Tuesday, November 13, 2007

Memacu Pengayaan Minda Dan Perpaduan


Tarikh 5 hingga 9 November 2007 merupakan tarikh yang bersejarah bagi orang Melayu. Tarikh ini merupakan medan bagi hampir 2500 orang perwakilan daripada 190 bahagian dengan setiap bahagian akan diwakili oleh 13 orang perwakilan. Disinonimkan UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO. Namun jangan kita lupa, disinonimkan Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu dalam konteks hubungan pembinaan masyarakat di Malaysia. Namun perkiraan ini mungkin berbeza mengikut perspektif masing-masing.

Ketiga-tiga sayap UMNO telah bersidang kelmarin, Pergerakan Wanita UMNO dengan temanya Perhitungan menempuh 50 Tahun. Pergerakan Pemuda UMNO dengan temanya Pemuda Perjuangan dan Pergerakan Puteri UMNO dengan Temanya Menambah baik sistem sosial masyarakat.

Membicarakan isu-isu yang dilontarkan dalam Perhimpunan agung UMNO kali ini sudah pasti dengan mudah kita dapati bahawa isu pengayaan minda dan usaha ke arah memperkukuhkan perpaduan menjadi teras kepada ucapan, perbahasan dan perbualan para perwakilan dan pemerhati. Isu kemiskinan minda, jiwa dan miskin perjuangan merupakan antara perkara yang sudah disedari oleh para perwakilan untuk diselesaikan.

Namun apabila membicarakan soal pengayaan minda, jiwa dan pengorbanan, sudah pasti keupayaan generasi muda dibentuk bagi membolehkan mereka memenuhi citarasa nilai perjuangan agama, bangsa dan negara merupakan antara perkara yang perlu dititik beratkan. Ilmuwan Indonesia Soedjatmoko dalam bukunya Manusia Indonesia Menjelang Abad ke 21 ada menyebut bahawa “Kekuatan sesebuah negara di masa akan datang tidak bergantung kepada kekuatan ketenteraannya, tetapi akan bergantung kepada kekuatan ekonomi dan keunggulan diplomasinya. Sementara itu kekuatan ekonomi yang menjadi tunggak kekuatan negara itu tidak pula bergantung kepada sumber alamnya atau jumlah penduduknya tetapi akan lebih bergantung kepada kualiti manusianya – kekuatan intelek dan keunggulan wataknya”.

Oleh yang demikian, keupayaan generasi muda untuk bersuara dalam membina minda dan jiwa tidak harus dibunuh potensinya, sebaliknya mereka harus diberikan peluang dan tunjuk ajar sejak awal lagi. Kita cukup yakin dan percaya, selagi UMNO berfungsi menaungi orang Melayu dan rakyat Malaysia. Selagi UMNO berfungsi dan berperanan sebagai tunjang kerajaan. Maka UMNO akan tetap relevan. Di samping itu, faktor kekuatan UMNO untuk mengambil kira persoalan agama dan memastikan kesucian agama Islam dipelihara merupakan antara titik tolak yang akan menentukan survival UMNO.

Slogan UMNO sebelum merdeka ialah ‘Hidup Melayu’. Kemudian bertukar kepada ‘Merdeka’ dan kemudiannya kembali semula slogan UMNO kepada ‘Hidup Melayu’. Generasi muda melihat slogan ‘Hidup Melayu’ ini perlu ditukar kepada ‘Maju Melayu’ sebagai slogan UMNO yang baru. Apabila pemimpin UMNO membicarakan soal pengayaan minda dan minda ke arah perpaduan yang tulen, kita melihat persoalan ini adalah suatu persoalan ke arah untuk membawa kemajuan kepada orang Melayu dalam bentuk yang lebih holistik. Slogan ini juga mampu untuk memberikan satu cetusan semangat yang baru tanpa ada rasa prejudis daripada kaum yang lain. Kemajuan Melayu dalam aspek pengayaan minda, jiwa dan perjuangan merupakan suatu aspek yang perlu kepada sentuhan dinamik bagi menghasilkan penterjemahan yang holistik dalam kehidupan untuk membina tamadun bangsa yang unggul.

UMNO perlu berfikir tentang persoalan untuk membina satu barisan generasi baru Melayu yang mempunyai daya ketahanan dan mampu untuk bersaing dengan kaum yang lain dengan pecutan kemajuan yang optimum. UMNO juga perlu bersedia untuk melahirkan kepimpinan negara yang sedia diterima oleh masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Melahirkan Generasi Baru Melayu ialah melahirkan generasi yang telah mengalami tajdid pembaharuan komitmen, kefahaman dan penghayatan terhadap Islam. Untuk membina suasana tersebut, kita tidak pilihan selain daripada kembali kepada nilai-nilai Islam yang telah mengakar kukuh dalam budaya tradisi Melayu.

Justeru, antara persiapan asas yang perlu diberikan keutamaan umat Melayu secara khususnya dan pimpinan masyarakat Melayu secara umumnya dalam memikul amanah dan tanggungjawab yang suci ini ialah Pertama: Persiapan memperkukuhkan aqidah, pemikiran dan spiritual sebagai unsur utama kebangkitan perjuangan kita. Kedua : Persiapan memperkasakan penghayatan ilmu dan kepakaran mengikut kemampuan, kecenderungan dan tuntutan semasa. Ketiga : Persiapan mengislahkan sikap dan kesatuan ahli untuk membentuk Kesatuan pemikiran dan kesatuan tindakan. Keempat : Persiapan memperkasakan organisasi, strategi dan metodologi. Kita perlu menginsafi bahawa kestabilan politik, ekonomi yang dinamik dan masyarakat yang beretika adalah berlandaskan nilai-nilai Islam yang terbaik.

Persoalan pembentukan minda perpaduan juga adalah harus berasaskan Rukun Negara yang merupakan suatu prinsip bernegara di Malaysia yang diterima umum. Sudah pasti jika kelima-lima Rukun Negara berjaya dihayati oleh semua lapisan masyarakat yang berbilang agama dan bangsa. Permasalahan seperti isu berbangkit artikel 11, kuasa mahkamah Syariah dan hak harta pusaka tidak akan berbangkit antara muslim dan juga yang bukan muslim. Sebelum kita mengimpikan cita-cita meninggi di angkasa, ayuh kita terus menggali ilmu pengetahuan dan mengakarkan budaya bangsa kita yang tulen sebagai suatu persediaan untuk membentuk tamadun yang hebat. Ayuh kukuhkan perpaduan antara kita rakyat Malaysia. Maju Melayu! Maju Melayu! Maju Melayu!Maju Semua!