-REFORMASI SUDAH KANDAS DALAM DIRI PELOMPAT PARTI-
Jika semalam 7 ahli AMK termasuk tiga pemimpin AMK Shah Alam telah keluar PKR. Namun ini semua lebih menambah ramai anak muda bersama Pakatan Rakyat sama ada melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS ataupun DAP.
Alasan mereka serupa dengan alasan Bekas Ketua AMK lama mereka. Kecewa dengan sikap Anwar. PKR kononnya telah menyeleweng daripada landasan perjuangan reformasi. Rekod calon P.094 tidak teruji reformasinya dan buruk moralnya? Tetapi persoalannya sekarang, ke mana arah tuju politik mereka yang melompat ini? Adakah bersama dengan UMNO/BN?. Jika bersama UMNO/BN apakah mereka juga tidak berfikir bahawa terdapat juga calon daripada UMNO/BN termasuk yang telahpun menjadi Ahli Parlimen mempunyai akhlak dan nilai moraliti yang lebih teruk dan sehingga kini belum lagi bertaubat. Presiden MCA sudahpun terbukti terlibat dengan skandal seksnya. Boleh rujuk kepada hansard Parlimen berkaitan pertikaian ini. Apakah kayu ukur sudah teruji reformasi itu dikira dengan lamanya mereka dalam arus gelombang reformasi?. Jika ini sikap mereka, tidak ubah pemikiran mereka ini dengan paten/corak pemikiran ala-ala UMNO/BN iaitu melalui sistem feudal politik.
Percayalah bahawa jika mereka ini yang melompat kerana disebabkan mereka mempertikaikan tempoh lama mananya seseorang berada dalam reformasi, maka begitu juga mereka akan diperlakukan oleh pimpinan UMNO/BN terhadap mereka. Mereka tidak akan diberikan tempat dalam UMNO/BN. Bahkan jika Ezam diberikan kerusi bertanding sekalipun maka akan ada juga orang lama UMNO/BN akan mengungkit mengapa diberikan kerusi bertanding buat Ezam yang sekian lama selama 10 tahun apa yang tidak dicacinya kepada UMNO/BN?.
Sebab itu, ini bezanya politik Pakatan Rakyat dan PKR, sesiapapun yang berkredibiliti akan diangkat dan diberikan ruangan untuk menterjemahkan idealisme perjuangan parti menjadi realiti. Ini tidak berlaku dalam UMNO kerana para pendukung mereka mempunyai pemikiran yang serupa termasuk yang baru melompat masuk iaitu yang baru terlibat dengan UMNO/BN perlu duduk dibawah menjadi kuli dan macai terlebih dahulu. Akhirnya mereka yang melompat kerana alasan itu akan kembali ditimpakan dengan alasan itu. Sepertimana mereka tidak suka kepada orang baru di dalam PR atau PKR, maka seperti itu gerombolan melompat ini akan ditolak oleh ahli dan pemimpin UMNO/BN. Inilah akibat perjuangan individu yang tidak ada prinsip dan kefahaman. Mereka akan diperlakukan dengan sebegitu rupa oleh UMNO/BN.
Jika hanya sekadar orang lama dan menjadi pencetus reformasi bermula tahun 1998 tetapi kini mengkhianati perjuangan reformasi sebenarnya adalah orang yang tidak terkesan dengan arus reformasi itu sendiri. Mereka sebenarnya tidak faham apa itu reformasi. Bahkan REFORMASI SUDAH KANDAS DALAM DIRI MEREKA. Justeru, kepada pendukung perjuangan keadilan dan kebenaran yang masih ada, teruskan perjuangan kalian. Dan panjatkan doa agar masing-masing diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk terus kekalkan istiqamah dalam titian sirotolmustaqim.
Hari ini Dr. Halili Rahmat telah mengumumkan keluar dengan alasan PKR bukan lagi sebuah wadah parti politik perjuangan tetapi lebih condong kepada parti yang pentingkan kuasa, hingga tidak memperdulikan kesejahteraan rakyat walaupun diberi mandat untuk mentadbir di beberapa buah negeri. Sebaliknya, kata beliau, pada masa yang sama, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk membawa perubahan politik untuk Umno dan BN. Ini, katanya, mendorong beliau terus membuat keputusan untuk menyertai Umno.
Sekali lagi kita persoalkan tentang pendirian seumpama ini. Bolehkah beliau senaraikan usaha ikhlas Najib Tun Razak itu? Ataupun tanpa sedar sebenarnya pengakuan-pengakuan mereka yang melompat parti ini sebenarnya membuka pekung bahawa mereka juga dahulu sebenarnya tidak faham dengan penglibatan mereka dalam perjuangan reformasi menuntut keadilan dan kebenaran yang lebih baik buat rakyat Malaysia. Mereka dahulunya berjuang bersama PKR kerana emosi bukan kerana kefahaman. Apabila emosi mereka tidak puas, mereka melompat. Berbeza dengan yang menyertai reformasi dengan kefahaman, kelompok ini akan lebih cekal dan istiqamah bersama Pakatan Rakyat/PKR.
Hari ini rata-rata anak muda yang menyertai PKR atau PR adalah kerana sudah mula dibentuk minda perjuangan mereka berasaskan kefahaman bukannya lagi emosi. Sebab itu isu lompat parti ini sedikitpun tidak mempengaruhi anak muda termasuk mahasiswa untuk terikut sama. Jika masih ada yang berjuang kerana emosi, maka mereka juga boleh mengikuti gerombolan lompat parti ini.
Bahkan sebagai contoh, dalam isu Ezam menyertai UMNO, saya telah bertemu semula dengan kelompok anak muda dan mahasiswa yang jelas mereka menyatakan bahawa pendekatan Ezam itu hanyalah mengulang semula episod Anwar sertai UMNO yang mana akhirnya akan diketahui bahawa agenda anti rasuah Ezam tidak akan berjaya melalui UMNO. Ini telah dihidu oleh UMNO. Jika Anwar yang hebat itupun tercampak keluar daripada UMNO disebabkan membawa agenda anti rasuah, maka apatah lagi Ezam. Yang menjadi Ketua Menteri Melaka, Ketua Pemuda UMNO Malaysia juga terlibat rasuah politik. Mana muka Ezam mahu bicara tegur mereka soal rasuah. Inilah antara sinisan anak muda dan mahasiswa terhadap Ezam.
Mereka mahu saya sampaikan kepada Ezam, ya hari ini saya sampaikan makluman ini kepada beliau. Namun jika bukan sebenarnya agenda anti rasuah yang dibawa Ezam dalam UMNO, apakah agenda sebenarnya? Sudah benar-benar termakan oleh dakyah pangkat dan ringgit UMNO? Ataupun Ezam bawa agenda Anwar? Adakah cita-cita Ezam mahu membawa Anwar berbaik dengan Najib? Kita tidak jelas dengan prinsip Ezam. Ya, yang dinyatakan adalah atas alasan soal Melayu, anti rasuah, PKR khianati perjuangan. Namun menyertai UMNO itu adalah tidak benar dan tepat masa ini. UMNO masih dalam keadaannya seperti rosaknya UMNO di bawah Dr. Mahathir. Mengapa dalam keadaan rosak ini mahu disertai UMNO? Ataupun yang menyertai UMNO dengan melompat beramai-ramai itu sebenarnya telah rosak. Ataupun merekalah yang sebenarnya tidak jelas dengan agenda reformasi dahulu yang bertujuan untuk kemakmuran rakyat.
Mereka melompat ke UMNO/BN adalah disebabkan tidak dapat jawatan setelah berjuang 10-12 tahun dalam gelanggang reformasi. Nasib baik Anwar tidak memilih Dr.Halili sebagai calon. Jika tidak mungkinkah akan ada lagi selepas memenangi kerusi MP melompat menjadi MP Bebas?. Wamakaruwamakarallah wallahukhairulmakiriin. Allah telah menunjukkan kebenaran dan memberikan petunjuk kepada kita bahawa amalan syura dan muafakat dalam mematuhi keputusan pimpinan ada keberkatannya. Dan ini jelas dan kes pemilihan calon PKR P.094.
Selamat berjuang buat teman anak muda dan mahasiswa di Hulu Selangor.