Thursday, March 11, 2010

Prinsip KEADILAN tarik minat Nazree



Sifat keterbukaan dan perjuang-an membawa amalan politik baru, mendorong bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak) Malaysia, Mohd Nazree Mohd Yunus menyertai KEADILAN.


Bekas pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) Universiti Malaya dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu berkata, prinsip parti yang mengamal prinsip keadilan dan memperlihat sifat futuristik, menarik perhatiannya.


Beliau berharap penyertaannya membantu memberi sumbangan kepada parti dari segi membudayakan integriti dan anti-rasuah dalam urus tadbir negara.


Katanya, beliau juga mahu menggalas perjuangan parti ke arah membawa pembaharuan dalam sistem politik negara yang lebih berintegriti.


“Saya secara serius menyertai KEADILAN untuk memulakan fasal baru dalam perjuangan. Keputusan ini saya ambil selepas bertemu Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Bagi saya, penyertaan ini bersifat, saling melengkapi kepimpinan yang sedia ada dalam parti,” katanya pada sidang media pada 24 Januari lalu.


Pengumuman itu dibuat Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam satu majlis sederhana di ibu pejabat parti.


Mengakui menerima pelawaan tidak rasmi daripada parti lain, tapi enggan mendedahkannya, Nazree mengesa golongan muda turut sama menjana gelombang reformasi kedua.


Beliau juga menyatakan tidak ditawar, apatah lagi menuntut sebarang jawatan atau kedudukan dan menyerahkan perkara itu kepada pimpinan parti.


“Soal saman Tan Sri Khalid Ibrahim, saya serahkan kepada pucuk pimpinan. Saya masuk parti ini bukan untuk meminta Khalid membatalkan saman,” katanya.


Shamsul pula berkata, kemasukan Nazree yang sebelum ini diuar-uar akan menyertai Umno, dijangka mampu mengukuhkan KEADILAN dan AMK secara keseluruhan.


“Penyertaan Nazree itu membuktikan pemimpin muda menaruh minat mendapat terhadap intipati perjuangan KEADILAN dan kita me-ngalu-alukannya,” kata beliau.


No comments: