Friday, April 25, 2008

PAS VS DAP : Apa jawapan soal Negara Islam?

Bangsa Melayu dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu telah lama mengisytiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Tanggal keramat itu menandakan telah wujud kembali satu bangsa iaitu bangsa Melayu yang telah dijajah hampir empat setengah abad.

Sejak itu isu negara Islam melingkari perjalanan sejarah Malaysia. Kenyataan Tunku yang pernah mengatakan bahawa Malaysia bukan negara Islam, kemudiannya Tun Mahathir yang pula terhegeh-hegeh mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam. Dan kini Najib pula bercakap soal negara Islam sebelum pilihan raya tempoh hari namun di sanggah pemimpin MCA.

Kini bicara soal negara Islam yang kita percaya menjadi agenda PAS perlu dijelaskan dengan terang lagi bersuluh. Apakah reaksi PAS apabila saranan Karpal Singh supaya PAS menggugurkan agenda negara Islamnya? Apakah hujahan PAS terhadap isu ini? Apakah perlu untuk PAS pula menyatakan DAP perlu menggugurkan agenda Malaysian Malaysia nya?

Perkara ini perlu diperhalusi dalam keadaan keagresifan DAP untuk cuba meremukkan agenda Negara Islam PAS maka tindakan yang berhikmah perlu segera di ambil oleh pimpinan PAS. Ataupun PAS secara sedar telah merasakan bahawa agenda negara berkebajikan yang telah digagaskan oleh PAS dalam manifesto pilihan raya ke-12 merupakan klon kepada pencirian negara Islam yang menjadi agenda parti itu. Mungkin sebab ini PAS tidak terlalu melatah apabila di asak oleh DAP terutamanya Karpal Singh tentang rapuhnya untuk membawa agenda Negara Islam dalam Pakatan Rakyat.

Dalam keadaan Pakatan Rakyat mahu mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap mereka, maka formula terbaik adalah dengan mempotretkan wajah keserasian dalam pakatan tersebut. Namun yang kita lihat hari ini adalah tindakan DAP yang acap kali meracau tentang Negara Islam yang seolah-olah menjadi ketakutan bagi mereka.

Kita pasti racauan DAP ini sebenarnya tidak begitu manis buat Pakatan Rakyat dan hari ini dengan pandangan untuk mempamerkan ketakutan tidak berasas tentang negara Islam hanya akan membuatkan DAP dilihat sebagai begitu paranoid dalam isu ini.

Dipihak PAS pula, suasana suam-suam kuku dalam memberikan penjelasan adalah amat memilukan kita dalam mahu melihat Islam itu yang teratas dan tidak ada yang lebih darinya. Bukan bermakna Islam di atas untuk menindas bahkan ahli politik baik yang Islam ataupun tidak boleh mencermati apa yang telah pun dipatrikan dalam sejarah tentang perjalanan kesyumulan Islam itu sendiri baik dalam pemerintahan, undang-undang, ekonomi, sosial dan politiknya.

Apakah sudah ada kewajaran untuk PAS lebih bertegas dalam isu negara Islam ini? Ataupun PAS melihat ini permainan politik untuk terus suam-suam kuku dalam isu negara Islam? Ataupun umat Islam yang berbangsa Melayu hari ini sudah terlalu lemah hinggakan untuk bicara soal negara Islam dalam negara sendiripun kita seolah-olah terpaksa untuk menekan ‘brek’ sekerap mungkin. Jika ini benar, mengapa terjadi? Mungkinkah disebabkan populasi ataupun komposisi kaum di Malaysia sudah semakin rapat jurangnya hingga tidak banyak beza antara banyaknya Melayu Islam dengan yang non-Muslim. Ataupun kita sudah tidak percaya bahawa hanya agama sahajalah yang boleh membawa manusia ke arah keharmonian yang lebih baik termasuk membentuk rakyat yang hidup secara aman dalam keadaan berbilang kaum.

PAS harus menyatakan ketegasan dalam hal ini. Ketegasan adalah perlu dengan penjelasan. Penjelasan ini perlu kepada ilmu dan kefahaman memahami suasana kondisi politik mutakhir ini. Sama ada PAS akan lebih lantang dalam memperjelas isu Negara Islam gagasan mereka atau akan terus menyepi sama-sama kita nantikan. Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.

Nazree Yunus
Pengerusi Jaringan Pemikir Anak Muda
Institut Kajian Asas Kemasyarakatan (INSKA)

No comments: