7 OKTOBER 2011
UNDI POS WAJAR DIREFORMASIKAN
Kenyataan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruddin Mohd Baria yang menjelaskan bahawa undi pos akan dikekalkan adalah tidak berdasarkan suatu asas pandangan yang kukuh. Saya melihat alasan bahawa undi pos harus dikekalkan disebabkan oleh hak mengundi pelajar diluar negara serta anggota keselamatan yang bertugas diperbatasan dan perairan adalah suatu perkara yang boleh dipertikaikan keberkesanannya.
Ini adalah kerana kebanyakkan pelajar yang belajar diluar negara hanya menerima kertas undi mereka selepas waktu pilihanraya yang mengakibatkan mereka tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Malahan kadang-kala para pelajar ini tidak pun memaklumi tarikh dan pengumuman jangka waktu pilihanraya dan pengundian. Pengurusan pengundian bagi para pelajar dan pegawai yang bertugas diluar negara perlu diperbaiki dengan lebih baik melalui sistem pengundian yang berkesan.
Begitu juga dengan situasi pengundian pos oleh anggota keselamatan diperbatasan yang ingin saya persoalkan ialah kebanyakkan anggota keselamatan termasuk tentera yang mengundi pos ini adalah mereka yang menginap di kem-kem tentera dan bukannya diperbatasan atau perairan negara. Malahan ada juga dikalangan anggota tentera ini yang menginap di kawasan sekitar kem-kem tentera yang sebenarnya membolehkan mereka mengundi secara biasa seperti pengundi lain tanpa perlunya mengundi secara pos. Contohnya di kawasan Parlimen Telok Kemang, terdapat ramai anggota tentera yang tinggal dan menyewa di kawasan sekitar kem. Ini jelas menunjukkan bahawa pengundian secara pos tidak lagi relevan buat mereka kerana kebanyakkan anggota tentera tidak lagi berada atau bertugas diperbatasan negara.
Anggota tentera dan keselamatan yang tidak bertugas diperbatasan perlu diberikan hak mengundi secara biasa dan kelayakkan mengundi secara pos oleh mereka dan keluarga termasuk isteri harus dihapuskan. Ini bertujuan bagi mengelakkan pertindihan kerana sudah wujudkan kes-kes dimana isteri anggota tentera boleh mengundi sebanyak dua kali iaitu secara pos dan juga secara biasa akibat kewujudan undi pos serta ketiadaan pantauan dan ketetapan proses pengundian yang efisien.
Sebagai Ahli Parlimen Malaysia, saya ingin menegaskan bahawa pengundian pos wajar direformasikan kerana sudah lagi tidak dilihat efisien dalam memberikan hak mengundi secara bebas dan adil kepada anggota keselamatan khususnya tentera. Anggota tentera yang tidak berada diperbatasan perlu diberikan kebebasan untuk mengundi secara biasa seumpama rakyat marhaen yang lain. SPR perlu mengambil langkah-langkah segera dalam menangani isu ini. Saya menyeru agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang akan bersidang membincangkan persoalan penambahbaikan perjalanan SPR dan pengurusan pilihanraya yang bersih dan adil membincangkan isu pengundian pos ini secara serius agar suatu kata putus dapat dilaksanakan menjelang pilihanraya umum ke 13 akan datang.
YB Dato’ Kamarul Baharin Abbas
Ahli Parlimen Telok Kemang