Monday, November 3, 2008

Generasi Muda Harus Serasi Dengan Pergerakan NGO untuk Lahir Pemimpin Kompeten

Jika Mukhriz menyatakan Pemuda UMNO perlu bergerak sebagai NGO sudah semestinya amat relevan bagi merencana serta membugar kembali idealisme Pemuda UMNO yang sudah lesu. Tetapi bukan sahaja Pemuda UMNO, tetapi Pemuda PAS, PKR, MCA,MIC, DAP dan GERAKAN juga harus mempunyai jiwa untuk bergerak dan berfungsi sebagai NGO.
Objektifnya mudah,tidak ada berkepentingan, bukan untuk menagih kontrak, jawatan dan takhta. Kebimbangan kita ialah apabila Pemuda-pemuda dalam PR juga jika dijangkiti penyakit lama UMNO seperti menjadi penagih kontrak dan projek maka parti dan landasan politik akan rosak disebabkan mereka ini tidak punyai jiwa bagi meletakkan kepentingan rakyat dihadapan tetapi kepentingan harta dan takhta terlebih dahulu diutamakan.
Sepatutnya platform politik yang diterjemahkan sebagai pusat pengurusan kuasa amat wajar untuk meletakkan nilai amanah, berkebajikan dan menjadi pengurus kepada nilai positif dan membanteras yang mungkar dalam hal berkaitan kemaslahatan rakyat. Institusi kepimpinan akan lebih rosak jika bukan golongan pendidik atau murabbi yang berada di dalamnya tetapi golongan ruwaibidoh (golongan jahil yang berlagak cerdik yang mahu menguruskan hal ehwal rakyat). Sewajarnya golongan pemimpin dalam parti sudah matang dalam memahami tanggungjawab sebagai pemimpin antara amanah dan khianat.
Platform NGO akan memberikan ruang untuk melatih kepimpinan muda melihat corak-carik, sepak terajang politik, kawan dan musuh, mudah dan sukarnya membangun sebuah institusi yang tidak ada berkepentingan seumpama NGO. Mungkin hari ini sudah ramai yang lebih gemar dengan politik, mereka sudah tidak cakna lagi untuk membangun diri melalui NGO (mungkin tidak sertai tetapi mengikuti pergerakan) sedangkan NGO atau badan berkecuali akan menambah nilai terhadap pendirian prinsip, ilmu dan kematangan kita sebelum diuji dengan lebih getir lagi.
Jiwa NGO perlu diresapkan dalam generasi muda sebelum mereka menjerumuskan diri ke dalam kepimpinan politik. Method NGO bergerak tanpa habuan perlu dihadam oleh generasi muda termasuk mahasiswa. Lapangan kampus dan ditambah pengalaman bergerak dalam NGO akan lebih mematangkan kita untuk mengenal siapa kawan dan siapa lawan.
Ada juga yang dulu dikampus sebagai kawan, namun bila diajak bersama untuk menggerakkan NGO sebagai tambahan rencam wadah perjuangan, nyata masing-masing begitu ghairah dengan politik. Disaran tubuh NGO juga dipandang sinis kerana mereka ini lebih cenderung untuk melihat paksi kuasa berasaskan politik sedangkan mereka lupa jika bergelumang dengan platform kepartian tanpa pembinaan kompetensi serta halatuju yang jelas maka tidak banyak islah dan perubahan yang dapat dibuat melainkan hanya mengikut arus lama yang tidak membina. Bahkan akan dilihat tidak punyai kredibiliti.
Amat wajar untuk generasi muda memberi nilai tambah terhadap perspektif kita melihat unjuran terkehadapan bagi membina Malaysia yang lebih bermakna. Unjuran itu ialah memperkuat pemahaman akidah, ilmu, sains, teknologi, ekonomi, politik dan sosio-budaya yang lebih menyakinkan dan mampu untuk menjadi 'tool' yang paling ampuh buat melahirkan kepimpinan generasi muda yang mempunyai garisan halatuju kompeten.
Terlalu banyak pendekatan untuk generasi muda dan mahasiswa jika mereka mahu serasi dengan pergerakan NGO. Antara saranan yang boleh kita hamparkan secara mudah ialah bersama dengan NGO sedia ada atau membentuk NGO sendiri. Bersama NGO ada terlalu banyak juga opsyen, jika berminat dengan yang lebih Islamik,kita ada ABIM & JIM. Jika yang berminat dengan bidang kepenggunaan kita ada PPIM(Persatuan Pengguna Islam). Namun jika lebih berminat untuk bentuk NGO sendiri, itu juga adalah pilihan perlu generasi muda untuk bergerak proses kematangan yang lebih baik.
Melalui NGO kita boleh melebarkan hubungan dengan melepasi sempadan ideologi kepartian. Pengalaman yang maaruf dijadikan panduan, yang mungkar diberikan pandangan balas dan wajib ditentang jika tidak menunjukkan keinsafan setelah diberi pandangan.
Dalam pemilihan untuk bersama NGO, pilihan yang lebih baik itu ialah bersama NGO yang mempunyai halatuju yang jelas, berfokus gerak kerjanya, dan sebagai tambahan dipimpin sendiri oleh generasi muda. Ada juga nama NGO anak muda tetapi dipimpin oleh yang sudah 40 tahun ke atas. Adalah lebih rapat perkongsian itu jika sesama generasi muda mengembleng tenaga agar dapat kita realisasikan NGO menjadi platform melahirkan pemimpin kompeten dan berkredibiliti.

9 comments:

Anonymous said...

NGO perlu buka ruang kpd anakmuda,jangan hanya yang tua juga ada dlm NGO

Anonymous said...

NGO perlu dipimpinoleh anak muda, tetapi pemuda perlu lebih kritis rencana agenda dalam NGO

Anonymous said...

peranan NGO perlu diperkemas utk menarik minat generasi muda, tetapi mahasiswa sekarang lebih cenderung utk terus ke parti politik, atau NGO yang perlu bergerak jadi parti politik? mohon pandangan

Anonymous said...

Nampaknya ada kesan GERAK cadang BPR check PKNS, sekarang PKNS nak kena check dengan BPR, Tahniah GERAK,

Apa lagi tindakan dan cadangan GERAK yg selanjutnya? Saya berpandangan GERAK perlu lebih giat bentuk budaya integriti dan anti rasuah

affendik? said...

setuju...kuncinya tetap pada KEIKHLASAN dalam menyumbang idea, tenaga atau apa saja, tanpa kepentingan atau mengharap ganjaran..semua entiti bergerak dengan modus operandi NGO

(usia mematangkan kita - junior anda di dorm Baihaqi, SMAPL 2000)

Mohd Nazree Mohd Yunus said...

Salam, terima kasih atas pandangan saudara Afendi, jika ada kelapangan boleh adakan diskusi bersama. Wassalam.

Anonymous said...

apa pandangn sauadara nazree tentang generasi muda?soal fatwa yang didemontrasikan?

Mior Isfandy Mior Azizan said...

Assalamu'alaikum wrt wbt

Saudara Nazree, penglibatan mahasiswa/graduan ke kancah politik ada lebihnya.

Parti politik dan NGO sudah pasti ada perbezaan yang ketara.

Persepsi negatif kepada parti politik adalah disebabkan oleh hilangnya kredibiliti memimpin dan pengurusan yang baik.

Namun, partisipasi orang muda ke dalam parti politik sedia ada juga mampu membina kekuatan diri dan ketajaman minda.

Mungkin ada pembahagian tugas yang perlu diselarikan dengan anak muda supaya penglibatan anak muda/mahasiswa/graduan ke dalam parti politik dapat dipergunakan dengan bijak dan berstrategis.

Salam perjuangan!

Mior Isfandy Mior Azizan
http://miorisfandy.com
013 697 3646

Mohd Nazree Mohd Yunus said...

salam, terima kasih atas pandangan,

sewajarnya persepsi negatif itu diperbetulkan dengan nilai keupayaan pada diri mahasiswa (baca: mantan aktivis kebanyakkan)

tidak salah untuk bersama dalam kancah politik dan juga parti politik. Yang pasti adalah menjadi keperluan mempunyai nilai islah dalam kapasiti diri generasi muda.

Yang dimaksudkan dalam tulisan ini ialah lebih cenderung buat yang tidak langsung terlibat dengan mana-mana organ sama ada NGO atau politik.Tetapi mungkin nilai NGO itu adalah nilai perlu dalam parti politik.