Sunday, March 29, 2009

Disaman MB Selangor, Saya Serah pada Allah SWT

Mudah-mudahan ini ujian dalam perjuangan yang saya yakini masih berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Segalanya saya serahkan kepada Allah SWT untuk menzahirkan kebenaran. Yang saya lakukan bukan buat merebut kuasa tetapi memberikan inzar buat yang berkuasa agar beringat bahawa kuasa adalah amanah yang bukannya kemahsyuran. Berbicaralah secara jauhari dan budiman. Apakah makna dan disini manakah kita disisi Allah SWT jika kita tidak langsung lebih hampir dengan apa yang pernah diungkapkan berbanding pihak lain yang kita sebutkan sebagai perasuah ulung 52 tahun lamanya.




Dalam keadaan ini, saya memohon agar sahabat-sahabat seperjuangan agar kita bermunajat kepada Allah SWT dengan melakukan solat hajat dan zikir yang mampu untuk menenangkan kita dan menunjukkan kebenaran. Kita lakukan secara istiqamah. Di saat ini juga saya berharap kita lebih mencipta rakan berbanding lawan, dan kawan tidak mengkhianati saya dalam perjuangan melawan rasuah dan penegakkan integriti serta negara hukum. Mudah-mudahan tidak ada baik rakan dan musuh yang mengambil kesempatan untuk menjadi hero politik dalam soal ini. Saya serahkan kepada Allah SWT untuk memberikan hikmah terbaik. Namun saya sedia berdepan secara fizikal dimahkamah jika ini tuntutan untuk menyatakan kebenaran walaupun tanpa peguam bela. Doa kalian mengiringi saya buat menambahkan kekuatan untuk berdepan ujian ini. Masih kecil ujian ini jika mahu dibandingkan dengan yang dilalui oleh para nabi dan rasul-rasul pilihan Allah SWT. Teramat sedikit sumbangan yang saya lakukan berbanding para ambia' atau rasul-rasul untuk agama Allah SWT. Kita tidak mempunyai mukjizat tetapi doa adalah senjata buat menumbangkan yang mungkar. Usaha kita gerakkan buat menterjemahkan kefahaman dan merealitikan sandaran kita kepada Allah SWT.




Apakah kita mahu mengaku beriman jika tidak diuji. Namun dalam keadaan ini usaha perlu dilakukan sebelum kita bertawakkal kepada Allah SWT. Buat sahabat-sahabat yang jauh diperantau yang jelas agak sayu ketika menghubungi saya, saya mohon doa ikhlas kalian sebagai senjata kita orang mukmin. Panjangkan doa kalian buat kebenaran. Bukan berkiblatkan kedudukan saya pada ketika ini tetapi buat perjuangan Islam, amal maaruf nahi mungkar. Buat perjuangan integriti dan anti rasuah. Biar kita mohon dimurnikan jiwa-jiwa pemimpin agar yang dipertahan bukan kuasa tetapi amanah penuh keikhlasan dan bukannya mainan politik untuk membersih air muka.




Saya berdoa agar pihak yang tidak bersetuju terbuka minda dan jiwa dengan penuh keinsafan untuk tunduk dan tawadhuk kepada kehendak Allah agar mensucikan kepimpinan daripad anasir buruk terjerumus ke lembah hina rasuah.


Segalanya saya mengambil tanggungjawab atas semua tindakan mencegah mungkar rasuah dan mendoakan agar semua laporan diambil tindakan secara adil oleh pihak pengadilan tidak kira sama ada melibatkan UMNO-BN mahupun Pakatan Rakyat. Proses undang-undang akan saya lalui secara tegas dengan prinsip dan pegangan rakyat kebanyakkan.
Dari Allah kita hadir kepada Allah kita berserah. Wassalam.

Disaman MB Selangor & PRK Bukit Gantang

Analisis beberapa pakar penyelidik universiti bagi tiga PRK yang melibatkan Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.



Keputusan dijangka di Bukit Gantang bakal dimenangi BN dengan peratusan 53% & 47%(PR), namun peratusan ini akan berubah disaat dua hari sebelummengundi untuk beza antara PR dan BN dalam peratusan 10% yang mungkin memberikan kemenangan kepada PR pada kedudukan 57% berbanding BN. Semuanya ini bersandarkan ke arah mana pola pengundian generasi muda yang mewakili hampir 67% pengundi di Bukit Gantang. Jika berdasarkan jumlah peratusan pengundi muda di Bukit Gantang, maka peluang PR untuk memenanginya lebih cerah berbanding BN.




Bagi Bukit Selambau, melalui kajian yang dibuat menunjukkan BN akan menang dengan peratusan 87%, tambahan pula peratusan generasi muda hanya 37% sahaja di Bukit selambau. namun keadaannya berbeza dengan di Batang Ai yang dijangka kemenangan mudah buat PKR atau PR disana.


Keputusan dijangka untuk analisis awal PR 1 & BN 2 atau jika faktor generasi muda dan perubahan 10% berlaku maka PR akan menang di Bukit Gantang dan Batang Ai berbanding BN hanya di Bukit Selambau.







DISAMAN MB SELANGOR



Selepas rabu minggu lepas, ratusan sahabat-sahabat telah menghubungi saya untuk bertanya khabar tentang saman oleh MB Selangor secara langsung terhadap saya.




Ada yang telah memberikan sokongan dan pandangan mereka. Saya hargai dan ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih. Tidak kurang juga puluhan peguam sahabat-sahabat perjuangan dikampus terutamanya yang telah mempunyai firm telah menyatakan hasrat untuk menjadi peguam bela terhadap saya. masih kuat lagi ikatan ukhawah termasuk ada yang menawarkan secara sukarela untuk menjadi peguam bela. Insyallah saya mengambil perhatian sokongan dan dukungan sahabat-sahabat PMIUM, GAMIS dan pimpinan-pimpinan kampus yang menyatakan pendirian dan sokongan mereka. Ada juga dikalangan pimpinan ABIM dan PKPIM yang telah menyatakan sokongan moral secara peribadi. Saya amat hargai, sokongan yang diharapkan bukan semata-mata terhadap saya,bahkan sebenarnya buat agenda membudayakanintegriti dan anti rasuah. Tidak terkecuali sokongan sekumpulan pendukung dan pimpinan PKR, UMNO, PAS dan DAP yang menyatakan sokongan atas usaha danperjuangan melawan rasuah ini. Moga-moga agenda integriti & anti rasuah bukanlah menjadi agenda eksklusif saya dan GERAK bahkan menjadi agenda semua. Nampaknya telah mungkin ada kesedaran di kalangan mereka ini tentang memaknakan erti politik transformasi yang didukung oleh nilai jauhari & budiman. Ini politik kependetaan yang kita mahukan dipotretkan dalam nukilan baru sejarah Malaysia.



Buat sahabat-sahabat perjuangan anak muda baik dikampus dan diluar, jangan gusarkan diri untuk takut selepas ini melapor dan mendedahkan bahaya gejala rasuah baik yang melibatkan pimpinan UMNO-BN atau Pakatan Rakyat atau korporat dan kakitangan awam selepasmelihat natijah saya disaman oleh Tan Sri Khalid. Ini hanya ujian kecil daripada Allah SWT untuk melihat sejauhmana istiqamahnya perjuangan anakmuda dalam melawan rasuah dan membudayakan integriti. Kepada semua, kita yakin rakyat akan bangkit menolak pemimpin rasuah yang membawa makna rasuah bukan sahaja untuk dibanteras bahkan jangan dimulai termasuk juga dengan jumlah rasuah kecil.






Tindakan berbeza-beza dalam menangani rasuah politik dalam UMNO juga wajar diberikan definisi sebenar tentang rasuah. Apakah pandangan Islam yang sebenar?Hukumnya jelas, rasuah itu haram, tetapi yang menjadi kekeliruan adalah penentuan situasi rasuah, ada yang mengatakan politik wang,ada yang mengatakan hadiah, ada yang claim sebagai sedekah.Adakah dengan ini semua untuk menghalalkan rasuah? Orang yang didapati bersalah seperti Khairy jamaluddin dalam rasuah politik juga boleh memenangi post ketua Pemuda UMNO. Apakah nilainya ini dalam Pemuda UMNO?Ketua Menteri Melaka yang sudahpun bersalah masih lagi memegang jawatan di Melaka?



Hadirkanlah saya atau pun diri saudara saudari sendiri dengan bukti jika kalian mempunyainya. Gejala rasuah perlu ditangani bersama. teriakkan menjerit untuk orang lain bertindak tidak akan menyelesaikan masalah ini melainkan yang duduk di dalam juga yang punyai bukti tampil bekerjasama.


Jangan takut dengan saman dan penjara jika kita memahami bahawa ini erti sukar dan perit untuk melawan rasuah. hadirkan diri kita bersama melawan amal mungkar ini. Ini transformasi baru generasi muda. Dan ini juga dapatan saya apabila berbicara dengankepimpinan generasi muda.


Dinding tebal ideologi semangat politik partisan harus diruntuhkan jika yang terlibat sendiri adalah dikalangan kepimpinan parti yang kita dukung. Generasi muda hany menunggu masa untuk menghukum dan menolak kepimpinan yang hanya bercakap namun tidak menunaikannya. Ini bukn persoalan siapa lebih lama atau mana yang lebih besar. Namun penyakit rasuah ini tidak boleh langsung dimulakan. Amat besar kemurkaan Allah SWT kepada insan hanya bercakap tetapi tidak menunaikannya.


Buat teman-teman anak muda dan mahasiswa terutamanya PMIUM, Gamis, ABIM, PKPIM, Belia 4B dan termasuk MBM. Jangan gusar dengan tindakan saman jika mendedahkan dan melaporkan rasuah. namun hadirlah dengan bukti yang kukuh sama ada ianya melibatkan UMNO-BN dan atau Pakatan Rakyat ataupun juga mungkin dari sektor korporat atau awam. Teruskan perjuangan dan sumbangan sdr dan sdri walaupun mungkin bukan dengan memberikan bukti dan dokumen itu kepada saya atau GERAK. Saya optimis yang kemampuan, keberanian dan keseriusan sahabat anak muda dan mahasiswa. Saya bersedia untuk berkongsi pengalaman dan strategi bagi kita bersama-sama menewaskan penidakan terhadap integriti.Ini komitmen saya atas beberapa permintaan sahabat pimpinan kampus dan anak muda diluar sana yang mahukan kita berkongsi agenda perjuangan.
Akhirnya, hak untuk melapor dan mendedahkan rasuah seperti yang telah saya & GERAK lakukan adalah merupakan hak yang telah sedia ada dalam Perlembagaan buat semua yang lain. Usah gusar tentang ruang sdra sdri juga untuk berbuat demian. Yang difokuskan adalah harus hadir dengan bukti dan dokumen agar kita tidak menganiaya insan yang tidak berdosa.

Salam hotmat dan Salam Perjuangan Buat Semua.

p/s: Buat sahabat-sahabat anak muda yang mahu membantu sebagai lawyer sukarela dan membantu dari sudut yang lain termasuk idea, kewangan bagi menhadapi saman ini dan pendekatan integriti & anti rasuah adalah amat-amat saya alu-alukan. Boleh berhubung langsung dengan saya ataupun melalui email: nazreeyunus@yahoo.com






MB Selangor saman Pengerusi Gerak



SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memfailkan dua saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap pengerusi sementara Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) Mohd Nazree Mohd Yunus.
Saman yang difailkan oleh peguam beliau, Sankara Nair, pada 11.30 pagi tadi, adalah berhubung kenyataan media oleh Mohd Nazree yang mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa dan melakukan penyelewengan dengan menggunakan wang awam untuk membiayai kos penyelenggaraan dan belian aksesori serta alat ganti untuk kereta milik peribadi beliau.
Satu lagi saman ialah berhubung kenyataan media oleh Mohd Nazree kononnya Abdul Khalid menggunakan wang kerajaan negeri Selangor bagi membiayai pembelian 46 ekor lembu korban bernilai RM110,400 pada Hari Raya korban tahun lepas.
Pada 25 Feb lepas, peguam Abdul Khalid telah menuntut supaya Mohd Nazree menarik balik, meminta maaf dan membayar ganti rugi terhadap dua kenyataan itu tetapi beliau enggan melakukannya.
Abdul Khalid juga memohon ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan selain injunksi untuk menahan Mohd Nazree membuat kenyataan berbau fitnah.BERNAMA




http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=398580



SHAH ALAM, 24 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memfailkan dua saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap pengerusi sementara Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) Mohd Nazree Mohd Yunus.Saman yang difailkan oleh peguam beliau, Sankara Nair, pada 11.30 pagi tadi, adalah berhubung kenyataan media oleh Mohd Nazree yang mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa dan melakukan penyelewengan dengan menggunakan wang awam untuk membiayai kos penyelenggaraan dan belian aksesori serta alat ganti untuk kereta milik peribadi beliau.Satu lagi saman ialah berhubung kenyataan media oleh Mohd Nazree kononnya Abdul Khalid menggunakan wang kerajaan negeri Selangor bagi membiayai pembelian 46 ekor lembu korban bernilai RM110,400 pada Hari Raya korban tahun lepas.Pada 25 Feb lepas, peguam Abdul Khalid telah menuntut supaya Mohd Nazree menarik balik, meminta maaf dan membayar ganti rugi terhadap dua kenyataan itu tetapi beliau enggan melakukannya.Abdul Khalid juga memohon ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan selain injunksi untuk menahan Mohd Nazree membuat kenyataan berbau fitnah.-- BERNAMA





Tuesday, March 17, 2009

Kerajaan Perpaduan: Mungkin dimulakan di Perak?

Mungkin ini yang antara langkah awal dan transformasi politik yang boleh dilakukan dalam usaha membentuk kerajaan perpaduan. Adalah tidak keberatan untuk PR & BN bergabung membentuk kerajaan perpaduan Perak.
Ini antara solusi berani selain mengembalikan undian kepada rakyat dengan membubarkan DUN Perak. Langkah inijuga menjadi tanda aras awal untuk menguji sejauh mana relevannya kerajaan perpaduan seperti yang disyorkan oleh TGDS Hadi Awang.
Keputusan berani ini boleh diambil dan dimulakan suara penentu oleh Dr. Zamry & DS Nizar Jamaluddin. Politik damai merupakan suatu yang menguntungkan rakyat, namun pokoknya sejauhmana keikhlasan. Realiti juga akan menentukan keikhlasan itu. Asasnya untuk membentuk ruang keadilan yang lebih holistik dan memastikan kemaslahatan rakyat terbela.
Langkah menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak adalah langkah yang lebih bersejarah berbanding pembubaran DUN yang akhirnya melanjutkan lagi tempoh politiking yang mungkin mengambil masa. Langkah membentuk kerajaan perpaduan lebih bersifat win-win situation, memberi ruang buat keduanya (both party) bagi mencambah idea dan implementasi. Mungkin begitu keras keduanya mempertahankan tindakan kerana persoalan kuasa kepimpinan. Jika ada pendekatan perkongsian kuasa, apakah ini tidak mahu dipilih. Sejarahnya, mungkin diperingkat pusat masih belum lagi berkongsi kuasa, tetapi jika keadaan ini dicipta di peringkat negeri terlebih dahulu bagaimana keadaannya?Ada sesuatu yang menarik untuk melihat ini terjadi, ini mungkin makna transformasi politik yang dicita terutamanya generasi muda.

Monday, February 23, 2009

SPRM DIGESA LEBIH PROAKTIF DALAM MENYIASAT

KENYATAAN MEDIA GERAK MALAYSIA
23 Feb 2009

SPRM DIGESA LEBIH PROAKTIF DALAM MENYIASAT


Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK Malaysia) menyokong tindakan YB Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah mendedahkan isu pita rakaman bekas pemimpin negeri yang merasuah ADUN Kulim, YB Lim Soo Nee. Tindakan seperti ini seharusnya menjadi contoh kepada individu dan badan-badan lain agar lebih berani tampil mendedahkan kes-kes salahguna kuasa serta rasuah yang berlaku sebagai amaran kepada pihak-pihak yang terlibat. Namun kita juga menyarankan agar Dato' Seri Anwar Ibrahim menyerahkan bahan bukti tambahan terbaru, maklumat atau salinan dokumen yang berkaitan dakwaan yang telah dibuat secara segera bagi membantu siasatan. Mana-mana pihak yang mempunyai bahan bukti yang berkaitan tidak harus menyembunyikannya kerana ini boleh dianggap tidak serius untuk melaporkan kes rasuah. Semua pihak termasuk orang awam harus bekerjasama dalam usaha melawan rasuah. Usaha melawan rasuah akan gagal sekiranya hanya pihak-pihak tertentu sahaja yang berusaha mendedahkan jenayah rasuah ini.

GERAK Malaysia menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat bertindak secara proaktif dalam menjalankan siasatan ke atas kes salah guna kuasa dan rasuah politik yang semakin membarah ketika ini. GERAK Malaysia berpendapat rasuah politik yang semakin berleluasa ini bakal menjadi ancaman terhadap kestabilan pentadbiran negara sekiranya tidak dibanteras secara serius.

Berhubung isu pita rakaman bekas pemimpin negeri yang cuba merasuah ADUN Kulim, YB Lim Soo Nee seperti yang telah didedahkan oleh YB Ketua Pembangkang, GERAK Malaysia berpandangan SPRM seharusnya mengambil langkah yang lebih proaktif memandangkan bukti sedia ada bagi kes ini cukup kukuh sebagaimana yang didakwa oleh YB Ketua Pembangkang tersebut. SPRM juga boleh bertemu dengan YB Ketua Pembangkang untuk mendapatkan bahan bukti terlibat ataupun pihak Ketua Pembangkang hadir ke SPRM untuk berkongsi maklumat dan dokumen berkaitan. Kedua-dua pihak perlu memainkan peranan secara proaktif, pendedahan tanpa laporan serta tambahan maklumat atau dokumen baru akan sekadar mencetuskan polemik antara SPRM & Anwar Ibrahim. Gerak Malaysia juga menyokong usaha SPRM untuk mendedahkan siapa dalang disebalik cubaan rasuah politik ini.

GERAK Malaysia berharap agar SPRM tidak mengamalkan sikap ‘double standard’ dalam menjalankan siasatan ke atas mana-mana kes penyalahgunaan kuasa atau rasuah politik bagi melambangkan budaya transparent dan integriti suruhanjaya tersebut. Memandangkan bukti kukuh yang didakwa oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim berkaitan kes ADUN Kulim tersebut telah lama diperolehi, SPRM sewajarnya sudah boleh mengambil tindakan terhadap individu-individu yang terlibat. Namun GERAK Malaysia berharap kes ini dapat didedahkan segera agar rakyat dapat menilai keberkesanan SPRM terutamanya setelah mendedahkan kedudukan kes salahguna kuasa MB Selangor. Jika kes MB Selangor mampu dimaklumkan kedudukannya terhadap awam, maka kes-kes yang lain juga wajar untuk mendapat maklum balas pantas SPRM.

Gerak Malaysia menyarankan agar SPRM menyegerakan dakwaan terhadap mana-mana pemimpin yang terlibat rasuah sama ada daripada Barisan Nasional mahupun daripada Pakatan Rakyat. Jika kes MB Selangor didedahkan ada kemungkinan kuat untuk didakwa maka bagi kes-kes rasuah VIP yang lain juga wajar untuk didakwa dengan kadar segera.Gerak Malaysia menyaruh keyakinan terhadap SPRM untuk melakukan pendakwaan secara telus dan tepat. Kita percaya, jika SPRM bertindak adil, maka rakyat kebanyakkan akan menyokong SPRM tidak kira siapa yang akan didakwa. Kita menyarankan agar mana-mana pemimpin yang didakwa atas tuduhan rasuah wajar untuk digantung tugas atau meletakkan jawatannya bagi memperbaiki integriti kepimpinan partinya termasuk dalam kes MB Selangor. Gerak Malaysia menyokong kepimpinan yang berusaha untuk membudayakan integriti dan merealisasikan secara jujur.

MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi GERAK Malaysia






SPRM WAJAR SIASAT JIKA ADA RASUAH LOMPAT PARTI

KENTAAN MEDIA GERAK MALAYSIA
16 FEBRUARI 2009

SPRM WAJAR SIASAT JIKA ADA RASUAH LOMPAT PARTI


Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia) menolak keras mana-mana agenda rasuah politik bagi membeli atau memancing ADUN atau mana-mana Ahli-ahli Parlimen Malaysia untuk melompat parti. Gerak Malaysia menggesa agar SPRM menjalan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan jenayah ini.

Situasi ketidakstabilan politik yang berlaku di Perak akibat lompat parti atau bertukar menjadi ADUN Bebas harus dihindarkan daripada perilaku rasuah dan ugutan. Gerak Malaysia menggesa mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh termasuk salinan transaksi, wang, cek, surat-surat berkaitan agar tampil membuat laporan kepada SPRM. Gerak Malaysia menyokong apa-apa usaha oleh mana-mana pihak bagi mendedahkan dan melaporkan jenayah rasuah yang berlaku bagi membeli ADUN-ADUN daripada mana-mana parti politik.

Walaupun tindakan melompat parti atau bertukar parti adalah suatu tindakan yang dibenarkan oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 10, namun tindakan ini perlu dihindarkan daripada anasir-anasir rasuah, ugutan, salah guna kuasa dan bersifat kepentingan peribadi.

Gerak Malaysia juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang bersedia menjadi saksi dan membawakan dokumen fizikal kes-kes rasuah politik yang berkaitan dalam isu lompat parti agar Gerak Malaysia dapat mengambil tindakan bersama dan lebih agresif untuk mendedahkan kepada masyarakat. Jika laporan bersumpah yang dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri adalah benar melibatkan rasuah politik, Gerak Malaysia menggesa agar SPRM bertindak pantas untuk melakukan siasatan dan tindakan. Timbalan Perdana Menteri juga wajar digantung tugas jika terlibat dalam kes yang didakwa. Pelapor juga boleh bertemu Gerak Malaysia untuk kita mengambil tindakan yang boleh mencetuskan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya rasuah untuk membeli kuasa politik.

Gerak Malaysia menyarankan agar secara segera undang-undang berkaitan masalah lompat parti digubal. ADUN atau Ahli Parlimen yang melompat parti wajar meletakkan jawatan bagi membolehkan pilihanraya kecil dijalankan bagi kawasan mereka. Walaubagaimanapun, kita mencadangkan agar mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen yang meletakkan jawatan wajar diberi peluang untuk bertanding semula sejurus meletak jawatan bagi mewakili parti barunya . Situasi ini penting bagi memberikan keadilan kepada calon dan rakyat dalam proses demokrasi. Undang-undang yang konklusif wajar dibentuk bagi memastikan keterjaminan integriti politik. Kita juga mengecam mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen yang mengambil kesempatan daripada kebebasan berpersatuan yang dijamin Perlembagaan untuk melompat parti atas unsur-unsur sogokan, rasuah dan kepentingan diri. Gerak Malaysia menyarankan agar rakyat menolak kepimpinan yang rasuah dan lebih mementingkan kepentingan diri.

MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi
GERAK MALAYSIA

Saturday, January 31, 2009

Lompat Parti: Jauhi Rasuah

Isu kejatuhan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak menggamit banyak persoalan dan persepsi masyarakat. Kebanyakkan analisis media menunjukkan adalah lebih adil untuk dibubarkan DUN Perak berbanding pendekatan yang sedang diguna pakai sekarang.
Namun soal pendekatan ini betul atau tidak kita boleh merujuk perkara ini kepada pandangan kedua-dua belah pihak termasuk daripada perspektif undang-undang. Tindakan untuk mana-mana individu mengemukakan saman adalah terpulang kepada hak individu yang mungkin melihat ada beberapa justifikasi tersendiri melihat keadaan yang berlaku seolah-olah ada pertentangan dengan undang-undang.
Maka dalam hal ini masing-masing perlu mengemukakan serta mempertahankan tindakan dengan merujuk kepada undang-undang walaupun sehingga perlu dibawa ke mahkamah. Mungkin sehingga polemik ini tidak diberikan ketentuan oleh mahkamah maka kedua-dua pihak akan mendakwa pendekatan yang dibuat oleh pihak mereka sebagai itulah yang terbaik dan mengikuti lunas undang-undang.
Hakikatnya dalam persoalan ini, individu yang menjadi ADUN yang terlibat perlu membebaskan diri daripada rasuah ataupun ugutan ketika keputusan berpindah parti sama ada parti lawan atau menjadi ADUN Bebas.
Hakikat ini perlu diterima Karpal Singh bahawa tidak salah secara undang-undang untuk melompat parti cuma asasnya perlu berprinsip. Namun inilah hakikat yang sukar ditentukan apabila untuk menentukan kayu ukur lompat berprinsip ataupun tidak itu berlaku. Maka tindakan Anwar Ibrahim mencanang lompatparti itu adalah tidak menjadi kesalahan menurut undang-undang sehingga akhirnya terbukti tidak bersalah tindakan melompat seperti yang berlaku di Perak. Cuma polemiknya ialah apakah lompatan itu lompatan ikhlas dan bersih daripada rasuah? Jika ADUN Bota dikatakan melompat secara bersih, maka itu dijelaskan oleh ADUN itu sendiri dan rakyat melihat tindakan itu sebagai kembali kepada fitrah.
Namun mengapakah lompatan dua ADUN PKR dan seorang DAP dilihat sebagainya. Rakyat memahami tindakan lompat itu tidak salah. Tetapi yang menimbulkan keraguan ialah dua ADUN yang mahu melompat itu terlibat dengan tuduhan rasuah di mahkamah. Mengapa tiba-tiba dua ADUN ini mahu bertukar menjadi ADUN bebas? Rakyat melihat keadaan ini seolah-olah ada janji 'sistem barter' untuk menggugurkan kes rasuah mereka.
Kita percaya jika ini yang berlaku, rakyat tidak akan menerima pendekatan lompat seumpama ini. Dalam hal ini, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat, fakta & dokumen berkaitan masalah ini harus bersatu & bermuafakat dalam melaporkan kes jika melibatkan rasuah. Gerak Malaysia juga bersedia untuk menerima maklumat & dokumen berkaitan untuk kita dedahkan bersama demi kepentingan rakyat.
Jika lompat parti menjadi masalah terutama apabila jumlah majoriti kerusi DUN antara kerajaan & pembangkang agak tipis, maka undang-undang pencegahan perlu digazetkan. Undang-undang ini perlu dibuat atas asas untuk bertindak sebagai mencegah budaya rasuah & penidakkan terhadap integriti yang lebih merosakkan maslahah rakyat. Undang-undang yang menyebut mana-mana ADUN yang meletakkan jawatan tidak boleh bertanding sehingga 5 tahun juga wajar dibubar. Ini adalah undang-undang yang dicipta Mahathir untuk mengekang ADUN-ADUN BN lain mengikut jejak langkah Datuk Shahrir Samad yang bertanding Bebas di Johor Bharu menentang calon BN yang akhirnya memberikan kemenangan kepada Datuk Shahrir. Sikap seumpama yang diambil oleh Datuk Shahrir dan yang terbaru ADUN Bukit Selabau, Kedah, V. Arumugam yang meletakkan jawatan sebagai Exco & ADUN Kedah wajar dipuji.
Tindakan ini memberikan hak kembali kepada rakyat untuk memilih. Pokoknya bergantung kepada integriti ADUN sendiri walaupun hari ini tidak ada undang-undang yang memaksa mereka meletakkan jawatan sekiranya lompat parti. Bahkan ada pula undang-undang yang tidak membenarkan mereka bertanding sehingga 5 tahun dari tarikh perletakkan jawatan. Ini dua contoh-contoh dalam keadaan undang-undang yang berbeza. Namun dalam keadaan undang-undang hari ini sebenarnya lebih menguji keikhlasan mana-mana ADUN. Hakikatnya, ADUN PKR, V. Arumugam tidak boleh bertanding semula selepas meletakkan jawatan ADUN sehingga 5 tahun. Namun natijahnya ialah rakyat diberikan pilihan untuk menerima kembali legitimasi parti yang didukungnya atau mungkin parti baru atau bebas yang dipilih oleh ADUN.
Mungkin Dr. Zamry, boleh mencorak pendekatan berbeza. Apakah boleh diwujudkan kerajaan campuran BN & PR hanya di Perak?Ini juga satu langkah baru politik. Namun siapa pula MB nya? Kekal daripada PAS atau UMNO/BN?Ataupun mungkin Dr. Zamry boleh juga memohon kepada Sultan Perak untuk membubarkan DUN. Ini lebih dilihat keyakinan BN untuk berdepan dengan persepsi masyarakat serta pilihan rakyat.
Saranan ini perlu diperhatikan kerana tiga sokongan daripada ADUN Bebas itu adalah dua daripadanya terlibat dengan pendakwaan rasuah di mahkamah. Untuk menunjukkan kekuatan integriti BN, mereka seharusnya mengambil pendekatan untuk memohon juga kepada Sultan Perak untuk membubarkan DUN. Kita rakyat tidak mahu politik ini ditentukan sokongan oleh pemimpin yang terlibat dengan rasuah, walaupun kes masih dibicarakan namun seperti yang seringkali saya tegaskan, jawatan dan porfolio yang sedang didakwa harus digantung. Maka amat wajar untuk dua bekas ADUN PKR ini meletakkan jawatan. Sikap kita rakyat tidak boleh berkompromi dengan rasuah dan mereka yang terlibatnya dengannya.
UMNO & BN harus menyedari hakikat ini. Sokongan penbentukan kerajaaan di Perak daripada ADUN yang sedang didakwa kes rasuah hanya akan memperlihatkan politik ini adalah berbentuk apa sahaja kesempatan. Politik harus dibentuk dengan jujur. Walaupun jika dua ADUN ini meletakkan jawatan, mungkin ada yang akan menyatakan BN masih lagi mempunyai majoriti mudah 1 kerusi lebihan melalui bekas ADUN DAP. Tetapi apakah tidak ada kemungkinan untuk ADUN itu berpatah balik kepada DAP. Kita juga tidak akan setuju untuk ADUN DAP itu berpatah balik dengan ugutan & rasuah seperti mana dakwaan kuat masyarakat terhadap bekas dua ADUN PKR. Jika bekas ADUN DAP berpatah balik dan dalam masa yang sama bekas dua ADUN PKR didapati bersalah, maka Pakatan Rakyat akan memerintah Perak kembali. Apakah PR akan juga mencadangkan pembubaran DUN? Jika PR akan juga membubarkan DUN, maka langkah awak ini perlu diambil Dr. Zamry untuk memohon persembah Sultan Perak membubarkan DUN bagi mendapat mandat rakyat.
Bagi menjamin perkara seumpama lompat parti yang menimpulkan keresahan ini kembali berlaku, maka Parlimen melalui Dewan Rakyat boleh membentangkan undang-undang yang membolehkan ruang ditutup buat rasuah sama ada benar atau tidak perkara ini. Tanpa undang-undang yang konklusif menangani masalah ini, maka kita percaya akan wujud ruang-ruang berlakunya rasuah & ugutan sama ada ianya benar dapat dilakukan atau tidak dalam isu lompat melompat ini. Atau sama ada jumlah rasuah itu besar ataupun kecil tetap akan akan ada ruang untuk berlaku tanpa undang-undang.
Kayu ukur kekuatan integriti perlu dilandasi undang-undang yang boleh menutup ruang berlakunya pengkhianatan terhadap integriti terutamanya pemimpin politik. Islam juga turun dengan undang-undangnya yang mana dalam masa yang sama membahaskan tentang keimanan yang merujuk kepada kekuatan dalaman diri. Ternyata Islam telah menunjukkan contohnya, maka dalam isu melompat parti ini juga perbicaraan soal integriti dan ketelusan lompatan itu harus dilandasi dengan undang-undang yang boleh menyokong semangat integriti itu.
Mungkin yang boleh dilihat Parlimen dalam soal integriti kepimpinan ini atau integriti politik. Mana-mana ahli politik dibenarkan atau bebas bertukar parti termasuk menjadi bebas. Namun mereka wajar mengembalikan hak menentukan sokongan kepada rakyat. Undang-undang halangan 5 tahun tidak boleh bertanding wajar dilupuskan. Ini memberikan hak juga kembali kepada individu bekas ADUN yang telah meletakkan jawatan untuk bertanding semula jika ada keinginan seperti yang telah termaktub kebebasan ini dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
Dengan cara ini, parti-parti politik yang cenderung untuk menawarkan rasuah bagi mana-mana ADUN melompat kepada parti mereka akan memikirkan dua kali kerana tidak ada kesan langsung yang boleh diperoleh melalui tindakan ugut atau merasuah mana-mana ADUN. ADUN juga tidak akan mudah terpengaruh dan tunduk kepada ugutan-ugutan serta rasuah seumpama ini.
Semoga semua ADUN & ahli-ahli Parlimen menjauhi amalan melompat kerana rasuah & ugutan kerana ini bertentangan dengan kepentingan awam & nilai integriti walaupun undang-undang pada hari ini membenarkan untuk bertukar parti pada bila-bila masa. Seharusnya kesempatan atas undang-undang yang sedia ada ialah mana-mana ADUN & Ahli Parlimen mana-mana parti wajar untuk menunjukkan daya integriti mereka. Integriti & anti rasuah bukan sekadar hanya diucapkan, tetapi wajar untuk diperlihatkan.
Bagi orang awam yang mempunyai bukti rasuah berkaitan melompat parti harus tampil beramai-ramai seperti mana tampilnya beramai-ramai orang awam melaporkan kes kepada polis dalam isu Karpal Singh. Agenda integriti & anti rasuah bukan hak esklusif mana-mana pihak termasuk Gerak Malaysia. Agenda ini adalah agenda semua, jika kami tidak mempunyai dokumen & maklumat, orang awam yang lain boleh berkongsi maklumat dan pendedahan bersama Gerak Malaysia. Gerak Malaysia bersedia bertindak untuk semua pihak. Saya mengalu-alukan penyerahan dokumen berkaitan untuk didedahkan buat kepentingan dan maslahah ummah. Saksi kejadian juga boleh bersama dengan Gerak Malaysia untuk kita bersama-sama bertindak. Tidak juga menjadi halangan Gerak Malaysia untuk orang awam juga beramai-ramai melaporkan kes bukti kepada SPRM & termasuk pihak polis. Salam kerjasama buat semua. Bersama Membanteras Rasuah.

GERAK MALAYSIA SOKONG PIHAK MAHU BANTERAS RASUAH




KENYATAAN MEDIA GERAK MALAYSIA
30 JAN 2009

GERAK MALAYSIA SOKONG PIHAK MAHU BANTERAS RASUAH

Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia ) menyokong penuh tindakan mana-mana pihak termasuk parti-parti politik untuk menyatakan komitmen secara serius dan tegas bagi mendedahkan apa-apa sahaja kes-kes rasuah yang melibatkan penyelewengan wang rakyat. Gerak Malaysia juga menyokong usaha-usaha oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor untuk mendedahkan rasuah & penyelewengan yang melibatkan Kerajaan BN Selangor di bawah pimpinan Dato’ Seri Dr. Mohd Khir Toyo dahulu. Sepatutnya pendedahan seperti itu tidak perlu menunggu masa yang begitu lama untuk dibuat. Sebaik sahaja mendapat bahan bukti yang mencukupi, laporan hendaklah terus dibuat kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan segera. Bukan menunggu untuk setakat mendedahkannya di dalam Dewan Undangan Negeri sahaja. Gerak Malaysia juga bersedia untuk membongkarkan penyelewengan yang berlaku jika mendapat maklumat dan dokumen yang berkaitan dengannya.

Dalam perkembangan terdahulu, Gerak Malaysia merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesungguhan mereka yang telah berusaha gigih untuk menyiasat & membanteras kes-kes rasuah yang dilaporkan seperti rasuah politik dalam UMNO dan termasuk dakwaan kes penyelewengan Menteri Besar Selangor baru-baru ini. Gerak Malaysia berharap agar tidak ada sikap pilih kasih atau siasatan terpilih dalam kes-kes rasuah sama ada melibatkan kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional mahupun Kerajaan Pakatan Rakyat.

Gerak ingin menegaskan di sini bahawa kes yang melibatkan dakwaan salah laku dan rasuah Tan Sri Khalid itu bukanlah satu perkara yang kecil atau remeh. Yang dipersoalkan di sini ialah cara pengeluaran dana kerajaan negeri yang tidak mengikut prosedur dan disalurkan ke kawasan Parlimennya sendiri yang berada di luar negeri Selangor. Bukanlah daging korban atau manfaat yang diperolehi oleh penduduk di Bandar Tun Razak yang dipertikaikan, tetapi manfaat keuntungan politik yang diperolehi oleh Menteri Besar secara tidak betul yang dipersoalkan. Lebih-lebih lagi jumlah 46 ekor lembu korban yang diberikan kepada Parlimen Bandar Tun Razak (yang meliputi semua Masjid, Surau dan Madrasah) adalah melebihi daripada jumlah yang di agihkan kepada 9 daerah di seluruh negeri Selangor (yang hanya diberikan kepada Masjid sahaja). Kita kecewa dengan sikap dolak dalih yang ditunjukkan oleh Tan Sri Khalid dalam menangani isu ini dan cara beliau menutup kesilapan beliau dengan alasan “sedekah” dan “amal jariah” dalam usaha beliau untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu yang sebenarnya. Gerak Malaysia menekankan persoalan pengurusan integriti dalam kepimpinan tidak kira sama ada oleh BN ataupun PR.

Sehubungan dengan itu Gerak juga ingin menyeru kepada para ulama dan tokoh-tokoh agama termasuk para mufti untuk memberikan pandangan mereka terhadap amalan “sedekah” dan “amal jariah” seperti ini untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah faham kepada umat Islam keseluruhannya.

Kita juga menyarankan, mana-mana pihak yang mempunyai dokumen dan fakta yang berkaitan kes rasuah dan penyelewengan agar tampil secara berani melaporkan kes berkenaan. Gerak Malaysia sentiasa menyokong tindakan rakyat untuk melaporkan dan mendedahkan kes-kes rasuah. Kita juga bersedia untuk bekerjasama dengan pihak-pihak yang ingin melaporkan tentang salah guna kuasa mana-mana pihak sama ada di peringkat kerajaan mahupun pembangkang. Isu integriti dan anti rasuah bukanlah perjuangan eksklusif Gerak Malaysia tetapi ini merupakan perjuangan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira batasan ideologi kepartian.

Gerak Malaysia juga ingin menegaskan bahawa kita tetap dengan prinsip untuk membudayakan integriti dan anti rasuah secara neutral, non-partisan dan bebas. Justeru kita juga menolak tohmahan mana-mana pihak yang menuduh Gerak Malaysia dipergunakan untuk kepentingan parti politik tertentu. Gerak Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mencabar kredibiliti tindakan Gerak Malaysia dalam melaporkan salah laku rasuah & penyelewengan terutamanya melibatkan rasuah politik.

Mohd Nazree Mohd Yunus
Pengerusi Gerak Malaysia


Tuesday, January 27, 2009

TIADA KOMPROMI DALAM RASUAH POLITIK : GERAK MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA
GERAK MALAYSIA
23 JANUARI 2009

TIADA KOMPROMI DALAM RASUAH POLITIK : GERAK MALAYSIA


Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia) menyokong tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila mendakwa 3 pimpinan dan ahli UMNO yang terlibat dengan rasuah politik di mahkamah sesyen Kuala Lumpur, Ipoh dan Melaka.

Gerak Malaysia juga menyarankan agar SPRM tidak menjalankan pendakwaan terpilih terhadap hanya ahli dan pimpinan kecil peringkat cawangan dan bahagian sahaja dalam melakukan rasuah politik terutamanya menjelang pemilihan UMNO Mac ini. Kita juga berharap agar ada tindakan yang lebih agresif daripada SPRM untuk melakukan pendakwaan terhadap beberapa kepimpinan tertinggi UMNO termasuk beberapa laporan berkaitan salahguna kuasa Presiden dan Tim. Presiden UMNO.

Gerak Malaysia menggesa agar mana-mana pihak yang mermpunyai bukti fizikal rasuah terutamanya berkaitan dokumen, resit, wang atau cek agar tampil menyampaikan dokumen itu kepada SPRM untuk dilakukan penyiasatan dan pendakwaan.

Kita juga bersedia untuk menerima dan mendedahkan laporan rasuah politik UMNO jika ada mana-mana pihak bersedia bekerjasama untuk memberikan dokumen yang berkaitan yang boleh membantu pendakwaan.

Gerak Malaysia juga menyokong tindakan MPT PKR Sdra. Badrul Hisham Shaharin yang sebelum ini telah mendedahkan dokumen rasuah politik pimpinan UMNO Bahagian Wilayah Persekutuan. Gerak Malaysia menggesakan agar SPRM dapat mengambil tindakan segera atas pendedahan tersebut.

Semua pihak perlu bermuafakat dalam agenda membudayakan integriti dan anti rasuah termasuk perkongsian maklumat dan kerjasama antara NGO-NGO & parti-parti politik agar rasuah politik dapat dibendung daripada menular dalam mana-mana parti politik sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Gerak Malaysia tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan rasuah termasuk rasuah politik yang melibatkan pimpinan tertinggi UMNO atau parti-parti yang lain.


MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi Gerak Malaysia