Wednesday, February 6, 2008

Perjanjian Sulit Pak Lah & Tun M?

Kita meneliti rencam politik nasional. Nampaknya Mahathir sudah membongkar rahsia bilik tidur politiknya kepada umum. Kita melihat trend Mahathir berkaitan gentlemen's agreement. Trend Mahathir yang begitu berani berkata benar untuk kali ini ternyata mengundang bagi membuka pekung di dada.

Pendekatan Mahathir adalah semata-mata bakal menzahirkan sistem feudal yang cuba untuk diwariskan kepada Pak lah. Kita perlu faham, UMNO merupakan institusi buat rakyat yang mahukan institusi tersebut terus relevan sebagai wadah politik bangsa. UMNO bukan hak individu. Sikap angkuh Mahathir untuk menyatakan Pak Lah perlu patuh kepada perjanjian lisan tersebut hanya sekadar membuktikan Mahathir ketika zamannya sedaya upaya untuk menentukan perjuangan UMNO berasaskan sistem feudal.

Sistem feudal yang cuba diwariskan dan diingatkan oleh Mahathir kepada Pak Lah adalah semata-mata menunjukkan bahawa UMNO yang cuba dibentuk Mahathir bukan lahir dari jiwa yang merdeka. UMNO yang cuba dibentuk oleh Mahathir bukan lahir dari suara rakyat dan UMNO yang cuba dibentuk bukan mengambil kira soal prinsip institusi.

Cerminan Mahathir sekadar menunjukkan bahawa UMNO baru yang cuba dibawanya adalah UMNO yang milik individu. Kuasa hanya perlu berada di kalangan elit-elit tertentu.

UMNO pasca Mahathir perlu bangkit sekali lagi dengan idealisme baru. UMNO perlu dibentuk menjadi wadah utama orang Melayu yang membicarakan soal rakyat dalam keadaan kita memelihara kepentingan agama, bangsa dan negara.

Jika budaya UMNO ala Mahathir ini disambut Pak Lah, ini yang tidak kita mahu. UMNO ala Mahathir perlu dibuang, UMNO dengan sistem feudalnya perlu disingkirkan. Pemimpin perlu diangkat dalam menyelesaikan kemelut ummat, lantas diangkat oleh rakan seangkatan lalu mendapat ruang bagi memimpin rakyat. Pemimpin bukan diangkat dengan perjanjian lisan, pemimpin bukan diangkat dengan warisan feudal tapi pemimpin diangkat dengan jiwa yang merdeka. Merdeka dari ketakutan untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan.

Dalam UMNO perlu dibina asas demokrasi, dalam UMNO perlu dikekalkan perjalanan demokrasi yang tulen, dalam UMNO perlu ada pemimpin yang menjunjung tradisi demokrasi secara jujur dan dalam UMNO sendiri perlunya demokrasi itu tertegak dengan adil. Mana mungkin untuk kita membicarakan soal demokrasi nasional sedangkan pemilihan Perdana Menteri secara feudal dan pemilihan Presiden UMNO juga secara feudal. UMNO tidak perlu menunduk kepada sistem feudal jajaan murahan yang sudah tidak membawa erti. Pemimpin yang baru perlu dengan idealisme baru. Idealisme untuk melakukan dan memastikan perubahan total berlaku dalam UMNO perlu digerakkan segera. Sikap Mahathir dalam membangkitkan persoalan perjanjian lisan ibarat meludah ke langit terkena muka sendiri. Feudal ala Mahathir sudah tidak relevan. Kejam dan zalim cara Mahathir sudah tidak relevan. Kita bukan haiwan politik. Ahli dalam UMNO punyai hak dan kekuatan untuk menentukan pilihan. Hari ini terbongkar cara busuk Mahathir menentukan kepimpinan kesukaannya. Ahli UMNO sepatutnya kesal dengan cara Mahathir yang sebegitu. Ahli UMNO pelu menidakkan cara ini daripada berterusan. Ahli UMNO perlu merenung sejenak. Ahli UMNO perlu berfikir untuk kita tidak lagi mempunyai pemimpin berjiwa feudal seperti Mahathir. Siapa Mahathir untuk sekali lagi menentukan Perdana Menteri ke-enam Malaysia?

Orang Melayu mungkin mudah lupa bak kata Mahathir, tapi dendam dan nafsu politik tidak pernah lupa. Nafsu politik Mahathir tidak pernah lupa. Nafsunya tidak pernah lupa untuk terus cuba bagi mengekalkan sistem feudal dalam UMNO. Budaya kepimpinan feudal ala Mahathir perlu ditolak. Budaya ini perlu untuk tidak disambut. Budaya ini perlu dilupakan dan budaya ini perlu dikuburkan sendiri oleh ahli UMNO.

Isu Mahathir mengungkit janji lisannya terhadap Pak Lah sekadar hanya memburukkan imej parti. Ini bukan isu Mahathir VS Pak Lah, tetapi ini isu Mahathir mencalarkan imej UMNO dan parti. Bukan selamanya bekas Presiden itu cerdik, kalau tuhan membodohkannya untuk barang sesaat, sudah pasti inilah tembelang Mahathir yang perlu dikutuk dan ditolak. Sudah di dalam 23 tahun merosakkan institusi dengan menanam benih feudalisme yang kuat, hari ini dari luar juga mahu sekali lagi mencalarkan parti.

Kalau terus begini sistem feudal yang cuba dicatur, maka adakah masa dan ruang untuk UMNO melihat parti ini terus membawa erti dan relevan kepada anak muda. Bawalah perubahan total dalam UMNO untuk memastikannya menjadi wadah utama yang senada dengan generasi muda yang baru, dengan idealisme perjuangan yang disegarkan bukan di kaku dan dibekukan. Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.

Maka kata-kata yang benar sahaja yang perlu direalisasikan. UMNO perlu menolak cara feudal ini. UMNO perlu lahir dari suara rakyat, UMNO perlu lahir dari jiwa yang merdeka dan UMNO tidak boleh lahir dari sistem feudal saranan Mahathir! Sistem feudal tidak akan membina UMNO. Biarkan kepimpinan hari ini menilai dengan hikmah untuk menentukan pemimpin dan halatuju kepimpinan.

Kita generasi baru mahu pemimpin berjiwa rakyat dengan idealisme yang baru. Sistem feudal yang terbentuk sekadar hanya membenteng akal untuk berfikir, mengekang fizikal untuk terus bergerak dan mencengkam jiwa untuk terus takut menyatakan suara! Suara perlu disatukan, disatukan bukan dengan mengikut telunjuk seorang tetapi disatukan dengan akal dan budi! Akal dan budi inilah yang bakal memakmurkan institusi UMNO dan rakyat!

No comments: