawa hanya agama sahajalah yang boleh membawa manusia ke arah keharmonian yang lebih baik termasuk membentuk rakyat yang hidup secara aman dalam keadaan berbilang kaum.

PAS harus menyatakan ketegasan dalam hal ini. Ketegasan adalah perlu dengan penjelasan. Penjelasan ini perlu kepada ilmu dan kefahaman memahami suasana kondisi politik mutakhir ini. Sama ada PAS akan lebih lantang dalam memperjelas isu Negara Islam gagasan mereka atau akan terus menyepi sama-sama kita nantikan. Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.

Nazree Yunus
Pengerusi Jaringan Pemikir Anak Muda
Institut Kajian Asas Kemasyarakatan (INSKA)

Tuesday, April 22, 2008

PAS Alternatif Parti Melayu : Merubah atau berubah?

SUDAH hampir sebulan berlalu Pilihan Raya ke-12. Sehingga ke hari ini PAS masih lagi gagal dalam meletakkan kewibawaan parti itu pada tahap yang sepatutnya. PAS perlu berada pada suatu tahap prestijnya yang tersendiri.

Ramai anak-anak muda yang mempunyai jiwa yang lebih Islamik agak kecewa dengan prestasi PAS yang sepatutnya lebih dominan dalam politik terkini berbanding PKR. Dalam keadaan pergolakan UMNO yang kian berkocak, agenda permuafakatan Melayu perlu diteliti dengan sehalusnya.

Kita tidak mahu atas nama agenda Melayu ada pihak sama ada UMNO, PAS atau PKR mengambil kesempatan untuk mengkosmetikkan permuafakatan ini.Kita perlu jelas dalam mewujudkan permuafakatan ini ,perlu ada agenda yang membina dan menguntungkan agama Islam, orang Melayu dalam bentuk ketuanannya dan keseluruhan rakyat Malaysia.

Kesepakatan para pemimpin pelbagai kaum dan agama dalam memelihara dan memberikan penghormatan terhadap Islam dan orang Melayu akan memastikan inilah formula yang pastinya akan memberikan pulangan keuntungan kestabilan terhadap negara kita. Keadilan bukan dalam bentuk persamarataan dan ini antara perkara yang perlu dicermati. Adil dalam Islam ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Baik yang Melayu, Cina dan India harus memahami keadaan ini. Kefahaman terhadap konsep keadilan yang sebenar akan membawa kepada sikap masyarakat yang memikirkan soal menunaikan hak dan bukannya menuntut hak apatah lagi untuk menuntut hak dan keistimewaan orang lain.

Hari ini PAS wajar menentukan definisi keadilan dan pandangan serta pendekatan politik PAS berkaitan isu agama Islam, DEB, keistimewaan orang Melayu, soal pendidikan dan kek ekonomi Malaysia. PAS sudah semakin berusia dan adalah menjadi kemestian kematangan PAS itu ditonjolkan dalam bentuk ‘blue print’ yang jelas tentang corak pentadbirannya.

Kita juga mahu melihat PAS menjadi alternatif terhadap UMNO. Kita mahukan ini adalah atas dasar supaya UMNO itu sendiri tidak terlalu alpa dan selesa dengan kedudukan politiknya kerana mereka akan merasakan PAS telah pun menjadi saingan alternatif parti Melayu buat orang Melayu. Pada ketika ini yang untungnya rakyat.

Dalam apa jua keadaan, keuntungan rakyat yang akan kita kehadapankan. Kekuatan politik berlebihan akan membawa kepada keangkuhan politik yang merosakkan. Sebab itu jika PKR juga dalam keadaan kekuatan politik yang berlebihan, maka unsur-unsur keangkuhan politik akan menonjol. Yang ruginya ialah rakyat apabila keangkuhan politik mula merajai jiwa pemimpin.

Hakikat jika PAS mahu menjadi parti Melayu alternatif terhadap UMNO ada relevannya. Gerak kerja perlu dibuat dalam mendekati anak-anak muda terutamanya aktivis mahasiswa di kampus yang semakin terdedah dengan gaya politik masa depan. PAS perlu mendepani Pakatan Rakyat. PAS perlu tegas dalam menyatakan pendirian politiknya. Ketegasan dalam menjelaskan apa yang menjadi halatuju perjuangan politik Islam PAS perlu diterangkan dengan suluhan yang jelas.

Apakah soal kepentingan politik semata-mata menyebabkan banyak bisu berbanding bicara PAS dalam menentukan lebih banyak corak politik Pakatan Rakyat? Ataupun PAS sendiri sudah semakin tidak relevan dalam landskap politik Malaysia seumpama UMNO alami dan rasai dalam PRU-12 tempoh hari.

Mungkin cara politik PKR yang lebih menyentuh jiwa rakyat buat masa kini ataupun situasi ini hanya sementara dan untuk 5 tahun akan datang cara politik PKR ini tidak akan lagi memenangi hati nurani rakyat.

PAS harus sedar, jika mahu dibandingkan dengan PKR atau DAP, PAS adalah satu-satunya parti yang punyai sistem pengkaderan yang mantap dan agak jelas pembinaan karakter kepimpinan muda masa depannya. Namun jika dilihat dalam keputusan PRU-12 kali ini, ada sesuatu yang menggusarkan tentang prestasi PAS walaupun berjaya menambah kerusi namun tewas kepada parti yang setahun jagung seumpama PKR.

Apakah perlu untuk PAS mengubah cara politiknya supaya lebih mirip method politik PKR? Apakah dengan ini PAS mampu untuk merubah kedudukan politiknya?Apa pula nasib PKR yang tidak mempunyai sistem pengkaderan yang strategik?

Orang Melayu hanya tinggal berharap kepada PAS jika UMNO sudah punah dan tidak mampu untuk dipulihkan. Sememangnya ada silap UMNO yang besar kerana tidak menjaga soal survival orang Melayu selama 50 tahun pemerintahannya. Hukuman rakyat sudah diterjemah dalam undi dengan menolak kuasa 2/3 BN di Parlimen.

Namun apakah ini penghukuman atau pengkhianat ataupun kesilapan? Apakah hukuman terhadap kesalahan UMNO dalam membela Melayu tetapi akhirnya yang menerima akibatnya daripada penghukuman tersebut adalah rakyat? Ataupun sebenarnya orang Melayu tidak kehilangan apa kerana yang hilangnya 2/3 kerusi BN adalah daripada hilangnya kerusi MIC, MCA, Gerakan & PPP. Perkara ini perlu kita bentangkan.

PAS harus bangkit dalam mengisi vakum kekecewaan pengharapan orang Melayu terhadap UMNO dengan memperlihatkan keupayaan PAS sebagai parti Melayu alternatif terhadap UMNO. Corak ini tidak nampak ditonjolkan oleh PAS. PAS perlu lebih bijak dalam meletakkan kembali posisinya sebagai parti yang sewajibnya dilihat lebih kukuh dan diterima masyarakat. Soal hari ini PKR mendapat sokongan yang lebih banyak daripada rakyat adalah soal kedua.

Persoalan utamanya ialah PAS perlu berada pada tahap itu dengan melihat komposisi kepimpinan PAS yang kebanyakan Melayu dan lebih mulianya lagi ada kecenderungan untuk membela dan prihatin terhadap agama Islam. Ataupun UMNO akan melakukan ‘comeback’ dalam dengan melakukan reformasi menyeluruh parti itu.

Reformasi dalam UMNO mungkin berlaku melalui permuafakatan dengan PAS. Siapa akan mengikut? Mungkinkah PAS akan memasuki UMNO ataupun hasil muafakat akan membawa UMNO untuk memasuki PAS. Ini juga perkembangan politik yang menarik untuk kita nantikan.
Apa pun yang terbaik ialah bermuafakat atas dasar iman dan taqwa. PAS dan UMNO bermuafakat demi kepentingan Islam dan Melayu. Wajarnya ialah perlu ada kepimpinan dalam kedua-dua parti yang ikhlas. Jika sekadar gimik politik dan sekadar usaha untuk memanipulasi orang lain, baik PAS dan UMNO lupakan sahaja hasrat muafakat ini.

Setelah sekian lama PAS menyepi dari bercerita tentang soal Melayu, Kenyataan Tuan Guru Hj. Hadi Awang tentang Melayu adalah amat penting disambut oleh kepimpinan PAS yang lain. Jika PAS tidak merubah dan menentukan politik Malaysia, tidak menjadi suatu yang mustahil PAS yang akan berubah dan bakal mengikut sahaja apa arus politik yang berlaku dalam negara.

Kita tidak mahu PAS terlalu lemah dalam Pakatan Rakyat dan juga kita tidak mahu UMNO lemah dan tidak prihatin tentang survival Melayu Islam di Malaysia. Kedudukan Islam, Melayu dan rakyat Malaysia perlu menjadi keutamaan jika PAS, UMNO atau PKR mahu mencipta satu bentuk suasana yang lebih kondusif terhadap situasi politik tanah air. Situasi keadaan politik hari ini sebenarnya masih banyak kegoyahannya.

Situasi mungkin merubah pandangan alam politik kita jika majoriti Cina dan India adalah mereka yang berakidah dengan akidah Islam. Apa pun kebebasan beragama masih kita hormati dalam keadaan realiti Malaysia hari ini. Survival Islam dan Melayu ada di tangan PAS jika UMNO sudah semakin dilupakan rakyat terutamanya orang Melayu. Dan orang Melayu akan bersama UMNO kembali jika PAS tidak menunjukkan ciri alternatif yang lebih baik dan PKR pula terlalu banyak bercakap soal kesamarataan berbanding keadilan.

Nazree Yunus

Pengerusi Jaringan Pemikir Anak Muda

Institut Kajian Asas Kemasyarakatan (INSKA)

Monday, March 31, 2008

Kedah : Mampukah jadi Serambi Mekah 2?

Hari ini majoriti kepimpinan atau ADUN Kedah adalah wakil rakyat PAS yang kuat pegangan agamanya. Jika kita mahu membicarakan soal mengambil contoh Kerajaan Kelantan maka apakah usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Kedah? Kerajaan Kedah perlu meniliti perkara ini dengan serius jika mahu menampakkan kekuatan serta melakukan suatu bentuk pendekatan yang menjaga rakyat daripada aspek pengawalan sikap, akhlak dan moraliti. Tidak ada salahnya Kerajaan Kedah bercita-cita mahu melaksanakan agenda ini. Agenda yang lebih rapat dengan pelaksanaan hukum-hukum Islam adalah perlu diberikan keutamaan terhadap corak kepimpinan Kerajaan Kedah.

Persoalan yang mahu kita bicarakan adalah apakah mampu Kerajaan Kedah menjadi Serambi Mekah yang kedua selepas Kelantan? Dendangan ini amat perlu untuk direalisasikan. Sewajarnya perkara ini menjadi agenda Kerajaan Kedah yang majoritinya rakyatnya adalah beragama Islam. Isu penutupan pub, kelab-kelab malam dan apa jua bentuk hiburan serta lorong-lorong yang boleh meruntuhkan akhlak dan moral rakyat terutamanya yang Melayu Islam adalah wajar untuk ditutup dalam keadaan kekuasaan kepimpinan yang beragama duduk di atas.

Kerajaan Kedah mungkin boleh memikirkan adakah perlu untuk mereka meniru gaya dan pendekatan Kerajaan Pulau-Pinang, Kerajaan Perak atau Kerajaan Selangor? Pimpinan Kerajaan Kedah perlu membahaskan perkara ini. Kita bukan mahu menentukan acuan pentadbiran Kerajaan Kedah secara mutlak tetapi sekadar lontaran perkongsian yang kita rasakan perlu untuk dilihat, di bicara dan diteliti oleh pimpinan Kedah. Kita yakin dan percaya atas dasar mahu melihat suatu bentuk pelaksanaan pemerintahan Kerajaan Kedah yang baik, tidak dapat tidak para pemimpin Kerajaan Kedah perlu lebih cakna tentang persoalan Islam. Lebih-lebih lagi dalam keadaan Kerajaan Kedah diterajui oleh kepimpinan PAS.

Soalnya pada saat ini ialah keberanian Kerajaan Kedah untuk menjadikan pendekatan Islam, menggubal undang-undang Islam yang dalam ruang lingkup kerajaan negeri, soal kawalan hiburan melampau dalam lokaliti wilayah Kedah yang rata-ratanya penduduk Melayu beragama Islam. Kita harus faham, dalam ketika mahu juga melaksanakan agenda pembangunan, Kerajaan Kedah perlu mempunyai agenda fokus mereka yang tersendiri. Agenda utama ini yang akan menampakkan kekonsistenan Kerajaan Kedah terhadap Agenda Islam.

Kita bicara atas kapasiti keseluruhan pimpinan Kedah adalah Islam, majoriti rakyat juga adalah Islam. Sudah pasti keuntungan saham akhirat perlu disediakan oleh pimpinan dengan memberi ruang mewujudkan suatu bentuk suasana yang lebih Islamik terhadap rakyat di Kedah. Kita menantikan apakah komitmen bercorak Islamik oleh Kerajaan Kedah dan dalam masa yang sama juga soal kebajikan rakyat terpelihara. Kita juga menantikan apakah pengumuman corak pentadbiran Islamik yang serius oleh Kerajaan Kedah akan mengundang kekalutan rakyat yang bukan Islam di Kedah? Ataupun Kerajaan Kedah ada pendekatan fokus kepimpinan mereka yang tersendiri. Yang pasti corak itu tidak akan sama dengan apa yang telah berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia. Kita nantikan komitmen Kerajaan Kedah untuk merealisasikan Kedah: Serambi Mekah ke-2.

Mohd Nazree Mohd Yunus
Pengerusi Jaringan Pemikir Anak Muda
Institut Kajian Asas Kemasyarakatan

Tuesday, March 25, 2008

Pemuda UMNO: Mengembalikan Keyakinan dalam Fenomena Baru & Generasi Baru


Melihat kepada suasana politik yang ada, kita dapat jangkakan memang akan ada arus perubahan rakyat dalam pola dan ‘trend’ pengundian dalam Pilihanraya yang ke-12 tempoh hari. Cuma yang perlu kita tegaskan bahawa pola pengundian yang begini akan kekal bagi 5 tahun akan datang dan tahun-tahun berikut yang berlaku pilihan raya jika UMNO yang ada pada hari ini kekal dengan sifat dan kedudukan lemahnya dalam memahami dan mendepani cabaran. UMNO perlu lebih berani mengetengahkan cadangan penyelesaikan yang mampu menguntungkan agama, bangsa dan negara. Jika memantapkan parti dengan mengekalkan kepimpinan sedia ada adalah yang terbaik buat rakyat, maka dialu-alukan pengekalan tersebut. Namun jika yang lebih pasti untuk membaiki UMNO dengan melakukan penolakan drastik terhadap kepimpinan tertentu,maka ini juga tindakan yang perlu tidak dapat tidak dilaksanakan oleh UMNO. UMNO pada hari ini lebih perlu melihat kepada suara rakyat yang mahukan perubahan ‘total’ dalam UMNO itu sendiri.

Kejelasan serta pengamatan daya politik yang lebih menyeluruh dan matang perlu dibina dan disegarkan semula dalam kepimpinan UMNO. Sudah pasti patform kepemudaan UMNO perlu kepada ‘re-enginering’ dengan memasukkan suntikan peranan ‘check & balance’ pemuda UMNO yang lebih berkesan. Hari ini Pemuda UMNO tidak ubah umpama pasukan sorak atau ‘pom-pom boy’ yang dilihat tidak mampu untuk mencetuskan minat dikalangan anak muda generasi muda untuk terlibat di dalam Pergerakan Pemuda UMNO. Pergerakan Pemuda UMNO tidak lagi dapat bergeraka atas kapasiti lantang dan matang dalam memulihkan keyakinan dan sedikit sebanyak menentukan halatuju yang lebih dinamik buat UMNO.

Dinamika masyarakat Melayu yang pada hari ini sudah mula lebih banyak terdedah kepada pengamalan Islam secara hikmah sudah melihat kehilangan tokoh dalam UMNO yang mampu memberikan sedikit keyakinan atas asas yang mampu untuk menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara. Hari ini UMNO atau mana-mana parti yang bercita-cita mahu memimpin dalam kapasiti yang mampu untuk meraih sokongan rakyat adalah perlu dengan seberapa segera untuk membina barisan kepimpinan pelapis yang punyai jiwa dan halatuju perjuangan. Golongan anak muda intelek dari universiti adalah antara barisan generasi baru yang bakal untuk mengisi ruang kemasyarakatan yang ada dan mereka ini telah pun menterjemahkan undi mereka dalam PRU-12. Analisis corak pola pengundian mereka akan kita ketahui pada bulan September ini dan apakah mereka ini punca kegagalan BN untuk memerintah dengan majoriti 2/3 dan hilang 4 negeri baru. Sama-sama kita nantikan apakah yang akan berlaku di seluruh kampus tanah air setelah berlangsungnya pilihan raya kampus pada September nanti. Kita sudah dapat membaca ‘trend’ pengundian mahasiswa di kampus di saat-saat sebelum berlangsungnya pilihan raya umum adalah suatu bentuk ‘trend’ yang ada signifikannya.

Kuasa kepimpinan mahasiswa yang sudah bergelumang dengan politik kampus akan mempengaruhi anak-anak buah mereka bagi menjuruskan pemilihan kepimpinan kepada wadah politik yang mereka mampu untuk berikan keyakinan. Antara agenda penting mana-mana kepimpinan terutamanya sayap-sayap kepemudaan parti ialah perlu ada suatu bentuk inisiatif yang strategik dalam memperkasakan sayap kepemudaan masing-masing. Parti dan kepimpinan politik akan mampu untuk diperkasakan bagi mendepani cabaran dan seterusnya mengembalikan keyakinan apabila ruang dalam kepimpinan parti di buka dengan cara yang ikhlas dalam mendidik generasi baru.

Kita perlu sedar bahawa generasi pemuda yang berumur 15-20 tahun ketika laungan merdeka oleh Tunku Abdul Rahman adalah mereka yang telah berusia 65-70 tahun pada saat ini. Kebanyakkan mereka sudah tidak mempunyai upaya untuk mengundi mungkin barangkali sudah meninggal dunia ataupun tidak keluar mengundi. Pengundi agresif yang keluar mengundi adalah di kalangan mereka yang berusia 20an ke atas dan kebanyakkan mereka ini adalah yang lahir selepas daripada 1970. Golongan ini tidak merasa sentimen yang begitu kuat terhadap UMNO dalam isu perjuangan kemerdekaan, tetapi yang dilihat oleh golongan generasi baru ini ialah Krisis UMNO pada tahun 1987 sehingga membawa kepada pengharamannya dan juga Reformasi 1998 yang juga bermula dengan krisis kepimpinan dalaman UMNO antara Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim. Laungan slogan kerajan bersih, kerajaan beramanah, kerajaan adil dan kerajaan yang memberikan kebebasan bersuara dan berhimpun adalah antara slogan-slogan yang cucuk dengan jiwa generasi baru.

Keperluan kepimpinan yang memerintah adalah perlu dengan sedaya upaya untuk menunjukkan kebersihan kepimpinan, amanah, adil dan memberikan kebebasan yang tepat pada definisi masyarakat generasi baru yang ada. UMNO atau BN perlu mengembalikan keyakinan rakyat jika punyai cita-cata mahu mengembalikan sokongan rakyat terhadap mereka. Keyakinan rakyat generasi baru akan hadir dalam erti kata keperluan kemasyarakatan yang telah berubah pada hari ini dipenuhi. Kepentingan kualiti kepimpinan sudah mula diukur bukan pada tahap material dan kekuatan untuk melakukan pembangunan fizikal semata-mata.

Dalam komitmen mahu melakukan perubahan, UMNO perlu untuk membawa suara Pergerakan Pemuda mereka kembali bertaring seperti zaman tokoh-tokoh pemuda UMNO yang telah membawa perubahan yang meyakinkan rakyat terhadap halatuju perjuangan mereka. Adakah hari ini UMNO tidak cemburu kepada parti-parti lain yang sentiasa masih subur dan sedang giat untuk terus memperkasakan sayap pemuda sebagai antara platform yang boleh menunjukkan arah masa depan kepimpinan parti.

UMNO wajar merenung sejarahnya, UMNO telah mengembangkan pengaruhnya ke setiap pelosok kampung, mukim, daerah dan negeri dengan cara menubuhkan cawangan-cawangan baru. Setiap orang Melayu di harap menjadi anggota UMNO dan tenaga yang amat perlu diberi perhatian ialah golongan remaja dan anak-anak muda Melayu.

Merenung kata-kata Dato’ Onn Jaafar,” Tujuan utama penubuhan Pemuda ialah untuk menyediakan golongan muda hari ini dan masa akan datang dengan peluang-peluang yang terbuka luas bagi membolehkan mereka melengkapkan diri untuk memainkan peranan yang aktif dan sentiasa mengambil tahu terhadap hal ehwal yang berlaku di dalam negara dan juga luar negara”.

Atas kesedaran dan penuh keinsafan ini, Pemuda UMNO perlu bergerak melepasi sempadan sekadar hanya menjadi pasukan sorak dalam institusi parti itu. Pemuda UMNO perlu bangkit dengan jiwa dan semangat perjuangan yang tulen demi agama, bangsa dan negara. Rujukan zaman kepemudaan Tun Sardon Zubir, En. Senu Abdul Rahman, Dato’ Harun Idris, Haji Suhaimi dan Anwar Ibrahim adalah antara jangaka masa gemilang yang mampu untuk menarik minat golongan muda.

Dalam kesedaran ini, kita melihat bahawa gerakan ‘Revolusi Mental’ yang bertujuan untuk “memberi kesedaran kepada pemuda-pemuda khasnya dan anggota-anggota UMNO amnya akan peri mustahaknya perubahan fikiran yang cepat sesuai dengan perubahan-perubahan pembangunan yang telah sedia dilalukan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Kita perlu akur bahawa keperluan masyarakat sudah berubah. Adalah harus terus menerus dan dengan cekap bagi UMNO untuk memastikan parti itu tetap segera untuk beradaptasi dengan perubahan-perubahan yang berlaku yang juga dalam lingkungan percaturan kepimpinan mereka. Jika hari ini ada parti lain yang lebih cepat untuk menyerap dalam perubahan, maka tidak menjadi salahnya jika parti itu yang diberikan mandat oleh rakyat dalam pilihan raya tempoh hari.

Jika menelusuri sejarah, pemilihan Dato’ Abdul Razak sebagai Ketua Perikatan Pemuda pada Ogos 1955 adalah kerana pertimbangan dua faktor. Faktor yang pertama ialah sikap feudal yang sedia ada pada orang Melayu pada ketika itu. Dato’ Abdul Razak adalah seorang aristokrat Melayu pada ketika itu dan mempunyai ciri-ciri kebangsawanan yang menepati ciatarasa feudal masyarakat Melayu. Faktor kedua ialah beliau merupakan seorang birokrat Melayu yang sudah pun mencapai kedudukan tinggi dalam pentadbiran. Namun kita menginsafi bahawa kedua-dua faktor ini bukanlah suatu faktor yang terus menerus akan relevan dalam struktur kepimpinan UMNO. Kegagalan pemecahan sistem kepimpinan feudal dengan hanya menjadikan UMNO parti kerabat eksklusif akan menyebabkan UMNO tidak lagi menjadi parti rakyat yang bertakhta dalam landskap politik tanah air.

Untuk itu, perubahan untuk mengembalikan keyakinan adalah amat wajar untuk dimulakan dalam sayap pemuda. Pemuda perlu diberi nafas baru, pemuda perlu diberi keyakinan baru dan pemuda perlu mencorak fenomena baru dengan membawa generasi baru. Buat parti lain yang mampu untuk menterjemahkan perkara ini, untungnya akan hadir dalam kantung politik masing-masing.

Pemuda perlu bertindak seumpama ‘kumpulan halia’ (ginger group) bagi membawa memberi imej bahawa Pemuda UMNO akan terus menjadi golongan pendesak tetapi teguran-teguran akan dikemukakan secara halus dan dapat diterima oleh pucuk pimpinan. Pemuda UMNO perlu menjelmakan imej antara konservervatif dan radikal. Kebijakan untuk berwasatiah dalam perjuangan serta pendekatan politik yang menguntungkan agama, bangsa dan negara akan membawa parti itu ke arah suatu kuasa kepimpinan yang mampu mencorakkan tamadun yang bermakna buat rakyat. Pemuda UMNO perlu memikirkan persoalan ‘Revolusi Minda’ dalam mengembalikan keyakinan generasi baru dalam fenomena baru politik tanah air.

Mohd Nazree Mohd Yunus
Pengerusi Jaringan Pemikir Anak Muda
Institut Kajian Asas Kemasyarakatan

Monday, March 17, 2008

Pasca Pilihanraya : Arus Baru Politik


Undi Rakyat sudah jelas, protes rakyat sudah jelas dan kemarahan rakyat sudahpun diterjemahkan dalam undi. Namun yang berlaku bukan sekadar protes tanpa haluan, tetapi yang mahu rakyat tunjukkan adalah haluan keluar bagi perosak bangsa dalam UMNO. Ramai lagi yang sayangkan UMNO. Rata-rata anak muda yang memahami sejarah akur pada jasa dan pengorbanan UMNO. Arus baru politik adalah arus KEPEMUDAAN POLITIK. Politik perlu dilayan dengan nafas muda. Biar yang tua berpencak, namun langkah muda yang kita mahu. Rata-rata yang layak mengundi mahu pemimpin yang agresif dalam tindakan politik yang menyentuh tentang jerit payah kehidupan rakyat. Hari ini kita dapat melihat seolah kocakan politik 8 Mac memberikan sedikit petanda bahawa rakyat mahu menguji memberikan kuasa kepada pihak pembangkang menjadi kerajaan di beberapa buah negeri dan menghukum pemimpin yang telah bertindak menjadi tuan kepada rakyat. Rakyat sudah mula melihat kredibiliti pemimpin. Kombinasi keunggulan parti dan calon adalah tiket yang paling hebat yang perlu dimiliki pemain politik. Unggulnya parti adalah ditentukan masa dan ketikanya bila semboyan pilihan raya dibunyikan.

Generasi baru mahu melihat kepimpinan yang naik adalah kepimpinan yang bersih dan lebih cekap untuk melihat permasalahan rakyat sebagai tangungjawab yang perlu diselesaikan. Janji-janji pembangunan semata-mata oleh UMNO dan BN tidak memadai. Rakyat sudah semakin mahu melihat tidak ada jurang yang amat besar antara pemimpin dan rakyat. Rakyat bukan hamba jalanan yang boleh disebat seperti keldai untuk mengikut sahaja acuan pemimpin. UMNO perlu berubah secara menyeluruh. UMNO perlu direformkan. Jangan takut dengan terminologi reform kerana reformlah yang paling sesuai bagi UMNO untuk terus relevan bagi 50 tahun akan datang. Jika UMNO tidak mengubah polisi, budaya dan semangat di dalam BN (Barisan Nasional) dan Umno tidak turut serta untuk berubah dengan radikal, BN dan Umno mungkin tidak akan memerintah lagi bagi 5 tahun akan datang. Mana-mana gerakan atau parti politik yang melakukan reform mengikut acuan politik arus baru, maka parti itu akan terus dominan, relevan dan terus tersemat bersama jiwa rakyat. PAS, DAP, PKR sudah mula melakukan reform. PAS sudah agak longgar bicara negara ISLAMnya walaupun kita tahu agenda itu masih kekal dalam minda mereka. PKR melakukan reform dengan Agenda Ekonomi Malaysia. Lantas DAP terus menyatakan pendirian terhadap kegagalan DEB. Namun yang pastinya apakah nasib Melayu? Bukan tidak mahu bicara soal bangsa lain. Hari ini Cina dan India bicara soal perkongsian kuasa, tetapi tentang soal perkongsian ekonomi di mana jawapan Cina dan India. Pendapatan Melayu paling rendah nisbahnya jika di banding dengan Cina dan India. Boleh sahaja berkongsi kuasa secara hikmah asalkan soal kongsi ekonomipun semua adil disaat orang Melayu sudah berada pada aras yang sama. Kita perlu menginsafi bahawa persamarataan tidak semestinya membawa kepada keadilan. Hari ini persoalan ketuanan Melayu juga mahu tidak mahu harus dibicara secara tertib oleh pemain politik. Ketuanan Melayu adalah persoalan yang masih melingkari asas budaya politik Malaysia. Sejarah perjalanan perkembangan bangsa di Malaysia juga perlu dicermati. Melayu, Cina dan India wajar akur dengan sejarah masing-masing. Jika semuanya faham sudah barang pasti tidak akan wujud situasi mencabar hak bangsa lain. DAP yang agresif tentang ketuanan Melayu perlu untuk kembali membina sistem kepimpinan muda mereka yang lebih bijak bicara soal ketuanan Melayu. Kegagalan untuk memahami dan mendepani isu ketuanan Melayu bakal mengundang musibah besar kegagalan politik DAP untuk masa akan datang. Perlembagaan sahaja sudah cukup untuk menerangkan di mana hak Islam dan orang Melayu serta kedudukan bangsa-bangsa yang lain. Jangan disebabkan terlalu ghairah mahu menunjukkan persamaan kita lebih membina jurang lebar antara kaum. Sekali lagi kita tekankan bahawa persamarataan tidak semestinya membawa keadilan. Satu untuk Melayu, satu untuk Cina dan satu untuk India tidak akan membawa keadilan disaat ada nisbah lain yang lebih adil untuk kepelbagaian kaum termasuk mengambil kira soal ketuanan Melayu.

8 Mac 2008 menyaksikan ramai calon-calon muda dari UMNO, MCA, MIC, PAS, PKR, DAP dan Gerakan yang menawarkan diri untuk bertanding. Generasi Muda meletakkan harapan dan kepercayaan terhadap kepimpinan muda ini. Akhirnya rakyat menunjukkan halaun kepada BN dan UMNO bahawa selain isu kenaikan harga minyak dan barangan keperluan, isu campur tangan keluarga atau menantu dalam pentadbiran mengundang ketidakpercayaan. Kalau campur tangan yang dibuat membawa pemimpin untuk ingat rakyat mungkin lain ceritanya. Tetapi campur tangan yang dibuat hanya membawa pemimpin lupa kepada rakyat. Kita mungkin boleh memuji Khairy atas kecekapannya untuk meniti puncak nikmat dalam UMNO sekelip mata. Tetapi Khairy juga perlu menerima bahawa rakyat juga boleh menolaknya sekelip mata. Ini bukan cerita kelompok minoriti, ini cerita penolakkan Pak Lah disebabkan angkara Khairy sudah menjadi buah mulut rakyat termasuk ahli UMNO sendiri. Kita rakyat Malaysia mahu pemimpin berwibawa. Dari kalangan anak muda mahupun yang sudah meningkat umurnya. Namun prestasi dan keupayaan untuk memimpin dengan hikmah adalah tanda aras yang wajar dipenuhi. Harus bagi mana-mana parti untuk menolak kepimpinan yang lemah. Tidak kira yang lemah itu Presiden, yang lemah itu pemimpin lama dan yang lemah itu pemimpin muda. Mana-mana pemimpin perlu ada asas perjuangannya kerana perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata. Mungkin benar kata Dato’ Onn, “Saya melihat dua gambaran orang Melayu dan salah satu gambarannya adalah gambaran gelap Melayu”. Mungkin ini sudah tiba ketikanya untuk gambaran gelap itu bermula. Mungkin hari ini UMNO yang menghadapinya, tetapi tidak mustahil untuk parti lain seperti PAS, DAP, MIC, MCA dan PKR menghadapinya sekiranya melakukan kesalahan yang sama. Persoalan angkuh untuk mendengar pandangan rakyat akan memakan diri. Rakyat adalah hakim negara semakin terealisasi. Jika ahli UMNO tidak mahu jadi penghukum terhadap pemimpin mereka yang lemah, harus bagi rakyat jadi hakim untuk ahli UMNO dengan menjadikan UMNO bakal tidak relevan bagi 5 tahun akan datang.

Asasnya ialah jangan kita menjadikan parti sebagai lubuk emas semata. Doktrin melihat parti sebagai lubuk emas dan bukannya lubuk perjuangan bakal memakan dan meratah masa depan parti. Ibarat pasir jerlus yang boleh membunuh, cara politik wang, kronisme, nepotisme dan rasuah akan meruntuhkan kepimpinan. Ibnu Khaldun sendiri menyebut runtuhnya tamadun apabila pemimpin dan rakyat mula mengejar kemewahan dunia. Yang patut diajar dan dididik oleh parti ialah keghairahan ahli untuk memperkayakan perjuangan. Bukan kaya dengan kemewahan semata. Apakah nilai parti yang wujud kalau parti yang ada seumpama UMNO sudah menjadi tempat untuk golongan bangsawan dan golongan kaya yang menjadi pemimpin. Ukuran pemimpin dengan berapa banyak kemewahan dan kekayaan yang mereka ada. Sebab itu ahli UMNO sendiri sudah mula hilang rasa kesungguhan untuk berjuang demi parti kerana mereka tahu bahawa tidak ada tempat menjadi kepimpinan UMNO dalam keadaan mereka orang kampung. UMNO bukan lagi parti orang kampung. UMNO hanya untuk golongan korporat yang akhirnya menjadi barah dalam nilai mulia perjuangan parti itu. PAS, PKR, DAP, MCA dan MIC juga bakal berdepan dengan situasi yang sama jika sudah ada sistem feudal purba dan sistem kasta yang diamalkan dalam parti. Prinsip serta nilai parti perlu menjadi kiblat perjuangan.

Masalah anak muda yang namanya Khairy ini perlu kepada pembuktian asas perjuangannya. Mungkin kegagalan membuktikan secara kukuh asas perjuangan dan ke mana halatuju perjuangan sebagai pemimpin muda dalam UMNO menyebabkan beliau ditolak. Jika hari ini Khairy mampu buktikan ketulenan kepimpinan, maka ahli UMNO perlu memberi ruang, jika gagal Khairy buktikannya, penolakan menjadi jawapan penamat kepada Khairy. Jika hari ini ada pemimpin dalam mana-mana parti yang telah menunjukkan tidak ada upaya untuk memimpin,maka ahli partilah yang lebih layak untuk menentukan siapa Presiden atau pimpinan parti. Jika hari ini PAS tewas disebabkan kelemahan Presiden, maka Presiden adalah lebih wajar untuk memberikan ruang kepada orang lain dalam keadaan memahami kelemahan itu berpunca dari karektor individunya serta suku sakatnya. Begitu juga jika berlaku kepada UMNO. Tun Dr. Mahathir juga turun dari takhta UMNO nya apabila petanda dari ahli jelas menyatakan masa yang paling sesuai untuk Tun turun adalah sebelum pilihan raya 2004. Mungkin kali ini giliran Pak Lah untuk turun sebelum pilihan raya 2012/13 bagi mengelakkan suasana menjadi lebih parah.

Tengku Razaleigh sudah pun mengutus surat untuk diadakan mesyuarat khas UMNO. Apakah hari ini ahli UMNO tidak boleh berfikir untuk melihat mesyuarat khas ini sebagai suatu yang penting. Jika pemimpin lama UMNO ini sudah merasai ‘signal’ rakyat terhadap kepimpinan Pak Lah, terlebih lagi ahli UMNO perlu untuk turut bersama bermesyuarah bagi menentukan arah perjuangan UMNO.

Ahli UMNO seharusnya lebih bijak untuk menentukan pemimpin mereka. Ahli UMNO patut lebih bijak membawa gelombang rakyat dan ahli UMNO patut lebih bijak dalam menentukan arah penujuan bangsa kita. Ahli UMNO perlu menilai semula kedudukan Pak Lah, Ahli UMNO perlu melihat kedudukan Naib Ketua Pemudanya dan ahli UMNO patut menilai kedudukan kepimpinan mereka. Kalau mereka ini benar maka bela dan beri sokongan kepada mereka dan jikalau mereka ini salah dan merosakkan UMNO, maka berilah serta buatkan keputusan untuk mereka sama ada undur atau sebaliknya. Hari ini kita bicara soal kepimpinan UMNO kerana kita melihat ada suatu corak merbahaya dalam politik dalaman UMNO selaku parti yang menjadi tunjang orang Melayu. Dan jika hari ini masalah ini melanda PAS juga, maka akan kita bicarakan soal kepimpinan PAS. Ini semuanya bergantung pada kematangan dan kebijakan ahli UMNO membaca gelombang arah penujuan rakyat yang cuba dizahirkan melalui undi dalam pilihan raya ke-12 yang lalu. Arus politik baru lebih memihak untuk mewujudkan kepimpinan yang lebih ada daya kepimpinan amanahnya dan dalam masa yang sama keberanian undi protes ahli mahupun rakyat terhadap parti yang sudah memiliki 50 tahun rekod pemerintahan. Dan kita percaya tidak semuanya undi diberikan kepada BA atau Barisan Rakyat dengan keyakinan terhadap kepimpinan BA. Tetapi perlu diambil peluang kemenangan ini dengan adanya usaha-usaha untuk membuktikan keupayaan memimpin daripada kalangan mereka. Arus politik pilihan raya 2012/20013 adalah penghakiman rakyat terhadap kredibiliti kerajaan BA dan sejauh mana BN kembali mendapatkan keyakinan rakyat melalui pemulihan kepimpinan UMNO yang menjadi teras kepada BN. Perkara yang berlaku ke atas UMNO dan BN pada hari ini akan berlaku kepada BA atau BR apabila pemimpin mula bertindak menjadi tuan kepada rakyat dan rakyat semakin dilupakan.

Nazree Yunus

Wednesday, February 6, 2008

Perjanjian Sulit Pak Lah & Tun M?

Kita meneliti rencam politik nasional. Nampaknya Mahathir sudah membongkar rahsia bilik tidur politiknya kepada umum. Kita melihat trend Mahathir berkaitan gentlemen's agreement. Trend Mahathir yang begitu berani berkata benar untuk kali ini ternyata mengundang bagi membuka pekung di dada.

Pendekatan Mahathir adalah semata-mata bakal menzahirkan sistem feudal yang cuba untuk diwariskan kepada Pak lah. Kita perlu faham, UMNO merupakan institusi buat rakyat yang mahukan institusi tersebut terus relevan sebagai wadah politik bangsa. UMNO bukan hak individu. Sikap angkuh Mahathir untuk menyatakan Pak Lah perlu patuh kepada perjanjian lisan tersebut hanya sekadar membuktikan Mahathir ketika zamannya sedaya upaya untuk menentukan perjuangan UMNO berasaskan sistem feudal.

Sistem feudal yang cuba diwariskan dan diingatkan oleh Mahathir kepada Pak Lah adalah semata-mata menunjukkan bahawa UMNO yang cuba dibentuk Mahathir bukan lahir dari jiwa yang merdeka. UMNO yang cuba dibentuk oleh Mahathir bukan lahir dari suara rakyat dan UMNO yang cuba dibentuk bukan mengambil kira soal prinsip institusi.

Cerminan Mahathir sekadar menunjukkan bahawa UMNO baru yang cuba dibawanya adalah UMNO yang milik individu. Kuasa hanya perlu berada di kalangan elit-elit tertentu.

UMNO pasca Mahathir perlu bangkit sekali lagi dengan idealisme baru. UMNO perlu dibentuk menjadi wadah utama orang Melayu yang membicarakan soal rakyat dalam keadaan kita memelihara kepentingan agama, bangsa dan negara.

Jika budaya UMNO ala Mahathir ini disambut Pak Lah, ini yang tidak kita mahu. UMNO ala Mahathir perlu dibuang, UMNO dengan sistem feudalnya perlu disingkirkan. Pemimpin perlu diangkat dalam menyelesaikan kemelut ummat, lantas diangkat oleh rakan seangkatan lalu mendapat ruang bagi memimpin rakyat. Pemimpin bukan diangkat dengan perjanjian lisan, pemimpin bukan diangkat dengan warisan feudal tapi pemimpin diangkat dengan jiwa yang merdeka. Merdeka dari ketakutan untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan.

Dalam UMNO perlu dibina asas demokrasi, dalam UMNO perlu dikekalkan perjalanan demokrasi yang tulen, dalam UMNO perlu ada pemimpin yang menjunjung tradisi demokrasi secara jujur dan dalam UMNO sendiri perlunya demokrasi itu tertegak dengan adil. Mana mungkin untuk kita membicarakan soal demokrasi nasional sedangkan pemilihan Perdana Menteri secara feudal dan pemilihan Presiden UMNO juga secara feudal. UMNO tidak perlu menunduk kepada sistem feudal jajaan murahan yang sudah tidak membawa erti. Pemimpin yang baru perlu dengan idealisme baru. Idealisme untuk melakukan dan memastikan perubahan total berlaku dalam UMNO perlu digerakkan segera. Sikap Mahathir dalam membangkitkan persoalan perjanjian lisan ibarat meludah ke langit terkena muka sendiri. Feudal ala Mahathir sudah tidak relevan. Kejam dan zalim cara Mahathir sudah tidak relevan. Kita bukan haiwan politik. Ahli dalam UMNO punyai hak dan kekuatan untuk menentukan pilihan. Hari ini terbongkar cara busuk Mahathir menentukan kepimpinan kesukaannya. Ahli UMNO sepatutnya kesal dengan cara Mahathir yang sebegitu. Ahli UMNO pelu menidakkan cara ini daripada berterusan. Ahli UMNO perlu merenung sejenak. Ahli UMNO perlu berfikir untuk kita tidak lagi mempunyai pemimpin berjiwa feudal seperti Mahathir. Siapa Mahathir untuk sekali lagi menentukan Perdana Menteri ke-enam Malaysia?

Orang Melayu mungkin mudah lupa bak kata Mahathir, tapi dendam dan nafsu politik tidak pernah lupa. Nafsu politik Mahathir tidak pernah lupa. Nafsunya tidak pernah lupa untuk terus cuba bagi mengekalkan sistem feudal dalam UMNO. Budaya kepimpinan feudal ala Mahathir perlu ditolak. Budaya ini perlu untuk tidak disambut. Budaya ini perlu dilupakan dan budaya ini perlu dikuburkan sendiri oleh ahli UMNO.

Isu Mahathir mengungkit janji lisannya terhadap Pak Lah sekadar hanya memburukkan imej parti. Ini bukan isu Mahathir VS Pak Lah, tetapi ini isu Mahathir mencalarkan imej UMNO dan parti. Bukan selamanya bekas Presiden itu cerdik, kalau tuhan membodohkannya untuk barang sesaat, sudah pasti inilah tembelang Mahathir yang perlu dikutuk dan ditolak. Sudah di dalam 23 tahun merosakkan institusi dengan menanam benih feudalisme yang kuat, hari ini dari luar juga mahu sekali lagi mencalarkan parti.

Kalau terus begini sistem feudal yang cuba dicatur, maka adakah masa dan ruang untuk UMNO melihat parti ini terus membawa erti dan relevan kepada anak muda. Bawalah perubahan total dalam UMNO untuk memastikannya menjadi wadah utama yang senada dengan generasi muda yang baru, dengan idealisme perjuangan yang disegarkan bukan di kaku dan dibekukan. Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.

Maka kata-kata yang benar sahaja yang perlu direalisasikan. UMNO perlu menolak cara feudal ini. UMNO perlu lahir dari suara rakyat, UMNO perlu lahir dari jiwa yang merdeka dan UMNO tidak boleh lahir dari sistem feudal saranan Mahathir! Sistem feudal tidak akan membina UMNO. Biarkan kepimpinan hari ini menilai dengan hikmah untuk menentukan pemimpin dan halatuju kepimpinan.

