Tuesday, April 29, 2008

Rasuah & Salah Guna Kuasa : Apakah harapan dari Pakatan Rakyat?

Rasuah & salah guna kuasa – Ini terma ciptaan dan kita percaya sudah pun menjadi buah mulut pimpinan Pakatan Rakyat. Sebelum tercipta Pakatan Rakyat lagipun isu rasuah dan salah guna kuasa menjadi peluru untuk menembak bertubi-tubi kerajaan BN.

Hari ini percaya atau tidak lima negeri sudah dalam pentadbiran Pakatan Rakyat hampir 2 bulan. Banyak yang sudah kita dengar. Dalam menilai secara konstruktif kita yakin dan percaya bahawa ada positif dan ada yang kedengaran negatif tentang pentadbiran di negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyat.

Jika sebelum ini kita dengar tentang hentaman hebat soal perilaku rakus Bekas MB Selangor tentang isu setinggan, rasuah dan salah guna kuasa. Hingga hari ini manakah fail dan dokumen jika benar terdapat rasuah dan salah guna kuasa yang dibuat. Di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor pasti dapat mengeluarkan dokumen bukti perlakuan rasuah dan salah guna kuasa tersebut. Ataupun sebenarnya hampir tidak ada salah laku rasuah yang dilakukan. Lazim untuk kita melihat pendedahan adalah akibat terlalu banyak penyelewengan yang dilakukan, namun jika terlalu pasif gerakan pendedahan yang dilakukan maka seolah-olah harapan buat melihat pesalah rasuah dan salah guna kuasa di hukum adalah semakin malap?

Mungkin terlalu licik pimpinan yang lalu hingga tulang rasuah pun tidak dapat untuk dihidu dan dijumpai. Kita generasi baru ingin melihat keberkesanan idealisme di terjemah menjadi kata dan laksana kerana kita yakin bahawa perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata. Jika Anwar Ibrahim dengan laungan Lawan Tetap Lawan, sudah pasti dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa juga tetap komited dengan inti pati makna laungan tersebut.

Jika dahulu kesukaran mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan jitu menjadi halangan, ternyata hari ini dengan ruang sebagai parti yang memerintah keempat negeri baru di tawan ini memudahkan akses untuk meneliti dan membongkar rahsia rasuah pemimpin terdahulu. Adalah mengaibkan jika yang selalu bercakap soal kebenaran dan kini punyai ruang untuk membedah dan merawat penyakit rasuah dan salah guna kuasa dengan kuasa yang ada di tangan dilengah-lengahkan.

Ataupun isu rasuah dan salah guna kuasa secara berleluasa oleh kerajaan terdahulu hanya momokan fitnah pembangkang sebelum ini. Ini bukan tuduhan, tetapi sekadar perkongsian untuk beringat tatkala kuasa dalam genggaman buat merubah apa yang sebelum ini kita klasifikasikan sebagai yang mungkar. Apakah bentuk makruf yang mahu di buat Pakatan Rakyat jika bukan dengan kita membawa yang makruf secara agresif dan secara optimum pelaksanaannya.

Jangan hanya tinggal harapan sahaja buat rakyat untuk melihat para penguasa yang rakus memakan rasuah terus bebas buat seolah-olah diri mereka dimaafkan. Peranan dan tanggungjawab ini perlu lebih dipukul oleh sang penguasa yang telah pun meletakkan diri mereka sebagai pejuang rakyat. Apakah makna pejuang rakyat jika akhirnya apabila berada pada tampuk sang penguasa masih lagi ragu-ragu lagi atau masih kabur untuk menerobos rahsia mungkar pemimpin sebelum ini. Jika ia benar maka selidikilah dan menentukan bentuk pengajarannya. Jika tidak benar, adakah permohonan maaf itu perlu?

Apakah setelah berdaulat maka lain yang dikata maka lain yang di kota? Soal amanah dan kepimpinan adalah urusan besar yang gunungpun tidak tertanggung bebanan ini. Jangan hingga politik haiwan yang menentukan arah penujuan kita. Penyelesaian isu rasuah perlu lebih lantang untuk disuarakan apatah lagi dalam keadaan kerajaan pusat sudah beria menubuhkan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia. Jika tidak, harapan hanya tinggal harapan.

Friday, April 25, 2008

PAS VS DAP : Apa jawapan soal Negara Islam?

Bangsa Melayu dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu telah lama mengisytiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Tanggal keramat itu menandakan telah wujud kembali satu bangsa iaitu bangsa Melayu yang telah dijajah hampir empat setengah abad.

