Friday, October 7, 2011

KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN TELOK KEMANG

7 OKTOBER 2011

UNDI POS WAJAR DIREFORMASIKAN

Kenyataan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruddin Mohd Baria yang menjelaskan bahawa undi pos akan dikekalkan adalah tidak berdasarkan suatu asas pandangan yang kukuh. Saya melihat alasan bahawa undi pos harus dikekalkan disebabkan oleh hak mengundi pelajar diluar negara serta anggota keselamatan yang bertugas diperbatasan dan perairan adalah suatu perkara yang boleh dipertikaikan keberkesanannya.

Ini adalah kerana kebanyakkan pelajar yang belajar diluar negara hanya menerima kertas undi mereka selepas waktu pilihanraya yang mengakibatkan mereka tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Malahan kadang-kala para pelajar ini tidak pun memaklumi tarikh dan pengumuman jangka waktu pilihanraya dan pengundian. Pengurusan pengundian bagi para pelajar dan pegawai yang bertugas diluar negara perlu diperbaiki dengan lebih baik melalui sistem pengundian yang berkesan.

Begitu juga dengan situasi pengundian pos oleh anggota keselamatan diperbatasan yang ingin saya persoalkan ialah kebanyakkan anggota keselamatan termasuk tentera yang mengundi pos ini adalah mereka yang menginap di kem-kem tentera dan bukannya diperbatasan atau perairan negara. Malahan ada juga dikalangan anggota tentera ini yang menginap di kawasan sekitar kem-kem tentera yang sebenarnya membolehkan mereka mengundi secara biasa seperti pengundi lain tanpa perlunya mengundi secara pos. Contohnya di kawasan Parlimen Telok Kemang, terdapat ramai anggota tentera yang tinggal dan menyewa di kawasan sekitar kem. Ini jelas menunjukkan bahawa pengundian secara pos tidak lagi relevan buat mereka kerana kebanyakkan anggota tentera tidak lagi berada atau bertugas diperbatasan negara.

Anggota tentera dan keselamatan yang tidak bertugas diperbatasan perlu diberikan hak mengundi secara biasa dan kelayakkan mengundi secara pos oleh mereka dan keluarga termasuk isteri harus dihapuskan. Ini bertujuan bagi mengelakkan pertindihan kerana sudah wujudkan kes-kes dimana isteri anggota tentera boleh mengundi sebanyak dua kali iaitu secara pos dan juga secara biasa akibat kewujudan undi pos serta ketiadaan pantauan dan ketetapan proses pengundian yang efisien.

Sebagai Ahli Parlimen Malaysia, saya ingin menegaskan bahawa pengundian pos wajar direformasikan kerana sudah lagi tidak dilihat efisien dalam memberikan hak mengundi secara bebas dan adil kepada anggota keselamatan khususnya tentera. Anggota tentera yang tidak berada diperbatasan perlu diberikan kebebasan untuk mengundi secara biasa seumpama rakyat marhaen yang lain. SPR perlu mengambil langkah-langkah segera dalam menangani isu ini. Saya menyeru agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang akan bersidang membincangkan persoalan penambahbaikan perjalanan SPR dan pengurusan pilihanraya yang bersih dan adil membincangkan isu pengundian pos ini secara serius agar suatu kata putus dapat dilaksanakan menjelang pilihanraya umum ke 13 akan datang.

YB Dato’ Kamarul Baharin Abbas

Ahli Parlimen Telok Kemang


Tuesday, September 13, 2011

KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN TELOK KEMANG



















12 SEPTEMBER 2011


MPPD WAJAR LAKSANAKAN ‘COASTAL CLEAN UP’ SECARA SISTEMATIK & KONSISTEN

Pantai Port Dickson merupakan pusat peranginan dan pelancongan yang sewajarnya dikekalkan dan terpelihara kebersihannya. Namun mutakhir ini keadaan senario di pantai Port Dickson telah dicemari dengan pelbagai siasa buangan. Bermula daripada buangan sampah, sisa daripada perhotelan, sisa kumbahan sehinggalah menjadi pusat transit atau pembuangan pelarian asing. Kita cukup kesal dengan permasalahan yang berlaku di Port Dikcson sehingga dilihat menjadi pusat pembuangan pelbagai sisa tidak berfaedah.


Selaku Ahli Parlimen, saya menyokong penuh usaha - usaha yang telah diinisiatifkan oleh Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat bersama dengan Pimpinan Pakatan Rakyat N. Sembilan dan Telok Kemang dengan menganjurkan Program Pembersihan Pantai Port Dickson (Coastal Clean Up 2011) pada 10 September 2011 yang lepas yang juga bersamaan dengan tarikh Kempen ‘World Coastal Clean Up’ di peringkat dunia. Kempen ini merupakan suatu bentuk inisiatif baru oleh Pimpinan Pakatan Rakyat dalam menunjukkan keprihatinan kita terhadap isu-isu alam sekitar.


Sewajarnya, usaha – usaha seumpama ini harus menjadi contoh kepada organisasi lain terutamanya oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dalam menjaga kebersihan dan persekitaran yang lebih baik bagi pantai Port Dickson. MPPD sewajarnya menjalankan aktiviti dan kempen kebersihan pantai yang lebih kerap memandangkan perkara ini merupakan tanggungjawab langsung di bawah majlis perbandaran. Usaha-usaha menjaga kebersihan pantai secara sistematik dan konsisten lebih bermanfaat dilaksanakan oleh MPPD berbanding kecekapan mereka untuk menurunkan kain rentang ucapan Salam Ramadhan dan Aidilfitri oleh pemimpin pembangkang.


MPPD tidak seharusnya membiarkan hanya pihak lain secara aktif menjalankan aktiviti dan kempen kebersihan pantai kerana persoalan menjaga kebersihan pantai ini merupakan tugas asasi MPPD. Persekitaran pantai yang kotor dan tidak bersih boleh mendatangkan kemudaratan dan mengancam keselamatan pengunjung.


Ini secara tidak langsung akan mencemarkan imej pantai Port Dickson sebagai salah satu daripada destinasi pelancongan yang unggul dan selamat. MPPD wajar mengambil langkah segera dengan menganjurkan ‘Coastal Clean Up’ secara lebih sistematik dan konsisten dengan mengambil contoh usaha-usaha yang telahpun dilakukan oleh Pakatan Rakyat dalam isu kebersihan dan keselamatan pantai. Kebersihan pantai harus dijaga demi kesejahteraan rakyat dan pengunjung keseluruhannya.

YB Dato’ Kamarul Baharin Abbas
Ahli Parlimen Telok Kemang



Tuesday, August 23, 2011

SURAT TERBUKA KEPADA MENTERI BESAR N. SEMBILAN


Kepada,

YAB. Dato’ Seri Utama Hj. Mohamad bin Hj. Hasan,
Menteri Besar Negeri Sembilan,
Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan,
Tingkat 5, Blok B, Wisma Negeri, 70503 Seremban,
Negeri Sembilan. 22 OGOS 2011

YAB. Dato’ Seri,


Membantah Penempatan Pelarian Australia di Port Dickson

1. Saya membawa pandangan rakyat membantah penempatan pelarian dari Australia di Port Dickson yang dilihat tidakpun memberikan kesan positif terhadap imej pelancongan Port Dickson. Tindakan kerajaan negeri membenarkan Port Dickson menjadi transit kepada pelarian dari Australia ini dilihat bertentangan dengan semangat menaikkan imej Bandar Port Dickson sebagai pusat dan destinasi pelancongan di sebelah pantai barat.


2. Mereka akan ditempatkan di Rumah Cycle Carri dan di Cresent Peak (bekas hotel) sebagai penempatan pelarian. Saya melihat situasi ini tidak memberi manfaat kepada rakyat Port Dickson daripada aspek pembangunan, keselamatan dan pelancongan. Dasar negeri tidaklah harus membenarkan Port Dickson menjadi pusat transit pelarian warga asing.


3. Secara peribadi saya melihat bahawa Kerajaan Negeri tidak boleh menjadikan Port Dickson sebagai tempat lambakan perkara negatif kerana ini bertentangan nilai dengan salah satu daripada Strategi Pembangunan Kerajaan Negeri iaitu ‘Mempelbagaikan produk pelancongan dan memperbaiki kemudahan infrastruktur untuk menarik kedatangan pelancong serta menggalakkkan penyertaan sektor swasta dalam pelaburan pelancongan’. Kewujudan pusat transit pelarian seumpama ini tidak selaras dengan strategi tersebut.


4. Disamping itu, saya bimbang sekiranya tidak ada sesuatu sistem keselamatan yang baik di kawasan tersebut memungkinkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini terhadap penduduk tempatan. Saya juga bimbang akan keselamatan pengunjung dan pelancong yang mungkin terganggu gugat dengan kewujudan pusat transit pelarian ini.


5. Kebimbangan saya lebih diperkuat dengan terdapatnya laporan ada pihak hotel yang dikelirukan dengan rancangan ini dengan makluman kononnya hotel mereka hendak disewa bagi tujuan kegunaan kumpulan jurutera dan kemudiannya ditukar untuk kegunaan latihan pengurusan pula. Namun, setelah terbongkar tujuan penyewaan pihak tertentu itu yang sebenar, pihak hotel telah membatalkan tempahan kerana tidak mahu menanggung risiko walaupun akan terlepas kesempatan mengaut keuntungan yang besar. Tujuan pihak penganjur mengelak daripada mengamalkan keterbukaan lebih menguatkan lagi kecurigaan orang awam.


6. Saya berpendapat membiarkan Telok Kemang atau Port Dickson menjadi lokasi lambakan projek-projek seperti pembuangan sisa-sisa pepejal, loji-loji perusahaan tenaga bebas, loji-loji penapis minyak dan juga sebagai tempat pelupusan sistem kumbahan ke laut, sudah cukup untuk mencemarkan nama pantai ini sebagai satu-satunya tempat pelancongan yang unggul di negara ini.


7. Saya mengesyorkan agar Kerajaan Negeri membuat ketetapan untuk tidak membenarkan Port Dickson menjadi pusat transit pelarian warga asing bagi menjaga imej bandar Port Dickson sebagai pusat pelancongan. Saya juga sebagai rakyat Negeri Sembilan tidak mahu imej Port Dickson sebagai destinasi pelancongan tercalar disebabkan kewujudan pusat penempatan pelarian yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat tempatan serta tidak bermanfaat langsung kepada Bandar Port Dickson sebagai tempat pelancongan.


Salam Hormat & Salam Perjuangan,


Yang ikhlas,


YB. Dato’ Kamarul Baharin Abbas
Ahli Parlimen Telok Kemang
22 Ramadhan 1432 H/22 Ogos 2011


Tuesday, July 27, 2010

Ezam Mahu Selamatkan Selangor Daripada Siapa?

Perkara ini perlu dihujahkan. Ezam begitu keras dalam dakwaannya untuk menyahkan Anwar Ibrahim daripada menjadi Penasihat Ekonomi Selangor. Apa dosa Anwar pada rakyat Selangor? Ini yang perlu Ezam jelaskan.

Tuduhan lanjutan Ezam adalah dengan menyatakan bahawa Anwar Ibrahim adalah alat dan perkakas Yahudi. Apakah ini benar? Bagaimana pula dengan hubungan Kerajaan di bawah Najib Tun Razak dengan APCO? Bayaran RM 77 juta kepada APCO itu apa? Ini Ezam tidak jelaskan.

Sunday, July 18, 2010

Ceramah Pakatan

Tarikh : 25 Julai 2010 (Ahad)
Masa : 9.00 malam
Penceramah : YB Amiruddin Sahri (ADUN Batu Caves) & Nazree Yunus (Mantan Pengerusi GERAK Malaysia
Tempat : PASTI Mersing Kanan, Mersing, Johor.

Semua dijemput hadir

Tuesday, July 13, 2010

Anwar Agen CIA: UMNO sudah mula percaya blogger?

Komen-komen pemimpin UMNO termasuk Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Shafie Apdal tentang Anwar adalah agen CIA begitu dangkal. Semua serangan ini adalah bertujuan untuk memburukkan imej Anwar sekaligus menutup hubungan Kerajaan UMNO-APCO.

Tetapi pelik untuk kita fahami pemikiran pemuka UMNO/BN ini. Disuatu masa hendak menangkap Raja Petra Kamaruddin atas alasan tulisannya di MalaysiaToday adalah fitnah dan tidak berasas dalam mengaitkan Rosmah Mansor, Najib dan lain-lain atas tragedi pembunuhan Altantuya yang mungkin ada kaitannya dengan komisen Kapal Selam. Namun hari ini pak menteri UMNO (Muhyiddin, Shafie Apdal, Rais Yatim, Hishamuddin Tun Hussein) pula mula percaya pada sumber blogger antarabangsa yang boleh dipertikaikan kebenaran beritanya.

Link: http://nazreeyunus.blogspot.com/2010/07/anwar-agen-cia-umno-sudah-mula-percaya.html

Gerakan Mahasiswa & Anak Muda : Gerakan Independent tetapi berpihak

Beberapa sorotan perkongsian Gerakan Mahasiswa. Sudah sememangnya anak muda/mahasiswa bebas terlibat dengan NGO dan parti-parti politik dalam menggerakan massa dengan agenda kebenaran dan keadilan. Ini tidak menjadi kesalahan kerana hak dan kebebasan yang digazetkan dalam Artikel 9 Perlembagaan Persekutuan.

