Monday, October 29, 2007

REFORMASI DALAM KEADILAN


Penarikan diri secara berkelompok dalam AMK seolah-olah menunjukkan suatu petanda pergolakan sedang berlaku dalam Keadilan. Penarikan diri Setiausaha Angkatan Muda Keadilan, SD Johari yang menerima pencalonan terbanyak untuk jawatan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan memberi tamparan hebat kepada kelangsungan Kongres Parti Keadilan Rakyat.

Namun persoalan sekarang, adakah Anwar Ibrahim menganiaya ataupun dianiaya menjadi tanda tanya?Sekilas pandang situasi ini membibitkan suatu lagi cetusan menarik dalam kancah politik tanah air. Adakah penarikan diri ini dilakukan secara terancang ataupun merupakan faedah yang diterima oleh Anwar Ibrahim setelah berjaya mendidik anak murid yang berani mencabar kemungkaran.

Melalui maklumat yang diperoleh, SD Johari menarik diri daripada bertanding sebagai Tim. Ketua AMK adalah disebabkan campur tangan Anwar Ibrahim dalam menentukan percaturan kepimpinan AMK. Namun secara positif, kita melihat bahawa Anwar Ibrahim berjaya melahirkan kepimpinan muda dalam AMK yang berani menyatakan tentangan walaupun dalam PRK sendiri. Sudah pasti ada asas yang kukuh yang menyebabkan SD Johari menarik diri.

Jawatan tinggi bukan sesuatu yang dikejar oleh pemimpin yang berjiwa ikhlas dalam perjuangan. Mungkin Anwar Ibrahim ada percaturan yang tersendiri. Mungkin juga SD Johari ada prinsip dan hala tuju kepimpinannya.Namun apa yang kita mahu ialah jiwa-jiwa pemuda yang berani menyatakan tidak pada sesuatu perkara yang bertentangan dengan nilai prinsip perjuangan adalah suatu perkembangan yang kita nanti-nantikan dalam generasi muda kita pada hari ini.

Apa yang berlaku dalam PRK perlu juga berlaku ke atas parti-parti politik yang lain. Parti-parti politik yang lain seperti UMNO, PAS, MIC, MCA, PPP dan GERAKAN perlu mempunyai ahli Pemuda yang jiwanya hidup untuk perjuangan. Wang ringgit dan populariti bukan jalan perjuangan anak muda. Justeru sesiapa yang menjadi pemimpin anak muda pada hari ini yang bersifat seumpama mahu mengumpul kekayaan dan populariti perlu disingkirkan daripada jalan perjuangan.

Kita tidak mahu anak muda yang kosong jiwanya yang akhirnya akan memimpin Malaysia pada suatu hari nanti dan memimpin negara ini tanpa hala tujuan. Beberapa cawangan UMNO yang mahu menyingkirkan Khairy daripada arena politik Pemuda UMNO perlu dicermati. Adakah salah Khairy ataupun salah cawangan yang mahu mengundurkan Khairy secara terhormat?Kita mahu Pemuda-pemuda yang memimpin teraju parti-parti politik peka dengan perkembangan dan situasi menarik perkembangan politik tanah air.

Ayuh rakan-rakan pemuda yang menjadi pendukung parti. Pastikan saudara-saudara sekalian sentiasa memastikan kepimpinan muda yang intelektual karismatik yang menjadi kiblat kita. Jangan sekadar hanya bersandarkan kepada kekuatan politik godfather sahaja tanpa ada nilai ada nilai kekuatan jati diri yang sebenarnya. Pemuda UMNO, PAS, MIC, MCA, PPP dan GERAKAN perlu memastikan tidak ada pemimpin atasan parti yang berhak untuk memaksa mereka untuk tunduk dan patuh secara membuta tuli.

Apatah lagi jika ada sesama pemimpin pemuda yang menghamba abdikan rakan-rakan seperjuangan untuk kepentingan peribadi. Berani kerana benar, patuh biar bertempat. Ayuh pemuda UMNO, PAS, MIC, MCA, PPP dan GERAKAN bergerak ke arah memastikan kepimpinan dioperasikan melalui semangat berpasukan bukannya one man show. Dalam aspek yang lain, ketaatan dan kepatuhan itu hendaklah diberikan atas ilmu dan kefahaman yang ada dalam diri pemuda dan bukannya untuk kepentingan mana-mana legasi yang mahu mengaut keuntungan untuk kantung sendiri.

Pemuda perlu dibangunkan dengan ilmu bukannya dengan politik wang dan dilatih menjadi kaki ampu. Ayuh menjadikan pemuda berfikiran kritikal, kreatif dan konstruktif. Namun kita sebagai pemuda jangan dilihat sebagai bersemangat tetapi tergopoh-gapah dalam merealisasikan matlamat perjuangan masing-masing. Perjuangan merealisasikan matlamat perlu kepada pemimpin yang mempunyai visi dan misi yang jelas.

Pemimpin yang sebenar adalah pemimpin yang memimpin pemimpin bukannya pengikut. Bawalah perjuangan kepimpinan pemuda dengan semangat berpasukan yang benar-benar ikhlas dan amanah. Jangan sesekali membawa perjuangan dengan niat untuk mengkhianati rakan-rakan seperjuangan. Banyakkan musyawarah dan tinggikan toleransi antara kepelbagaian pandangan mahupun perbezaan organisasi yang didukung.

Sudah tiba masanya untuk Pemuda Memimpin PerubahanKita mahu pemimpin muda yang jiwanya hidup serta berkebolehan menghidupkan jiwa rakan-rakan seperjuangan. Menghidupkan jiwa rakan-rakan pemuda dalam parti bukan dengan membeli maruah mereka dengan wang ringgit dan politik samseng tetapi hargailah semangat pemuda-pemuda parti dengan nilai untuk membina sebuah Tamadun Bangsa. Hala tuju perlu digariskan dengan jelas. Kemungkinan ajaran Anwar Ibrahim ‘lawan tetap lawan’ berkesan sehingga anak buah sendiri berupaya untuk menterjemahkannya di dalam realiti perjuangan termasuk menolak cara Anwar Ibrahim sendiri.

Justeru, Anwar Ibrahim perlu meneliti persoalan ini, adakah kerana batang tubuh beliau yang ditolak ataupun ada faktor lain yang menyebabkan beliau ditolak oleh pemuda-pemuda yang pernah berjuang demi melihat keadilan tercapai ke atas diri Anwar Ibrahim sendiri. Karakter beliau yang karismatik sudah pasti memukau sesiapa sahaja yang mendengar pidatonya. Namun apa sudah jadi dengan kelebihan tersebut ditambah pula dengan kesungguhan Anwar Ibrahim untuk membanteras mana-mana pendekatan pemimpin yang menindas rakyat. Seolah-olah seorang pejuang rakyat sudah ditolak oleh teman-teman seperjuangan.

Anwar Ibrahim punya banyak pilihan untuk meneruskan survival parti. Kalau begini keadaannya dalam PRK, mungkin elok kiranya Anwar Ibrahim ‘merujuk’ semula kepada UMNO, ataupun beliau ‘berkahwin’ baru dengan PAS. Kalau punyai jiwa untuk melihat keadilan terus utuh menjadi parti yang berpotensi, keadaan pergolakan politik yang berlaku dalam PRK perlu diselesaikan terutamanya dalam AMK.

Akhir kalam, mungkin dahulu Anwar Ibrahim menjadi gah dengan kumpulan mahasiswa, mungkin hari ini kitaran itu kembali semula untuk melihat Anwar Ibrahim mengembalikan kekuatan bersama-sama mahasiswa, ataupun mungkin kitaran kali kedua ini, mahasiswa tidak bersama Anwar Ibrahim?Reformasi diperlukan untuk menegakkan keadilan dalam Parti Keadilan Rakyat.

Mungkin juga reformasi diperlukan untuk membawa cara baru dalam mendapatkan keadilan sosial dalam negara kita. Adakah Anwar Ibrahim akan tetapkan menjadi tokoh dalam meneruskan agenda mulia ini?ataupun Ezam Mohd Nor ataupun Khairy yang akan menjadi jaguh? Atau akan lahir wira baru dalam lembaran baru landskap politik tanah air. Reformasi menjadi kata-kata keramat bagi sesiapa yang mahu membawa perubahan secara positif demi melihat pembangunan negara secara makmur dan holistik.

Namun masih menjadi tanda tanya sehingga sekarang siapakah yang akan menjadi reformis yang tulen?. Semua pemuda-pemuda parti mempunyai peluang. Namun peluang ini hanya akan terhidang buat mereka yang TIDAK MENGANIAYA DIRI SENDIRI. Justeru dalam perjuangan, jangan biarkan orang lain menganiaya diri kita. Potensi kepimpinan pemuda jangan dibunuh dengan cengkaman oleh dua-tiga orang diktator dalam kepimpinan.

Fikirkanlah wahai pemuda!!!Bangkitlah dengan ilmu dan kefahaman ke arah membina Tamadun bangsa yang tulen.

No comments: