Merujuk kepada akhbar Berita Harian bertarikh 18 Mei, terdapat cadangan daripada Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman supaya disediakan skim pinjaman khusus untuk mengerjakan haji dan umrah bagi menggalakkan generasi muda menunaikan ibadat berkenaan.
Sekilas pandang sudah pasti kita sebagai golongan muda bersetuju dengan cadangan ini.Namun apabila memikirkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi PTPTN Datuk Razali Ismail yang menyatakan bahawa setakat ini, sebanyak 30,484 senarai nama peminjam PTPTN telah dihantar kepada panel peguam yang akan memberikan surat peringatan kepada peminjam-peminjam ingkar tersebut. Mereka ini sudah pasti adalah di kalangan golongan muda.
Beliau berkata pada 1 Dis lepas, pihaknya telah mengemukakan sebanyak 7,800 senarai nama peminjam manakala pada 11 Dis lepas, 22,684 nama pula telah dikemukakan kepada panel peguam untuk diberikan peringatan tersebut. Angka ini cukup membimbangkan. Dana PTPTN begitu kritikal kerana hanya dapat mengutip RM 93 juta daripada RM 420 juta yang patut dibayar oleh para peminjam kepada PTPTN.
Tabung Haji perlu melihat ini sebagai ruang untuk menjadi antara institusi yang boleh membantu. Kita faham tabung haji ditubuhkan di bawah Akta 8, Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969 dengan tujuan untuk membolehkan orang-orang Islam menyimpan secara beransur-ansur bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan fardhu haji atau lain-lain perbelanjaan bermanfaat; Membolehkan orang-orang Islam melalui wang simpanan mereka mengambil bahagian yang lebih berkesan di bidang penanaman modal melalui cara yang halal di sisi Islam; dan Memberi perlindungan, pengawalan dan kebajikan kepada jemaah haji yang menunaikan fardhu haji dengan mengadakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan.
Namun apabila melihat kepada keuntungan Tabung Haji, institusi ini sebenarnya perlu memikirkan peranannya yang lebih besar termasuk membantu generasi muda dalam aspek pendidikan.Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2005, Tabung Haji merekodkan keuntungan selepas zakat RM576 juta iaitu yang tertinggi dalam sejarah penubuhannya, berbanding RM500 juta pada 2004. Merujuk kepada objektif kedua Tabung haji, iaitu untuk untuk memberi ruang kepada orang Islam untuk membuat simpanan melalui bidang penanaman modal secara halal, adakah penanaman modal secara halal ini sekiranya sudah untung ratusan juta ringgit tidak boleh digunakan untuk membangun dan membantu kedudukan kewangan pendidikan.
Di samping membantu orang Islam untuk menunaikan haji dan umrah, bantulah juga generasi muda demi melahirkan umat Islam yang berpendidikan dan tidak menjadi masyarakat yang dikelilingi hutang. Bayangkan, baru sahaja bergraduasi, sudah berhutang puluhan ribu ringgit.Keuntungan itu diraih hasil pendapatan kasar berjumlah RM1 bilion, yang juga angka tertinggi pernah direkodkan sejak penubuhannya yang mencerminkan peningkatan 21 peratus atau RM177 juta daripada tahun sebelumnyaBayangkan, kita boleh pergi menunaikan haji dan umrah, namun tidak ada upaya untuk melangsaikan hutang pendidikan yang ada.
Justeru, skim biasiswa khusus untuk menuntut ilmu perlu menjadi prioriti utama tabung haji sekiranya mahu dibuat juga skim khusus pinjaman haji dan umrah.Perkara yang berlaku ini jelas menunjukkan golongan pelajar yang meminjam ini begitu kekurangan sumber kewangan untuk membayar balik pinjaman PTPTN. Kita faham bahawa hutang itu wajib dibayar, namun dengan bayaran pinjaman sehingga mencecah puluhan ribu ringgit menjadi beban kepada pelajar untuk membayar semula.
Perkara ini tidak akan terjadi seteruk ini sekiranya pihak yang berwajib atau mana-mana pihak menawarkan biasiswa atau paling tidak pun bayaran pembiayaan separuh atau ¾ daripada jumlah bayaran pengajian pelajar. Menuntut ilmu itu wajib, tetapi mengapa pelajar diajar untuk berhutang yang akhirnya menyebabkan mereka terpaksa membayar hutang yang juga menjadi kewajipan untuk dilangsaikan. Pihak-pihak yang mempunyai pegangan aset dan kuasa pegangan ekonomi negara perlu berfikir secara serius perkara ini. Kita hargai usaha serius untuk memastikan peminjam membayar semula pinjaman.
Namun apa yang lebih utama ialah usaha untuk memberi dan membina suatu suasana pendidikan yang boleh membina minda .Tidak salah untuk mencadangkan supaya ada skim khusus untuk menunaikan haji dan umrah untuk generasi muda, tetapi yang lebih utama memahami masalah yang dihadapi oleh generasi muda pada hari ini dalam lapangan pendidikan. Kita sebagai generasi muda tidak mahu ada di kalangan generasi muda yang begitu terbeban dengan kekangan kewangan.
Sebab itu melihat bahawa tabung haji punyai upaya untuk memberikan tawaran skim biasiswa kepada pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran. Tabung haji perlu menjadi perintis untuk memastikan pendidikan dalam negara kita mampu untuk menawarkan pendidikan secara percuma.
Kalau Tabung Haji tidak berminat, kita sarankan kepada institusi yang lain supaya memikirkan perkara ini dengan harapan untuk melihat masa depan yang lebih baik. Kita akui perlu untuk menyediakan akses kemudahan untuk menunaikan umrah, namun keuntungan yang ada juga perlu difikirkan untuk dibelanjakan secara holistik. Apakah ertinya kita boleh buat skim pinjaman tersebut tetapi untuk bidang pendidikan, para pelajar terkontang-kanting.PTPTN telah membelanjakan hampir RM15 bilion untuk memberikan pinjaman kepada lebih kurang 800,000 pelajar untuk membiayai pengajian mereka di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).
Jumlah ini tentunya banyak berbanding pulangan bayaran balik peminjam. Apabila pandangan ini diberikan sudah pasti akan ada yang menyatakan bahawa sudah banyak institusi yang memberikan bantuan dalam pendidikan, namun persoalannya, kalau sudah terlalu banyak bak cendawan tumbuh, mengapa masih timbul isu puluhan ribu peminjam tidak membayar. Sudah tentu mereka ini adalah termasuk dalam golongan generasi muda. Kalau ini masalahnya, kepelbagaian kaedah bantuan perlu diteruskan.
Setiap institusi dan syarikat korporat dalam negara termasuk institusi berkanun kerajaan perlu bertindak secara dinamik.Buatlah apa sahaja skim untuk kemudahan menunaikan haji dan umrah, namun jangan sesekali membiarkan mereka yang menunaikan haji dan umrah dalam keadaan berhutang tanpa ada satu kaedah yang efektif yang menanganinya.
Sekiranya Tabung haji punya upaya untuk menyediakan skim pinjaman untuk generasi muda menunaikan haji dan umrah mengapa tidak untuk tabung haji juga punyai upaya untuk menyediakan skim biasiswa untuk pendidikan.
Menuntut ilmu itu wajib, fikir-fikirkanlah.
1 comment:
Salam,
bg saya byk lg tempat utk kita mendapatkan biasiswa selain daripada Tabung Haji...Biar lah Tabung Haji menjadi satu medan utk para jemaah utk menunaikan rukun Islam yang ke 5 itu....bg saya...MARA dan JPA perlu lebih telus dalam memberi biasiswa pendidikan kepada anak2 muda...apa yang ingin saya tegaskn...apakah fungsi biasiswa itu sendiri...adakah utk pelajar2 yang ibu bapanya yang sgt berkemampuan atau pelajar2 miskin yang berpotensi....dalam masa kini...dapat kita saksikan...lebih ramai anak2 kepada yang berpangkat datuk mendapat biasiswa berbanding anak2 nelayan, anak2 peneroka...sebenarnya byk lg syarikat2 gergasi di Malaysia ini yang boleh memberi biasiswa, itu yang patut kita lebih beri perhatian..bkn kepada Tabung Haji yang sudah ada fokus kepada jemaah yang ingin menunaikan haji dan umrah...
sekian..
Post a Comment