Kepada,
YAB. Dato’ Seri Utama Hj. Mohamad bin Hj. Hasan,
Menteri Besar Negeri Sembilan,
Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan,
Tingkat 5, Blok B, Wisma Negeri, 70503 Seremban,
Negeri Sembilan. 22 OGOS 2011
YAB. Dato’ Seri,
Membantah Penempatan Pelarian Australia di Port Dickson
1. Saya membawa pandangan rakyat membantah penempatan pelarian dari Australia di Port Dickson yang dilihat tidakpun memberikan kesan positif terhadap imej pelancongan Port Dickson. Tindakan kerajaan negeri membenarkan Port Dickson menjadi transit kepada pelarian dari Australia ini dilihat bertentangan dengan semangat menaikkan imej Bandar Port Dickson sebagai pusat dan destinasi pelancongan di sebelah pantai barat.
2. Mereka akan ditempatkan di Rumah Cycle Carri dan di Cresent Peak (bekas hotel) sebagai penempatan pelarian. Saya melihat situasi ini tidak memberi manfaat kepada rakyat Port Dickson daripada aspek pembangunan, keselamatan dan pelancongan. Dasar negeri tidaklah harus membenarkan Port Dickson menjadi pusat transit pelarian warga asing.
3. Secara peribadi saya melihat bahawa Kerajaan Negeri tidak boleh menjadikan Port Dickson sebagai tempat lambakan perkara negatif kerana ini bertentangan nilai dengan salah satu daripada Strategi Pembangunan Kerajaan Negeri iaitu ‘Mempelbagaikan produk pelancongan dan memperbaiki kemudahan infrastruktur untuk menarik kedatangan pelancong serta menggalakkkan penyertaan sektor swasta dalam pelaburan pelancongan’. Kewujudan pusat transit pelarian seumpama ini tidak selaras dengan strategi tersebut.
4. Disamping itu, saya bimbang sekiranya tidak ada sesuatu sistem keselamatan yang baik di kawasan tersebut memungkinkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini terhadap penduduk tempatan. Saya juga bimbang akan keselamatan pengunjung dan pelancong yang mungkin terganggu gugat dengan kewujudan pusat transit pelarian ini.
5. Kebimbangan saya lebih diperkuat dengan terdapatnya laporan ada pihak hotel yang dikelirukan dengan rancangan ini dengan makluman kononnya hotel mereka hendak disewa bagi tujuan kegunaan kumpulan jurutera dan kemudiannya ditukar untuk kegunaan latihan pengurusan pula. Namun, setelah terbongkar tujuan penyewaan pihak tertentu itu yang sebenar, pihak hotel telah membatalkan tempahan kerana tidak mahu menanggung risiko walaupun akan terlepas kesempatan mengaut keuntungan yang besar. Tujuan pihak penganjur mengelak daripada mengamalkan keterbukaan lebih menguatkan lagi kecurigaan orang awam.
6. Saya berpendapat membiarkan Telok Kemang atau Port Dickson menjadi lokasi lambakan projek-projek seperti pembuangan sisa-sisa pepejal, loji-loji perusahaan tenaga bebas, loji-loji penapis minyak dan juga sebagai tempat pelupusan sistem kumbahan ke laut, sudah cukup untuk mencemarkan nama pantai ini sebagai satu-satunya tempat pelancongan yang unggul di negara ini.
7. Saya mengesyorkan agar Kerajaan Negeri membuat ketetapan untuk tidak membenarkan Port Dickson menjadi pusat transit pelarian warga asing bagi menjaga imej bandar Port Dickson sebagai pusat pelancongan. Saya juga sebagai rakyat Negeri Sembilan tidak mahu imej Port Dickson sebagai destinasi pelancongan tercalar disebabkan kewujudan pusat penempatan pelarian yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat tempatan serta tidak bermanfaat langsung kepada Bandar Port Dickson sebagai tempat pelancongan.
Salam Hormat & Salam Perjuangan,
Yang ikhlas,
YB. Dato’ Kamarul Baharin Abbas
Ahli Parlimen Telok Kemang
22 Ramadhan 1432 H/22 Ogos 2011