Tuesday, September 13, 2011

KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN TELOK KEMANG



















12 SEPTEMBER 2011


MPPD WAJAR LAKSANAKAN ‘COASTAL CLEAN UP’ SECARA SISTEMATIK & KONSISTEN

Pantai Port Dickson merupakan pusat peranginan dan pelancongan yang sewajarnya dikekalkan dan terpelihara kebersihannya. Namun mutakhir ini keadaan senario di pantai Port Dickson telah dicemari dengan pelbagai siasa buangan. Bermula daripada buangan sampah, sisa daripada perhotelan, sisa kumbahan sehinggalah menjadi pusat transit atau pembuangan pelarian asing. Kita cukup kesal dengan permasalahan yang berlaku di Port Dikcson sehingga dilihat menjadi pusat pembuangan pelbagai sisa tidak berfaedah.


Selaku Ahli Parlimen, saya menyokong penuh usaha - usaha yang telah diinisiatifkan oleh Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat bersama dengan Pimpinan Pakatan Rakyat N. Sembilan dan Telok Kemang dengan menganjurkan Program Pembersihan Pantai Port Dickson (Coastal Clean Up 2011) pada 10 September 2011 yang lepas yang juga bersamaan dengan tarikh Kempen ‘World Coastal Clean Up’ di peringkat dunia. Kempen ini merupakan suatu bentuk inisiatif baru oleh Pimpinan Pakatan Rakyat dalam menunjukkan keprihatinan kita terhadap isu-isu alam sekitar.


Sewajarnya, usaha – usaha seumpama ini harus menjadi contoh kepada organisasi lain terutamanya oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dalam menjaga kebersihan dan persekitaran yang lebih baik bagi pantai Port Dickson. MPPD sewajarnya menjalankan aktiviti dan kempen kebersihan pantai yang lebih kerap memandangkan perkara ini merupakan tanggungjawab langsung di bawah majlis perbandaran. Usaha-usaha menjaga kebersihan pantai secara sistematik dan konsisten lebih bermanfaat dilaksanakan oleh MPPD berbanding kecekapan mereka untuk menurunkan kain rentang ucapan Salam Ramadhan dan Aidilfitri oleh pemimpin pembangkang.


MPPD tidak seharusnya membiarkan hanya pihak lain secara aktif menjalankan aktiviti dan kempen kebersihan pantai kerana persoalan menjaga kebersihan pantai ini merupakan tugas asasi MPPD. Persekitaran pantai yang kotor dan tidak bersih boleh mendatangkan kemudaratan dan mengancam keselamatan pengunjung.


Ini secara tidak langsung akan mencemarkan imej pantai Port Dickson sebagai salah satu daripada destinasi pelancongan yang unggul dan selamat. MPPD wajar mengambil langkah segera dengan menganjurkan ‘Coastal Clean Up’ secara lebih sistematik dan konsisten dengan mengambil contoh usaha-usaha yang telahpun dilakukan oleh Pakatan Rakyat dalam isu kebersihan dan keselamatan pantai. Kebersihan pantai harus dijaga demi kesejahteraan rakyat dan pengunjung keseluruhannya.

YB Dato’ Kamarul Baharin Abbas
Ahli Parlimen Telok Kemang