Friday, April 3, 2009

Rasuah Politik UMNO: Merungkai Kes-kes Terpilih

KENYATAAN MEDIA
31 MAC 2009


Kehangatan Perhimpunan Agong UMNO 2009 dihangatkan lagi dengan pendedahan demi pendedahan kes-kes rasuah dan politik wang oleh pimpinan parti tersebut. Dilihat seakan-akan wujud satu usaha pembersihan yang serius ke arah pengimejan ‘UMNO Sifar Rasuah’. Dan usaha ini perlu diberi sokongan padu oleh semua pihak bagi memastikan pemilihan pemimpin yang benar-benar berintegriti dan berlandaskan paksi keadilan.

Namun yang menjadi persoalan di benak rakyat secara keseluruhan, mengapa terdapat beberapa kes yang mempunyai pendakwaan atau kesalahan yang sama tetapi hukuman yang diberi serta tindakan yang diambil berbeza? Mengapa terdapat kes-kes tertentu yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala sebahagian lagi hanya melalui Lembaga Disiplin UMNO? Adakah sama kedudukan dan fungsi SPRM dengan Lembaga Disiplin UMNO? Perkara ini yang terus-terusan menjadi tanda tanya dalam pemikiran ahli politik serta rakyat di negara ini. Sudah pasti jawabannya tidak sama bagi fungsi SPRM dan Lembaga Disiplin UMNO. Apakah tidak ada saksi-saksi dan bukti-bukti rasuah politik dalam UMNO yang diperolehi oleh Lembaga Disiplin setelah disahkan individu dan pemimpin seperti dalam kes DS Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin yang terlibat diserahkan kepada SPRM? Apakah keputusan SPRM untuk kes-kes ini?

GERAK berpandangan Lembaga Disiplin UMNO perlu memberi penjelasan secara terperinci berkaitan tindakan serta hukuman yang diambil ke atas beberapa kes rasuah politik selama ini. Yang jelas, mengapa kes Dato Seri Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin tidak disiasat oleh SPRM sepertimana kes Dato Azalina Othman Said dan Dato Norza Zakaria? Mengapa hukuman yang dijatuhkan ke atas Khairy Jamaluddin dan Dato Azalina Othman Said berbeza dengan hukuman yang diterima oleh DS Ali Rustam dan Dato Norza Zakaria sedangkan pertuduhan serta kesalahan yang terbukti adalah sama? Sekiranya benar mereka dibuktikan bersalah, mengapa masih terus dikekalkan jawatan-jawatan rasmi mereka sedangkan secara terang-terangan mereka adalah pemimpin yang korup? Adakah pemimpin yang telah didapati korup dalam kelompok parti masih layak memegak jawatan rasmi di sektor kerajaan yang lebih besar?

GERAK mengharapkan agar Lembaga Disiplin UMNO dapat memberi penjelasan lanjut berkaitan kes ini sebagai membuktikan keseriusan dan komitmen mereka dalam membanteras rasuah politik. Malah pihak SPRM juga perlu meneruskan agenda pendidikan Anti Rasuah ini dengan mendefinisikan secara total makna rasuah politik dan politik wang bagi merungkai kekeliruan rata-rata ahli politik serta rakyat selama ini. GERAK juga menyarankan agar para mufti termasuk Majlis Fatwa memberikan definisi konteks situasi apakah yang dimaksudkan dengan rasuah politik walaupun hari ini kita jelas hukumnya haram namun yang menjadi kekeliruan adalah bentuk-bentuk situasi yang seringkali diberikan perbezaan pandangan oleh pelbagai pihak. Institusi agama perlu memainkan peranan ini untuk memberikan keadilan terhadap semua termasuk memberikan pandangan terhadap method perlaksanaan dan kandungan Akta SPRM yang baru dalam aspek apakah ianya sudah memenuhi tuntutan Islam dalam menghukum dan menyiasat secara adil. Jika ada kelompangan dimanakah harus ditampung kekurangan bagi memperkasakan suatu sistem pencegahan rasuah bagi membudayakan integriti secara adil dan saksama.

Gerak menyarankan agar SPRM menggunakan peruntukan dibawah seksyen 29(4) Akta SPRM 2009 untuk mana-mana pegawai yang berpangkat Pesuruhjaya dan lebih tinggi boleh membuat suatu kenyataan yang konklusif tentang kedudukan kes rasuah politik yang berlaku baik di dalam UMNO mahupun melibatkan ahli-ahli politik dalam Pakatan Rakyat. Gerak menyokong tindakan SPRM jika melakukan pendekatan ini yang bersifat boleh memberikan gambaran kepada rakyat bahawa SPRM begitu adil dan penuh kredibiliti daripada aspek tindakan dan perlaksanaannya.


Mohd Nazree Mohd Yunus
Pengerusi Gerakan Rakyat Integriti & Anti Korupsi
(GERAK)

No comments: