Wednesday, December 17, 2008

AUKU dipinda bukan dimansuh : Apa Kata GMMA?

Buat teman-teman (Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU) GMMA, apakah pendirian yang mahu diambil?apakah akan ada lagi desakan buat AUKU?Sanggupkah mereka berdemontrasi lagi di KPT? atau bakal mengikut jejak langkah Reformis untuk melakukan juga demontrasi bogel jika desakan GMMA untuk memansuhkan AUKU sekadar hanya disambut oleh KPT dengan pindaan?
Hakikatnya AUKU hanya dipinda, sudah pasti ada keperluan untuk GMMA meneruskan aksi massa bagi menterjemahkan maksud dan objektif kewujudan GMMA. Penglibatan dalam politik oleh mahasiswa masih lagi tidak diberikan ruang oleh pindaan AUKU (2008). Ternyata ini mengecewakan.
GMMA harus bangkit lebih agresif namun konstruktif agar dilihat lebih matang mendepani isu. Kelebihan GMMA adalah harus dimanfaatkan dalam konteks kekuatan mobilasi massa. Jika 'advantage' ini tidak dimanfaatkan, maka unjuran gerakan GMMA akan dilihat songsang menuruni graf yang sepatunya positif dalam perjuangan mahasiswa menuntut agar AUKU memberikan ruang demokrasi dan pembinaan watak negarawan yang lebih baik buat mahasiswa.
Kita memikirkan apakah penentuan sikap GMMA selepas ini? Apakah perjuangan GMMA akan diteruskan atau mereka sudah berpuas hati dengan janji gula-gula baru AUKU?

Monday, December 15, 2008

DEKLARASI PERMUAFAKATAN INTEGRITI & ANTI RASUAH



KENYATAAN MEDIA
10 DISEMBER 2008


Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK Malaysia) ingin menyarankan agar ahli-ahli Parlimen Malaysia membahaskan secara serius, matang dan berkesan rang undang-undang Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM esok 10 Disember 2008. Atas kesedaran ini, GERAK Malaysia telah menggagaskan 17 Deklarasi berkaitan usaha-usaha membudayakan integriti dan anti rasuah. GERAK juga ingin menegaskan agar SPRM diberikan kuasa pendakwaan mutlak melalui undang-undang yang bakal dibentuk bagi mengendalikan kes-kes rasuah serta diletakkan secara independent di bawah Parlimen. Makhkamah Khas juga wajar dibentuk bagi membicarakan kes-kes rasuah secara khusus dan efisien. GERAK Malaysia juga mencadangkan agar SPRM yang bakal ditubuhkan kelak mampu menjalinkan hubungan secara langsung dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran & Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menggalakkan lagi usaha-usaha memperkasakan pendidikan integriti & anti rasuah.

Berikut adalah DEKLARASI PERMUAFAKATAN INTEGRITI & ANTI RASUAH oleh GERAK Malaysia:

DEKLARASI PERMUAFAKATAN INTEGRITI
& ANTI RASUAH


PERMUAFAKATAN INTEGRITI & ANTI RASUAH

DEKLARASI PERMUAFAKATAN INTEGRITI & ANTI RASUAH

Menginsafi bahawa rasuah adalah gugatan terhadap iman dan nilai moraliti yang boleh meruntuhkan asas akhlak dan kepimpinan dengan merendahkan martabat bangsa dan tidak menjunjung undang-undang;

Menyedari bahawa rasuah adalah sering berpunca daripada perasaan tamak, pilih kasih, dorongan nafsu dan cita-cita melulu demi memenuhi kepentingan individu sama ada di dalam mengumpulkan kekayaan peribadi, di dalam memajukan perniagaan secara mudah, di dalam mencapai aspirasi politik menerusi jalan paling singkat atau menebus perilaku yang melanggar undang-undang;

Mengakui bahawa jenayah rasuah yang merebak secara parah boleh mendorong ke arah ketidakadilan, menindas golongan kurang berada dan melupuskan kos kecekapan (cost efficiency) serta mengancam keselamatan negara, menghuru-harakan kerajaan, meruntuhkan tamadun, membinasakan bangsa dan mengugat pendukungan demokrasi;

Menerima hakikat bahawa kepemimpinan yang bermaruah serta mempunyai iltizam yang tegas adalah pemimpin yang menjadi pemangkin gerakan massa untuk memerangi rasuah di semua peringkat secara komited, konsisten dan berkesan;

Menyokong, menghargai serta mengiktiraf bahawa iltizam politik serta ketegasan kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan memerangai rasuah dan ini merupakan tindakan positif ke arah negara yang sifar toleran terhadap rasuah;

Meyakini bahawa kewujudan masyarakat madani Malaysia akan menjadi pemangkin kebangkitan negara yang sifar rasuah dan mampu membentuk Good Governance;

Maka Permuafakatan Integriti dan Anti Rasuah mengambil ketetapan bahawa:

Kerajaan hendaklah mengkaji semula kuasa, tugas dan tanggungjawab Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mencakupi aspek-aspek pendidikan, pencegahan, penyiasatan dan pendakwaan yang menyeluruh. Ini akan membolehkan BPR atau SPRM mempelopori gerakan pendidikan anti rasuah yang komprehensif di kalangan masyarakat, melakukan kegiatan pencegahan yang lebih berkesan, menjalankan penyiasatan dengan lebih cekap dan adil serta membuat perakuan-perakuan pindaan yang berwibawa ke atas segala amalan dan prosedur di sektor awam yang didapati menggalakkan rasuah.

Kerajaan hendaklah memberikan kuasa penuh kepada BPR atau SPRM untuk meminta mana-mana individu yang disyaki melakukan rasuah untuk menjelaskan harta yang dimilikinya menerusi kenyataan bersumpah. Jika individu berkenaan gagal memberikan penjelasan yang memuaskan berhubung pemilikan harta yang melebihi pendapatannya, maka pendakwaan hendaklah dibuat ke atasnya. Sekiranya didapati bersalah, harta individu tersebut hendaklah diambil/disita oleh pihak kerajaan seadilnya dan dimanfaatkan semula untuk kepentingan rakyat.

Kerajaan hendaklah menubuhkan sebuah jawatankuasa penilai peringkat tertinggi (review committee) yang bertanggungjawab mengkaji semula semua kes rasuah yang telah disiasat oleh BPR dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, tetapi kes berkenaan tidak dibawa ke makhkamah. Jawatankuasa ini hendaklah melantik Ketua Hakim Negara sebagai Ex-Officio dan dianggotai oleh perwakilan rakyat atau individu yang berwibawa tinggi serta bertanggungjawab terus kepada Parlimen. Jawatankuasa ini juga harus membincangkan kaedah terbaik bagi membentuk sebuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Di samping hukuman-hukuman berat yang dikenakan ke atas pesalah rasuah, Kerajaan hendaklah juga mengenakan juga hukuman sebat ke atas pesalah-pesalah tersebut.

Kerajaan hendaklah mengutuk amalan rasuah sebagai musuh no.1 negara yang lebih dahsyat bahayanya daripada penagihan dadah. Justeru, kerajaan hendaklah merestui kewujudan sebuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Suruhanjaya ini hendaklah bertanggungjawab mengesan, mengkaji serta menganalisa amalan rasuah, kesan dan implikasinya terhadap sosio ekonomi, politik dan keselamatan negara. Suruhanjaya ini hendaklah dibentuk dan diwujudkan menerusi kerangka undang-undang, mempunyai jawatankuasanya di peringkat negeri dan daerah serta bergerak seiring dengan BPR atau SPRM ataupun terus menggantikan peranan BPR setelah BPR itu sendiri distrukturkan semula ke arah menjadi suruhanjaya bebas yang benar-benar efisyen.

Kerajaan hendaklah menggalak serta mengiktiraf kewujudan satu gerakan anti rasuah sama ada dalam bentuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggembleng penyertaan rakyat jelata, sektor awam, sektor swasta, pertubuhan politik dan pertubuhan sukarelawan di semua peringkat, di seluruh negara. Gerakan bersepadu ini juga hendaklah bergerak seiring dengan BPR ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang bakal ditubuhkan kelak.

Seluruh jentera, sistem, peraturan dan undang-undang yang boleh mendorong amalan rasuah dan didapati menyulit, menghalang atau melambat-lambatkan pembangunan, kemajuan dan modenisasi ekonomi dan perindustrian negara hendaklah dikaji semula dan dibaiki keberkesanannya. Kerajaan hendaklah memperkasakan peranan Kementerian Kewangan dengan membentuk sistem ekonomi dan sistem penyampaian ekonomi yang berkesan serta berupaya memantau dan menutup ruang-ruang yang boleh berlakunya rasuah dan penyelewengan.

Sektor awam, swata dan kalangan politik hendaklah diberi kefahaman mendalam dan terperinci bahawa pembangunan, kemajuan dan modenisasi negara, khususnya di bidang ekonomi dan perindustrian, adalah tanggungjawab bersama selaras dengan semangat dan dasar untuk membentuk Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.

Hendaklah diwujudkan mekanisma perundangan yang berkesan untuk menyelia urusan yang melibatkan sektor perniagaan dan Kerajaan. Perilaku kakitangan awam yang memproses, menganalisa, membuat perakuan, mengendali, menyelia dan meluluskan semua aspek percukaian, perlesenan, projek pembangunan dan projek penswastaan di peringkat pusat, negeri dan daerah mestilah telus dan bebas daripada rasuah. Warga korporat yang berurusan dengan sektor awam mengenai penswastaan atau perlaksanaan projek pembangunan di semua peringkat juga dituntut berperilaku telus dan bebas daripada rasuah.

Sebuah sistem kawalan dalaman bagi jabatan-jabatan utama Kerajaan yang mengendalikan projek-projek penswastaan dan projek pembangunan negara yang besar hendaklah dipastikan telus, amanah dan berintegriti dalam mengendalikan maklumat-maklumat penting supaya tidak berlaku pembocoran rahsia dan maklumat yang bernilai komersial dan yang dapat diperdagangkan dengan nilai pasaran ataupun dengan nilai rasuah yang tinggi.

Semua anggota penguatkuasa undang-undang dan kakitangan awam di jabatan yang sering terdedah dengan amalan rasuah hendaklah mempunyai tatacara yang telus, berintegriti dan berkesan. Semua sektor swasta juga hendaklah mewujudkan Tatacara Etika Integriti & Anti Rasuah dalam organisasi masing-masing.

Sumpah jawatan bagi seluruh perlantikan awam, swasta dan politik di semua peringkat hendaklah mengandungi elemen kemurnian akhlak, keluhuran undang-undang serta membudayakan integriti dan anti rasuah.

Seluruh kakitangan awam, kepimpinan politik dan kepimpinan korporat di mana Kerajaan mempunyai saham hendaklah dimestikan mengisytiharkan harta masing-masing kepada sebuah jawatankuasa di bawah pimpinan Perdana Menteri dan juga Parlimen.

Usaha mewujudkan masyarakat madani yang menjunjung keluhuran undang-undang, mengamalkan tradisi bermoral yang murni, berbudaya, berintegriti dan tidak berkompromi terhadap rasuah perlu diperhebat dan diperkasakan lagi gerakannya di setiap lapaisan masyarakat Malaysia. Seluruh jentera pembangunan generasi anjuran kerajaan, parti-parti politik, organisasi korporat dan badan-badan sukarela di semua peringkat perlu mendukung usaha mewujudkan masyarakat madani ini menerusi gerakan kesedaran dan modul latihan ketatanegaraan dan keagamaan yang rapi, khusus, bersepadu dan berterusan.

Elemen-elemen dan mesej integriti dan anti rasuah hendaklah diterapkan ke dalam jiwa segenap generasi muda Malaysia menerusi kurikulum khas pendidikan rendah, menengah dan pengajian tinggi anjuran kerajaan dan swasta. Elemen dan mesej integriti dan anti rasuah ini juga hendaklah diterapkan ke dalam jiwa pelatih menerusi kurikulum khas di semua agensi latihan awam dan swasta. Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Malaysia harus memberikan keprihatinan terhadap usaha-usaha membentuk budaya integriti dan anti rasuah melalui sistem pendidikan negara.

Pihak media massa hendaklah diberi galakan untuk melaporkan gejala dan amalan rasuah oleh segenap lapisan masyarakat secara jujur, adil dan berwibawa.

Mengoptimumkan fungsi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membentuk keterlibatan langsung golongan wanita dalam usaha-usaha membudaya integriti dan anti rasuah bermula dengan pengukuhan budaya integriti dan anti rasuah dalam keluarga.

Berasaskan deklarasi ini GERAK Malaysia ingin menyatakan pendirian bahawa semua pihak sama ada Ahli Parlimen Malaysia, Pimpinan Parti-parti politik, mahasiswa, badan-badan bukan kerajaan dan pertubuhan atau persatuan belia dan anak muda harus menguatkan tekad dan iltizam untuk bangkit membentuk budaya integriti dan anti rasuah bagi memastikan terbentuknya permuafakatan bersepadu di kalangan kita dalam usaha membentuk Good Governance dan kepimpinan yang adil, amanah dan bertanggungjawab demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
GERAK Malaysia juga menyatakan harapan tinggi kepada seluruh Ahli Parlimen Malaysia agar dapat membahaskan secara matang dan konstruktif rang undang-undang penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Parlimen pada awal Disember 2008 ini.
Semoga dengan terbentuknya SPRM ini mampu memberikan harapan, perubahan dan nafas baru terhadap kewibawaan dan kredibiliti BPR lantas memberikan erti yang lebih serius terhadap usaha-usaha kerajaan dengan kerjasama pihak pembangkang bagi memperkemaskan struktur, undang-undang dan pendidikan yang menjurus ke arah membentuk budaya integriti dan anti rasuah.
Deklarasi oleh:

Gerakan Rakyat Anti Korupsi
(GERAK Malaysia)

Mohd Nazree Mohd Yunus
Pengerusi GERAK Malaysia

sk: Badan Pencegah Rasuah (BPR)
Ahli-ahli Parlimen Malaysia
Institut Integriti Malaysia
Transparency International-Malaysia
Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Belia dan Anak Muda Malaysia
Pimpinan UMNO, PAS, PKR, DAP, MCA, MIC & Gerakan
Kementerian Pengajian Tinggi
Kementerian Pelajaran
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat
Institut Kajian Asas Kemasyarakatan (INSKA)
Majlis Belia Malaysia (MBM)
Pimpinan Mahasiswa Universiti Seluruh Malaysia
Bar Council (Majlis Peguam)
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS)
Belia 4B Malaysia
MAYC Malaysia
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
TERAS Pengupayaan Melayu

Wednesday, December 10, 2008

Tukar Segera Kepimpinan PMIUM: Kepimpinan Kurang Efektif

Rentak semakin gusar. Halatuju pembinaan jaringan peringkat nasional harus menjadi landasan membentuk kematangan gerakan mahasiswa.
Ringkas yang mahu kita bicarakan, isu nasional berkaitan Pemecatan Rafiah Salim, bekas NC UM seolah-olah tidak ada pandangan kredibel pimpinan mahasiswa UM untuk menjawab situasi sama ada bersetuju ataupun tidak. Langkah lemah untuk mendepani masa ini tidak cocok dengan kedudukan UM sebagai penentu kompas dan speedy meter gerakan mahasiswa.

Mungkin wajar untuk kepimpinan PMIUM bertukar lebih awal. Nampaknya yang ada kurang efektif. Sepatutnya tindakan tidak terhenti dengan sekadar mencetus polemik dalam isu "demo khutbah". Jangan hanya dilihat PMIUM sekadar menggamit isu penyelewengan di APIUM, tetapi dengan diluaskan orbit ke peringkat UM seolah-olah makin tidak mampu digapai untuk memobilasi gerakan massa mahasiswa UM dalam menentukan apakah pendirian persepsi yang ingin ditentukan dan direncana.

Statement wajar dibuat untuk menentukan sikap mahasiswa terhadap isu "tamat kontrak Rafiah". Amat perlu untuk kenyataan pendirian kepimpinan mahasiswa itu berpencak dimainstream dan bukannya dipinggiran. Hatta untuk melihat pendirian pimpinan mahasiswa di massa alternatif pun tidak ada. Apakah media alternatif pun tidak mempunyai ruang buat pimpinan mahasiswa atau gerakan mahasiswa. Atau pimpinan tidak memanfaatkan ruang?
Pencak mahasiswa perlu digarap untuk menentukan sikap serta arah gerakan. Sudah pasti untuk proses peralihan kepimpinan PMIUM akan datang perlu kepada pemilihan kepimpinan yang mampu dan mempunyai kekuatan membaca massa dan menentukan pendirian. Kekuatan ini ditambah dengan kecekapan mengambil tindakan dan menggerakkan aksi massa untuk menjawab situasi yang wujud. Yang tiada buat ketika ini ialah aksi massa untuk isu-isu nasional yang langsung tidak kedengaran lantang dari domain PMIUM.
Jika merasakan kekuatan dan pengalaman tidak mencukupi, langkah kolibrasi adalah langkah wajar yang perlu diambil, kolibrasi boleh dibuat dengan jaringan gerakan lain termasukmedia, jangan sekadar meletakkan diri dalam situasi kelemahan untuk dijadikan alasan buat membisu tanpa tampil dengan mobilasi dan aksi massa yang kukuh buat melakukan reform atau islah. Isu sudah banyak terhidang, termasuk yang terbaru"isu rafiah" dan dirasakan lebih dekat dengan mahasiswa UM & PMIUM, jangan sekadar ahli Parlimen bekas PMIUM sahaja yang berhujah di Parlimen namun pendirian tegas mahasiswa tidak didukung dengan gerakan mahasiswanya.

Friday, December 5, 2008

Parlimen Kuala Terengganu: Mana Pilihan Pengundi Melayu

Pilihan pengundi Melayu pada 17 Januari 2009 akan terserlah sama untuk menunjukkan sokongan perlu terhadap PAS atau pun UMNO?

Semua tuntutan rakyat akan menjadi perhatian parti yang bertanding untuk di jadikan hujahan penting bagi menterjemahkan siapa yang lebih prihatin soal rakyat.

Pilihan pengundi sama ada PAS atau UMNO akan setidak-tidaknya menjadi penanda aras sama ada rakyat sudah berpaling arah dari PR atau kekuatan PAS makin bertambah?P36 menjadi penentu penting. Apakah pendirian PAS berkaitan isu Bangsa Malaysia dan Sistem Vernakular?Atau sekadar isu tempatan didendang PAS & UMNO?

Wednesday, December 3, 2008

Ketuanan Melayu: Biarkan disitu, Kita Bicara Soal Integriti & Anti Rasuah

Nukilan untuk menyatakan rasa bahawa Ketuanan Melayu tidak perlu dibahas, dipertahan atau ditolak. Biarkan disitu. Kerana ianya dulu disitu tidak ada apa yang mengancam. Sekadar satu premis yang tidakpun boleh ditafsirkan sebagai bersifat antara tuan dan hamba.
Isu penting jika ahli politik mahu bicara ialah persoalan membentuk budaya integriti (politik kejujuran&kebenaran) & usaha melawan rasuah. Polemik pendekatan perkauman harus ditinggalkan. Apa-apa premis yang dilihat bisa membangkitkan kekeliruan tidak perlu dibahaskan terlalu panjang.
Jika 'premis Ketuanan Melayu' menjadi suatu yang tabu untuk dibicara sama ada untuk dipertahan atau dilawan, maka lebih elok semuanya pemimpin bercakap soal yang boleh disepakati.
Jika berjaya dibudayakan integriti (politik kejujuran & kebenaran), sudah pasti tidak akan ada premis ataupun istilah-istilah yang akan dicipta lantas diinterpretasikan secara salah seumpama 'Ketuanan Melayu'. Apa sudah tidak ada isu lain yang lebih penting. Bahkan jika keadilan itu terserlah dalam kepimpinan, sebut sahaja apa jua ungkapan seumpama "Ketuanan Melayu kuasa Dua" pun tidak akan ada orang yang "heran"(ambil kisah).
Perjuangan Generasi muda hari ini ialah perjuangan melawan penjajahan rasuah dan penyelewengan. Kegagalan rakyat dan termasuk ahli-ahli parti (semua parti yang berdaftar)meletakkan "the best among us" menyebabkan pembinaan tamadun dan kredibiliti negara dan kepimpinan akan terus hanyut dalam jerlus metarialis.
Pemimpin akan lebih berkejar stabiliti metarial keterlaluan termasuk "keuntungan politik" semata tanpa dihidupkan perjuangan untuk merealisasikan idealisme berkepentingan rakyat dan bersifat Islah. Kerana itu premis yang harus kita bicara hari ini adalah bagaimana memasyarakatkan Integriti (politik kejujuran & kebenaran) secara vertikal & horizontel.
Generasi muda wajar dibentuk dengan acuan yang diluar daripada sistem pasir jerlus (sistem pembinaan pemimpin & pengurus) yang telah rosak pada hari ini. Pasir jerlus yang akan sentiasa mendekatkan pemimpin dengan korupsi ialah kuasa. Bicara soal korupsi tidak akan muncul tanpa kuasa. Kuasa Mutlak yang akan terlebih lagi membenarkan korupsi & penyelewengan. Yang perlu dipantau dan dibaiki oleh kita hari ini ialah bagaimana untuk melihat dimana berlakunya KEWUJUDAN KUASA MUTLAK.
Sambungan......Rasuah: Antara Demokrasi & Kuasa Mutlak.

Saturday, November 22, 2008

Apabil Pemuda Berpaling Arah : Kemelut Pemuda PAS & UMNO

Sudah berpaling, ini situasi jelas yang berlaku dikalangan anak muda yang rata-rata sudah berpaling dari UMNO. Ini mungkin akibat dari sudut UMNO dilihat songsang untuk memberi ruang kepada generasi merencana dan mencanai pemikiran.
Ini juga dilihat perkembangan PKR yang lebih cocok dengan jiwa agresif. Apakah benar?Atau kerana dimana Anwar Ibrahim berada, maka disitu ada pemuda yang rencam dan menghidupkan parti atau gerakan tersebut. Jika dahulu Anwar Ibrahim di ABIM, jelas terkehadapan ABIM berbanding Presiden yang terkemudian. Apakah sudah tandus daya karisma pemimpin muda kini.
Kemelut Pemuda PAS ialah seringkali berlingkar soal yang ditarbiyah hilang, lantas pemuda yang diistilahkan biasa sahaja disebut sebagai sedang bersama PAS tanpa tarbiyah. Apakah ini realiti, jika ini realiti kemana pemuda tarbiyahan PAS? Jika mereka larut dan futur, apakah salah sistem tarbiyah? Jika salah sistem tarbiyah, perlu dilakukan sesuatu terhadap sistem tarbiyah.
Definisi faham tarbiyah bagaimana yang kita mahukan? Sepenuh masa dalam parti?NGO?jawatan kerajaan seumpama pegawai JAKIM, PTD?Pensyarah?atau guru sekolah? ini perlu penjelasan oleh pakar-pakar tarbiyah termasuk pemimpin pemuda PAS. Jika Pemuda UMNO dan UMNO itu sendiri sudah jelas menyatakan bahawa generasi muda tidak bersama mereka, maka anak muda termasuk mahasiswa atau mantan aktivis mahasiswa dimana jika tidak bersama PAS? Apakah sama sahaja situasinya jika dahulu anak muda dengan UMNO tetapi sekarang kedua-dua wing pemuda sama ada PAS dan UMNO keduanya melahirkan kekesalan dengan jelas menyatakan yang ditarbiyah atau dikader itu tidak bersama mereka?
Ini adalah kemelut pemuda PAS dan UMNO. Atau alasan-alasan yang menyatakan yang ditarbiyah tidak bersama itu tidak tepat? Masalah mahasiswa atau anak muda tidak bersama UMNO adalah kerana idealisme serta implementasi yang jelas menunjukkan track record 50 tahun semakin tidak menguntungkan Islam dan Melayu. Jadi apa masalah pemuda PAS untuk menggamit sepatutnya lebih ramai anak muda dengan agenda Islamnya yang jelas. Atau yang dalam pemuda PAS itu juga otaknya juga macam pemuda UMNO?
Sepatutnya pemuda kedua-dua parti sama ada PAS atau UMNO lebih bersama untuk berbicara soal kepentingan Islam. Apakah bentuk-bentuk pembelaan kepada Melayu yang menguntungkan Islam. Jika pembelaan atas nama Melayu tetapi menguntungkan perut sendiri adalah salah daripada sudut praktikalnya. Tidak ada ketuanan Melayu dalam konteks menjadi tuan. Konsep ketuanan atau lordship ini hanya ada dalam budaya dan tamadun Rom dan Yunani yang jahil. Yang ada dalam Islam ialah konsep pengabdian/abdillah. Jika orang Melayu yang beragama Islam faham kepada siapa kita mengabdikan diri, kita yakin Cina & India juga harus ada sifat tawaddhu' itu. Sejarah pembinaan & kemerdekaan Malaysia perlu dirujuk bukan untuk menindas, tetapi setidak-tidaknya mendatangkan rasa hormat tentang pengorbanan yang telah dibuat
Sejarah jelas meletakkan kita sebagai penduduk asal, cina dan india sebagai migran dan kemudiannya mendapat kerakyatan, asas permuafakatan antara Melayu, Cina & India ini yang harus diteruskan. Sikap yang ada perlu lebih menjurus ke arah masing-masing menunaikan hak dan tanggungjawab dan bukannya menuntut hak.
Polemik ke mana arah pemuda berpaling arah ini yang perlukan jawapan?Apa masalah mereka untuk berpaling daripada UMNO dan juga PAS(ini menurut komentar beberapa pemimpin pemuda PAS terhdap kader2 mereka dikampus) Sudah tentu jawapannya ialah keperluan generasi muda untuk bersama dengan sesebuah institusi sama ada parti atau NGO ialah siapa ikon, idealismenya, semangatnya, keberaniannya atau apakah perjuangan tersebut agresif buat menyentuh jiwa anak muda yang sentiasa dahagakan cabaran!Dan yang lebih utama apakah hala tuju dan nilai ilmu/intelektual yang ada.

Thursday, November 20, 2008

Peralihan Kuasa UMNO Gagal jika Rasuah Politik Membarah

KENYATAAN MEDIA BOLEH DIRUJUK PADA LAMAN WEB MALAYSIAKINI.COM


http://malaysiakini.com/news/93351

Thursday, November 13, 2008

GAMIS dan Pro-M perlu perjelas isu Pengkid: Antara Dakwah & Politik

GAMIS atau Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia harus untuk lebih terkehadapan dalam isu pengharaman pengkid. 23 Oktober Jawatankuasa Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa perbuatan perempuan membuat penampilan seperti lelaki adalah haram. Fatwa ini jelas, maka GAMIS perlu kehadapan dalam konteks Gerakan Mahasiswa kerana badan ini lebih dekat dengan Food-Not-Bombs yang telah mengadakan demontrasi bersama Katagender.
GAMIS wajar menjadi inisiator untuk memulakan apa yang saya istilahkan sebagai "round table discussion" untuk menjelaskan secara hikmah kepada Food-Not-Bombs dan juga sekutu-sekutunya yang mungkin kurang jelas.
Ditambah lagi jika yang menjadi majoriti pendukung dan ahli Food-Not-Bombs adalah anak muda Melayu yang beragama Islam. Lebih tanggungjawab GAMIS dalam soal ini kerana jika tidak berlaku sebarang perubahan dalam rakan seangkatan SMM sejak 3 tahun lalu jelas sekali Food-Not-Bombs antara rakan pendukung bersama agenda Free & Fair For Election Campus. Ini rakan-rakan kita yang seangkatan ketika demontarsi isu mahasiswa. Mereka ini jugalah yang seringkali membantu apabila tiba "job" pencetakan t-shirts aksi mahasiswa.
Kita merasakan GAMIS lebih berupaya untuk menunjukkan jalan pulang buat Food-Not-Bombs terutamanya majoriti yang beragama Islam walaupun ada yang mengambil pendekatan untuk tidak beramal dengan agama.
Kita masih menantikan apakah tindakan GAMIS dalam konflik yang timbul ini. Tindakan perlu konkrit dengan badan yang dinaungi (GAMIS sebagai Gerakan Mahasiswa Islam), bukan sekadar warga GAMIS menyatakan amarah mereka terhadap Food-Not-Bombs diblog-blog masing-masing. Berjuang dengan platform/jamaah lebih bermanfaat dan efektif daripada sekadar mengambil penterjemahan iman dengan menulis sedangkan kalian pimpinan dan warga GAMIS punyai platform dan ahli yang sepatutnya lebih bijak mengambil ruang untuk bicara secara hikmah melalui meja penjelasan terhadap mereka yang tidak menerima fatwa bahawa Pengkid itu haram. Apatah lagi Food-Not-Bombs(FNB) itu rakan seangkatan dalam siri-siri diskusi SMM dan demontrasinya. Maka FNB adalah mad'u yang paling hampir buat GAMIS dan rakan-rakan mahasiswa Islam. Jika GAMIS tidak mahu menjadi inisiator perbincangan & penjelasan, pimpinan mahasiswa Islam di kampus dengan wadah WUFI, PMI atau ISIUKM boleh mengambil peranan setelah GAMIS diperingkat Nasional tidak memberikan respond yang tegas dalam soal ini.
Jika Food-Not-Bombs mulai dengan demontrasi, tetapi mungkin GAMIS tidak perlu mulakan dengan langkah sumbang demontrasi dijalanan,tetapi mulakan dengan langkah kredibiliti penjelasan dimeja diskusi melalui penjelasan dengan ketegasan dan hujah berasaskan Quran & Sunnah. Langkah ini lebih memberikan keadilan buat reputasi GAMIS (sebagai Gerakan Mahasiswa Islam) yang kian tenggelam jika dibandingkan dengan SMM(SMM juga makin tenggelam dengan PMN, Pro-Mahasiswa Nasional) atau Pro-Mahasiswa juga boleh menyatakan pendirian mereka berkaitan perkara ini.
Siri lanjut.....Kemana Arah Tuju Pro-M & SMM

