Monday, October 29, 2007

Cerminan AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan Turki) di Malaysia : Antara UMNO atau PAS yang boleh merealisasikannya?














Kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) Turki dalam Pilihan raya Parlimen 22 Julai lalu membuktikan bahawa ideologi sekular semakin pupus di negara itu. Keputusan awal kelmarin menyaksikan Parti AKP menang 47% undi iaitu 12% peningkatan undi berbanding pilihan raya tahun 2002. Sudah pasti di Malaysia juga aliran sekular sudah semakin malap. Orang Melayu Islam sudah kembali rasional mempertahankan Islam. Kalau tidak masakan Khairy Jamaludin sanggup untuk berdebat untuk membicarakan tentang Malaysia sebuah negara Islam ataupun tidak. Bagi kita alhamdullah, setidak-tidaknya anak muda UMNO ini telah mula berani memperakui bahawa Islam adalah yang tertinggi. Teruskan dengan keikhlasan. Namun sedikit kecewa untuk saya nyatakan di sini ialah tentang di mana suara anak muda PAS tentang isu negara Islam?ataupun suaranya sudah ada dan sudah pun terlebih awal dari anak muda UMNO tetapi mungkin media begitu licik menyembunyikannya. Jawapannya ada pada anak muda PAS dan juga media.

Beralih kepada melihat kemenangan Parti AKP dalam pilihan raya tahun ini membuktikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan dan karisma Erdagon (Perdana Menteri Turki) di samping kepercayaan rakyat terhadap perancangan dan pemulihan ekonomi Turki. Parti Perintah di Jepun pun sudah kalah dalam keputusan pilihan raya yang terkini namun Shinzo Abe tetap mahu mengekalkan Keperdana Menterian beliau, namun situasi ini mungkin tidak akan berlaku di Malaysia lagi jika kepimpinan sentiasa mengamalkan 4M yang baru sahaja disebut oleh TPM, Dato’ Seri Najib secara jujur, telus dan ikhlas.

Apa signifikannya membicarakan soal Parti AKP dengan UMNO dan PAS? Kita melihat bahawa inilah antara cerminan yang tidak lama lagi akan terpantul di Malaysia. Turki adalah bekas wilayah khilafah Islam yang hebat. Malaysia tidak kurang hebatnya dengan sejarah Islam yang besar. Walaupun dijajah pada 1511 oleh Portugis namun Kehebatan Kerajaan Melaka yang Sultan nya beragama Islam adalah sejarah yang tidak boleh dipadam. Perkembangan Islam begitu menarik dalam lipatan sejarah Malaysia. Yang boleh dipadam hanya ‘sejarah yang bakal dicipta’. Namun yang pasti akan berlaku ialah pilihan raya umum yang ke-12. Kita menilik bahawa pilihan raya akan dilakukan setidak-tidaknya selepas Hari Raya Aidilfitri dan sebelum Hari Raya Aidiladha. Sudah pasti nujuman ini sangat bermakna buat parti-parti politik. Namun tilikan Ku Li pula adalah pada bulan kedua tahun hadapan. Kita tunggu, mana yang betul tilikannya.

Sekurang-kurangnya bapak-bapak menteri boleh lagi berhari raya sebagai Pak Menteri untuk Hari Raya Puasa kerana mungkin untuk Sambutan Hari Raya Korban pasti ada yang terkorban untuk tidak menjadi menteri lagi.

Apakah maknanya membicarakan soal kemerdekaan yang ke-50 tanpa membicarakan soal ‘sejarah yang mahu dicipta’. Sudah pasti sejarah yang mahu dicipta adalah sejarah yang boleh membangunkan agama, bangsa dan negara.


Sudah pasti ‘sejarah yang mahu dicipta’ ada kaitannya dengan soal pilihan raya. Ini kerana pilihan raya menjadi medan untuk memberikan ruang kepada yang pemimpin dipilih untuk membicarakan yang benar dan menolak yang salah di Parlimen. Kesemua kebenaran yang mahu dibawa adalah demi kemaslahatan rakyat. Begitu juga kesalahan yang ditentang di Parlimen adalah juga untuk keadilan sosial ditegakkan ke atas rakyat. Semuanya dilakukan demi untuk melihat pembangunan Tamadun Bangsa yang unggul


Sejarah selalunya ada kaitan dengan pemimpin, mungkin bagi kita sejarah Malaysia mungkin mirip Turki andai kata Anwar Ibrahim selepas keluar penjara bertindak memilih PAS sebagai wadah dan seterusnya menjadi Presiden PAS. Sudah pasti pada hari ini pengaruh PAS di kalangan non-muslim akan lebih kuat. Senario juga bakal berubah. Gelojak keyakinan masyarakat terhadap kepimpinan Islamik juga akan bertambah baik.

Islam Hadhari mungkin diterima PAS andai kata Pak Lah berada di atas platform PAS dan sudah pasti memprofesionalkan PAS akan lebih mudah andai kata pemimpin profesional itu di dalam UMNO. Namun usaha atas nama Islam ini sebenarnya memberikan kesan yang ada positifnya. Barangkali Islam Hadhari ini juga hasil usaha PAS yang acap kali membicarakan tentang Islam di Parlimen dan ceramah-ceramah parti tersebut. Bagi kita ada saham kebaikan untuk UMNO dan PAS di sisi Allah. Walau bagaimanapun ada juga saham-saham keburukan UMNO dan PAS jika tidak laksanakan amanah kepimpinan untuk rakyat dengan sebaiknya.

Islam Hadhari mungkin diterima PAS andai kata Pak Lah berada di atas platform PAS dan sudah pasti memprofesionalkan PAS akan lebih mudah andai kata pemimpin profesional itu di dalam UMNO. Namun usaha atas nama Islam ini sebenarnya memberikan kesan yang ada positifnya. Barangkali Islam Hadhari ini juga hasil usaha PAS yang acap kali membicarakan tentang Islam di Parlimen dan ceramah-ceramah parti tersebut. Bagi kita ada saham kebaikan untuk UMNO dan PAS di sisi Allah. Walau bagaimanapun ada juga saham-saham keburukan UMNO dan PAS jika tidak laksanakan amanah kepimpinan untuk rakyat dengan sebaiknya.

Kita perlukan pemimpin Melayu Islam yang dinamik. Dinamik dalam erti kata mungkin seumpama Parti AKP di Turki. Sama ada UMNO adalah cerminan AKP atau PAS adalah cerminan AKP yang sedang menunggu untuk menang. Namun mengekalkan kemenangan ditangan siapa pada UMNO dan mendapatkan kemenangan ditangan siapa bagi PAS adalah suatu yang kita tidak boleh jangkakan.

Sejak mutakhir ini, kita juga dapat melihat bahawa semacam ada suatu kecelaruan fenomena. Yakni UMNO begitu beria membawa Islam dan PAS pula begitu sibuk untuk memprofesionalkan PAS seumpama UMNO dengan tokoh-tokoh korporat dan profesionalnya. Cuma yang dapat membezakan antara kedua-dua parti ini adalah siapakah yang lebih ikhlas membawa perjuangan. Dato’ Seri Najib sebagai Tim. Perdana Menteri begitu yakin menyatakan bahawa Malaysia negara Islam. Seolah-olah hari ini UMNO sudah menjadi suara PAS secara simboliknya dan PAS sudah mula membina kredibiliti seumpama UMNO.

Keikhlasan membawa perjuangan amat bergantung pada siapakah yang berada di sebalik tabir, Parti AKP Turki sudah diketahui sememangnya parti yang berlatarbelakangkan gerakan Islam yang pernah dianggap radikal. Parti AKP berjaya membuktikan bahawa gerakan radikal boleh berubah sebagai kuasa demokratik. Apa tidaknya, AKP berjaya menguasai 339 daripada 550 kerusi Parlimen Turki, mandat yang cukup untuk menubuhkan kerajaan sendiri.

Recep Tayyip Erdogan merupakan pemimpin AKP yang mempunyai kefahaman Islam yang menjadi Perdana Menteri Turki adalah dari Parti AKP sendiri. Namun di Malaysia, adakah Pak Lah sebenarnya berjiwa UMNO?Adalah sah berdasarkan pilihan raya Pak Lah menjadi Perdana Menteri atas tiket UMNO dan BN. Tetapi beliau sebelum ini adalah daripada kem aliran semangat 46 (S46). Islam Hadhari yang dibawa pula mirip-mirip agenda Islam yang dibawa oleh PAS. Bagi kita alhamdulillah sekali lagi sekiranya ada pakatan di antara UMNO dan PAS untuk membawa Islam secara bersama. Apa yang menguntungkan Melayu Islam kita sebagai anak muda berikan sokongan.


