Friday, June 13, 2008

GERAK Gesa Tubuh Majlis Hisbah Negara

GERAK Malaysia menyambut baik dan menyokong penuh langkah Kerajaan Persekutuan bagi mengurangkan perbelanjaan elaun keraian sebanyak 10% yang telah diumumkan Perdana Menteri. GERAK juga turut menyatakan sokongan seandainya telah ada pihak-pihak yang sebelum daripada ini telahpun mengamalkan perbelanjaan berhemat seperti yang telah diamalkan Kerajaan Negeri Kelantan melalui potongan 25% gaji dan elaun pimpinan kerajaan negeri.

GERAK memperakui bahawa strategi ini adalah bagi menyuntik dana tambahan secara segera dan jangka pendek. Dalam keadaan ini, telah banyak pihak-pihak yang telah menuntut agar janji-janji kerajaan seumpama peruntukan RM 4 bilion bagi meningkatkan tahap pengangkutan awam, dana PETRONAS, projek-projek pembangunan Koridor dan aliran penggunaan wang subsidi dijelaskan. GERAK melihat keadaan kekaburan penjelasan pengurusan dana kewangan negara mengakibatkan salah tanggap yang kian meningkat dalam masyarakat. Penjelasan kerajaan adalah amat perlu bagi membaiki imej kerajaan sekiranya langkah-langkah yang diambil adalah ternyata langkah terakhir setelah tidak punyai formula dan pilihan yang lain bagi menangani krisis kenaikan harga minyak dan termasuk kekurangan dan kenaikan harga barangan keperluan rakyat seumpama beras. GERAK meyakini bahawa segala permasalahan ini akan mampu diselesaikan sekiranya terdapat metodologi pengawasan yang efektif dan berintegriti dalam sistem pengurusan kewangan negara. Justeru, GERAK menggagaskan agar ditubuhkan Majlis Hisbah Negara bagi menangani masalah integriti dan pengurusan kewangan negara secara yang efektif, transparen dan mampu untuk memberikan keadilan sosial buat rakyat secara keseluruhannya bagi jangka masa akan datang. Cadangan ini adalah bertujuan bagi membentuk strategi jangka panjang dan cegah rintang daripada berlakunya ketirisan dalam pengurusan kewangan negara yang akhirnya boleh mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi seperti kenaikan harga minyak dan barangan keperluan harian rakyat.

RASUAH MUSUH NOMBOR 1 NEGARA

Mohd Nazree Mohd Yunus

Pengerusi GERAK Malaysia.

11 JUN 2008

Sumber: http://info.gerakmalaysia.org/index.php?option=com_content&task=view&id=400&Itemid=29

1 comment:

Anonymous said...

Saya sangat setuju dengan cadangan GERAK untuk tubuh Majlis Hisbah.Mungkin GERAK boleh bentukkan rangka bagaimana Majlis Hisbah ini boleh berfungsi