Monday, November 3, 2008

Generasi Muda Harus Serasi Dengan Pergerakan NGO untuk Lahir Pemimpin Kompeten

Jika Mukhriz menyatakan Pemuda UMNO perlu bergerak sebagai NGO sudah semestinya amat relevan bagi merencana serta membugar kembali idealisme Pemuda UMNO yang sudah lesu. Tetapi bukan sahaja Pemuda UMNO, tetapi Pemuda PAS, PKR, MCA,MIC, DAP dan GERAKAN juga harus mempunyai jiwa untuk bergerak dan berfungsi sebagai NGO.
Objektifnya mudah,tidak ada berkepentingan, bukan untuk menagih kontrak, jawatan dan takhta. Kebimbangan kita ialah apabila Pemuda-pemuda dalam PR juga jika dijangkiti penyakit lama UMNO seperti menjadi penagih kontrak dan projek maka parti dan landasan politik akan rosak disebabkan mereka ini tidak punyai jiwa bagi meletakkan kepentingan rakyat dihadapan tetapi kepentingan harta dan takhta terlebih dahulu diutamakan.
Sepatutnya platform politik yang diterjemahkan sebagai pusat pengurusan kuasa amat wajar untuk meletakkan nilai amanah, berkebajikan dan menjadi pengurus kepada nilai positif dan membanteras yang mungkar dalam hal berkaitan kemaslahatan rakyat. Institusi kepimpinan akan lebih rosak jika bukan golongan pendidik atau murabbi yang berada di dalamnya tetapi golongan ruwaibidoh (golongan jahil yang berlagak cerdik yang mahu menguruskan hal ehwal rakyat). Sewajarnya golongan pemimpin dalam parti sudah matang dalam memahami tanggungjawab sebagai pemimpin antara amanah dan khianat.
Platform NGO akan memberikan ruang untuk melatih kepimpinan muda melihat corak-carik, sepak terajang politik, kawan dan musuh, mudah dan sukarnya membangun sebuah institusi yang tidak ada berkepentingan seumpama NGO. Mungkin hari ini sudah ramai yang lebih gemar dengan politik, mereka sudah tidak cakna lagi untuk membangun diri melalui NGO (mungkin tidak sertai tetapi mengikuti pergerakan) sedangkan NGO atau badan berkecuali akan menambah nilai terhadap pendirian prinsip, ilmu dan kematangan kita sebelum diuji dengan lebih getir lagi.
Jiwa NGO perlu diresapkan dalam generasi muda sebelum mereka menjerumuskan diri ke dalam kepimpinan politik. Method NGO bergerak tanpa habuan perlu dihadam oleh generasi muda termasuk mahasiswa. Lapangan kampus dan ditambah pengalaman bergerak dalam NGO akan lebih mematangkan kita untuk mengenal siapa kawan dan siapa lawan.
Ada juga yang dulu dikampus sebagai kawan, namun bila diajak bersama untuk menggerakkan NGO sebagai tambahan rencam wadah perjuangan, nyata masing-masing begitu ghairah dengan politik. Disaran tubuh NGO juga dipandang sinis kerana mereka ini lebih cenderung untuk melihat paksi kuasa berasaskan politik sedangkan mereka lupa jika bergelumang dengan platform kepartian tanpa pembinaan kompetensi serta halatuju yang jelas maka tidak banyak islah dan perubahan yang dapat dibuat melainkan hanya mengikut arus lama yang tidak membina. Bahkan akan dilihat tidak punyai kredibiliti.
Amat wajar untuk generasi muda memberi nilai tambah terhadap perspektif kita melihat unjuran terkehadapan bagi membina Malaysia yang lebih bermakna. Unjuran itu ialah memperkuat pemahaman akidah, ilmu, sains, teknologi, ekonomi, politik dan sosio-budaya yang lebih menyakinkan dan mampu untuk menjadi 'tool' yang paling ampuh buat melahirkan kepimpinan generasi muda yang mempunyai garisan halatuju kompeten.
Terlalu banyak pendekatan untuk generasi muda dan mahasiswa jika mereka mahu serasi dengan pergerakan NGO. Antara saranan yang boleh kita hamparkan secara mudah ialah bersama dengan NGO sedia ada atau membentuk NGO sendiri. Bersama NGO ada terlalu banyak juga opsyen, jika berminat dengan yang lebih Islamik,kita ada ABIM & JIM. Jika yang berminat dengan bidang kepenggunaan kita ada PPIM(Persatuan Pengguna Islam). Namun jika lebih berminat untuk bentuk NGO sendiri, itu juga adalah pilihan perlu generasi muda untuk bergerak proses kematangan yang lebih baik.
Melalui NGO kita boleh melebarkan hubungan dengan melepasi sempadan ideologi kepartian. Pengalaman yang maaruf dijadikan panduan, yang mungkar diberikan pandangan balas dan wajib ditentang jika tidak menunjukkan keinsafan setelah diberi pandangan.
Dalam pemilihan untuk bersama NGO, pilihan yang lebih baik itu ialah bersama NGO yang mempunyai halatuju yang jelas, berfokus gerak kerjanya, dan sebagai tambahan dipimpin sendiri oleh generasi muda. Ada juga nama NGO anak muda tetapi dipimpin oleh yang sudah 40 tahun ke atas. Adalah lebih rapat perkongsian itu jika sesama generasi muda mengembleng tenaga agar dapat kita realisasikan NGO menjadi platform melahirkan pemimpin kompeten dan berkredibiliti.