Monday, February 23, 2009

SPRM WAJAR SIASAT JIKA ADA RASUAH LOMPAT PARTI

KENTAAN MEDIA GERAK MALAYSIA
16 FEBRUARI 2009

SPRM WAJAR SIASAT JIKA ADA RASUAH LOMPAT PARTI


Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia) menolak keras mana-mana agenda rasuah politik bagi membeli atau memancing ADUN atau mana-mana Ahli-ahli Parlimen Malaysia untuk melompat parti. Gerak Malaysia menggesa agar SPRM menjalan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan jenayah ini.

Situasi ketidakstabilan politik yang berlaku di Perak akibat lompat parti atau bertukar menjadi ADUN Bebas harus dihindarkan daripada perilaku rasuah dan ugutan. Gerak Malaysia menggesa mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh termasuk salinan transaksi, wang, cek, surat-surat berkaitan agar tampil membuat laporan kepada SPRM. Gerak Malaysia menyokong apa-apa usaha oleh mana-mana pihak bagi mendedahkan dan melaporkan jenayah rasuah yang berlaku bagi membeli ADUN-ADUN daripada mana-mana parti politik.

Walaupun tindakan melompat parti atau bertukar parti adalah suatu tindakan yang dibenarkan oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 10, namun tindakan ini perlu dihindarkan daripada anasir-anasir rasuah, ugutan, salah guna kuasa dan bersifat kepentingan peribadi.

Gerak Malaysia juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang bersedia menjadi saksi dan membawakan dokumen fizikal kes-kes rasuah politik yang berkaitan dalam isu lompat parti agar Gerak Malaysia dapat mengambil tindakan bersama dan lebih agresif untuk mendedahkan kepada masyarakat. Jika laporan bersumpah yang dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri adalah benar melibatkan rasuah politik, Gerak Malaysia menggesa agar SPRM bertindak pantas untuk melakukan siasatan dan tindakan. Timbalan Perdana Menteri juga wajar digantung tugas jika terlibat dalam kes yang didakwa. Pelapor juga boleh bertemu Gerak Malaysia untuk kita mengambil tindakan yang boleh mencetuskan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya rasuah untuk membeli kuasa politik.

Gerak Malaysia menyarankan agar secara segera undang-undang berkaitan masalah lompat parti digubal. ADUN atau Ahli Parlimen yang melompat parti wajar meletakkan jawatan bagi membolehkan pilihanraya kecil dijalankan bagi kawasan mereka. Walaubagaimanapun, kita mencadangkan agar mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen yang meletakkan jawatan wajar diberi peluang untuk bertanding semula sejurus meletak jawatan bagi mewakili parti barunya . Situasi ini penting bagi memberikan keadilan kepada calon dan rakyat dalam proses demokrasi. Undang-undang yang konklusif wajar dibentuk bagi memastikan keterjaminan integriti politik. Kita juga mengecam mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen yang mengambil kesempatan daripada kebebasan berpersatuan yang dijamin Perlembagaan untuk melompat parti atas unsur-unsur sogokan, rasuah dan kepentingan diri. Gerak Malaysia menyarankan agar rakyat menolak kepimpinan yang rasuah dan lebih mementingkan kepentingan diri.

MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi
GERAK MALAYSIA

Saturday, January 31, 2009

Lompat Parti: Jauhi Rasuah

Isu kejatuhan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak menggamit banyak persoalan dan persepsi masyarakat. Kebanyakkan analisis media menunjukkan adalah lebih adil untuk dibubarkan DUN Perak berbanding pendekatan yang sedang diguna pakai sekarang.
Namun soal pendekatan ini betul atau tidak kita boleh merujuk perkara ini kepada pandangan kedua-dua belah pihak termasuk daripada perspektif undang-undang. Tindakan untuk mana-mana individu mengemukakan saman adalah terpulang kepada hak individu yang mungkin melihat ada beberapa justifikasi tersendiri melihat keadaan yang berlaku seolah-olah ada pertentangan dengan undang-undang.
Maka dalam hal ini masing-masing perlu mengemukakan serta mempertahankan tindakan dengan merujuk kepada undang-undang walaupun sehingga perlu dibawa ke mahkamah. Mungkin sehingga polemik ini tidak diberikan ketentuan oleh mahkamah maka kedua-dua pihak akan mendakwa pendekatan yang dibuat oleh pihak mereka sebagai itulah yang terbaik dan mengikuti lunas undang-undang.
Hakikatnya dalam persoalan ini, individu yang menjadi ADUN yang terlibat perlu membebaskan diri daripada rasuah ataupun ugutan ketika keputusan berpindah parti sama ada parti lawan atau menjadi ADUN Bebas.
Hakikat ini perlu diterima Karpal Singh bahawa tidak salah secara undang-undang untuk melompat parti cuma asasnya perlu berprinsip. Namun inilah hakikat yang sukar ditentukan apabila untuk menentukan kayu ukur lompat berprinsip ataupun tidak itu berlaku. Maka tindakan Anwar Ibrahim mencanang lompatparti itu adalah tidak menjadi kesalahan menurut undang-undang sehingga akhirnya terbukti tidak bersalah tindakan melompat seperti yang berlaku di Perak. Cuma polemiknya ialah apakah lompatan itu lompatan ikhlas dan bersih daripada rasuah? Jika ADUN Bota dikatakan melompat secara bersih, maka itu dijelaskan oleh ADUN itu sendiri dan rakyat melihat tindakan itu sebagai kembali kepada fitrah.
Namun mengapakah lompatan dua ADUN PKR dan seorang DAP dilihat sebagainya. Rakyat memahami tindakan lompat itu tidak salah. Tetapi yang menimbulkan keraguan ialah dua ADUN yang mahu melompat itu terlibat dengan tuduhan rasuah di mahkamah. Mengapa tiba-tiba dua ADUN ini mahu bertukar menjadi ADUN bebas? Rakyat melihat keadaan ini seolah-olah ada janji 'sistem barter' untuk menggugurkan kes rasuah mereka.
Kita percaya jika ini yang berlaku, rakyat tidak akan menerima pendekatan lompat seumpama ini. Dalam hal ini, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat, fakta & dokumen berkaitan masalah ini harus bersatu & bermuafakat dalam melaporkan kes jika melibatkan rasuah. Gerak Malaysia juga bersedia untuk menerima maklumat & dokumen berkaitan untuk kita dedahkan bersama demi kepentingan rakyat.
Jika lompat parti menjadi masalah terutama apabila jumlah majoriti kerusi DUN antara kerajaan & pembangkang agak tipis, maka undang-undang pencegahan perlu digazetkan. Undang-undang ini perlu dibuat atas asas untuk bertindak sebagai mencegah budaya rasuah & penidakkan terhadap integriti yang lebih merosakkan maslahah rakyat. Undang-undang yang menyebut mana-mana ADUN yang meletakkan jawatan tidak boleh bertanding sehingga 5 tahun juga wajar dibubar. Ini adalah undang-undang yang dicipta Mahathir untuk mengekang ADUN-ADUN BN lain mengikut jejak langkah Datuk Shahrir Samad yang bertanding Bebas di Johor Bharu menentang calon BN yang akhirnya memberikan kemenangan kepada Datuk Shahrir. Sikap seumpama yang diambil oleh Datuk Shahrir dan yang terbaru ADUN Bukit Selabau, Kedah, V. Arumugam yang meletakkan jawatan sebagai Exco & ADUN Kedah wajar dipuji.
Tindakan ini memberikan hak kembali kepada rakyat untuk memilih. Pokoknya bergantung kepada integriti ADUN sendiri walaupun hari ini tidak ada undang-undang yang memaksa mereka meletakkan jawatan sekiranya lompat parti. Bahkan ada pula undang-undang yang tidak membenarkan mereka bertanding sehingga 5 tahun dari tarikh perletakkan jawatan. Ini dua contoh-contoh dalam keadaan undang-undang yang berbeza. Namun dalam keadaan undang-undang hari ini sebenarnya lebih menguji keikhlasan mana-mana ADUN. Hakikatnya, ADUN PKR, V. Arumugam tidak boleh bertanding semula selepas meletakkan jawatan ADUN sehingga 5 tahun. Namun natijahnya ialah rakyat diberikan pilihan untuk menerima kembali legitimasi parti yang didukungnya atau mungkin parti baru atau bebas yang dipilih oleh ADUN.
Mungkin Dr. Zamry, boleh mencorak pendekatan berbeza. Apakah boleh diwujudkan kerajaan campuran BN & PR hanya di Perak?Ini juga satu langkah baru politik. Namun siapa pula MB nya? Kekal daripada PAS atau UMNO/BN?Ataupun mungkin Dr. Zamry boleh juga memohon kepada Sultan Perak untuk membubarkan DUN. Ini lebih dilihat keyakinan BN untuk berdepan dengan persepsi masyarakat serta pilihan rakyat.
Saranan ini perlu diperhatikan kerana tiga sokongan daripada ADUN Bebas itu adalah dua daripadanya terlibat dengan pendakwaan rasuah di mahkamah. Untuk menunjukkan kekuatan integriti BN, mereka seharusnya mengambil pendekatan untuk memohon juga kepada Sultan Perak untuk membubarkan DUN. Kita rakyat tidak mahu politik ini ditentukan sokongan oleh pemimpin yang terlibat dengan rasuah, walaupun kes masih dibicarakan namun seperti yang seringkali saya tegaskan, jawatan dan porfolio yang sedang didakwa harus digantung. Maka amat wajar untuk dua bekas ADUN PKR ini meletakkan jawatan. Sikap kita rakyat tidak boleh berkompromi dengan rasuah dan mereka yang terlibatnya dengannya.
UMNO & BN harus menyedari hakikat ini. Sokongan penbentukan kerajaaan di Perak daripada ADUN yang sedang didakwa kes rasuah hanya akan memperlihatkan politik ini adalah berbentuk apa sahaja kesempatan. Politik harus dibentuk dengan jujur. Walaupun jika dua ADUN ini meletakkan jawatan, mungkin ada yang akan menyatakan BN masih lagi mempunyai majoriti mudah 1 kerusi lebihan melalui bekas ADUN DAP. Tetapi apakah tidak ada kemungkinan untuk ADUN itu berpatah balik kepada DAP. Kita juga tidak akan setuju untuk ADUN DAP itu berpatah balik dengan ugutan & rasuah seperti mana dakwaan kuat masyarakat terhadap bekas dua ADUN PKR. Jika bekas ADUN DAP berpatah balik dan dalam masa yang sama bekas dua ADUN PKR didapati bersalah, maka Pakatan Rakyat akan memerintah Perak kembali. Apakah PR akan juga mencadangkan pembubaran DUN? Jika PR akan juga membubarkan DUN, maka langkah awak ini perlu diambil Dr. Zamry untuk memohon persembah Sultan Perak membubarkan DUN bagi mendapat mandat rakyat.
Bagi menjamin perkara seumpama lompat parti yang menimpulkan keresahan ini kembali berlaku, maka Parlimen melalui Dewan Rakyat boleh membentangkan undang-undang yang membolehkan ruang ditutup buat rasuah sama ada benar atau tidak perkara ini. Tanpa undang-undang yang konklusif menangani masalah ini, maka kita percaya akan wujud ruang-ruang berlakunya rasuah & ugutan sama ada ianya benar dapat dilakukan atau tidak dalam isu lompat melompat ini. Atau sama ada jumlah rasuah itu besar ataupun kecil tetap akan akan ada ruang untuk berlaku tanpa undang-undang.
Kayu ukur kekuatan integriti perlu dilandasi undang-undang yang boleh menutup ruang berlakunya pengkhianatan terhadap integriti terutamanya pemimpin politik. Islam juga turun dengan undang-undangnya yang mana dalam masa yang sama membahaskan tentang keimanan yang merujuk kepada kekuatan dalaman diri. Ternyata Islam telah menunjukkan contohnya, maka dalam isu melompat parti ini juga perbicaraan soal integriti dan ketelusan lompatan itu harus dilandasi dengan undang-undang yang boleh menyokong semangat integriti itu.
Mungkin yang boleh dilihat Parlimen dalam soal integriti kepimpinan ini atau integriti politik. Mana-mana ahli politik dibenarkan atau bebas bertukar parti termasuk menjadi bebas. Namun mereka wajar mengembalikan hak menentukan sokongan kepada rakyat. Undang-undang halangan 5 tahun tidak boleh bertanding wajar dilupuskan. Ini memberikan hak juga kembali kepada individu bekas ADUN yang telah meletakkan jawatan untuk bertanding semula jika ada keinginan seperti yang telah termaktub kebebasan ini dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
Dengan cara ini, parti-parti politik yang cenderung untuk menawarkan rasuah bagi mana-mana ADUN melompat kepada parti mereka akan memikirkan dua kali kerana tidak ada kesan langsung yang boleh diperoleh melalui tindakan ugut atau merasuah mana-mana ADUN. ADUN juga tidak akan mudah terpengaruh dan tunduk kepada ugutan-ugutan serta rasuah seumpama ini.
Semoga semua ADUN & ahli-ahli Parlimen menjauhi amalan melompat kerana rasuah & ugutan kerana ini bertentangan dengan kepentingan awam & nilai integriti walaupun undang-undang pada hari ini membenarkan untuk bertukar parti pada bila-bila masa. Seharusnya kesempatan atas undang-undang yang sedia ada ialah mana-mana ADUN & Ahli Parlimen mana-mana parti wajar untuk menunjukkan daya integriti mereka. Integriti & anti rasuah bukan sekadar hanya diucapkan, tetapi wajar untuk diperlihatkan.
Bagi orang awam yang mempunyai bukti rasuah berkaitan melompat parti harus tampil beramai-ramai seperti mana tampilnya beramai-ramai orang awam melaporkan kes kepada polis dalam isu Karpal Singh. Agenda integriti & anti rasuah bukan hak esklusif mana-mana pihak termasuk Gerak Malaysia. Agenda ini adalah agenda semua, jika kami tidak mempunyai dokumen & maklumat, orang awam yang lain boleh berkongsi maklumat dan pendedahan bersama Gerak Malaysia. Gerak Malaysia bersedia bertindak untuk semua pihak. Saya mengalu-alukan penyerahan dokumen berkaitan untuk didedahkan buat kepentingan dan maslahah ummah. Saksi kejadian juga boleh bersama dengan Gerak Malaysia untuk kita bersama-sama bertindak. Tidak juga menjadi halangan Gerak Malaysia untuk orang awam juga beramai-ramai melaporkan kes bukti kepada SPRM & termasuk pihak polis. Salam kerjasama buat semua. Bersama Membanteras Rasuah.

GERAK MALAYSIA SOKONG PIHAK MAHU BANTERAS RASUAH




KENYATAAN MEDIA GERAK MALAYSIA
30 JAN 2009

GERAK MALAYSIA SOKONG PIHAK MAHU BANTERAS RASUAH

Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia ) menyokong penuh tindakan mana-mana pihak termasuk parti-parti politik untuk menyatakan komitmen secara serius dan tegas bagi mendedahkan apa-apa sahaja kes-kes rasuah yang melibatkan penyelewengan wang rakyat. Gerak Malaysia juga menyokong usaha-usaha oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor untuk mendedahkan rasuah & penyelewengan yang melibatkan Kerajaan BN Selangor di bawah pimpinan Dato’ Seri Dr. Mohd Khir Toyo dahulu. Sepatutnya pendedahan seperti itu tidak perlu menunggu masa yang begitu lama untuk dibuat. Sebaik sahaja mendapat bahan bukti yang mencukupi, laporan hendaklah terus dibuat kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan segera. Bukan menunggu untuk setakat mendedahkannya di dalam Dewan Undangan Negeri sahaja. Gerak Malaysia juga bersedia untuk membongkarkan penyelewengan yang berlaku jika mendapat maklumat dan dokumen yang berkaitan dengannya.

Dalam perkembangan terdahulu, Gerak Malaysia merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesungguhan mereka yang telah berusaha gigih untuk menyiasat & membanteras kes-kes rasuah yang dilaporkan seperti rasuah politik dalam UMNO dan termasuk dakwaan kes penyelewengan Menteri Besar Selangor baru-baru ini. Gerak Malaysia berharap agar tidak ada sikap pilih kasih atau siasatan terpilih dalam kes-kes rasuah sama ada melibatkan kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional mahupun Kerajaan Pakatan Rakyat.

Gerak ingin menegaskan di sini bahawa kes yang melibatkan dakwaan salah laku dan rasuah Tan Sri Khalid itu bukanlah satu perkara yang kecil atau remeh. Yang dipersoalkan di sini ialah cara pengeluaran dana kerajaan negeri yang tidak mengikut prosedur dan disalurkan ke kawasan Parlimennya sendiri yang berada di luar negeri Selangor. Bukanlah daging korban atau manfaat yang diperolehi oleh penduduk di Bandar Tun Razak yang dipertikaikan, tetapi manfaat keuntungan politik yang diperolehi oleh Menteri Besar secara tidak betul yang dipersoalkan. Lebih-lebih lagi jumlah 46 ekor lembu korban yang diberikan kepada Parlimen Bandar Tun Razak (yang meliputi semua Masjid, Surau dan Madrasah) adalah melebihi daripada jumlah yang di agihkan kepada 9 daerah di seluruh negeri Selangor (yang hanya diberikan kepada Masjid sahaja). Kita kecewa dengan sikap dolak dalih yang ditunjukkan oleh Tan Sri Khalid dalam menangani isu ini dan cara beliau menutup kesilapan beliau dengan alasan “sedekah” dan “amal jariah” dalam usaha beliau untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu yang sebenarnya. Gerak Malaysia menekankan persoalan pengurusan integriti dalam kepimpinan tidak kira sama ada oleh BN ataupun PR.

Sehubungan dengan itu Gerak juga ingin menyeru kepada para ulama dan tokoh-tokoh agama termasuk para mufti untuk memberikan pandangan mereka terhadap amalan “sedekah” dan “amal jariah” seperti ini untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah faham kepada umat Islam keseluruhannya.

Kita juga menyarankan, mana-mana pihak yang mempunyai dokumen dan fakta yang berkaitan kes rasuah dan penyelewengan agar tampil secara berani melaporkan kes berkenaan. Gerak Malaysia sentiasa menyokong tindakan rakyat untuk melaporkan dan mendedahkan kes-kes rasuah. Kita juga bersedia untuk bekerjasama dengan pihak-pihak yang ingin melaporkan tentang salah guna kuasa mana-mana pihak sama ada di peringkat kerajaan mahupun pembangkang. Isu integriti dan anti rasuah bukanlah perjuangan eksklusif Gerak Malaysia tetapi ini merupakan perjuangan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira batasan ideologi kepartian.

Gerak Malaysia juga ingin menegaskan bahawa kita tetap dengan prinsip untuk membudayakan integriti dan anti rasuah secara neutral, non-partisan dan bebas. Justeru kita juga menolak tohmahan mana-mana pihak yang menuduh Gerak Malaysia dipergunakan untuk kepentingan parti politik tertentu. Gerak Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mencabar kredibiliti tindakan Gerak Malaysia dalam melaporkan salah laku rasuah & penyelewengan terutamanya melibatkan rasuah politik.

Mohd Nazree Mohd Yunus
Pengerusi Gerak Malaysia


Tuesday, January 27, 2009

TIADA KOMPROMI DALAM RASUAH POLITIK : GERAK MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA
GERAK MALAYSIA
23 JANUARI 2009

TIADA KOMPROMI DALAM RASUAH POLITIK : GERAK MALAYSIA


Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia) menyokong tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila mendakwa 3 pimpinan dan ahli UMNO yang terlibat dengan rasuah politik di mahkamah sesyen Kuala Lumpur, Ipoh dan Melaka.

Gerak Malaysia juga menyarankan agar SPRM tidak menjalankan pendakwaan terpilih terhadap hanya ahli dan pimpinan kecil peringkat cawangan dan bahagian sahaja dalam melakukan rasuah politik terutamanya menjelang pemilihan UMNO Mac ini. Kita juga berharap agar ada tindakan yang lebih agresif daripada SPRM untuk melakukan pendakwaan terhadap beberapa kepimpinan tertinggi UMNO termasuk beberapa laporan berkaitan salahguna kuasa Presiden dan Tim. Presiden UMNO.

Gerak Malaysia menggesa agar mana-mana pihak yang mermpunyai bukti fizikal rasuah terutamanya berkaitan dokumen, resit, wang atau cek agar tampil menyampaikan dokumen itu kepada SPRM untuk dilakukan penyiasatan dan pendakwaan.

Kita juga bersedia untuk menerima dan mendedahkan laporan rasuah politik UMNO jika ada mana-mana pihak bersedia bekerjasama untuk memberikan dokumen yang berkaitan yang boleh membantu pendakwaan.

Gerak Malaysia juga menyokong tindakan MPT PKR Sdra. Badrul Hisham Shaharin yang sebelum ini telah mendedahkan dokumen rasuah politik pimpinan UMNO Bahagian Wilayah Persekutuan. Gerak Malaysia menggesakan agar SPRM dapat mengambil tindakan segera atas pendedahan tersebut.

Semua pihak perlu bermuafakat dalam agenda membudayakan integriti dan anti rasuah termasuk perkongsian maklumat dan kerjasama antara NGO-NGO & parti-parti politik agar rasuah politik dapat dibendung daripada menular dalam mana-mana parti politik sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Gerak Malaysia tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan rasuah termasuk rasuah politik yang melibatkan pimpinan tertinggi UMNO atau parti-parti yang lain.


MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi Gerak Malaysia

Friday, January 16, 2009

GERAK MALAYSIA GESA PENGUNDI PILIH CALON BERINTEGRITI


KENYATAAN MEDIA
GERAK MALAYSIA
16 JANUARI 2009




Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia ) menggesa agar pengundi Parlimen Kuala Terengganu (P36) memilih mana-mana calon yang berintegriti di antara calon-calon yang bertanding. Pemilihan calon yang tepat oleh pengundi pada 17 Januari ini amat perlu agar pemimpin yang dilantik kelak mampu untuk membawa agenda rakyat secara telus, bertanggungjawab dan penuh integriti.

Pemilihan dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu bukan sekadar suatu proses memilih seorang wakil rakyat di Parlimen tetapi pemilihan ini adalah penting bagi meletakkan individu yang benar-benar mampu mengisi ruang perbahasan yang lebih cenderung untuk membahaskan polisi-polisi berkepentingan rakyat dan bukannya hanya bersifat agenda dan berkepentingan peribadi.

Pengundi-pengundi juga wajar menolak mana-mana calon bertanding yang menggunakan pendekatan rasuah politik. Rasuah politik tidak akan memberikan makna terhadap usaha rakyat Malaysia ke arah membentuk Good Governance.

Good Governance hanya akan lahir daripada pemilihan individu yang mempunyai nilai-nilai moraliti yang tinggi dalam membanteras rasuah politik. Rakyat mempunyai hak untuk menidakkan kemenangan calon yang tegar dengan amalan rasuah politik. Keazaman politik amat perlu dan rakyat di Kuala Terengganu juga mempunyai hak untuk meletakkan pemimpin yang lebih berani untuk menggalas cabaran membanteras rasuah politik di peringkat nasional.

Kuasa undi rakyat di P 36 akan lebih sempurna dengan dimanfaatkan bagi menentukan hanya calon yang benar-benar komited membudayakan integriti dan anti rasuah mendapat tempat di Parlimen. Kita percaya bahawa calon yang berintegriti akan membawa rakyat ke arah wawasan pembangunan yang lebih adil dan saksama tanpa mengira batasan agama dan bangsa.

Gerak Malaysia juga menggesa agar parti-parti politik menghindarkan diri daripada amalan rasuah politik yang bukan sahaja merosakkan rakyat bahkan juga merosakkan kredibiliti parti itu sendiri.

Dalam perkembangan terbaru, Gerak Malaysia juga mengecam tindakan merasuah petugas media di Media Centre Kuala Terengganu. Gerak menggesa agar SPR dan SPRM memulakan siasatan terhadap rasuah politik terhadap media. Dua tindakan segera oleh SPRM adalah menyiasat siapa yang terlibat dan apakah motif rasuah politik diberikan terhadap petugas media pula. Informasi dalam pilihanraya harus dilaporkan secara telus tanpa ada unsur-unsur untuk membeli media massa supaya hanya melaporkan isu yang berpihak kepada satu-satu parti sahaja.


MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi Gerak Malaysia


Saturday, January 10, 2009

P36: Siapa Tim. Menteri Baru Dua Kementerian?

Asasnya mudah, jika sebelum menjadi calon P36, Kuala Terengganu, Wan Ahmad Farid merupakan Tim. Menteri Dalam Negeri. Calon sebelumnya bagi P36 juga adalah Tim. Menteri Pelajaran.
Selepas 6 Jan, dua kekosongan jawatan Tim. Menteri akan menjadi intaian lebihan MP BN atau UMNO untuk mengisinya. Apakah percaturan untuk meletakkan Wan Farid adalah semata-mata untuk memberikan ruangan kekosongan yang lebih lagi kepada MP BN atau UMNO yang lain? Mungkin juga kita boleh menilai sejauh mana ahli MP UMNO dan BN akan bekerja keras untuk membantu Wan Farid?
Ada andaian yang menyatakan disaat-saat akhir sama ada kegentingan UMNO dan peralihan kuasa akan berjaya atau tidak mungkin ada di kalangan MP Kerajaan Pusat yang lebih berminat untuk mendapatkan post kuasa berbanding memikirkan soal kemenangan Wan Farid.
Namun mungkin jika Wan Farid tidak beroleh kemenangan, Khairy Jamaluddin mempunyai ruang untuk mengisi mana-mana post yang kosong sama ada sebagai Tim. Menteri Dalam Negeri atau sebagai Tim. Menteri Pelajaran. Atau BN mempunyai calon MP muda yang lain? Siapakah mereka yang lebih tertonjol berbanding Khairy yang setidak-tidaknya berjaya membuatkan PR terpaksa berdepan semula mainan isu hudud, juga pendekatan demontrasi Khairy yang mirip gerakan kritikal pembangkang.
Yang harus dilakukan oleh sesiapa sahaja yang bakal memegang amanah di dua kementerian ini adalah lebih wajar untuk menfokuskan tentang kolibrasi kementerian untuk berjuang melawan rasuah dan membudayakan integriti.
Teorinya mudah, mungkinkah KDN boleh membuka ruang untuk memberikan fokus terhadap agenda memerangi rasuah yang boleh diistilahkan sebagai ancaman kepada keselamatan dalam negara? Kedua, mungkinkah Kementerian Pelajaran boleh mencetuskan budaya pendidikan anti rasuah dan budaya integriti bermula di peringkat pelajar sekolah?
Maka ini yang dinantikan, siapa yang bakal memegang post Tim. Menteri di dua kementerian? Adakah sinar harapan buat Wan Farid atau Khairy Jamaluddin bakal menjadi Tim. Menteri? Namun yang menjadi prioritas kepada maslahah ummat adalah perlu ada political will mana-mana pemimpin politik (termasuk kerajaan & pembangkang) untuk memerangi rasuah dan ini cabaran generasi selepas 52 tahun merdeka. Perjuangan kita pada hari ini adalah perjuangan melawan penjajahan rasuah!.
Hasrat MP BN terutamanya UMNO termasuk hasrat rakyat akan menentukan selepas 17 Jan 09 ini siapakah yang bakal mempunyai ruang untuk 2 posisi Tim. Menteri yang sudah dikosongkan hampir sebulan.

Thursday, December 25, 2008

GERAK MALAYSIA SARAN SKIM GAJI SPRM LEBIH BAIK

KENYATAAN MEDIA GERAK MALAYSIA
31 Disember 2008

GERAK MALAYSIA SARAN SKIM GAJI SPRM LEBIH BAIK


Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia) menyarankan agar kerajaan mengkaji semula skim gaji pegawai BPR atau SPRM dan menawarkan satu skim gaji baru yang lebih baik bagi mereka. SPRM akan menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berkuat kuasa pada 1 Januari 2009. Gerak Malaysia melihat skim gaji baru ini perlu lebih menarik dan memberangsangkan bagi para pegawai SPRM dan menarik minat orang awam terutamanya generasi muda untuk menyertai SPRM.

Pelbagai usaha dilakukan kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi untuk menjayakan penubuhan SPRM bagi menggantikan BPR bagi memantapkan lagi undang-undang membanteras rasuah. Namun pengumuman skim gaji baru bagi kakitangan SPRM tidak memberangsangkan.

Skim gaji baru BPR atau SPRM yang diumumkan hanya membolehkan pegawai BPR yang berkelulusan diploma memperoleh kenaikan lebih kurang RM68 sementara yang berkelulusan ijazah memperoleh RM 98 sahaja.

Gerak Malaysia menyarankan agar skim gaji baru pegawai SPRM kelak boleh diberikan kenaikan antara 25% hingga 35% berbanding kakitangan awam yang lain. Skim gaji baru yang lebih baik adalah perlu bagi para pegawai SPRM menjalankan tugas dengan lebih dedikasi. Selain itu, skim gaji ini juga harus benar-benar memberikan manfaat kepada pegawai SPRM.

Gerak Malaysia menyokong sekiranya ada usaha dipihak kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Penelitian Intensif Skim Gaji Baru SPRM yang lebih baik dan bersesuai berbanding yang telah diumumkan sebelum ini.

Kita berharap agar pihak Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan dapat meneliti masalah ini dalam usaha kita membanteras rasuah adalah perlu bagi kerajaan juga memperkukuhkan struktur dalaman SPRM itu sendiri termasuk soal skim gaji pegawai SPRM.


MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi Gerak Malaysia

Hudud & Negara Islam: Apa Agenda Husam & Khairy?

Belumpun sampai 36 jam selepas wacana transformasi politik, Husam sudah menarik balik kenyataan tegas berkaitan isu hudud.
Dalam soal ini tidak perlu ada pusingan u-turn jika dalam forum tersebut Husam tidakpun perlu menjawab apabil digasak oleh Khairy tentang persoalan hudud. Sekadar menjawab hudud tetap menjadi agenda tanpa perlu disambung jika PR memerintah pusat akan lebih melegakan keadaan berbanding hari ini desakan DAP untuk terus menolak hasrat itu.
Kita harus melihat agenda hudud perlu menjadi agenda Husam dan Khairy. Maknanya PAS & UMNO harus bersetuju untuk melihat dimana ruang yang boleh diterjemahkan oleh kedua-dua parti.
Keadaan emosi mungkin telah menyebabkan Husam terlancang bicara, namun jika lancangan itu diteruskan tanpa u-turn akan nampaklebih terserlah kredibiliti Husam apatah lagi terus di sokong oleh Tok Guru Nik Aziz.
Sepatutnya Husam terus mengheret Khairy untuk menyatakan komitmen berusaha membantu merealisasikan hukum hudud berbanding Husam sendiri ditekan oleh Khairy untuk menyatakan ikrar atas hudud.
Khairy patut rasa lebih bersalah jika mampu diperlihatkan tidak cakna pada hudud. Tidak cukup sekadar bertanya apa komitmen Husam & PAS terhadap hudud. Lebih wajar anak muda calon Ketua Pemuda UMNO itu yang lebih proaktif untuk membuka satu transformasi politik UMNO dengan beliau mendiamkan kebisingan penyokong Husam melalui kenyataan untuk bertindak sebagai Pemuda UMNO yang akan meneliti bagaimana harus Hukum Hudud ini dapat dilaksanakan.
Jelas kenyataan Husam dilihat hanya mamapu untuk memprotect dirinya pada ketika majlis tetapi agak goyah selepasnya. Namun ada baiknya kenyataan lepas oleh Husam itu berlaku, setidak-tidaknya, pimpinan PAS boleh melihat apakah latahan daripada DAP dan mungkin juga oleh PKR.
Transformasi politik yang dibicarakan akan lebih menarik sekiranya ada unjuran perbincangan berkaitan soal kerjasama UMNO & PAS berkaitan negara Islam dan Hukum Hudud. Bagaimana kedua-dua parti bermuzakarah untuk meletakkan asas ini dalam situasi masyarakat majmuk.
Juga lebih menarik jika pada wacana lepas, Khairy berjaya dihenjut untuk menyatakan komitmen berkaitan hudud kerana kita juga mahu melihat apakah aspirasi politik MCA, MIC, Gerakan dan PPP? Husam harus menambah kenyataan beliau untuk mendesak agar Khairy & UMNO menyatakan pendirian berkaitan negara Islam dan hudud.
Jika selepas ini sudah semuanya menyatakan pendirian berkaitan hudud termasuk UMNO & Khairy, maka lebih mudah untuk PAS menentukan mana kawan dan mana lawan dalam isu hudud. Lebih mudah untuk PAS menentukan pendirian politiknya. Jika Khairy & UMNO bersetuju dengan hudud maka mereka wajar berjuang bersama PAS dalam memartabatkan hukum Allah ini. Inilah mungkin asas 5P yang digagaskan Husam perlu disemak P yang pertama iaitu prinsip Khairy dan UMNO berkaitan Hudud.