Link: http://nazreeyunus.blogspot.com/2010/06/nostalgia-gerakan-mahasiswa.html

Tuesday, June 22, 2010

Pakatan Rakyat: Perubahan Perjuangan Politik kepada Perjuangan Rakyat

Kembalinya Pakatan Rakyat kepada perjuangan rakyat perlu untuk kita pastikan berlaku. Jika ini tidak berlaku maka pertempuran dalam medan Pilihanraya Umum Ke-13 nanti adalah langsung menjadi pertempuran politik total.

Pakatan Rakyat wajar menyorot kembali kemenangan memberangsangkan pada PRU 10 (1999) dan PRU 12 (2008) adalah disebabkan kita membawa perjuangan rakyat. Permainan politik total akan menjerumuskan Pakatan Rakyat dalam permainan politik regim UMNO/BN yang teruk sejak 52 tahun merdeka.

Wednesday, June 9, 2010

Mampukah Pakatan Rakyat jadi Kerajaan Bersih? UMNO/BN bagaimana?

Pakatan Rakyat perlu memfokuskan penerangan terhadap isu-isu semasa, Good Governance dan Negara Berkebajikan untuk rakyat. Banding beza diantara pencapaian Pakatan Rakyat dalam tempoh 2 tahun lebih ini berbanding UMNO/BN yang sudah hampir 52 tahun memerintah Malaysia. Laras bahasa penerangan itu perlu mengikut daerahnya. Bandar lain caranya, kampung lain caranya. Namun infonya tetap sama. Pakatan Rakyat telahpun 'deliver' dengan baik kepada rakyat baik daripada aspek kebajikan mahupun kepimpinan beramanah. Kita boleh semak pencapaian ini dengan merujuk kepada laporan Audit Negara dan info semasa negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat (Kelantan, Kedah, Pulau-Pinang & Selangor).

Monday, May 31, 2010

Ezam Mencabar bukan Dicabar? Melatah dalam menjawab, Politik Sumpah-Sumpah



Ezam Mohd Nor dalam rangkaian medianya sudah mula menjawab cabaran saya tempoh hari kepada beliau. Masih berani lagi Senator Ezam ke mahkamah untuk menonjol diri dalam kes fitnah liwat kedua ini. Dengan jelas menyatakan bahawa beliau percaya Anwar Ibrahim seorang peliwat. Namun hujahan Ezam tidak ada substancenya.


Ezam sendiri mengaku bahawa dia bukan mangsa liwat. Jadi apakah royanan Ezam terhadap Anwar? Beliau bukan mangsa? Ezam lebih lama bekerja dengan Anwar. Tidak menjadi mangsapun? Jadi apakah masalah sebenar Ezam dengan Anwar? Apakah jawatan tidak cukup baik untuk Ezam ketika bersama Anwar? Jawatan Senator yang Ezam dapat hari inipun kerana Anwar. Banyak sewajarnya terima kasih Ezam kepada Anwar. Ezam mengaku berjumpa Saiful dalam tempoh 2 jam. Ezam juga mengaku bahawa dalam tempoh itu beliau tidak sempat merancang konspirasi? Namun ini hanya baru satu pertemuan yang kita maklumi. Apakah nanti akan didedahkan pertemuan-pertemuan yang lain antara Ezam dan Saiful berserta buktinya? Apakah Ezam hanya menjadi kambing hitam untuk Najib supaya PM tidak perlu kemahkamah? Mungkin ini cagaran jawatan Senator. Ya ataupun tidak?

Tuesday, May 25, 2010

KESATUAN KEARAH KEBANGKITAN: MEMBINA GENERASI PERUBAHAN UNTUK MALAYSIA

Salam, Kongres Parti Keadilan Rakyat akan diadakan pada 28-30 Mei 2010 akan datang di Kota Bharu, Kelantan. Didoakan agar Kongres PKR berjalan lancar dengan semangat islah, reformasi dan niat melakukan perubahan demi keadilan dan kebenaran.

Namun yang wajar kita cermati adalah persoalan sumbangan dan gerak kerja anak muda dalam PKR. Ini enjin yang perlu diperkemaskan agar seluruh kepakaran teman-teman AMK khususnya yang telah lama bersama PKR disatukan. Anak muda harus bersatu. KESATUAN kita adalah KEARAH KEBANGKITAN. Gerak kerja sedia ada perlu dilipat gandakan. Tahniah atas gerakan massa yang telah dilaksanakan oleh teman-teman anak muda AMK.

Thursday, May 13, 2010

Dakwaan Fitnah Liwat 2: Rela atau Tidak, Kredibiliti Saiful Dipertikai?

Laman-laman web pro-UMNO/BN dengan jelas memberikan hujah berkaitan 377B atau 377C itu tidak penting, tetapi yang penting kata mereka 'masuk tetap masuk'. Tidak penting liwat paksa atau suka sama suka, tetapi kata blogger pro-UMNO/BN adalah masuk tetap masuk.
Namun yang ingin kita persoalkan hari ini adalah persoalan kredibiliti saksi. Jika Saiful Bukhari mengatakan liwat dilakukan secara paksa, maka siapa pula yang mengatakan secara rela? Apakah Peguam Negara, Polis atau Siapa?. Ini perlu dijelaskan. Saksi mengatakan yang berlainan dengan pertuduhan di mahkamah?

Sambungan bicara rakyat:
http://nazreeyunus.blogspot.com/2010/05/dakwaan-fitnah-liwat-2-rela-atau-tidak.html

Mufti & Majlis Fatwa Kebangsaan Didesak Keluarkan Fatwa Judi Piala Dunia

Para mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan didesak agar mengeluarkan fatwa secepat mungkin bagi menangani isu judi bola sepak yang dihalalkan kerajaan sempena Kempen Piala Dunia 2010.
Sambungan bicara rakyat:

Tuduhan Fitnah Liwat 2: Petanda Menunjukkan Mungkin Ada Formulasi Konspirasi Terancang

Jika pada hari pertama sambungan perbicaraan tuduhan fitnah liwat kedua ke atas Anwar Ibrahim pada 10 Mei dengan jelas Saiful Bukhari Azlan menyatakan adanya pertemuan dengan PM Najib Tun Razak dan ACP Rodhwan Mohd Yusof (sekarang SAC 1) Ketua Polis Melaka sekarang pada 24 Jun 2008 (Selasa) iaitu 2 hari sebelum dakwaan kejadian liwat berlaku pada 26 Jun 2008 (Khamis).
Tetapi semalam (12 Mei 2010), hari ketiga sambungan perbicaraan kita dikejutkan lagi dengan kenyataan Mahkamah Tinggi dimaklumkan bahawa Saiful Bukhari juga ada bertemu Senator Ezam pada malam 27 Jun 2008 sehingga keesokkan paginya iaitu selepas kejadian liwat berlaku iaitu sehari sebelum laporan polis dan hospital dibuat.
Saiful Bukhari Azlan juga mengakui bahawa ada menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada pagi 25 Jun 2008 sehari sebelum dakwaan kejadian liwat berlaku. Kedua-dua Rodhwan dan Musa pula, adalah 'watak utama' semasa perbicaraan Anwar pada 1998 yang menyaksikan Anwar Ibrahim dipenjarakan.
Sambungan bicara rakyat:

Tuesday, May 11, 2010

Isu Liwat Kedua: Satu Lagi Konspirasi Untuk Alih Perhatian Rakyat Terhadap Isu Rasuah UMNO/BN & Salah Urus Tadbir Negara

Hari ini 11 Mei 2010, dua hari telah berlalu perjalanan sambung bicara kes tuduhan liwat Anwar Ibrahim. Saksi goyang dalam menyatakan pendirian. Jarang sekali anak muda gugup untuk berdepan cabaran melainkan ini isu fitnah dan konspirasi.

Sambungan pendedahan untuk rakyat:
http://nazreeyunus.blogspot.com/2010/05/isu-liwat-suatu-lagi-konspirasi-untuk.html

Kenyataan Songsang SD Johari Rakan Senator Ezam

Bagi kita songsang sungguh kenyataan oleh rakan Senator Ezam, SD Johari. Barangkali ada ilmu tertinggal diajarkan oleh Senator kepada SD Johari ataupun ini merupakan satu arahan bosnya untuk menjawab gesaan kita agar Ezam menjelaskan apakah beliau pernah berjumpa Saiful ataupun tidak? Apakah Ezam percaya Anwar seorang peliwat. Boleh rujuk kenyataan SD Johari yang percaya bahawa Anwar Ibrahim seorang homoseksual.

Sambungan pededahan untuk rakyat:

Tuesday, May 4, 2010

OSA, ISA dan Anti Rasuah: Dimana Perjuangan Senator Ezam?


Senator Ezam pernah ditahan di bawah OSA kerana pendedahan berkaitan dakwaan rasuah Rafidah Aziz. Namun yang kita mahu persoalkan hari ini adakah Senator Ezam bersetuju dengan OSA dan ISA? Apakah Ezam mahu terus bersetongkol dengan UMNO/BN pertahankan OSA dan ISA. Atau ada perubahan arah perjuangan daripada soal ini? Dimana perjuangan Ezam dalam isu OSA dan ISA. Kita tuntut penjelasan Senator Ezam. Apakah berani beliau membuat kenyataan bertentangan dengan Pak Menteri Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN). Ini hutang nilai integriti yang perlu dilunaskan oleh Ezam sebelum menyatakan bahawa beliau berhak menjadi senator. Jika tidak, maka hilang nilai integriti Ezam dalam memberikan rasional berkaitan perlantikannya sebagai Senator.

Senator Ezam menyatakan bahawa beliau dilantik sebagai senator kerana haknya (rujuk:http://malaysiakini.com/news/130786) serta sumbangannya melaui Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK Malaysia), kita sekali lagi persoalkan, dimana laporan rasuah terlibat?, khabarnya laporan rasuah yang melibatkan Pak Menteri itu masih ada dalam simpanan Ezam? Mohon Senator Ezam dedahkan nama Menteri terbabit yang kita maklumi masih lagi menjadi anggota Kabinet Najib Tun Razak. Apa sudah jadi dengan laporan rasuah Tun Khalil Yaakob? Tatkala rasuah Rafidah Aziz, Khalil Yaakob dan Pak Menteri yang berkaitan tidak dibersihkan dan didakwa, tiba-tiba Senator Ezam melompat ke dalam UMNO? Dimana nilai anti rasuahnya? Apakah senjata serangan melawan rasuah adalah untuk menagih jawatan dalam UMNO kembali? Ini bukannya integriti.

Kita mungkin tidak perlu mempersoalkan soal cepat atau lambat Ezam dilantik Senator. Yang kita persoalkan adalah sebab musabab perlantikan. Senator Ezam menjawab kepada media bahawa perlantikannya sebagai Senator itu akan menjadi pentas terbaik baginya untuk menentang anasir jahat termasuk pengkhianat yang mengamalkan politik melampau dan membahayakan negara. Atau adakah sebab lain yang sebenar menjadi 'jasa' besar Senator Ezam kepada PM Najib?.

Apakah Ezam lupa?, siapakah yang mengamalkan politik melampau dan membahayakan negara kalau bukan UMNO/BN. Apakah Ezam lupa dengan isu APCO-UMNO-Yahudi. Kehilangan alat pertahanan negara, enjin F5-E, kapal selam dan C4. Kenapa Ezam rela diperalatkan sepanjang 10 tahun dalam reformasi kalau beliau tahu Anwar Ibrahim ejen yahudi? Persoalannya, kenapa sekarang selepas 10 tahun Anwar Ibrahim itu pengkhianat, PKR/PR itu busuk dan UMNO/BN itu wangi dan benar? Mengapa tidak dahulu? Apakah Ezam berjuang dahulu tidak diselidiki pokok pangkal serta peribadi pimpinannya? Bukankah terlalu lambat setelah 10 tahun barulah Ezam sedar akan keburukan Keadilan dan Anwar Ibrahim, TG Nik Aziz dan PAS? Barangkali jenis orang seumpama ini dia jarang kenal dengan perjuangan, mungkin selepas 10 tahun, Senator Ezam pula akan kembali keluar UMNO/BN disebabkan UMNO/BN pula pengkhianat dan busuk bagi Ezam. Inikah namanya prinsip dan integriti?

Banyak lagi laporan rasuah ketika Ezam di GERAK yang belumpun diambil tindakan oleh BPR/SPRM terhadap Pak Menteri, kemudian Ezam kembali bersetongkol dengan mereka yang belum bersih itu. Mengapa? Apa kaitan dengan lantikan Senator? Apa kaitan dengan jawaban Ezam apabila berdepan media berkaitan alasan perlantikannya. Nampakkah kita bahawa terdapat kontradiksi antara alasan Ezam atas perlantikan Senator dengan kondisi semasa dalam UMNO/Bn yang masih penuh rasuah itu.

Sewajarnya begini jawaban Ezam kepada media, " Saya dilantik sebagai Senator kerana inilah bukti komitmen UMNO/BN terhadap agenda memerangi rasuah, ini terbukti dengan sumbangan saya melalui GERAK yang non-partisan, saya akan mengambil tanggungjawab ini untuk berusaha keras bagi memerangi rasuah tanpa memilih kes sama ada yang melibatkan BN/PR". Namun sayang sekali, jawaban Ezam bukan ini. Jawabannya ialah beliau layak, jawatan itu adalah haknya, pentas terbaik untuk lawan politik melampau.
Kita hairan?, dalam tempoh dua tahun menyertai UMNO sejak 2008, Senator Ezam tidak lagi berbicara tentang anti rasuah atas kapasiti GERAK kerana beliau telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Gerak. Jadi bilakah masanya Ezam memberikan sumbangan dalam konteks perjuangan melawan rasuah ketika bersama UMNO/BN sehingga perlu PM Najib Tun Razak memberikan anugerah Senator atas tiket UMNO kepada Ezam?. Atau sebenarnya ada 'jasa' besar lain Senator Ezam kepada PM Najib?.
Ezam juga tidak pernah dilantik sebagai Pengerusi Biro Integriti & Anti Rasuah UMNO/BN dalam tempoh 2 tahun dia menyertai UMNO. Maka tidak ada apa-apa platform UMNO/BN yang Ezam berbakti atas agenda anti rasuah. Gerak dahulu yang bersama Ezam kebanyakkan adalah daripada pimpinan AMK Keadilan. Kita boleh senaraikan listnya termasuk yang menjadi MP Pakatan Rakyat sekarang. Di Yayasan Generasi Muda Nusantara, Ezam tidak juga berbicara soal anti korupsi. Adalah tidak mungkin PM Najib Tun Razak memberi pengiktirafan kepada Gerak dibawah Ezam yang dahulunya diterajui oleh kebanyakkan ahli dan pimpinan AMK Keadilan. Jika begitu, maka bolehlah ahli-ahli GERAK dibawah Ezam menunggu giliran untuk dilantik menjadi Senator tidak lama lagi. Ataupun Najib Tun Razak itu jiwanya menyokong kebenaran Pakatan Rakyat?. Hairan kita, bilakah sumbangan Ezam melawan rasuah atas platform UMNO/ BN itu berlaku sehinga dianugerahi jawatan Senator?.
Senator Ezam kena ingat bahawa Dewan Negara bukan tempat mainan politik dan bawa agenda politik peribadi. Dewan Negara adalah tempat membawa Agenda Rakyat. Maka kita nantikan jawaban Senator Ezam berkaitan isu OSA, ISA dan Anti Rasuah. Apakah nadanya Ezam akan berubah mengikut nada Najib, UMNO/BN?. Atau mungkin PM Najib Tun Razak akan turut berkongsi dosa dan liabiliti bersama Ezam. Atau mungkin dalam perjuangan reformasi menentang rasuah, Senator Ezam akan membawa PM Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor ke penjara?. Dan mungkin juga Ezam akan ditendang keluar semula daripada UMNO/BN apabila agenda anti rasuah cuba dibawa oleh Ezam.

Ezam Senator - Apa 'Jasa' kepada Najib?


Ramai yang menghubungi saya bertanya berkaitan pandangan tentang perlantikan Ezam Mohd Nor sebagai Senator. Sebagai sahabat, saya ucapkan tahniah kepada beliau. Semoga agenda Integriti dan Anti Rasuah mampu dibawa dengan baik termasuk mengambil tindakan terhadap Pak Menteri UMNO/BN yang korup. Ini saya tunggu keberanian Ezam jika dia benar mahu membawa agenda ini.
Namun persoalannya, apakah 'jasa' besar Ezam terhadap Najib? Apakah ini ada kaitan dengan tuduhan liwat kedua yang melibatkan Anwar Ibrahim? Ezam dan Najib ada jawapannya. Jarang sekali seseorang dilantik menjadi Senator tanpa ada jasa baiknya. Ada juga kalangan pembesar PR dan UMNO yang juga bersetuju bahawa 'jasa' besar Ezam kepada Najib itu adalah mungkin termasuk dalam kes tuduhan fitnah liwat kedua ini.
Perlantikan Ezam ke jawatan Senator Dewan Negara ini tidak mengejutkan saya kerana sejak tahun lepas 2009 bahkan dipermulaan kemasukan Ezam menyertai UMNO pada Mei 2008 juga, saya telahpun diberikan signal berkaitan peluang Ezam ini yang akan diberikan oleh Najib Tun Razak. Rupanya perkara besar yang dinyatakan oleh orang kuat Ezam kepada saya tatkala memberi kata dua kepada saya agar tidak menyertai PKR adalah berkenaan perlantikan Senator Ezam. Mereka mahu saya membantu Ezam dalam UMNO. Saya menolak tawaran itu. Ada lagi beberapa jawatan lain Ezam yang akan bakal menyusul kemudian selepas dilantik Senator. Inilah mungkin harga yang dibayar oleh Perdana Menteri Najib kepada Ezam.
Namun bagi saya, secara prinsipnya jawatan bukanlah yang pertama. Perjuangan berasaskan prinsip itu adalah keutamaannya. Kita harus berada dilandasan kebenaran berasaskan fakta dan petunjuk Al-Quran As-Sunnah. Sebab itu saya menolak sanggahan pihak terbabit yang mahu agar saya tidak menyertai PKR/PR. Saya mengambil keputusan untuk tidak sama sekali bersama Ezam Mohd Nor di dalam UMNO/BN kerana saya tidak melihat besarnya nilai integriti melalui landasan itu. Jika yang kita cari adalah persoalan integriti, amanah dan tanggungjawab, maka itu ada pada Pakatan Rakyat & PKR.
Ayuh anak muda kita gembleng tenaga, kita bina kerajaan beramanah dan berkebajikan untuk rakyat!

Monday, April 19, 2010

Lagi Melompat: Lagi Ramai Anak Muda Bersama PR


-REFORMASI SUDAH KANDAS DALAM DIRI PELOMPAT PARTI-

Jika semalam 7 ahli AMK termasuk tiga pemimpin AMK Shah Alam telah keluar PKR. Namun ini semua lebih menambah ramai anak muda bersama Pakatan Rakyat sama ada melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS ataupun DAP.

Alasan mereka serupa dengan alasan Bekas Ketua AMK lama mereka. Kecewa dengan sikap Anwar. PKR kononnya telah menyeleweng daripada landasan perjuangan reformasi. Rekod calon P.094 tidak teruji reformasinya dan buruk moralnya? Tetapi persoalannya sekarang, ke mana arah tuju politik mereka yang melompat ini? Adakah bersama dengan UMNO/BN?. Jika bersama UMNO/BN apakah mereka juga tidak berfikir bahawa terdapat juga calon daripada UMNO/BN termasuk yang telahpun menjadi Ahli Parlimen mempunyai akhlak dan nilai moraliti yang lebih teruk dan sehingga kini belum lagi bertaubat. Presiden MCA sudahpun terbukti terlibat dengan skandal seksnya. Boleh rujuk kepada hansard Parlimen berkaitan pertikaian ini. Apakah kayu ukur sudah teruji reformasi itu dikira dengan lamanya mereka dalam arus gelombang reformasi?. Jika ini sikap mereka, tidak ubah pemikiran mereka ini dengan paten/corak pemikiran ala-ala UMNO/BN iaitu melalui sistem feudal politik.

Percayalah bahawa jika mereka ini yang melompat kerana disebabkan mereka mempertikaikan tempoh lama mananya seseorang berada dalam reformasi, maka begitu juga mereka akan diperlakukan oleh pimpinan UMNO/BN terhadap mereka. Mereka tidak akan diberikan tempat dalam UMNO/BN. Bahkan jika Ezam diberikan kerusi bertanding sekalipun maka akan ada juga orang lama UMNO/BN akan mengungkit mengapa diberikan kerusi bertanding buat Ezam yang sekian lama selama 10 tahun apa yang tidak dicacinya kepada UMNO/BN?.

Sebab itu, ini bezanya politik Pakatan Rakyat dan PKR, sesiapapun yang berkredibiliti akan diangkat dan diberikan ruangan untuk menterjemahkan idealisme perjuangan parti menjadi realiti. Ini tidak berlaku dalam UMNO kerana para pendukung mereka mempunyai pemikiran yang serupa termasuk yang baru melompat masuk iaitu yang baru terlibat dengan UMNO/BN perlu duduk dibawah menjadi kuli dan macai terlebih dahulu. Akhirnya mereka yang melompat kerana alasan itu akan kembali ditimpakan dengan alasan itu. Sepertimana mereka tidak suka kepada orang baru di dalam PR atau PKR, maka seperti itu gerombolan melompat ini akan ditolak oleh ahli dan pemimpin UMNO/BN. Inilah akibat perjuangan individu yang tidak ada prinsip dan kefahaman. Mereka akan diperlakukan dengan sebegitu rupa oleh UMNO/BN.

Jika hanya sekadar orang lama dan menjadi pencetus reformasi bermula tahun 1998 tetapi kini mengkhianati perjuangan reformasi sebenarnya adalah orang yang tidak terkesan dengan arus reformasi itu sendiri. Mereka sebenarnya tidak faham apa itu reformasi. Bahkan REFORMASI SUDAH KANDAS DALAM DIRI MEREKA. Justeru, kepada pendukung perjuangan keadilan dan kebenaran yang masih ada, teruskan perjuangan kalian. Dan panjatkan doa agar masing-masing diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk terus kekalkan istiqamah dalam titian sirotolmustaqim.

Hari ini Dr. Halili Rahmat telah mengumumkan keluar dengan alasan PKR bukan lagi sebuah wadah parti politik perjuangan tetapi lebih condong kepada parti yang pentingkan kuasa, hingga tidak memperdulikan kesejahteraan rakyat walaupun diberi mandat untuk mentadbir di beberapa buah negeri. Sebaliknya, kata beliau, pada masa yang sama, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk membawa perubahan politik untuk Umno dan BN. Ini, katanya, mendorong beliau terus membuat keputusan untuk menyertai Umno.

Sekali lagi kita persoalkan tentang pendirian seumpama ini. Bolehkah beliau senaraikan usaha ikhlas Najib Tun Razak itu? Ataupun tanpa sedar sebenarnya pengakuan-pengakuan mereka yang melompat parti ini sebenarnya membuka pekung bahawa mereka juga dahulu sebenarnya tidak faham dengan penglibatan mereka dalam perjuangan reformasi menuntut keadilan dan kebenaran yang lebih baik buat rakyat Malaysia. Mereka dahulunya berjuang bersama PKR kerana emosi bukan kerana kefahaman. Apabila emosi mereka tidak puas, mereka melompat. Berbeza dengan yang menyertai reformasi dengan kefahaman, kelompok ini akan lebih cekal dan istiqamah bersama Pakatan Rakyat/PKR.

Hari ini rata-rata anak muda yang menyertai PKR atau PR adalah kerana sudah mula dibentuk minda perjuangan mereka berasaskan kefahaman bukannya lagi emosi. Sebab itu isu lompat parti ini sedikitpun tidak mempengaruhi anak muda termasuk mahasiswa untuk terikut sama. Jika masih ada yang berjuang kerana emosi, maka mereka juga boleh mengikuti gerombolan lompat parti ini.

Bahkan sebagai contoh, dalam isu Ezam menyertai UMNO, saya telah bertemu semula dengan kelompok anak muda dan mahasiswa yang jelas mereka menyatakan bahawa pendekatan Ezam itu hanyalah mengulang semula episod Anwar sertai UMNO yang mana akhirnya akan diketahui bahawa agenda anti rasuah Ezam tidak akan berjaya melalui UMNO. Ini telah dihidu oleh UMNO. Jika Anwar yang hebat itupun tercampak keluar daripada UMNO disebabkan membawa agenda anti rasuah, maka apatah lagi Ezam. Yang menjadi Ketua Menteri Melaka, Ketua Pemuda UMNO Malaysia juga terlibat rasuah politik. Mana muka Ezam mahu bicara tegur mereka soal rasuah. Inilah antara sinisan anak muda dan mahasiswa terhadap Ezam.

Mereka mahu saya sampaikan kepada Ezam, ya hari ini saya sampaikan makluman ini kepada beliau. Namun jika bukan sebenarnya agenda anti rasuah yang dibawa Ezam dalam UMNO, apakah agenda sebenarnya? Sudah benar-benar termakan oleh dakyah pangkat dan ringgit UMNO? Ataupun Ezam bawa agenda Anwar? Adakah cita-cita Ezam mahu membawa Anwar berbaik dengan Najib? Kita tidak jelas dengan prinsip Ezam. Ya, yang dinyatakan adalah atas alasan soal Melayu, anti rasuah, PKR khianati perjuangan. Namun menyertai UMNO itu adalah tidak benar dan tepat masa ini. UMNO masih dalam keadaannya seperti rosaknya UMNO di bawah Dr. Mahathir. Mengapa dalam keadaan rosak ini mahu disertai UMNO? Ataupun yang menyertai UMNO dengan melompat beramai-ramai itu sebenarnya telah rosak. Ataupun merekalah yang sebenarnya tidak jelas dengan agenda reformasi dahulu yang bertujuan untuk kemakmuran rakyat.

Mereka melompat ke UMNO/BN adalah disebabkan tidak dapat jawatan setelah berjuang 10-12 tahun dalam gelanggang reformasi. Nasib baik Anwar tidak memilih Dr.Halili sebagai calon. Jika tidak mungkinkah akan ada lagi selepas memenangi kerusi MP melompat menjadi MP Bebas?. Wamakaruwamakarallah wallahukhairulmakiriin. Allah telah menunjukkan kebenaran dan memberikan petunjuk kepada kita bahawa amalan syura dan muafakat dalam mematuhi keputusan pimpinan ada keberkatannya. Dan ini jelas dan kes pemilihan calon PKR P.094.
Selamat berjuang buat teman anak muda dan mahasiswa di Hulu Selangor.

Thursday, April 15, 2010

Mengapa Pakatan Rakyat Bukan UMNO?


Anak Muda Tolak UMNO/BN: Mengapa?
Pilihanraya P.094, Parlimen Hulu Selangor akan berlangsung pada 25 April yang mana penamaan calon adalah pada 17 April 2010. Isyarat yang jelas dilihat pada malam pengumuman calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) mewakili Pakatan Rakyat bahawa gerombolan anak muda secara majornya bersama dengan PKR/PR. Itu tidak dibandingkan lagi dengan komposisi kaum yang ternyata terserlah menyebelahi Pakatan Rakyat.
Gugatan ikon yang bernama Anwar Ibrahim terhadap UMNO/BN begitu menghantui gandingan Najib-Muhyiddin sehingga mereka terpaksa membuat mesyuarat tergempar bagi mengstruktur semula pendekatan bagi berdepan PRK di P.094.
Mengapa anak muda menolak UMNO/BN?. Berdasarkan pengalaman saya sendiri yang pernah duduk di tengah selaku mahasiswa dan di lembaga sinergi masyarakat (NGO) jelas dapat melihat dan menilai ketidakupayaan UMNO/BN untuk menterjemahkan idealisme anak muda kepada realiti semasa. Untuk melihat masa depan Malaysia yang lebih baik tidak pada UMNO/BN lagi. Yang hanya ada dalam UMNO/BN adalah soal penerusan sistem feudal yang bercampur baur dengan masalah rasuah, nepotisme dan kronisme keterlaluan.
Lantas itu menyebabkan generasi muda melihat bahawa sudah tiba masanya Kerajaan Perubahan dibentuk bagi menguruskan khazanah negara dengan lebih baik. Ini ada wajah harapan lebih baik yang boleh disandarkan kepada Pakatan Rakyat terdiri daripada PKR, PAS & DAP.
Malaysia negara kaya dengan sumbernya. Ini boleh dibuat analogi bahawa jika hari ini rakyat sepatutnya mendapat segelas air dan sepinggan nasi percuma tetapi disebabkan kegagalan Kerajaan UMNO/BN menguruskan khazanah negara dengan baik maka hak rakyat ini tidak dapat diperolehi walaupun hanya untuk satu per empat/suku daripada air gelas dan juga sepinggan nasi itu tadi secara percuma
PENDIDIKAN
Jika hari ini sewajarnya seluruh anak muda di menara gading memperolehi biasiswa percuma namun masa kini sudah berubah. Anak muda seawal bergraduasi daripada kampus dibebankan dengan hutang hampir RM 25 ribu ringgit!. Jika ada yang berhasrat menyambung pelajaran ke peringkat Master, ditambah lagi hutang RM 15 ribu! Belum sampai ke level Doktor Falsafah/PHD sudah berhutang sehingga RM 40 ribu ringgit pada umur lingkungan 22-25 tahun!. Ini adalah kegagalan besar kerajaan UMNO/BN dalam isu pendidikan. Itu ditambah lagi dengan isu Pengajaran Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Isu PPSMI ini juga ada sangkutan dengan soal permainan rasuah ekonomi dan manipulasi dasar kerajaan untuk melakukan rasuah. Ini harus disiasat. Ini belum dibincangkan lagi dengan isu AUKU yang mengongkong mahasiswa. Mahasiswa wajar dibenarkan berpolitik. Rata-rata mereka sudah berumur 21 tahun dan perlu diberikan kebebasan berpolitik seperti mana termaktub dalam Perlembagaan. Kenyataan menyatakan mahasiswa akan rosak atau hilang fokus kerana terlibat dengan politik luar adalah tidak relevan.
Jika ini kenyataannya maka pendapat-pendapat seumpama itu hanyalah jelas meremehkan minda besar mahasiswa. Mahasiswa harus bangkit menyatakan hak mereka. Dan ini sedang dilakukan. Tahniah. AUKU ini perlu membenarkan mahasiswa berpolitik kerana jika halangan dibuat terhadap mahasiswa maka mahasiswa itu lebih rendah taraf dan kebebasannya daripada penagih dadah yang tidak memasuki kampus tetapi bebas berpolitik diluar jika mereka mahu. Ini analoginya.
KESELAMATAN & INTEGRITI
Isu-isu keselamatan juga sehingga kini tidak dijawab kerajaan UMNO/BN. Rakyat sudah maklum dengan isu kehilangan enjin jet pejuang F-5E. Bukan satu enjin yang hilang tetapi dua. Jika persoalan pokok tentang keselamatan negara gagal dilindungi oleh kepimpinan UMNO/BN. Maka apakah lagi harapan rakyat terhadap pemimpin yang seumpama ini. Isu kapal selam bernilai RM 1.3 bilion tidak boleh menyelam. Bom C4 boleh terlepas untuk mengebom Altantuya. Kes Pembunuhan Altantuya yang misteri. Kita persoalkan satu sahaja dalam isu Altantuya ini. Kita persoalkan apakah motif dua anggota polis yang dihukum mahkamah dengan hukuman gantung itu untuk membunuh Altantuya? Ini jelas tidak logik dan kesedaran ini sudahpun ada pada ratusan ribu anak muda.
Isu rasuah bilion ringgit UMNO/BN tidak disiasat secara agresif. Isu dakwaan rasuah PR dikejar tidak bertepi. Apa sudah jadi dengan siasatan rasuah Menteri Kewangan dahulu (Sekarang Menteri di JPM)? PKFZ? Banglo Khir Toyo? Rafidah Aziz? Ali Rustam? Khairy Jamaluddin dan SCOMI? Ini semua menjadi hujah kuat anak muda untuk menolak UMNO/BN. Rasuah berskala mega perlu dibanteras.
Begitu juga dengan isu mengambil APCO sebuah syarikat yang mempunyai hubung kait dengan Israel sebagai penasihat imej Malaysia yang sehingga kini gagal dijawab kerajaan UMNO/BN secara konklusif menyebabkan kebimbangan generasi muda terhadap daya negarawan kepimpinan negara. Ini seolah-olah menjual maruah dan keselamatan negara kepada negara luar. Jika hubungan itu merupakan hubungan perniagaan barangan tidak melibatkan maklumat dan imej negara mungkin kita boleh bersetuju. Itupun dengan syarat syarikat itu tidak mempunyai hubungan dalam bentuk apa-apa jua dengan negara haram Israel. Isu Asiasoft dan PDRM juga belum dihujahkan kerajaan UMNO/BN dengan jelas sehingga menimbulkan keraguan yang membimbangkan rakyat dan anak muda. Soal keselamatan dan kedaulatan negara seolah-olah sudah tidak ada lagi pengharapan kepada kerajaan UMNO/BN jika kita meneliti satu persatu isu-isu selingkar keselamatan dalam negara. Dengan timbulnya isu ini, maka jelas kepada anak muda bahawa kepimpinan UMNO/BN sudah hilang kebijakkan untuk menguruskan negara. Mereka sudah tenggelam dalam keenakkan kuasa, rasuah dan penyelewengan. Besar untung hanya untuk pemimpin UMNO/BN, baki kecil keuntungan ekonomi negara barulah diagih kepada rakyat. Itupun kadang-kala dicuri juga. Tidak ada pengertian berkebajikan yang transparent buat masa ini daripada kerajaan UMNO/BN.
Berbeza dengan pentadbiran Pakatan Rakyat. Di Selangor, rakyat dapat air percuma, diberikan wang bantuan apabila berlaku kematian. Di Pulau Pinang, peruntukan untuk Agama Islam dinaikkan daripada RM 12 juta zaman UMNO/BN kepada RM 24 juta ketika Pakatan Rakyat memerintah. Kedah, negeri terbaik pengurusan auditnya. Perbelanjaan berhemah. Ini diakui oleh Ketua Audit Negara. Hasil balak Kedah meningkat kepada RM 16.4 juta bagi 1000 hektar berbanding dizaman UMNO Kedah hanya RM 3 juta hasilnya bagi keluasan yang sama.
Kelantan, 20 tahun MB Kelantan tidak pernah walau sekalipun dipalitkan dengan dakwaan rasuah dan penyelewengan. Sistem Ladang Rakyat dan Tabung Kifalah Kelantan juga menjadi contoh dinegeri-negeri lain. Di Perak begitu juga, tanah diberikan geran kepada semua penduduk baik Melayu, Cina dan India. Pentadbiran yang adil dan berkebajikan ini menjadi pilihan generasi muda dan generasi baru Malaysia.
K-Politic & ISU LIWAT
Anak muda memilih Pakatan Rakyat dan menolak UMNO/BN kerana mereka mempunyai minda untuk berfikir. Jika tadi kita sudah membincangkan beberapa persampelan dalam isu pendidikan dan keselamatan. Maka kita terus menyatakan pandangan anak muda dalam isu K-Politic (Politik Nilai & Politik Pengetahuan). Isu liwat yang dilakukan bagi menyerang peribadi Anwar Ibrahim adalah salah terutama sekali dengan penyertaan beria-ia beberapa pemimpin dan panglima UMNO dalam mempertahankan mangsa liwat. Penglibatan mereka jelas menunjukkan bahawa UMNO/BN terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dalam isu tuduhan liwat ini.
Generasi muda terdidik pada hari ini tidak boleh menerima hujah tuduhan liwat yang cuba dimainkan oleh beberapa pemimpin/ahli UMNO. Sebagai contoh, cabaran Ezam terhadap Anwar yang mengatakan bahawa jika Anwar mencabar baru beliau mahu membongkar apa yang dia tahu tentang liwat.
Saya ingin berpesan kepada Sdra. Ezam, kamu jangan hanya menunggu cabaran Anwar tentang isu liwat ini. Jika kamu benar mempunyai maklumat dan bukti, maka agama telahpun awal-awal lagi mencabar kamu untuk mendedahkan perkara yang ada dalam pengetahuan kamu tentang isu liwat. Jelaslah kepada kita mungkin kenyataan Ezam itu hanyalah berbentuk cabaran politik berkepentingan kerana beliau lebih teruja dengan cabaran Anwar berbanding cabaran agama dalam isu ini. Jika ikhlas pendedahan wajar dilakukan kerana agama bukan kerana cabaran Anwar.
Sebagai contoh, saya menyertai PKR adalah kerana soal prinsip dan melihat keupayaan Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan kepimpinan yang lebih baik berbanding UMNO/BN yang telah diberi peluang 52 tahun memerintah Malaysia dan sehingga kini tidak nampak usaha-usaha reformasi parti mereka yang berjaya melainkan hanya tinggal slogan sahaja. Saya juga melihat Anwar Ibrahim sebagai tokoh perubahan itu bersama-sama dengan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain. Namun ingin dijelaskan bahawa saya tidakpun menyertai Parti Keadilan Rakyat kerana dijemput oleh Anwar Ibrahim. Tetapi saya memilih untuk membuat keputusan itu adalah hasil daripada rasa tanggungjawab terhadap agama dan negara. Saya menilai prinsip perjuangan Pakatan Rakyat (PKR, PAS & DAP). Saya juga menimbang tara antara akhlak dan integriti pimpinan PR yang jauh lebih baik berbanding UMNO/BN. Kita wajar memilih pemimpin yang terbaik dan amanah dikalangan kita. Saya sendiri hairan apakah bentuk prinsip integriti dan moraliti yang ada pada UMNO/BN masa kini yang menyebabkan Ezam, rakan-rakan dan beberapa ex-MP Pakatan Rakyat terlompat-lompat kesana?.
Dalam isu liwat, Ezam melakukan pendekatan sebaliknya. Dia memilih untuk menunggu cabaran Anwar Ibrahim berbanding mendedahkan perkara itu atas rasa tanggungjawab sebagai rakyat dan dilakukan demi agama. Sikap beliau ini boleh kita istilahkan sebagai oportunis politik. Ataupun sebenarnya Ezam tidakpun mempunyai apa-apa maklumat yang tepat mengenai isu liwat ini. Hanya mendengar percakapan dan pengakuan demi pengakuan yang tidak ada substancenya.
Hari ini kita berpolitik dengan fakta dan hujah. Hujah dilawan hujah. Persoalan dijawab dengan nilai fakta dan pengetahuan. Sudah pasti mana-mana parti yang mengamalkan pendekatan politik pengetahuan (Politik Pendidikan), insyallah rakyat akan bersama. Sesiapa yang mengamalkan politik fitnah, kumpulan itu akan ditolak rakyat buat masa kini dan hari mendatang.
Berdasarkan ini, soal pendidikan, keselamatan, kebajikan, politik murni dan pengetahuan. Sudah pasti anak muda memilih untuk kali ini dan seterusnya bersama-sama dengan Harapan Baru dan Kerajaan Perubahan/Pakatan Rakyat lantas menolak UMNO/BN. Insyallah.