Kita generasi baru mahu pemimpin berjiwa rakyat dengan idealisme yang baru. Sistem feudal yang terbentuk sekadar hanya membenteng akal untuk berfikir, mengekang fizikal untuk terus bergerak dan mencengkam jiwa untuk terus takut menyatakan suara! Suara perlu disatukan, disatukan bukan dengan mengikut telunjuk seorang tetapi disatukan dengan akal dan budi! Akal dan budi inilah yang bakal memakmurkan institusi UMNO dan rakyat!

Antara MEMANUSIAKAN Rakyat & Mahasiswa


Memanusiakan rakyat seharusnya diambil cakna oleh mereka yang masih boleh mendengar, yang terang matanya dan bersih hatinya. Dalam menentukan arah penujuan bangsa, keputusan penubuhan parti mahasiswa yang diambil oleh lapisan komuniti mahasiswa wajar dipandang dan di bincang serius. Di bincang serius bukan untuk membunuh watak , di bincang serius bukan untuk diancam dan di bincang serius bukan untuk di peleceh watak mahasiswa yang penuh idealisme, tetapi di bincang serius bagi memberikan ruang yang lebih adil dan bermakna buat memanusiakan manusia. Kerana kita percaya dan yakin inilah generasi yang bakal berdiri pada ketika terbit fajar 2020.

Kita melihat, rakyat juga melihat kewajaran hasrat mahasiswa untuk menubuhkan Parti Mahasiswa Nasional (PMN). Kata-kata ancaman untuk menggunakan AUKU adalah kata-kata orang yang angkuh dan sombong. Selagi ada pihak yang memandang sebelah mata terhadap mahasiswa, selagi itu mereka buta. Buta mata mereka, pekak telinga mereka dan cacat anggota mereka. Adakah mereka tidak reti untuk mendengar? Adakah mereka tidak reti untuk melihat? Dan adakah mereka tidak reti –reti untuk berfikir?

Jangan dipandang mahasiswa sebelah mata. Di tangan mahasiswa akan ditentukan wawasan 2020 itu. Di tangan mahasiswa akan ditentukan arah tuju bangsa kita. Jika tidak masakan yang di atas begitu sibuk memantau. Merekalah generasi yang akan membina wawasan itu. Maka jangan runtuhkan mereka dengan pendekatan yang tidak membina dan busuk. Jangan runtuhkan mereka dengan menyempitkan ruang. Jangan sempitkan mereka dengan ugutan dan ancaman. Kelak nanti rosak bangsa kita! Biarkan mereka belajar, biarkan mereka rasai sendiri awalan politik itu dalam kelompok mereka. Apa salahnya untuk mereka menerjah kepada politik luar setalah sekian lama bergelumang dengan politik kampus. AUKU yang ada ibarat gari dalam rumah sendiri. Jangan gari mahasiswa kita, bebaskan mereka, nanti mereka tahu menang kalahnya dalam pilihan raya. Di saat yang di atas sekarang memandang sebelah mata, mereka sebenarnya lupa, pada terbit fajar 2020 kelak, yang ada di atas ini akan merangkak di sana penuh dengan tidak berdaya, tetapi mahasiswa akan bisa berlari pada waktu fajar itu mencerah untuk pagi 2020. Yang tutup sebelah mata maka mereka buta dan akan terhegeh-hegeh pada fajar itu menyingsing tatkala mahasiswa berupaya untuk mendepani dan melihat zaman itu. Mahasiswa perlu didamping, ajak mereka berdamping bukan untuk membodek, tapi ajak mereka berdamping dengan berikan mereka ruang buat memanusiakan diri.

Bukankah PMN itu merupakan didikan awal! Adakah perlu dibunuh platform didikan awal dengan AUKU seperti kuku kejam itu? Adakah tidak perlu tadika untuk politik? Kalau dalam politik tidak boleh kepada tadika, tutup sahaja tadika, kemas, pasti dan taksi yang ada! Apakah takut dengan tadika?apakah takut dengan yang mahu masuk tadika? Apakah level orang yang takut ini? Adakah mereka tidak pernah pergi tadika? Apakah seksyen 15 tidak punyai kontradiksinya dengan Perlembagaan? Di tambah pula para doktorat di kampus yang tidak tahu untuk mengkhabarkan kepada bapak menteri apakah keperluan sebenar mahasiswa! Kenapa takut dengan gagasan idea penubuhan Parti Mahasiswa Nasional (PMN)? Yang takut hanya yang buat dosa. Dosa ada pada bahu mereka, dosa ada pada belakang mereka dan dosa ada di kiri kanan mereka!. Kalau banyak dosa di kiri kanan kelibat sendiripun kita gerun.Apatah lagi kelibat orang lain. Kalu tidak ada dosa dan salah, berikan ruang pada mahasiswa untuk berpolitik dipencak perdana. Jangan sesekali kita kritik kerana kita takut. Tapi kita kritiklah kerana benar. Katakan Tidak pada untuk menghalang platform pendidikan awal politik terhadap mahasiswa ini. PMN adalah platformnya.

Berikan mereka ruang. Jangan miskinkan mahasiswa dengan ruang! Adakah sudah miskin dan tidak punyai apa-apa untuk yang di atas sehingga tidak sanggup untuk memberi kepada mahasiswa ruang! Mereka bukan minta wang tetapi yang diminta ialah ruang?Adakah sudah tidak cukup luas bilik di Putrajaya untuk mentamakkan seseorang bagi tidak memberikan ruang kepada mahasiswa untuk menubuhkan parti?

Jika benar PMN mengancam keselamatan negara, tangkap sahaja mereka!jangan sekadar buang universiti, masukkan mereka ke dalam ISA, sumbat mereka ke dalam! Tapi jikalau sekadar hanya tidak mahu status qou tercalar, bukalah ruang buat mahasiswa berbicara dalam platform yang lebih baik. Biarkanlah mahasiswa menubuhkan parti, biarkanlah mahasiswa bertanding dalam pilihan raya, biarlah jikalau mereka menang ada wakil mereka dalam Parlimen, tidak ada salahnya, jika mereka tidak reti-reti buat kerja, maka tahulah rakyat mahu kerjakan mereka! Maka tahulah rakyat mahu mengajar mereka maka barulah terbukti benar hujah bapak menteri yang ada sekarang.

Ini bukan gimik politik, buat teman mahasiswa, jika mahu tubuh parti pastikan agenda rakyat jadi agenda parti, jika mahu bertanding, maka jadilah calon yang dalam mimpi dan nyata memikirkan tentang soal rakyat!

Bijak bukan untuk menunjuk, berani bukan untuk bergaduh, jalannya biarkan mahasiswa menubuhkan parti dan bertanding. Buat apa mahu takut? Mahasiswa yang ada ini bakal berada pada garisan wawasan 2020 dan selepasnya. Kalau mereka terus dimiskinkan ruang, maka apa lagi yang mahu kita harapkan daripada generasi pada garisan itu. Kaya ruang mereka, kayakan minda dan jiwa mereka. Pada ketika mereka ini kaya, mereka yang lain juga akan lebih kaya dan masyarakat kita akan lebih ada penujuannya dan aturannya. Lepasan garisan 50 tahun kemerdekaan akan diisi oleh golongan mahasiswa dan anak muda yang boleh berdiri penuh iltizam dan hasrat untuk melihat bangsanya maju, makmur dan ada arahnya. Penubuhan parti mahasiswa jika dapat direalisasi akan menjadi kayu ukur iltizam dan semangat mereka untuk membentuk masyarakat. Jangan sekat ruang untuk kita sendiri mengukur iltizam mereka! Salam Perjuangan. Pemberian ruang inilah yang akan lebih memanusiakan rakyat. Ruang buat akal, jiwa, pemikiran dan akhlak mereka.

Mohd Nazree Mohd Yunus

Antara MORAL & KRITERIA PEMIMPIN


Kita dikejutkan dengan pengakuan Dr. Chua Soi Lek bahawa beliau adalah lelaki dalam video lucah terbabit. Namun yang lebih menjelekkan kita sebagai anak muda ialah tindakan yang tidak punyai asas oleh MCA Johor untuk mengambil Dr. Chua Soi Lek sebagai penasihat parti MCA Johor.

Kenyataan Khir Toyo (dalam akhbar NST Selasa 15 Jan 08) tentang perilaku moral yang rendah bukan kayu ukur yang jitu dalam menentukan sama ada seseorang itu calon pilihan raya atau tidak adalah satu kenyataan yang amat tidak wajar dan begitu memalukan dikeluarkan oleh seorang ketua negeri. Adakah wajar hanya yang punyai wang dan kuasa sahaja yang patut menjadi calon? Adakah sudah hilang akal pemimpin ini untuk terus mengesampingkan soal moral sebagai persoalan utama dalam pencarian pemimpin? Adakah kemenangan individu lebih penting tanpa memikirkan soal maruah parti? Mahu menang lebih penting atau kemenangan bererti yang dicari? Memenangkan calon tidak bermoral adalah kemenangan yang tidak bermaruah. Mahukah UMNO menjadi parti yang tidak bermaruah? Kita mahu UMNO lebih relevan dengan kehendak nurani rakyat yang masih mahukan kebersihan keseluruhan dalam mengertikan soal kepimpinan. Anak muda mahukan UMNO terus membangunkan negara dan rakyat dalam keadaan kepimpinan yang bersih moralnya. Bersih moral ini yang akan melebihkan pemimpin banyak berfikir tentang rakyat berbanding kantung sendiri. Akan lebih terbangun rakyat di atas keberkatan kebersihan pemimpinnya.

Sekiranya kondisi seumpama ini terus menerus dibenarkan berlaku dalam suasana keterbukaan Malaysia. Jangan nanti kita tidak terkejut dengan corak perlakuan yang lebih keji dari itu bakal dilantik menjadi penasihat bahkan menjadi Presiden parti. Jika dibiarkan maka sudah tidak menjadi peduli rakyat Malaysia dengan kerendahan moral yang berlaku. Jika dibiarkan maka seolah-olah masyarakat Malaysia sedang bergerak mula untuk menerima kekosongan moral dan kerendahan akhlak sebagai pemimpin mereka. Makin dibiar, makin ini bakal dan akan menjadi norma kriteria pemilihan pemimpin.

Selaku generasi anak muda yang mahu melihat Malaysia lebih mampu memacu ke hadapan, kita seakan dan sudah pasti mahu kesedaran ini dihitungkan atas landasan bahawa yang tidak bermoral wajar diketepikan. Yang tidak bermoral harus dihukum. Yang tidak bermoral wajar diperbetul. Bukannya kita mahu yang tidak bermoral terus di atas, yang tidak bermoral lantas dicapai menjadi penasihat. Apakah masyarakat seakan mahu dibuta dan ditulikan anggota mereka? Apakah hinanya masyarakat Malaysia untuk menerima penasihat seumpama ini walaupun untuk komuniti cina. Di mana suara kritis anak muda cina dalam mempersoalan keadaan ini.

Kita sedar anak muda cina lebih terkehadapan berbanding Melayu dalam unjuran kesedaran berpolitik. Apakah soal lantikan penasihat parti ini bukan politik? Sudah seharusnya mereka bangkit untuk menafikan ruang tersebut buat Chua Soi Lek. Ataupun anak muda cina juga agak seronok dengan hayutan gejala sosial ini hinggakan mereka tidak perasan kelongpangan besar dalam isu lantikan Chua Soi Lek sebagai penasihat MCA Johor.

Isu moral UMNO & PAS juga tidak terkecuali. Sama ada yang terpangpang di dada-dada akhbar ataupun di laman web hatta blog itu fitnah ataupun tidak, masyarakat dan yang peka lebih layak untuk menentukannya. Namun apa pun keadaannya, sudah menjadi pilihan kita untuk terus mengatakan tidak kepada kerendahan moral pimpinan. Apatah lagi kepimpinan merupakan amanah yang wajar dipelihara dengan rasa tanggungjawab.

Pemimpin perlu diangkat berasaskan kriteria yang tertentu. Kod etika kepimpinan yang dirangka sesetengah parti adalah wajar untuk dipastikan keberkesanannya. Ahli parti dan rakyat sebenarnya perlu lebih berhati-hati dalam persoalan ini. Mungkin ada kecenderungan untuk meremehkan perkara ini disebabkan yang melakukan keruntuhan moral itu adalah kawan sendiri. Pokoknya, ini bukan persoalan utama sama ada kawan atau lawan. Yang perlu kita berikan perhatian ialah perbersihan menyeluruh parti ataupun platform kepimpinan daripada skandal moral. Kita melihat perkembangan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhamad Muhamad Taib, skandal mendedahkan keburukannya tetapi masih diterima dalam UMNO. Ini semua perlu berubah, jika tidak kedudukan individu seumpama ini dalam UMNO bakal mengundang liabiliti yang parah untuk menjadi henjutan pembangkang walau tidak dinafikan dipihak pembangkang juga ada skandal moral mereka yang tersendiri. UMNO perlu mengelakkan perkara ini daripada berlaku. UMNO punyai upaya untuk mengatasinya. Mengapa begitu sukar untuk membersih?adakah kawan kriterianya?Adakah kawan yang perlu dipertahan walaupun kecundang dimedan dosa? Ataupun prinsip perjuangan UMNO yang lebih murni perlu dipertahankan?

Kesayangan kepada kepimpinan hatta UMNO sekalipun perlu diwajarkan dengan tindakan untuk menidakkan kedudukan dan keberadaan individu seumpama itu dalam UMNO. Mohd Said Yusof (Ahli Parlimen Jasin), isu bocor yang jelas memualkan. Adakah tidak ada akal untuk seorang Ahli Parlimen mengekang mulutnya dari berbicara remeh dan tabu seumpama itu. Situasi serta kewujudan pimpinan yang begitu rupa hanya mengundang jelek dan pandangan serong rakyat kepada kerajaan. Kita percaya untuk mendapat yang sempurna itu tidak mungkin kecuali kesempurnaan Allah dan kitabnya, namun adakah sehingga melupakan kita untuk terus berusaha memilih kepimpinan yang terbaik kerana mereka inilah yang bakal melaksanakan kesempurnaan undang-undang Tuhan dengan mengatur dunia ini sebaiknya.

Kita mahu melihat perubahan, namun perubahan yang kita mahukan ialah yang lebih menjamin perubahan rakyat ke arah yang lebih baik segalanya. Perubahan rakyat akan berlaku dengan perubahan UMNO itu sendiri. Perubahan UMNO akan berlaku apabila kepimpinan UMNO punyai semangat untuk pertahankan rakyat. Pimpinan UMNO mempunyai ruang yang lebih baik untuk merealisasikannya setelah mendapat mandat rakyat lebih 50 tahun. Sama ada 50 tahun akan datang menguntung atau tidak buat UMNO, maka kedaulatan kepimpinan melalui moralnya harus diambil kira. Kemudian maka wajarlah untuk yang diberi amanah dapat membina jambatan kejayaan dengan optimistik daripada masyarakat.