Saturday, June 7, 2008

Minyak naik: Gerak minta kerajaan bentangkan belanjawan


Azamin Amin Fri Jun 06, 08 11:48:39 am MYT

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Hrkh) - Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) menggesa kerajaan segera membentangkan belanjawan sebenar negara termasuk perolehan kewangan negara dan kepenggunaan dana Petronas kepada umum agar rakyat mampu menilai keputusan kerajaan yang telah diumumkan berkaitan kenaikan harga minyak baru-baru ini.
Menurut Pengerusinya Mohd Nazree Mohd Yunus, situasi meletakkan rakyat dalam keadaan kesusahan mendadak kerana kenaikan harga minyak boleh mengakibatkan tanggapan bahawa ketirisan dan korupsi kepenggunaan dana dan wang negara adalah sangat kritikal.

"Kenaikan harga minyak hanya akan lebih meletakkan rakyat dalam keadaan tekanan yang akhirnya akan merosakkan struktur pembangunan masyarakat.

"Ini juga akan mendedahkan mereka kepada bahaya budaya korupsi akibat kesesakan hidup yang hanya akan merugikan negara," kata Nazree dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Tambahnya lagi, pengurusan dana kerajaan mencetuskan kecurigaan sehingga menyebabkan keputusan menaikkan harga minyak yang tidak munasabah dalam keadaan kesempitan rakyat.

"Kerajaan harus menjelaskan bagi mengelakkan unsur-unsur korupsi dan kelemahan pengurusan kewangan negara melatari rasional kenaikan harga minyak," katanya.

No comments: