Polemik Kerajaan Perpaduan masih tiada kesudahan. Masih kedapatan sebahagian yang pimpinan dan ahli PAS yang menerima. Dan sebahagian lagi kepimpinan dan ahli yang menolak.
Apakah Kerajaan Perpaduan ini benar-benar Kerajaan Perpaduan? Jika hanya gabungan PAS-UMNO atau PAS-BN, maka ianya bukan kerajaan perpaduan. Ini hanyalah perpaduan kelompok parti Melayu.
Apakah benar ianya boleh dilaksanakan atau ianya suatu bentuk strategi 'Kepimpinan PAS (pro-muzakarah' untuk menambah nilai PAS itu sendiri.
Mampukah jika mahu diuji keikhlasan mana-mana parti, dibentuk terlebih dahulu Kerajaan Perpaduan di Perak? Mungkin ada yang akan menolak dengan rasional mana mungkin diuji di peringkat negeri sedangkan di pusat tidak berpadu.
Idea terbuka atau Kerajaan Perpaduan ini sebenarnya lebih harus didukung oleh yang diistilah sebagai Kumpulan Erdogan. Namun tiba-tiba sahaja idea ini langsung tiba-tiba pula dibawa oleh kumpulan yang diistilah ulama' atau konservatif. Tetapi inilah realiti. Apakah mungkin kumpulan yang diistilah konservatif sudah bertukar terlalu terbuka. Apakah keterbukaan itu tepat pada waktunya?
Mungkin polemik Kerajaan Perpaduan ini akhirnya PAS kembali dilihat sebagai kuasa penentu. Sehinggakan pemimpin kerajaan juga terpaksa untuk menghormati dan terbuka dalam isu ini. Adakag keterbukaan itu disebabkan ada laba buat UMNO-BN yang disebut sebagai hampir mustahil untuk melakukan comeback dalam PRU-13.
Terkait banyak isu muktamar PAS yang seolah menyongsang arus. Ini dikaitkan dengan kekalahan Team Erdogan. Mungkin jika Erdogan yang menang, SIS (Sister in Islam) tidak diusul untuk diharamkan. Kerana rata-rata mereka ini lebih terbuka. Namun usul ini dibawa oleh PAS Kawasan Shah Alam, dimana Khalid Samad menjadi Yang Dipertuanya. Dimana keterbukaan pemimpin yang dikaitkan dengan Erdogan ini? Tetapi hari ini berusaha menarik balik usul ini atas alasan masalah teknikal.
Mungkin SIS boleh saman sahaja PAS kerana membuat usul yang mencadangkan pertubuhan itu diharamkan. Ini mungkin kebebasan yang dimaksudkan oleh beberapa pimpinan PKR dan DAP apabila membidas PAS dalam soal pengharaman SIS. Apabila pertubuhan yang bersama agenda dipertahan atas dasar kebebasan bersuara dan berpersatuan, namun jika tidak, maka untuk mendedahkan korupsi juga boleh disaman bagi menutup mulut daripada terus vokal mendedahkan isu. Bila diasak dengan pengharaman baru bicara soal kebebasan, apabila mengasak individu lain, sehingga saman pun sanggup dilakukan untuk menutup mulut. Inilah mungkin maksud nilai kebebasan daripada kacamata beberapa pimpinan PKR dan DAP. Hanya perlu bebas mereka, oranng lain tidak boleh. Apakah ini tidak sama dengan apa yang mereka marahkan kepada UMNO-BN?
Saya juga tidak bebas untuk memberikan kenyataan berkaitan integriti dan rasuah. Bicara tentang soal kebebasan bersuara. Namun ada dua saman didakwa fitnah sudah sampai kepada saya. Politik Malaysia bergerak ke arah politik saman menyaman. Jika tidak bersalah boleh jawab di mahkamah untuk membuktikan diri bersih daripada korupsi. Mengapa perlu tindakan membentuk culture of fear dan sekadar untuk membina persepsi tidak bersalah.Barangkali selepas ini saya juga menunggu saman daripada Rafidah Aziz kerana sudahpun mendedahkan korupsinya kepada media dua bulan yang sudah.
Akhirnya generasi muda pun begitu takut dan bimbang untuk bersuara. Jika bersuara lantang di kampus, dihadap di mahkamah universiti, jika diluar barangkali akan disaman fitnah. Ini adalah bentuk-bentuk persediaan yang harus didepani oleh gerakan anak muda
Terdapat rata-rata NGO yang dipimpin anak muda yang sepatutnya vokal secara rasional, hampir membisu dan sekadar menunaikan nilai 'berpersatuan' berbanding 'bergerak atau berharakah atau melakukan gerakan massa' yang lebih menyantuni hati nurani rakyat. Ini terjadi baik NGO itu adalah NGO neutral ataupun NGO Plat Merah(meminjam istilah di Indonesia terkait dengan NGO yang menyokong Kerajaan).
Kita tidak mahu NGO Plat Merah baik kepada Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negeri secara tanpa asas. Sokongan diberikan dengan asas.
Ada baiknya isu Kerajaan Perpaduan ini ditukar kepada istilah Politik Damai. Ia itu bentuk Politik Damai yang boleh berbeza pandangan tetapi tidak keterlaluan ketegangan sehingga apa sahaja yang dilakukan oleh pihak yang bertentangan dianggap semuanya salah.
Politik Damai yang lebih terbuka untuk perbincangan. Politik Damai ini harus dilakukan dalam bentuk lunas-lunas keadilan sejagat termasuk melihat apakah definisi Islam terkait soal Keadilan.
Agak janggal untuk bicara soal Kerajaan Perpaduan tetapi ada saranan untuk mengharamkan badan lain. Agak janggal untuk mempertahankan SIS dengan hujah kebebasan berpersatuan dan bersuara tetapi dalam masa yang sama ada tindakan menyaman orang lain atas kenyataan yang dibuat. Jangan apabila sudah berkuasa maka definisi keadilan itu juga menyerupai golongan yang didakwa tidak berlaku adil selama 50 tahun.
Politik Damai ini adalah lebih menyelesakan rakyat untuk melihat politik atau siasah itu bersih. Generasi muda bangkit dengan berani memberikan pandangan. Tidak ada lagi ketakutan terhadap ancaman penjara, tidak ada lagi ancaman dibuang universiti, tidak ada lagi ancaman saman-menyaman dan tiada lagi ancaman haram mengharam. Ini bentuk-bentuk politik tegang yang harus dihindarkan.
Politik Damai menganjurkan dan menyediakan ruang perbincangan. Jika perbincangan tidak ada keputusan yang dipersetujui. Maka terbentuklah agree to disagree. Dan keputusan untuk disagree ini tidak dihambat dengan hambatan ISA, OSA, Penjara mahupun saman.
Insyallah, saya penuh optimis untuk melihat lebih ramai generasi muda bangkit berani menyatakan pendirian lantas bertindak dan bergerak atas keputusan yang telah dibuat. Mungkin ada ijtihad yang salah bagi generasi muda. Tetapi jika suasana biah yang wujud itu baik. Maka proses pembinaan karektor Pemimpin Muda berjiwa Negarawan itu lebih murni untuk kita lihat hasilnya berbanding melahirkan Kepimpinan Muda yang agresif atas emosi dan semangat ketebalan partinya. Dan ini realiti 50 tahun politik Malaysia.
Parti-parti tidak menumpukan proses ke arah pembinaan karektor pemimpin muda negarawan. Masing-masing ditebalkan dengan semangat parti itulah yang benar dan betul. Apakah tidak mungkin dengan politik damai dan pembinaan kepimpinan muda negarawan, maka terlahirlah jiwa-jiwa ahli dan rakyat yang statemanship yang masing-masing boleh berfungsi secara membina dalam parti dan platform masing-masing. Maka pada ketika itu barulah persoalan Kerajaan Perpaduan ini akan lebih rasional untuk diterjemahkan. Namun hari ini ada hikmah juga isu ini dibangkitkan. Politik Damai ini juga harus dibincangkan dengan konsep kolektif support. Sokongan kolektif wajar untuk perkara yang sah sebagai kebaikan, tetapi dalam soal pertikaian kemungkaran, sokongan kolektif ini boleh membawa kepada kerosakan seumpama ahli MP Kerajaan tidak boleh berbeza pandangan dengan Menteri daripada Parti yang sama terutama berkaitan dasar kementerian walaupun kadang kala ianya salah.
Ini bentuk-bentuk transformasi politik yang mahu dibuat. PAS sudah mulakan perkara ini. Kenyataan Presiden yang difikirkan ada kekurangan disanggah oleh pimpinan yang lain. Apakah ini bukti PAS mendahului dalam pemecahan konsep sokongan kolektif. PKR juga tidak seberani ini dalam mana-mana pemimpin menyanggah Anwar. UMNO juga begitu terhadap Najib walaupun dahulu menolak Pak Lah. Tidak ada mana-mana pimpinan muda PKR yang berani bersetuju dengan GERAK ketika kita mencadangkan MB bercuti semasa disiasat, tetapi GERAK boleh sahaja bersetuju dengan AMK untuk cadangan TPM pada ketika itu bercuti jika disiasat SPRM.
Akhirnya, hikmah menunjukkan apakah ada kebaikan PAS meneruskan senario perbezaan tanpa adanya sokongan kolektif untuk survival parti itu ataupun harus kembali kepada konsep kolektif sokongan mentauladani cara kepimpinan PKR, UMNO dan DAP dalam mematuhi pandangan kepimpinan. Tidak sedikitpun terdengar sanggahan idea 16 September ataupun lompat parti oleh pimpinan PKR terhadap DSAI. Apakah ini menunjukkan akhlak mereka terhadap pemimpin itu lebih baik? Begitu juga idea 1 Malaysia oleh Najib.
Agenda Politik Damai dan Pembentukan Barisan atau Saf Kepimpinan Muda Berjiwa Negarawan harus dimulakan. Platform-platform baik di parti-parti politik mahupun di NGO adalah lapangan untuk membina jiwa-jiwa ini. Barisan Generasi Muda atau Angkatan Muda dalam parti juga harus diberi ruang untuk bergerak seumpama NGO yang vokal menegur dan memberi saranan yang konstruktif. Potensi yang ada pada generasi muda jangan dibunuh dengan menanam budaya politik tegang yang tebal dengan dinding ideologi partisan yang memustahilkan ruang-ruang diskusi secara rasional, intelektual dan win-win situation termasuk bagi kemaslahatan rakyat umumnya.
Mana-mana badan politik termasuk NGO-NGO yang tebal pendekatan politik tegang tidak akan mendapat tempat di hati Generasi Baru. Politik ugut-mengugut, ancam, pembunuhan karektor dan potensi juga akan ditolak di masa depan. Apapun segala yang dilakukan harus dapat menjaga maqasid syariah terutamanya yang melibatkan agama, akal, maruah, harta dan keturunan.
No comments:
Post a Comment