Sejak itu isu negara Islam melingkari perjalanan sejarah Malaysia. Kenyataan Tunku yang pernah mengatakan bahawa Malaysia bukan negara Islam, kemudiannya Tun Mahathir yang pula terhegeh-hegeh mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam. Dan kini Najib pula bercakap soal negara Islam sebelum pilihan raya tempoh hari namun di sanggah pemimpin MCA.

Kini bicara soal negara Islam yang kita percaya menjadi agenda PAS perlu dijelaskan dengan terang lagi bersuluh. Apakah reaksi PAS apabila saranan Karpal Singh supaya PAS menggugurkan agenda negara Islamnya? Apakah hujahan PAS terhadap isu ini? Apakah perlu untuk PAS pula menyatakan DAP perlu menggugurkan agenda Malaysian Malaysia nya?

Perkara ini perlu diperhalusi dalam keadaan keagresifan DAP untuk cuba meremukkan agenda Negara Islam PAS maka tindakan yang berhikmah perlu segera di ambil oleh pimpinan PAS. Ataupun PAS secara sedar telah merasakan bahawa agenda negara berkebajikan yang telah digagaskan oleh PAS dalam manifesto pilihan raya ke-12 merupakan klon kepada pencirian negara Islam yang menjadi agenda parti itu. Mungkin sebab ini PAS tidak terlalu melatah apabila di asak oleh DAP terutamanya Karpal Singh tentang rapuhnya untuk membawa agenda Negara Islam dalam Pakatan Rakyat.

Dalam keadaan Pakatan Rakyat mahu mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap mereka, maka formula terbaik adalah dengan mempotretkan wajah keserasian dalam pakatan tersebut. Namun yang kita lihat hari ini adalah tindakan DAP yang acap kali meracau tentang Negara Islam yang seolah-olah menjadi ketakutan bagi mereka.

Kita pasti racauan DAP ini sebenarnya tidak begitu manis buat Pakatan Rakyat dan hari ini dengan pandangan untuk mempamerkan ketakutan tidak berasas tentang negara Islam hanya akan membuatkan DAP dilihat sebagai begitu paranoid dalam isu ini.

Dipihak PAS pula, suasana suam-suam kuku dalam memberikan penjelasan adalah amat memilukan kita dalam mahu melihat Islam itu yang teratas dan tidak ada yang lebih darinya. Bukan bermakna Islam di atas untuk menindas bahkan ahli politik baik yang Islam ataupun tidak boleh mencermati apa yang telah pun dipatrikan dalam sejarah tentang perjalanan kesyumulan Islam itu sendiri baik dalam pemerintahan, undang-undang, ekonomi, sosial dan politiknya.

Apakah sudah ada kewajaran untuk PAS lebih bertegas dalam isu negara Islam ini? Ataupun PAS melihat ini permainan politik untuk terus suam-suam kuku dalam isu negara Islam? Ataupun umat Islam yang berbangsa Melayu hari ini sudah terlalu lemah hinggakan untuk bicara soal negara Islam dalam negara sendiripun kita seolah-olah terpaksa untuk menekan ‘brek’ sekerap mungkin. Jika ini benar, mengapa terjadi? Mungkinkah disebabkan populasi ataupun komposisi kaum di Malaysia sudah semakin rapat jurangnya hingga tidak banyak beza antara banyaknya Melayu Islam dengan yang non-Muslim. Ataupun kita sudah tidak percaya bahawa hanya agama sahajalah yang boleh membawa manusia ke arah keharmonian yang lebih baik termasuk membentuk rakyat yang hidup secara aman dalam keadaan berbilang kaum.

PAS harus menyatakan ketegasan dalam hal ini. Ketegasan adalah perlu dengan penjelasan. Penjelasan ini perlu kepada ilmu dan kefahaman memahami suasana kondisi politik mutakhir ini. Sama ada PAS akan lebih lantang dalam memperjelas isu Negara Islam gagasan mereka atau akan terus menyepi sama-sama kita nantikan. Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.

Nazree Yunus
Pengerusi Jaringan Pemikir Anak Muda
Institut Kajian Asas Kemasyarakatan (INSKA)

Tuesday, April 22, 2008

PAS Alternatif Parti Melayu : Merubah atau berubah?

SUDAH hampir sebulan berlalu Pilihan Raya ke-12. Sehingga ke hari ini PAS masih lagi gagal dalam meletakkan kewibawaan parti itu pada tahap yang sepatutnya. PAS perlu berada pada suatu tahap prestijnya yang tersendiri.

Ramai anak-anak muda yang mempunyai jiwa yang lebih Islamik agak kecewa dengan prestasi PAS yang sepatutnya lebih dominan dalam politik terkini berbanding PKR. Dalam keadaan pergolakan UMNO yang kian berkocak, agenda permuafakatan Melayu perlu diteliti dengan sehalusnya.

Kita tidak mahu atas nama agenda Melayu ada pihak sama ada UMNO, PAS atau PKR mengambil kesempatan untuk mengkosmetikkan permuafakatan ini.Kita perlu jelas dalam mewujudkan permuafakatan ini ,perlu ada agenda yang membina dan menguntungkan agama Islam, orang Melayu dalam bentuk ketuanannya dan keseluruhan rakyat Malaysia.

Kesepakatan para pemimpin pelbagai kaum dan agama dalam memelihara dan memberikan penghormatan terhadap Islam dan orang Melayu akan memastikan inilah formula yang pastinya akan memberikan pulangan keuntungan kestabilan terhadap negara kita. Keadilan bukan dalam bentuk persamarataan dan ini antara perkara yang perlu dicermati. Adil dalam Islam ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Baik yang Melayu, Cina dan India harus memahami keadaan ini. Kefahaman terhadap konsep keadilan yang sebenar akan membawa kepada sikap masyarakat yang memikirkan soal menunaikan hak dan bukannya menuntut hak apatah lagi untuk menuntut hak dan keistimewaan orang lain.

Hari ini PAS wajar menentukan definisi keadilan dan pandangan serta pendekatan politik PAS berkaitan isu agama Islam, DEB, keistimewaan orang Melayu, soal pendidikan dan kek ekonomi Malaysia. PAS sudah semakin berusia dan adalah menjadi kemestian kematangan PAS itu ditonjolkan dalam bentuk ‘blue print’ yang jelas tentang corak pentadbirannya.

Kita juga mahu melihat PAS menjadi alternatif terhadap UMNO. Kita mahukan ini adalah atas dasar supaya UMNO itu sendiri tidak terlalu alpa dan selesa dengan kedudukan politiknya kerana mereka akan merasakan PAS telah pun menjadi saingan alternatif parti Melayu buat orang Melayu. Pada ketika ini yang untungnya rakyat.

Dalam apa jua keadaan, keuntungan rakyat yang akan kita kehadapankan. Kekuatan politik berlebihan akan membawa kepada keangkuhan politik yang merosakkan. Sebab itu jika PKR juga dalam keadaan kekuatan politik yang berlebihan, maka unsur-unsur keangkuhan politik akan menonjol. Yang ruginya ialah rakyat apabila keangkuhan politik mula merajai jiwa pemimpin.

Hakikat jika PAS mahu menjadi parti Melayu alternatif terhadap UMNO ada relevannya. Gerak kerja perlu dibuat dalam mendekati anak-anak muda terutamanya aktivis mahasiswa di kampus yang semakin terdedah dengan gaya politik masa depan. PAS perlu mendepani Pakatan Rakyat. PAS perlu tegas dalam menyatakan pendirian politiknya. Ketegasan dalam menjelaskan apa yang menjadi halatuju perjuangan politik Islam PAS perlu diterangkan dengan suluhan yang jelas.

Apakah soal kepentingan politik semata-mata menyebabkan banyak bisu berbanding bicara PAS dalam menentukan lebih banyak corak politik Pakatan Rakyat? Ataupun PAS sendiri sudah semakin tidak relevan dalam landskap politik Malaysia seumpama UMNO alami dan rasai dalam PRU-12 tempoh hari.

Mungkin cara politik PKR yang lebih menyentuh jiwa rakyat buat masa kini ataupun situasi ini hanya sementara dan untuk 5 tahun akan datang cara politik PKR ini tidak akan lagi memenangi hati nurani rakyat.

PAS harus sedar, jika mahu dibandingkan dengan PKR atau DAP, PAS adalah satu-satunya parti yang punyai sistem pengkaderan yang mantap dan agak jelas pembinaan karakter kepimpinan muda masa depannya. Namun jika dilihat dalam keputusan PRU-12 kali ini, ada sesuatu yang menggusarkan tentang prestasi PAS walaupun berjaya menambah kerusi namun tewas kepada parti yang setahun jagung seumpama PKR.

Apakah perlu untuk PAS mengubah cara politiknya supaya lebih mirip method politik PKR? Apakah dengan ini PAS mampu untuk merubah kedudukan politiknya?Apa pula nasib PKR yang tidak mempunyai sistem pengkaderan yang strategik?

Orang Melayu hanya tinggal berharap kepada PAS jika UMNO sudah punah dan tidak mampu untuk dipulihkan. Sememangnya ada silap UMNO yang besar kerana tidak menjaga soal survival orang Melayu selama 50 tahun pemerintahannya. Hukuman rakyat sudah diterjemah dalam undi dengan menolak kuasa 2/3 BN di Parlimen.

Namun apakah ini penghukuman atau pengkhianat ataupun kesilapan? Apakah hukuman terhadap kesalahan UMNO dalam membela Melayu tetapi akhirnya yang menerima akibatnya daripada penghukuman tersebut adalah rakyat? Ataupun sebenarnya orang Melayu tidak kehilangan apa kerana yang hilangnya 2/3 kerusi BN adalah daripada hilangnya kerusi MIC, MCA, Gerakan & PPP. Perkara ini perlu kita bentangkan.

PAS harus bangkit dalam mengisi vakum kekecewaan pengharapan orang Melayu terhadap UMNO dengan memperlihatkan keupayaan PAS sebagai parti Melayu alternatif terhadap UMNO. Corak ini tidak nampak ditonjolkan oleh PAS. PAS perlu lebih bijak dalam meletakkan kembali posisinya sebagai parti yang sewajibnya dilihat lebih kukuh dan diterima masyarakat. Soal hari ini PKR mendapat sokongan yang lebih banyak daripada rakyat adalah soal kedua.

Persoalan utamanya ialah PAS perlu berada pada tahap itu dengan melihat komposisi kepimpinan PAS yang kebanyakan Melayu dan lebih mulianya lagi ada kecenderungan untuk membela dan prihatin terhadap agama Islam. Ataupun UMNO akan melakukan ‘comeback’ dalam dengan melakukan reformasi menyeluruh parti itu.

Reformasi dalam UMNO mungkin berlaku melalui permuafakatan dengan PAS. Siapa akan mengikut? Mungkinkah PAS akan memasuki UMNO ataupun hasil muafakat akan membawa UMNO untuk memasuki PAS. Ini juga perkembangan politik yang menarik untuk kita nantikan.
Apa pun yang terbaik ialah bermuafakat atas dasar iman dan taqwa. PAS dan UMNO bermuafakat demi kepentingan Islam dan Melayu. Wajarnya ialah perlu ada kepimpinan dalam kedua-dua parti yang ikhlas. Jika sekadar gimik politik dan sekadar usaha untuk memanipulasi orang lain, baik PAS dan UMNO lupakan sahaja hasrat muafakat ini.

Setelah sekian lama PAS menyepi dari bercerita tentang soal Melayu, Kenyataan Tuan Guru Hj. Hadi Awang tentang Melayu adalah amat penting disambut oleh kepimpinan PAS yang lain. Jika PAS tidak merubah dan menentukan politik Malaysia, tidak menjadi suatu yang mustahil PAS yang akan berubah dan bakal mengikut sahaja apa arus politik yang berlaku dalam negara.

Kita tidak mahu PAS terlalu lemah dalam Pakatan Rakyat dan juga kita tidak mahu UMNO lemah dan tidak prihatin tentang survival Melayu Islam di Malaysia. Kedudukan Islam, Melayu dan rakyat Malaysia perlu menjadi keutamaan jika PAS, UMNO atau PKR mahu mencipta satu bentuk suasana yang lebih kondusif terhadap situasi politik tanah air. Situasi keadaan politik hari ini sebenarnya masih banyak kegoyahannya.

Situasi mungkin merubah pandangan alam politik kita jika majoriti Cina dan India adalah mereka yang berakidah dengan akidah Islam. Apa pun kebebasan beragama masih kita hormati dalam keadaan realiti Malaysia hari ini. Survival Islam dan Melayu ada di tangan PAS jika UMNO sudah semakin dilupakan rakyat terutamanya orang Melayu. Dan orang Melayu akan bersama UMNO kembali jika PAS tidak menunjukkan ciri alternatif yang lebih baik dan PKR pula terlalu banyak bercakap soal kesamarataan berbanding keadilan.

Nazree Yunus

Pengerusi Jaringan Pemikir Anak Muda

Institut Kajian Asas Kemasyarakatan (INSKA)