Hari ini kita dihangatkan dengan isu semasa yang kadangkala mengundang resah rakyat jelata. Hari ini isu negara Islam dibangkitkan kembali. Dato’ Seri Najib pun turut serta dalam perkara ini. Kalau tidak masakan beliau secara ‘gentleman’ mengeluarkan kenyataan yang akhirnya dinafikan oleh MCA. Timbalan Perdana Menteri mengatakan ‘yes’ kepada negara Islam. Dalam masa yang sama Perdana Menteri membawa agenda ‘Islam Hadhari’. Ternyata nampak kedua-dua pemimpin tertinggi negara ini bersetuju dengan agenda Islam.

Namun kita sebagai anak muda mahu kepimpinan yang dinamik secara tulen. Kita bukan mahukan dinamik dalam mengelirukan rakyat tetapi yang kita mahu adalah pemimpin yang punyai asas yang kukuh untuk melakukan sesuatu keputusan dan tindakan.

Kepimpinan yang bakal diterima rakyat ialah kepimpinan atau pemimpin yang mampu untuk didengar pandangannya dan dihormati prinsipnya oleh kawan dan lawan. Bagaimana situasi ini dapat diwujudkan?Jawapannya ialah apabila kita memperakui bahawa dalam masyarakat kita pada hari ini ada dua kelompok yang agak fundemental dalam corak sosial mereka. Satu kelompok adalah yang terlalu cenderung untuk bersosial secara ekstrem dan satu kelompok begitu cenderung untuk menghayati agama secara ekstrem. Sudah pasti kepimpinan yang berupaya memenangi hati dua kelompok ini akan dapat membawa negara dengan corak yang lebih meyakinkan majoriti rakyat. Contoh sudah terbukti dengan kemenangan Parti AKP di Turki.

Sebab itu kita melihat hari ini UMNO mengakui Malaysia adalah negara Islam. Namun kita juga menaruh harapan supaya slogan itu diteruskan dengan pengisian yang lebih konstruktif untuk pembangunan agama, bangsa dan negara yang lebih Islamik. Mungkin Pak Lah sudah memikirkan persoalan untuk membentuk imej seumpama Tayyip Erdagon dan UMNO seumpama Parti AKP. Ataupun PAS sebenarnya yang lebih mudah untuk menjadi cerminan AKP di Malaysia. Sama-sama kita nantikan 5 ke 10 tahun mendatang akan perkara ini. Mengapa kita katakan sedemikian?Kerana anak-anak muda bakal mengantikan tempat kepimpinan. Parti mana yang punyai barisan kepimpinan Pemuda yang ‘fit’, maka parti itu yang lebih layak untuk mencipta ‘sejarah masa depan yang baru’ untuk Malaysia.

Kondisi masyarakat akan berubah, masyarakat akan lebih berkemahuan untuk memilih kepimpinan yang holistik dan dinamik. Maka jawapan yang perlu disediakan oleh para pemimpin ialah membina jati diri dan persiapan yang lebih dapat memenangi hati nurani bangsa. Sebab itu kita tegaskan bahawa pendekatan memenangi hati masyarakat Melayu perlu diambil kira. Dalam masa yang sama bangsa lain turut juga berkemahuan untuk mempunyai keyakinan terhadap pemimpin yang boleh menjaga survival bangsa mereka.

Kepada yang mahu menjadi pemimpin yang lebih diterima oleh ‘kepelbagaian’, maka ini ramuannya: Kepimpinan yang perlu disiapkan adalah kepimpinan ‘keyakinan, kredibiliti dan dinamik’. Yakin dari aspek keseluruhan masyarakat melihatnya untuk memulihkan masyarakat yang pincang sosialnya serta dalam masa yang sama memimpin masyarakat terpelajar agama dan pendidikannya. Kredibiliti dari aspek ilmu dan moralitinya dan dinamik dari aspek karismanya untuk memimpin kepelbagai agama, bangsa dan budaya.

No comments: